Wednesday, February 25, 2009

Orang Melayu mahu belajar yang senang-senang sahaja

PETIKAN DARIPADA RUANGAN FORUM UTUSAN MALAYSIA ONLINE BERTARIKH 25/2/2009:

ENAM puluh tahun lalu, keluarga saya tidak membenarkan saya belajar di sekolah Inggeris melalui Special Malay Class kerana takut saya tidak boleh mengucap Dua Kalimah Syahadah bila mati nanti. Cita-cita saya untuk menjadi diplomat tidak kesampaian. Dengan kelulusan yang ada, maka jadilah saya seorang guru sekolah Melayu di pendalaman.

Selepas lima puluh tahun merdeka, fahaman yang sama disebar oleh kumpulan elit Melayu. Mereka menghalang anak-anak Melayu terus belajar bahasa Inggeris melalui Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan alasan budak-budak ini nanti tidak boleh bercakap bahasa Melayu dengan baik serta hilang jati diri.


Anehnya, orang Melayu sentiasa merasa takut. Orang Melayu takut untuk bersaing. Orang Melayu takut untuk belajar lebih sikit. Orang Melayu mahu belajar yang senang-senang. Cabaran dan saingan adalah sesuatu yang menakutkan. Jika orang Melayu tidak sanggup mendaki Gunung Kinabalu, maka didesak pemerintah buat suatu peraturan supaya menghalang semua orang mendaki gunung tersebut. Jika orang Melayu merasa susah untuk belajar dan mengguna bahasa Inggeris, maka didesak kerajaan supaya haramkan PPSMI. Pendapat mereka yang disokong oleh kepetahan berbicara serta berlatar belakang status sosio, mereka mendapat perhatian.

Siapa yang lebih mengetahui potensi sebenar anak-anak desa semasa belajar Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Guru-guru yang setiap masa bersama-sama mereka lebih mengerti keupayaan anak-anak ini. Rujuk dan tanyalah guru-guru ini. Mereka yang berada di menara tinggi yang sekali sekala menoleh ke panorama desa, barang kali silap mata memandang. Kadang-kala kita ditipu oleh mata sendiri. Kerap kali kita juga ditipu oleh emosi sendiri.

Pekedai-pekedai Cina di tempat saya boleh bertutur bahasa Melayu, Mandarin, Hokkien, sedikit-sedikit bahasa Inggeris. Bila ke estet, orang-orang India boleh bertutur bahasa Melayu, Tamil dan fasih berbahasa Inggeris. Orang Melayu hanya tahu satu bahasa. Banyak orang Melayu yang tidak mengerti bahasa al-Quran. Malah banyak juga yang tidak faham apa yang dibaca semasa solat. Keadaan ini berlaku kerana orang Melayu tidak mahu bersusah payah untuk belajar.

Dalam diri orang-orang Melayu ada elemen reject. Elemen ini menjadikan orang Melayu sangat lemah dan sangat manja. Orang Melayu akan menolak apa saja yang ada unsur cabaran atau payah. Dalam usaha mencapai kecemerlangan pelajaran, orang Melayu lebih gemar kepada soalan bocor dan soalan ramalan. Dalam bidang ekonomi, orang Melayu lebih suka pada skim cepat kaya atau dana berangkai.

Budaya 'menolak' ini menyerang semua lapisan masyarakat Melayu. Bila ada pihak menaja penentangan terhadap PPSMI maka ramailah yang akan terpengaruh. Orang-orang Melayu dicadang supaya belajar yang mudah-mudah sahaja. Subjek yang berat serta susah janganlah dicuba. maka bertambah-tambahlah lagi ketakutan mereka untuk berusaha belajar.

Semangat 'Malaysia Boleh' perlulah diterjemah kepada 'Melayu Boleh'. Dalam lain perkataan, orang-orang Melayu tidak akan mengalah dalam apa juga gelombang. Orang Melayu harus tegak berdiri bersama kaum-kaum lain di Malaysia. Jika mereka boleh menguasai pelbagai bahasa, mengapa perlu orang Melayu berundur setapak ke belakang?

Tidak perlu kita bandingkan dengan orang Jepun yang kuat berpegang kepada bahasa mereka sebabnya di negara mereka cuma ada satu bangsa sahaja.

