Monday, June 29, 2009

MANUSIA MATI TINGGALKAN NAMA

1. DUA ISU BARU-BARU INI MENARIK PERHATIAN UNTUK DIBICARAKAN. PERTAMA PENGANUGERAHAN GELARAN DATUK KEPADA ALLAHYARHAM SUDIRMAN HAJI ARSHAD SERTA YANG KEDUA IALAH KEMATIAN RAJA POP DUNIA MICHAEL JACKOSN @ JACKO @ MJ @ nama islamnya Mikaeel.
2. HIDUP DAN MATI ADALAH KETENTUAN ILAHI. TAK KIRA MUDA ATAU TUA, KAYA ATAU MISKIN MAUT PASTI DATANG MENJEMPUT KITA BILA SAMPAI TIKA DAN WAKTU YANG TELAH TERSURAT SEJAK KITA DILAHIRKAN.
3. CUMA YANG MEMBEZAKAN KITA SESAMA MANUSIA IALAH PADA WAKTU KITA MENINGGALKAN DUNIA INI APAKAH YANG KITA TINGGALKAN ATAU ADAKAH KITA DIKENANG @ DIPUJA ATAU DILUPAKAN @ DIKEJI?
4. SEMUA ORANG DARIPADA KITA AKAN MENERIMA NASIB YANG BERBEZA. ADA YANG AKAN DIPUJI @ DIKENANG SEPANJANG MASA DAN TAK KURANG JUGA YANG AKAN DIKEJI ATAU DILUPAKAN DALAM SEKELIP MATA. ITU ADALAH LUMRAH KEHIDUPAN.
5. YANG MATI AKAN TINGGALAKN KITA BUAT SELAMA-LAMANYA DAN HIDUP PERLU MENERUSKAN KEHIDUPAN SAMBIL MENGHITUNG HARI KITA PULA YANG BAKAL MENJELMA PADA BILA-BILA MASA.
6. SETELAH SEKIAN LAMA SUMBANGAN ARWAH SUDIRMAN HANYA DIKENANG OLEH SEKELOMPOK MANUSIA, DAN JUGA SETELAH SEKIAN LAMA KITA MENANTIKAN SUATU PENGHARGAAN YANG SETIMPAL KEPADA MANTAN PENGHIBUR NOMBOR SATU ASIA ITU AKHIRNYA DYMM SULTAN PAHANG TELAH MENUNAIKAN PENANTIAN PEMINAT-PEMINAT ARWAH SUDIRMAN.
7. MAKA SECARA RASMINYA BERGELARLAH ALLAHYARHAM DATUK SUDIRMAN HAJI ARSHAD SELEPAS 17 TAHUN BELIAU MENINGGALKAN KITA(MENINGGAL PADA 22HB FEBRUARI 1992.
8. RAJA POP DUNIA PULA BARU SAHAJA MENINGGALKAN KITA DALAM USIA 50 TAHUN. WALAUPUN KEHIDUPAN BELIAU DISELUBUNGI DENGAN PELBAGAI KONTROVESI SEPANAJNG ZAMAN DAN MASA NAMUN TIADA SIAPA DI DUNIA INI YANG AKAN MENIDAKKAN KEHEBATAN BELIAU SEBAGAI SEORANG RAJA POP DUNIA.
9. MAKA BERAKHIRLAH JUGA RIWAYAT SEORANG LAGI INSAN SENI YANG DIPUJA DISEANTERO DUNIA. WALAUPUN ORANG KATA YANG PATAH TUMBUH YANG HILANG BERGANTI NAMUN PERCAYALAH YANG TUMBUH DAN YANG BERGANTI ITU TIDAK AKAN SAMA DENGAN YANG PATAH DAN YANG HILANG.
10. NAMUN SAYA PERCAYA MASIH ADA YANG AKAN TERUS MENYAYANGI DAN MENGENANG ALLAHYARHAM DATUK SUDIRMAN HAJI ARSHAD, ALLAHYARHAM TAN SRI DR. P.RAMLEE, ALLAHYARHAM MIKAEEL @ JACKO DAN INSAN-INSAN YANG LAIN YANG MATI MENINGGALKIAN NAMA.
11. CUMA HARAPAN SAYA KALAU BOLEH CUBALAH KITA HARGAI JASA DAN SUMBANGAN SESEORANG INSAN ITU SEMENTARA DIA MASIH HIDUP DANA ADA DI DUNIA INI. MUNGKIN ITU LEBIH WAJAR DAN ADIL JIKA MENGAMBILKIRA SEGALA SUMBANGAN DAN JASA MEREKA.
12. SEMOGA ROH MEREKA DICUCURI RAHMAT OLEH ALLAH SWT. AL-FATIHAH. AMIN.