Pakar-pakar motivasi selalu menyarankan supaya kita berfikir di luar kotak. Di pusat pengajian tinggi diajar teori serta konsep 'kecerdasan pelbagai' dan 'inovasi' adalah suatu konsep yang amat disanjung tinggi.

Tidakkah PPSMI ini suatu hasilan pemikiran di luar kotak atau suatu inovasi yang menjadi teras amalan pengurusan masa kini?

GURU MELAYU LAMA
Kulim, Kedah.

KOMEN: TEPUK DADA TANYA SENDIRI

Tuesday, February 17, 2009

Ke mana kita tanpa PPSMI?

PETIKAN DARI RUANGAN FORUM UTUSAN ONLINE 17/2/2009:

KEMELUT Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) nampaknya semakin berpanjangan seolah-olah tiada penyelesaian.

Apa sudah jadi dengan bangsa Melayu? Adakah pemikiran mereka tidak konsisten, bercelaru dan kacau bilau! Semakin ramai Melayu yang mempersoalkan pelaksanaan PPSMI.

Dalam jangka panjang PPSMI akan memberi faedah kepada orang Melayu. Semua sedia maklum PPSMI diwujudkan untuk menangani ramai graduan Melayu yang gagal mendapatkan pekerjaan akibat lemah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

PPSMI memerlukan masa yang panjang untuk membuahkan hasil, mungkin 20 atau 30 tahun lagi. Sebagai contoh, pelaksanaan pengajaran bahasa Melayu di semua sekolah kebangsaan dan universiti yang dilaksanakan 20-30 tahun lalu telah menghasilkan generasi graduan Melayu yang purata umur 20-35 tahun, terutama dari luar bandar yang gagal berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Mereka hanya mahir berbahasa Melayu.

Pernah menjadi isu, graduan yang balik dari belajar di luar negara pun gagal berbahasa Inggeris dengan baik. Inilah buktinya PPSMI juga memerlukan tempoh jangkamasa yang sama untuk menunjukkan keberkesanannya.

Masalah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris bukan masalah utama pelajar-pelajar di bandar.

Tetapi di mana dan dengan siapa anak-anak Melayu luar bandar hendak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Bolehkah mereka memahirkan penggunaan bahasa Inggeris secara berkomunikasi dengan ibu bapa petani mereka atau ibu bapa penoreh mereka?

Cukupkah dengan hanya masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris antara 120-160 minit seminggu sahaja di sekolah?
Inilah sikap unik orang Melayu. Tanpa paksaan orang Melayu tidak akan berjaya. Orang Melayu tidak sukakan perkara-perkara yang positif. Orang Melayu terutama di luar bandar harus dipaksa untuk menguasai bahasa Inggeris.

Program PLKN yang amat memberi manfaat sekalipun jika tidak diwajibkan, bilangan pelajar Melayu yang menyertainya boleh dibilang dengan jari. Pelajar-pelajar Melayu luar bandar yang cemerlang dalam UPSR dan PMR hanya mahu mengambil jurusan sastera dan perdagangan sahaja, jika tidak dihimpunkan di sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Sains, MRSM dan diwajibkan mengambil jurusan sains tulen.

Tidak ada yang tidak kena dalam pelaksanaan PPSMI. Tentunya setiap pembaharuan akan wujud kelemahan dan kekurangannya!
Dalam pelaksanaan PPSMI memang ada pelajar-pelajar yang akan menjadi korban sebagaimana 'terkorbannya' beratus ribu graduan Melayu kini yang gagal menguasai kemahiran berbahasa Inggeris dan menganggur kesan pelaksanaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah kebangsaan dan di universiti-universiti 30 tahun dahulu.
Di saat orang Melayu mendebatkan cadangan jumud ini, parti pembangkang pula tersenyum mendabik dada mengapi-apikan lagi penentangannya.

Jangan kita bandingkan diri kita dengan orang Korea, China atau Jepun yang maju dengan menggunakan bahasa sendiri. Jepun pun belajar menggunakan bahasa Inggeris sebelum mengungguli teknologi dengan bahasa Jepun.

Siapakah kita orang Melayu yang hendak dibandingkan dengan orang Jepun. Apakah sikap, disiplin dan semangat kita setanding dengan orang Jepun?

Berapa peratus orang Melayu yang mempunyai disiplin dan semangat seperti bangsa Jepun? Tepuk dada tanya selera! Orang Melayu harus menguasai semua bidang dan buktikan dahulu pencapaian orang Melayu.
Ubah minda dan paradigma orang Melayu kerana hakikatnya jika orang Melayu mula mengorak langkah, kejayaan pasti dalam tangan.
Apa jua keadaan, kerajaan sepatutnya terus mengangkasakan PPSMI. Mengangkasakan PPSMI bukanlah agenda politik, tetapi lebih dari itu iaitu demi survival bangsa.

Mungkin demi untuk memenuhi permintaan segelintir orang Melayu yang sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan PPSMI dimansuhkan, atas dasar liberalisasi pendidikan saya ingin mengemukakan dua cadangan.

- Pertama, teruskan PPSMI dengan mewujudkan sekolah-sekolah rendah dan menengah yang berorientasikan PPSMI dan dalam masa yang sama diwujudkan sekolah-sekolah rendah dan menengah yang tidak berorientasikan PPSMI sebaliknya kembali ke sistem pembelajaran berteraskan bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing.

- Kedua, di setiap sekolah rendah dan menengah yang sama diwujudkan dua sistem pembelajaran iaitu yang berteraskan PPSMI dan satu lagi sistem pembelajaran berteraskan bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing sepenuhnya.

NORHISYAM MOHAMAD
Kuala Kedah

KOMEN:

1. SATU LAGI PENDAPAT UMUM YANG MENYOKONG PELAKSANAAN PPSMI. SATU KUPASAN YANG SANGAT MENARIK DAN MENDALAM.

2. SEMOGA PIHAK-PIHAK YANG AKTIF MENGERAKKAN USAHA UNTUK MANSUHKAN PPSMI BACA DAN FAHAMI APA YANG TERSIRAT DISEBALIK PANDANGAN ORANG LUAR BANDAR INI.

3. SAYA YAKIN INI MERUPAKAN LUAHAN PENDUDUK LUAR BANDAR YANG MERAYU DEMI SURVIVAL BANGSANYA.

4. SAYA TERINGAT DASAR PANDANG KE TIMUR YANG TELAH DIPERKENALKAN OLEH PERDANA MENTERI YANG KEEMPAT. DASARNYA MENYERU KITA MENCONTOHI JEPUN DAN KOREA UNTUK MAJU KE HADAPAN DENGAN MENGAMBIL SEMANGATNYA DAN BUKANNYA MENCONTOHI PERKARA-PERKARA YANG BOLEH MENYEBABKAN KITA MAKIN KETINGGALAN.

5. SEPERTI KATA PENULIS TERSEBUT, DASAR YANG BARU BERUSIA ENAM TAHUN JANGAN DIJADIKAN KAMBING HITAM. BELUM BOLEH KITA MENILAI SEPENUHNYA KEBERKESANAN DASAR INI. JANGAN CEPAT MELATAH DAN MENGHAKIMINYA KERANA IANYA AMAT TIDAK ADIL DAN TIDAK WAJAR.

6. KITA PERLU MEMIKIRKAN MASA DEPAN ANAK-ANAK KITA. DALAM 20 HINGGA 30 AKAN DATANG KE MANA HALA TUJU PELAJAR LUAR BANDAR? ADA TAK PIHAK YANG MENENTANG PPSMI INI MEMIKIRKANNYA? TELAH MENGKAJINYA?

Monday, February 16, 2009

Budak kampung anggap PPSMI relevan

Petikan dari ruangan forum Utusan Malaysia online bertarikh 16/2/2009:

SEJAK kebelakangan ini, isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kembali diutarakan. Saya sebagai bekas pelajar tahun 2008 yang belajar subjek Sains dan Matematik terpanggil untuk menyuarakan perkara ini.

Bagi saya pembelajaran dalam bahasa Inggeris tidak membebankan. Malahan, tidak menjejaskan prestasi bahasa Melayu saya. Saya dan rakan-rakan begitu seronok mempelajari istilah-istilah baru. Dari tingkatan 1 hinggalah sampai ke tingkatan 5, saya berasa sudah sebati dengan PPSMI.