Wednesday, June 24, 2009

PEMIMPIN AGUNG

SUMBER: BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPM.
ICOT - Tun Mahathir Kongsi Idea Lahir Pemimpin Yang Baik

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Seorang pemimpin harus berdisplin untuk mengasingkan kerja peribadi dan memberikan lebih fokus kepada kerja-kerja pembangunan Negara walaupun negara tersebut miskin , kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini .
“Dalam pemikiran, anda juga harus berdisplin kerana pemikiran yang berdisplin mampu memberi keputusan yang diingini,” katanya dalam ucap utama bertajuk “Asian Political Leadership: Disciplined Thinking For Change" pada hari kedua International Conference on Thinking (ICOT) 2009 kali ke-14 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini .
Konferens selama lima hari yang bermula sejak 22 Jun semalam mendapat sambutan kira-kira 1,000 peserta dari 42 negara, dengan New Zealand mencatat delegasi teramai iaitu 160 orang. Tun berkata lebih baik untuk merasa sedikit was-was tentang penyelesaian yang diutarakan oleh pihak luar dengan memberi contoh insiden IMF semasa krisis ekonomi Negara pada 1997.
Beliau berkata dalam kes tersebut, proses pemikiran disiplin yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia dahulu mampu membentuk satu sistem untuk menyelamatkan Negara daripada krisis ekonomi, bukan seperti pihak yang menerima penyelesaian altanatif yang ditawarkan oleh the world monetary fund body.
Ketua Yayasan Kepimpinan Perdana itu berkata keputusan pemimpin-pemimpin politik adalah sangat penting kerana ia mampu menentukan kemajuan atau kemunduran negara. Beliau berkata contoh yang bagus boleh dilihat ialah pada negara Jepun yang moden dan maju setelah pemimpin politiknya mencontohi negara-negara Eropah.
Dr Mahathir juga menekankan kualiti seorang pemimpin juga memainkan peranan seperti yang dapat dilihat di negara China semasa zaman pemerintahan Mao Tse Tung iaitu negara tersebut merupakan negara miskin dan mundur , namun pembaharuan dapat dilihat semasa Deng Xiao Ping mengambil alih kepimpinan.
“ Kini China adalah negara pengeluaran dunia dan mereka mampu mengeluarkan hampir kesemua produk yang ada di dunia walaupun ada pihak yang mengatakan ia berkualiti rendah , namun saya percaya ia akan diperbaiki dalam masa akan datang,” katanya.
Bagaimanapun, Tun Mahathir memberi amaran bahawa apabila seseorang diberi kuasa , sukar untuk menukar kepimpinannya sekiranya pemimpin itu bukan seorang pemimpin yang bagus dan membawa kemusnahan kepada negara seperti apa yang telah terjadi di Amerika Syarikat semasa zaman pemerintahan Bush sebelum Presiden Barack Obama mengambil alih.
Beliau berkata Amerika sudah menjadi negara yang tidak disukai di mata dunia dan kedutaan mereka di serata dunia telah membina dinding tinggi untuk melindungi pekerja mereka. “Sebab Obama menang bukan disebabkan beliau merupakan calon yang baik atau speker yang bagus tapi disebabkan ketidaksukaan orang Amerika terhadap Bush.
Dr Mahathir berkata dibawah democratic system , seseorang itu harus menunggu untuk pilihan raya yang seterusnya untuk mengantikan atau menukarkan pepimpin yang kurang baik dan sementara waktu itu , rakyat Negara tersebut akan merana.
Di samping itu , beliau berkata sifat kepimpinan yang diperlukan di Negara Asia berbeza dengan Eropah disebabkan perbezaan budaya. “
Di Eropah, idea mereka adalah hampir sama dan situasi juga membolehkan mereka meniru antara satu sama lain tetapi berbeza dengan Negara Asia kerana sistem nilai dan budayanya berbeza selain pembangunan di Asia tidak sekata, ” katanya.
Menyentuh mengenai isu PPSMI, Tun Mahathir berkata rakyat Malaysia haruslah mempelajari bahasa pengetahuan untuk memperolehi penemuan terkini atau teori dalam Sains dan Teknologi yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama . “Walaupun kita terbaik dalam bahasa ibunda , kita tidak boleh berharap orang lain untuk meneruskan ataupun menterjemahkan keputusan atau maklumat penting dalam bahasa lain hanya untuk kepentingan kita. “Adalah sangat penting untuk kita mempelajari bahasa pengetahuan, language of knowledge,” katanya.

RESPON BLOGGER: TUN...JASAMU AKAN DIKENANG SEPANJANG ZAMAN.


Friday, June 12, 2009

Penggunaan BI perlu dalam dunia akademik

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA ONLINE RUANGAN RENCANA BERTARIKH 12HB JUN 2009:
MEMILIKI semangat patriotik dalam mempertahankan isu bahasa itu adalah sesuatu yang terpuji. Ia sama tarafnya dengan pahlawan yang berjuang di perbatasan. Sehingga ke titisan darah yang terakhir demi ibu pertiwi tercinta. Begitu juga memperjuangkan bahasa ibunda sangat wajar. Sebab bahasa itu menunjukkan bangsa.

Namun setelah bangsa itu merdeka, baik dari segi akademik, sosio-ekonomi, budaya mahupun minda, mereka seharusnya dapat melihat alam ini dengan lebih matang. Belajar keluar dari kepompong yang selama ini memberikan jaringan perlindungan yang selesa.

Apabila manusia dianugerahkan akal fikiran, mereka perlu insaf bahawa ada sesuatu yang lebih penting daripada sekadar sentimen dan kelantangan bersuara semata-mata.

Sekiranya kita memiliki keyakinan mutlak terhadap penjiwaan bahasa ibunda di dalam roh kita, yang semestinya kekal dalam setiap jiwa orang Melayu, mengapa kita perlu gusar terhadap kehadiran bahasa Inggeris (BI)? Bukankah BI sangat wajar dimartabatkan sebagai bahasa global yang diperlukan oleh Malaysia seperti mana seluruh warga dunia?Jika kita punya kematangan yang teguh, kita seharusnya dapat melihat kepentingan kedua-dua bahasa ini umpama 'aur dengan tebing.' Hanya kerana ingin memartabatkan bahasa Malaysia, adalah rugi bagi kita untuk menganaktirikan BI. Mengapa kita tidak pernah berikhtiar untuk 'menarik benang dari dalam tepung, benang tak putus, tepung tak tumpah.'

Penguasaan bahasa asing dalam merintis dunia kehidupan untuk kekal relevan, berdaya saing dan produktif amatlah kritikal. Maka adalah sangat wajar bagi kita merebut peluang untuk berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.

Di Eropah dan Amerika Syarikat, menguasai lima atau enam bahasa asing adalah sesuatu yang lumrah dan dianggap biasa. Sudah amat lazim dan sepatutnya demikian. Malang sekali bagi kita di Malaysia, isu yang menjadi kebanggaan manusia sejagat ini telah menjadi sesuatu yang negatif. Realiti ini amat memalukan.

Apabila pakar-pakar akademik, budayawan, ahli bahasa dan orang terhormat ikut serta mempertahankan isu ini, kita sebenarnya memperlihatkan betapa mentah dan ceteknya pemikiran.

Kecelaruan tentang isu penggunaan bahasa Inggeris di dalam konteks akademik di negara kita hari ini adalah melucukan. Umpama sebuah keluarga yang kaya raya, memiliki bukan sahaja kenderaan mewah bahkan pesawat peribadi. Tiba-tiba bertengkar lalu menginginkan kembali menaiki belakang kerbau untuk bergerak ke sana sini.

Alangkah lucunya apabila mereka tidak lagi dapat melihat betapa pentingnya kenderaan yang telah mereka miliki itu. Bukan sahaja dapat menjimatkan masa, bahkan sudah jelas menaikkan harga diri, kedudukan apa lagi keselesaan mereka. Dengan kembali mengidamkan kerbau sebagai kenderaan, dunia akan mentertawakan mereka. Manusia perlu berjalan ke hadapan. Bukan bergerak mundur ke belakang.

Mari kita lihat analogi ini pula. Para pekerja asing yang membanjiri negara kita berlumba-lumba mempelajari bahasa Malaysia supaya mereka diterima sebagai sebahagian daripada kita. Baik dari Nepal, Myanmar, Bangladesh, Filipina, Vietnam mahupun Pakistan dan sebagainya.
Apabila kita mendengar mereka berbahasa Malaysia dengan baik, secara spontan kita dapat merasakan betapa dekat dan akrabnya rasa kemanusiaan itu. Biarpun mereka hanya sekadar pekerja bawahan, namun dengan 'bahasa' ia dapat menciptakan satu rasa kekitaan yang baik. Tidakkah kita ingin belajar dari mereka ini?

Begitu jugalah dunia melihat kepada kita. Seandainya kita dapat berkomunikasi dengan mereka dalam satu bahasa 'universal' yang boleh difahami oleh semua, maka kita juga dilihat oleh mereka sebagai sebahagian daripada mereka. Apa lagi jika kita dapat menguasai bahasa ibunda mereka.

Apabila bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar untuk subjek Sains dan Matematik di alam persekolahan, generasi Malaysia akan terpaksa kembali belajar untuk menguasai bahasa Inggeris dari Alif Ba Ta di peringkat universiti kelak.

Ini adalah kerana buku-buku rujukan yang bermutu kebanyakannya ditulis dalam bahasa Inggeris. Bayangkan pula jika mereka ingin menamatkan Ph.D? Cukupkah rujukan-rujukan yang siap ditulis dalam bahasa Malaysia?

Mungkin kita cenderung untuk berkiblatkan kepada bahasa Perancis, bahasa Cina atau bahasa Jepun yang sudah diiktiraf sebagai bahasa dunia. Jadi mengapa tidak bahasa Malaysia? Namun apa yang gagal kita akui bahawa kuasa-kuasa besar ini bukan sahaja memiliki tamadun yang jauh lebih awal dari kita, bahkan mereka juga mempunyai semangat kerja, ketekunan, kegigihan, kerajinan, pencapaian dan kejayaan yang amat berbeza.