Pada mulanya agak sukar bagi saya dan rakan-rakan. Namun alah biasa tegal biasa. Saya belajar subjek Kimia, Biologi dan Fizik dalam bahasa Inggeris, akan tetapi tidak pula saya berasa ia sukar.
Dalam semua peperiksaan, saya dan rakan yang lain memilih untuk menjawab dalam bahasa Inggeris. Bukan tidak patriotik dengan tidak menjawab peperiksaan dalam bahasa Melayu, sebaliknya saya lebih senang memilih bahasa Inggeris.

Dalam pada masa yang sama, ramai rakan saya cemerlang dalam bahasa Melayu. Guru-guru saya juga mengajar dalam bahasa Inggeris dan kemudian menerangkan kembali dalam bahasa Melayu.

Walaupun saya tidaklah cemerlang dalam subjek Sains dan Matematik, saya berasa sangat teruja dengan belajar dalam bahasa Inggeris.
Oleh itu, saya berharap isu ini tidak patutlah diperbesarkan terutamanya dalam kalangan bijak pandai. Apa yang penting untuk belajar berjaya ialah kemahuan dan kegigihan. Apabila kegigihan dan kemahuan ada, halangan dapat diatasi.

Justeru, PPSMI adalah relevan.

NADIATUL AZWA MOHAMAD KHALIDI
E6, Kampung Luat, Lenggong, Perak

Komen:

1. Bagi saya objektif PPSMI amat jelas. Program ini diolah, dirancang adn diperkenalkan dengan satu hasrat yang murni iaitu untuk mengantarabangsakan minda para pelajar kita terutamanya pelajar luar bandar.

2. Di samping pelbagai bantahan dan gesaan daripada segelintir masyarakat kita untuk menghapuskan PPSMI, ramai juga anggota masyarakat kita yang terdiri daripada para pelajar, ibubapa, guru dan sebagainya terus menyatakan kerelevanan dan kepentingan PPSMI.

3. Justeru saya berharap pihak-pihak yang begitu bersemangat untuk menghapuskan PPSMI ini berfikir dengan lebih wajar dan waras dengan mengambil kira pandangan-pandangan pihak yang menyokong PPSMI agar jangan kita menyesal kemudian hari apabila anak-anak kita tidak lagi mampu bersaing di peringkat antarabangsa melainkan niat kita memang mahu lihat anak-anak kita terus kekal menjadi jaguh kampung.

Tuesday, February 10, 2009

MELAYU POHON DERHAKA

MEMANG BENAR KATA TUN DR. MAHATHIR
MELAYU MUDAH LUPA
MELAYU LUPA SIAPA HANG JEBAT
MELAYU LUPA ADAT DAN SOPAN
MELAYU LUPA TAAT DAN SETIA
MELAYU LUPA JUNJUNG SULTAN

APAKAH INI BANGSA YANG DIMEGAHKAN
KE MANA HALA TUJU NASIB MELAYU INI
DEK KUASA MELAYU SANGGUP DERHAKA
MAKA BETUL KATA HANG TUAH
TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA

TAPI MELAYU YANG BAGAIMANA
MELAYU YANG TAMAK KUASA
MELAYU YANG LUPA SEJARAH
MELAYU YANG SANGGUP JADI PAK TURUT
MELAYU YANG POHON DERHAKA

Hasil nukilan:
NOOR MOHAMAD
SERDANG, SELANGOR
10/2/2009

Friday, February 6, 2009

PERAK DAPAT MB BARU

1. AKHIRNYA KERAJAAN PAKATAN RAKYAT (PR) TERSUNGKUR DI PERAK WALAUPUN PELBAGAI DEFINASI DIBERIKAN SEPERTI TUMBANG ATAUPUN DITUMBANGKAN.

2. BARISAN NASIONAL PULA KEMBALI BERKUASA DAN TELAHPUN MENAMAKAN YB DATUK DR. ZAMBRY ABD. KADIR SEBAGAI MB YANG BARU DAN DIJADUALKAN AKAN MENGANGKAT SUMPAH JAWATAN PADA PETANG INI JAM 3.30 PETANG DI ISTANA ISKANDARIAH, KUALA KANGSAR.