Dalam mereka memartabatkan bahasa ibunda, namun kedudukan BI tetap mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.

Daripada kita bergaduh tentang isu remeh ini, mengapa tidak kita tanamkan semangat ingin mengasah ilmu bahasa supaya kita juga boleh fasih berbahasa Inggeris, berbahasa Tamil atau Mandarin?

Bukankah ia akan mengangkat kita sebagai penggerak 1Malaysia itu?
Lihatlah apa saja yang dapat kita sentuh di sekeliling kita. Daripada makanan, hiburan, fesyen, infrastruktur, dunia elektronik, budaya, perdagangan, politik, kesihatan, keagamaan, akademik bahkan komunikasi sehari-hari. Ia tidak akan lari jauh daripada realiti bahawa penggunaan BI itu merupakan nadi dan nyawa yang menghidupkan semua ini.

Tetapi bagi kita, nadi dan nyawa ini jugalah yang harus kita anaktirikan!
Seandainya BI tidak diberikan kedudukan yang baik, kita akan ditinggalkan oleh pergerakan waktu yang begitu cepat. Kejayaan manusiawi dan persaingan untuk kekal hidup dalam dunia yang semakin mencabar sudah tentu akan menghimpit Malaysia yang perlahan-lahan ditinggalkan oleh hilangnya daya saing dalam penguasaan BI.

Pada saat itu nanti, kebanyakan kita yang begitu lantang mempersoalkan isu ini sudah tidak ada lagi untuk menyaksikan tragedi yang menimpa anak cucu serta generasi kita.

Saya amat bersyukur kerana berada dalam kelompok terakhir penggunaan BI sebagai bahasa pengantaraan di sekolah rendah dan menengah. Dengan Lower School Certificate, (LCE) pada tahun 1977, Malaysia School Certificate (MCE) pada tahun 1979 dan Higher School Certificate (HSC) pada tahun 1981, saya tampil sebagai seorang dewasa yang mempunyai keyakinan diri dalam komunikasi, interaksi penguasaan bahasa Inggeris dengan siapa sahaja.

Namun ia tidak sekali-kali melemahkan atau membantut penguasaan bahasa Malaysia saya. Bahkan saya yakin bahasa ibunda ini sudah sebati dengan darah dan degupan jantung saya yang kencang.

Bangunlah saudaraku! Lihatlah alam di sekelilingmu. Biarpun dunia belum kiamat, namun sudah jelas survival of the fittest itu wujud.
Cuma hari ini, siapa yang dapat menguasai BI dengan baik, dia akan lebih maju ke hadapan.
KOMEN BLOGGER: SATU ARTIKEL YANG MENARIK. WAJAR DIRENUNGI SEMUA PIHAK. TERINGAT HUJAH-HUJAN YAB TUN DR. MAHATHIR MENGENAI PERI PENTINGNYA BAHASA INGGERIS UNTUK KEMAJUAN RAKYAT MALAYSIA.

Thursday, June 11, 2009

LAWATAN KE ZOO NEGARA





































































SETELAH HAMPIR 9 TAHUN TIDAK MELAWAT ZOO NEGARA, SEMALAM (10HB JUN 2009) SAYA BERSAMA KELUARGA DAN MERTUA MENGAMBIL KESEMPATAN UNTUK MELAWAT ZOO NEGARA.


PESAN BLOGGER: NEGARA KITA KAYA DENGAN PELBAGAI TEMPAT YANG MENARIK, AMBIL PELUANG PERGILAH BERCUTI BERSAMA KELUARGA.














































Tuesday, June 9, 2009

'Saya sujud kepada Ilahi semoga UMNO-Pas bersatu'

SUMBER: UTUSAN ONLINE BERTARIKH 9HB JUN 2009:
BARU-BARU ini saya ke klinik gigi. Sambil menunggu saya ternampak seorang insan berkopiah yang berwajah bersih dan berseri sedang membuat temu janji dengan doktor gigi yang sama. Sambil saya menunggu giliran, saya hendak menegur insan itu.

Tetapi saya lihat raut wajahnya tidak berseri lagi, malah dia kelihatan marah dan wajahnya berkerut-kerut. Rupa-rupanya dia sedang membaca akhbar Harakah.

Saya pernah lalui apa yang dia lalui. Tiap kali saya membaca Harakah, saya terasa marah yang amat. Kerana banyak beritanya melaknat dan memunafik mereka yang sebangsa dan seagama.
Tidak ada yang baik diberitakan tentang kerajaan malah mengeji dan mencaci, hingga saya terasa mual. Ustaz, bukankah perbuatan ini menyalahi agama kita yang suci?

Kini, Harakah sudah pun menular di masjid saya. Alangkah terperanjat saya, tempat suci yang saya berjemaah kepada Allah Yang Esa, telah digunakan untuk perbalahan politik. Saya berasa amat kecewa sekali.

Sebagai seorang ibu, saya inginkan anak saya mempunyai masa depan yang sihat dan tidak dilaknat Allah.