3. WALAPUN BN KEMBALI MEMERINTAH NAMUN PERASAAN WAS-WAS DI KALANGAN RAKYAT TERUTAMANYA RAKYAT PERAK MASIH MENEBAL KERANA KEDUDUKAN KERUSI DUN ANTARA PR DAN BN MASIH SAMA IAITU MASING-MASING 28 BUAH KERUSI.

4. MAJORITI BN 100% DITENTUKAN ATAU DI TANGAN 3 ORANG ADUN YANG ISYTIHAR DIRI SEBAGAI CALON BEBAS IAITU MEREKA YANG KELUAR PARTI DARI PKR DAN DAP. WALAUPUN MEREKA TELAH MENYATAKAN SOKONGAN KEPADA BN BAGI MEMBENTUK KERAJAAN NEGERI NAMUN MEREKA TETAP BUKAN ANGGOTA PARTI MANA-MANA PARTI KOMPONEN BN SAMA ADA UMNO ATAUPUN MCA/GERAKAN.

5. JUSTERU KERAJAAN BARU BN PASTINYA MENGHADAPI CABARAN YANG LEBIH BESAR DARIPADA KERAJAAN PR YANG MEMERINTAH 11 BULAN YANG LEPAS. INI KERANA SEMUA KEPUTUSAN YANG MEMERLUKAN KELULUSAN DAN SOKONGAN DI DEWAN NEGERI BOLEH JADI DITENTUKAN OLEH UNDI KETIGA-TIGA ORANG BEBAS TERSEBUT.

6. MAKA INILAH CABARAN UTAMA MB BARU PERAK YANG AKAN DIPANTAU DENGAN TELITI OLEH SELURUH RAKYAT MALAYSIA KHUSUSNYA RAKYAT NEGERI PERAK.

7. KITA BERDOA DAN MENGHARAPKAN SUASANA POLITIK YANG LEBIH AMAN DAN HARMONI DI PERAK DENGAN TERBENTUKNYA KERAJAAN NEGERI YANG BARU INI.

8. TAHNIAH DATUK DR. ZAMBRY ABD. KADIR!

Thursday, February 5, 2009

TERIMA KASIH MPSJ

1. SAYA INGIN MERAKAMKAN UCAPAN TERIMA KASIH KEPADA MAJLIS PERBANDARAN SUBANG JAYA (MPSJ)DI ATAS KEPRIHATINAN DAN TINDAKAN PANTAS MEREKA TERHADAP ADUAN YANG DIKEMUKAKAN.

2. PADA 29HB JANUARI 2009 SAYA TELAH MEMBUAT CADANGAN MELALUI RUANGAN ADUAN ONLINE DI LAMAN WEB MPSJ AGAR DIBINA BONGGOL DI KAWASAN PERUMAHAN SAYA KERANA MASALAH KENDERAAN YANG DIPANDU LAJU DI KAWASAN PERUMAHAN TERSEBUT.

3. ALHAMDULILLAH PADA 4HB FBRUARI 2009 IAITU TIDAK SAMPAI SEMINGGU DARI TARIKH ADUAN, PIHAK MPSJ TELAHPUN MEMBINA BONGGOL DI KAWASAN TERSEBUT.

4. DI KALA PELBAGAI TOHMAHAN DAN ADUAN YANG SERING DILEMPARKAN KEPADA AGENSI KERAJAAN DAN PBT KERANA LAMBAT MENGAMBIL TINDAKAN TERHADAP ADUAN RAKYAT, TINDAKAN CEPAT DAN PANTAS MPSJ WAJAR DIPUJI DAN DIJADIKAN CONTOH.

5. SEMOGA AGENSI KERAJAAN DAN PBT BAIK DI PERINGKAT NEGERI MAHUPUN PERSEKUTUAN DAPAT MENGAMBIL TINDAKAN SEPERTI MPSJ DENGAN CEPAT DAN PANTAS BAGI MEMBANTU MENYELESAIKAN MASALAH RAKYAT SETERUSNYA MEMARTABATKAN SISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA.

6. TERIMA KASIH MPSJ.