Ustaz Nik Aziz, saya puji parti pimpinan ustaz kerana begitu inovatif menggunakan masjid untuk menyebarkan maklumat.

Ini belum pernah dilakukan oleh kerajaan BN yang semakin terencat idea. Malah kerajaan baru Selangor pun menyebarkan maklumat di masjid-masjid di seluruh Selangor. Mungkin parti pimpinan ustaz boleh mengajar parti UMNO dalam segi sebaran maklumat terkini.

Namun, pada masa yang sama, saya sudah hilang hormat kepada ustaz. Mengapa ustaz biarkan akhbar Harakah menyebarkan umpatan dan keji-kejian terhadap ramai insan sebangsa dan seagama?

Ustaz, saya mengaku bahawa ilmu saya tentang agama masih cetek, tetapi sebelum tidur, saya akan membaca al-Quran. Bermula dengan Surah Al-Baqarah lagi Allah telah berfirman, bahawa kita orang Islam jangan mengikut telunjuk orang-orang kafir, kerana mereka tidak akan reda kepada Islam selagi kita tidak mengikut telunjuk mereka.

Saya lihat bukan saja parti UMNO membuat begitu malah parti pimpinan ustaz pun tiada bezanya.

Ustaz Nik Aziz, saya harap parti pimpinan ustaz dapat ketepikan perasaan marah seperti Saidina Ali ketepikan marahnya apabila ia ditempelak di zaman Rasullullah dahulu.
Saya amat berharap Pas dan UMNO bersatu menjadi golongan parti yang kuat, berwibawa dan tidak gentar pada ugutan orang-orang kafir. Seperti yang ustaz sedia tahu (bukankah ustaz selalu membaca al-Quran) di dalam hati mereka ada penyakit, dan mereka tidak akan reda kepada Islam hingga kiamat.

Setiap hari saya sujud kepada Ilahi semoga UMNO dan Pas bersatu, jangan seperti 'Hamas dan Fatah' yang selalu berbalah, yang menang ialah 'Yahudi'.
Ustaz Nik Aziz, besar kemungkinan selepas ini ustaz akan turunkan 'fatwa' mengkafirkan saya, mungkin juga ustaz akan melaknatkan saya.

Namun saya sedar, saya tiada hak untuk melaknat atau mengkafir sesiapa kerana saya ini hanya insan kerdil yang perlu merintih simpati daripada Allah yang Esa. Alhamdulillah di sanubari saya, Allah dan Nabi amat kasihkan saya.
Amin
KOMEN BLOGER: USTAZ NIK AZIZ, SEMOGA TUAN GURU MENGHAYATI TULISAN INI. SECARA PERIBADI SAYA KAGUMI PERWATAKAN TUAN GURU NAMUN HAKIKATNYA PERJUANGAN PARTI TUAN GURU SUDAH BANYAK MELENCONG DAN TERSASAR DARI MATLAMAT ASAL. HARAPAN SAYA JUGA ADALAH UMNO DAN PAS AKAN BERSATU SATU HARI NANTI. AMIN

Mencari damai dalam demokrasi

SUMBER: UTUSAN ONLINE BERTARIKH 9HB JUN 2009:
SEWAKTU ingin menulis artikel ini, saya langsung teringat kepada ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri kita semasa Konvensyen Ulang Tahun UMNO yang ke-50, lebih 10 tahun yang lepas. Setelah sekian lama, hari ini saya semakin terasa akan kebenaran kenyataan Dr. Mahathir. Betapa jauh dan dalamnya kemampuan beliau “berfikir dan menaksir”. Ucapan beliau yang saya maksudkan itu antara lainnya menyatakan:

“Bangsa-bangsa Barat cuba mendakwa bahawa demokrasi tidak cacat dan menganggapnya sebagai satu sistem yang tidak ada siapa boleh mempertikaikan atau mengubahnya. Mereka menciptakan slogan ‘Vox Populi, Vox Dei‘ iaitu suara ramai adalah suara Tuhan.

“Tetapi percayalah demokrasi bukan suara Tuhan dan jauh daripada sempurna, bahkan ia penuh dengan kecacatan yang boleh membinasakan pengamalnya dan menjadikan mereka mangsa kezaliman demokrasi yang tidak kurang buruknya daripada kezaliman sistem feudal atau diktator.”

Hari ini, tatkala kita menjengah suasana politik di beberapa negara jiran, kita dapat melihat sendiri kebenaran peringatan tersebut. Apa yang berlaku adalah setiap kali gagalnya parti-parti yang memerintah di negara-negara tersebut memulihkan ekonomi dan taraf hidup rakyat, dakwaan rasuah dan isu salah tadbir pasti akan timbul yang akhirnya mencetuskan pula demonstrasi jalanan yang tidak berkesudahan.

Pertukaran parti yang memerintah negara bagaikan menjadi kemestian sekalipun parti berkenaan baru sahaja memerintah dan belum pun sempat membuktikan kemampuannya.
Demikian juga halnya jika kita menelusuri sejarah Afghanistan. Gara-gara dambakan demokrasi, sistem monarki sedia ada dijatuhkan. Namun ia berakhir dengan ibu kota Kabul musnah dan ribuan nyawa terkorban.

Dan setelah sekian lama, sudah amankah Afghanistan kini? Negara kita hari ini pun nampaknya tidak lagi terkecuali. Sudah kelihatan bercambahnya bibit-bibit kepada “bencana demokrasi” di negara yang kita cintai ini.
Senario demokrasi sihat menjamin keamanan.

Melihat kepada elemen-elemen asas kepada demokrasi yang menjulang suara ramai sebagai penentu keputusan, bolehlah kita katakan bahawa kalau kena gayanya, demokrasi memang mampu membawa kepada kemakmuran, kedamaian dan kemaslahatan rakyat.

Ini kerana, sebarang tindakan yang dilakukan adalah atas kehendak yang “dipercayai dan diterima” oleh sekelompok majoriti. Lazimnya, keputusan majoriti adalah betul. Namun, oleh kerana sifat demokrasi itu sendiri yang tidak sempurna, maka ada kalanya kesimpulan yang dibuat itu tidak begitu tepat dan membinasakan.

Justeru, adalah menjadi suatu tanggungjawab kerajaan yang memerintah bagi menentukan sistem demokrasi yang wujud adalah sistem yang benar-benar sihat dan “menjurus ke arah kestabilan”.

Dewasa ini kita lihat, terdapat beberapa tuntutan yang bersifat “luar batasan”, berniat jahat dan prejudis diusulkan kepada kerajaan. Ada antaranya dilihat berpotensi mengganggu suasana aman dalam negara. Adalah tepat sekali tindakan kerajaan yang telah bertegas untuk enggan melayan tuntutan-tuntutan sebegini.

Malangnya, bila mana tuntutan “mengada-ngada” ini tidak dilayan, ia dibawa pula ke jalanan. Boleh dilayan sebenarnya bagi hal yang berpatutan, tetapi jika ia melampau, mampu merosakkan suasana demokrasi yang stabil dan mengganggu-gugat ketenteraman masyarakat berbilang kaum di Malaysia, maka jalan terbaik adalah untuk mengabaikan saja.
Kalau keperluan sampai begitu mendesak dan sudah tidak ada cara lain, gunakanlah ISA dengan sebijak-bijaknya. Pertahankanlah suasana demokrasi yang sihat.
Kuasa memilih di tangan rakyat

Pada ketika ini, secara jelasnya rakyat Malaysia cuma ada dua pilihan pemerintahan, pertamanya Barisan Nasional dan keduanya pakatan pembangkang. Secara peribadi, saya lihat Barisan Nasional sudah pun ada tujuan dan objektif yang jelas berbanding pembangkang yang kelihatannya masih ‘teraba-raba’, mencari ‘titik muktamad’ kepada kesepakatan parti-parti gabungannya. Yang tinggal lagi cumalah ‘menampung yang cacat’, ‘memperbaiki yang kurang’ dan ‘membuang yang sudah rosak’.

Sehingga kini, rasanya masih terdapat keraguan sama ada kesemua objektif perjuangan parti-parti politik dalam pakatan pembangkang dan slogan-slogan mereka seperti ‘Malaysian Malaysia’, Ketuanan Islam, Ketuanan Rakyat dan Pas Untuk Semua, dapat disatukan di bawah suatu ‘bumbung’ parti politik gabungan yang sah.
Dan yang paling penting, apa dan siapa yang harus ‘berkorban’? Soalan inilah yang masih lagi belum ketahuan jawapannya.

Hakikatnya, adalah tidak tepat kalau kita meletakkan untung nasib negara di tangan sekumpulan parti politik yang masih tercari-cari kata muafakat. Kalau sudah dapat kuasa memerintah negara, baru sibuk-sibuk hendak mencari persefahaman dan berakhiran dengan ‘tidak berjaya mencapai kesepakatan’ pula, saya khuatir akan berlakunya persengketaan yang membawa kepada ketidakstabilan negara.

Hari ini pun jalanan kita kadang kala terpenuh dengan rutin demonstrasi ‘aman’ yang ‘tidak aman’ oleh kumpulan-kumpulan sebegini. Apalagi jika kucar-kacir berlarutan nanti? Jika benar bahawa kuasa akhirnya di tangan rakyat. Maka fikir-fikirkanlah.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).
KOMEN BLOGER: SATU ARTIKEL YANG MENARIK. TERNYATA YAB TUN SEORANG PEMIKIR YANG HEBAT YANG BERFIKIR MELAMPAUI ZAMANNYA.

SPM: Lulus BI wajib?

SUMBER: UTUSAN ONLINE BERTARIKH 9HB JUN 2009:
KUALA LUMPUR 8 Jun – Orang ramai dipelawa mengemukakan pandangan masing-masing kepada Kementerian Pelajaran mengenai isu mewajibkan calon lulus mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu lagi perkara yang memerlukan pandangan orang ramai ialah pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah pada masa ini yang tidak melibatkan pengajaran tatabahasa tetapi hanya untuk berkomunikasi.
“Kementerian Pelajaran bukan hendak buat apa-apa keputusan atau cadangan berhubung kedua-dua perkara itu.

“Saya sekadar melontarkan perkara itu kepada masyarakat untuk mendapatkan pandangan. Saya anjurkan supaya ada maklum balas masyarakat dalam bentuk debat,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung pertama Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Bukit Kiara di sini hari ini.

Hadir sama presiden penaja persatuan alumni itu, Tan Sri Yahaya Ibrahim.
Muhyiddin menambah, memandangkan beliau hanya ingin mengumpul pandangan berhubung kedua-dua perkara itu maka tiada sebarang tempoh yang ditetapkan untuk orang ramai mengemukakan pendapat.

“Mempelajari bahasa Inggeris tetapi tidak mewajibkan pelajar untuk lulus subjek berkenaan dalam SPM menjadikan standard bahasa Inggeris merosot.

“Saya juga memerlukan pandangan masyarakat mengenai pembelajaran bahasa Inggeris pada hari ini yang tidak melibatkan pengajaran tatabahasa tetapi untuk perbualan,” jelasnya.
Muhyiddin menambah, beliau melihat dua perkara itu dari sudut bagaimana kerajaan hendak tingkatkan keupayaan dan penguasaan bahasa Inggeris.

“Adakah ketiadaan syarat yang mewajibkan lulus bahasa Inggeris untuk lulus SPM menjadikan pelajar kurang minat menguasai bahasa Inggeris?” soal beliau.

Timbalan Perdana Menteri menambah, masyarakat perlu memberi pandangan sama ada pelajar luar bandar akan menjadi mangsa jika bahasa Inggeris dijadikan subjek wajib lulus untuk lulus dalam SPM.

“Pada masa ini, lebih kurang 70 peratus pelajar boleh dikatakan lulus bahasa Inggeris tapi kalau lulus dan tidak menggunakan bahasa itu ia tidak membawa apa-apa.

“Bolehkah pelajar memberi perhatian lebih serius dalam subjek Bahasa Inggeris jika ia salah satu subjek wajib lulus untuk mereka lulus SPM. Saya mahu masyarakat memikirkan perkara ini,” katanya.

KOMEN BLOGER: TAHNIAH YAB TAN SRI, SATU CADANGAN YANG SUNGGUH BERNAS DAN RELEVAN SERTA TEPAT PADA MASANYA. SAYA JUGA MENGHARAPKAN YAB TAN SRI AKAN TERUS KEKALKAN PPSMI DEMI MASA DEPAN ANAK BANGSA YANG LEBIH CEMERLANG.


Wednesday, June 3, 2009

BANGUNAN MANA SELEPAS INI?

1. SEPERTI SUDAH MENJADI SUATU KELAZIMAN ATAU KEBIASAAN APABILA BERLAKU SATU INSIDEN IANYA PASTI AKAN DIIKUTI ATAU DISUSULI DENGAN INSIDEN LAIN YANG SAMA WAKTU DENGANNYA.
2. BERMULA DENGAN RUNTUHAN BANGUNAN PASARAYA JAYA DI PETALING JAYA, TERKINI RUNTUH PULA BUMBUNG STADIUM SULTAN MIZAN DI TERENGGANU. DALAM KES DI PJ MUNGKIN ADA ALASAN YANG KUKUH ANTARANYA BANGUNAN YANG SUDAH BERUSIA 25 TAHUN, BANGUNAN USANG, TERLEBIH MUATAN JENTERA DAN SEBAGAINYA WALAUPUN IANYA MASIH BOLEH DISANGGAH. NAMUN APA PULA ALASAN YANG HENDAK DIBERI UNTUK STADIUM YANG BERNILAI 300 JUTA YANG BARU BERUSIA SATU TAHUN?
3. SIAPA BERANI MEMBERI ALASAN? PIHAK KERAJAAN NEGERI? PIHAK KONTRAKTOR? KITA TUNGGU DAN LIHAT.
4. MAKA SUDAH BERMULA JUGA UNSUR-UNSUR MENUDING JARI. ADA YANG MENYALAHKAN KONTRAKTOR (DIKATAKAKAN BUMBUNG DIPASANG OLEH KONTRAKTOR KOREA), ADA YANG MENYALAHKAN PIHAK BERKUASA NEGERI. TAPI APA KESUDAHANNYA. WANG RAKYAT BERJUMLAH 300 JUTA LESAP SEKELIP MATA.
5. MAKA TIMBUL PULA SATU LAGI PERSOALAN YANG LEBIH MERISAUKAN. BANGUNAN MANA PULA NAK RUNTUH SELEPAS INI? KEJADIAN DI PJ TELAH MERAGUT NYAWA 7 ORANG WARGA INDONESIA, SYUKUR KEJADIAN DI TERENGGANU TIDAK MELIBATKAN NYAWA (CUBA BAYANGKAN KEJADIAN INI BERLAKU SEMASA PERLAWANAN BOLA SEPAK ATAUPUN MAJLIS LAIN YANG DIHADIRI OLEH VVIP NEGARA?). TAPI APAKAH JAMINAN TIDAK AKAN ADA LAGI BANGUNAN YANG AKAN RUNTUH SELEPAS INI? DAN APA PULA JAMINAN JIKA ADAPUN YANG RUNTUH, MAKA SEKALI LAGI NYAWA MANUSIA AKAN TERSELAMAT?
6. KITA MASIH SEGAR LAGI DENGAN INSIDEN BUMBUNG BOCOR, BAS TERBALIK, BAS LANGGAR TOL DAN BANYAK LAGI INSIDEN YANG SEOLAH-SEOLAH SUKA BERULANG SAMA ADA SURATAN ATAU KEBETULAN HANYA YANG MAHA ESA SAHAJA BOLEH MENJAWAB.
7. MACAM-MACAM KENYATAAN DIKELUARKAN RENTETAN DARI PERISTIWA KERUNTUHAN STADIUM TERSEBUT. ADA YANG KATA AKAN DITUBUH PASUKAN PENYIASAT BEBAS, SPRM JUGA AKAN MENYIASAT, SEMUA STADIUM AKAN DIAUDIT DAN SEBAGAINYA. TAPI SEDAR ATAU TIDAK KITA MASIH LAGI DI TAHAP DAN AMALAN SERTA BUDAYA DI MANA MEMBETULKAN KESALAHAN YANG TELAH BERLAKU DAN BUKANNYA BERUSAHA MENCEGAH SEBELUM IANYA BERLAKU.
8. SAMA-SAMALAH KITA RENUNG-RENUNGKAN.

Tuesday, June 2, 2009

APAKAH ERTI NILAI PERSAUDARAAN?

1. DUA PAPARAN DI DADA AKHBAR BARU-BARU INI BETUL-BETUL MENCUIT HATI SAYA UNTUK MENULIS TENTANGNYA.
2. PERTAMA ADALAH BERKAITAN PERGADUHAN ANTARA ABANG DAN ADIK MEREBUTKAN HARTA PUSAKA SEHINGGA SI ABANGNYA MATI DIBELASAH SI ADIKNYA DAN YANG KEDUA IALAH KES PENAHANAN DUA ORANG ADIK BERADIK BERKAITAN KESALAH MENGEDAR DADAH.
3. KES PERTAMA MENUNJUKKAN KEPINCANAGN NILAI PERSAUDARAAN HANYA KERANA HARTA MANAKALA KES KEDUA MENCERMINKAN KESEPAKATAN PERSAUDARAAN DALAM MEMBUAT SESUATU PERKARA WALAUPUN IANYA PERBUATAN JENAYAH.
4. APAKAH NILAI-NILAI PERSAUDARAAN DAN KEMANUSIAAN SEMAKIN TERHAKIS DALAM MASYARAKAT KITA? ADIK BERADIK BERGADUH, ANAK PUKUL BAPA, ANAK PUKUL IBU DAN SEBAGAINYA DEWASA INI BUKAN LAGI SUATU PERKARA PELIK DALAM MASYARAKAT KITA MALAH IANYA SUDAH MENJADI SATU KEBIASAAN ATAUPUN TREND YANG SUKAR DIBENDUNG. BEZANYA CUMA SAMA ADA IANYA DILAPORKAN DALAM MEDIA ATAUPUN MENJADI KES TERPENCIL SAHAJA.
5. KES JENAYAH JUGA SEMAKIN MENINGKAT. BERMULA DENGAN KES RAGUT, DADAH, ROMPAKAN, ROGOL DAN SEBAGAINYA JUGA MAKIN BERLELUASA DALAM MASYARAKAT KITA. KITA SEMAKIN TAKUT UNTUK KELUAR RUMAH TERUTAMANYA KAUM WANITA.
6. ANTARA PUNCA SEGALA KECELAKAAN DALAM MASYARAKAT KITA SEKARANG IALAH DIKATAKAN BERPUNCA DARIPADA MASALAH KEGAWATAN EKONOMI DI MANA ORANG RAMAI KEKURANGAN WANG DAN PUNCA PENDAPATAN YANG SEKALIGUS MENDORONG PERBUATAN YANG TIDAK BERMORAL DAN SEKALIGUS JUGA MENGHALALKAN PERBUATAN JENAYAH HANYA UNTUK SESUAP NASI MUNGKIN.
7. SAMA-SAMALAH KITA FIKIRKAN KEADAAN INI.YANG PASTI PERKARA-PERKARA INI PERLU DIBENDUNG, PERLU DIATASI DAN PERLU DITANGANI DENGAN SEGERA DAN BERHATI-HATI BAGAIKAN MENARIK RAMBUT DARI TEPUNG KERANA YANG BUAT SALAH DAN JENAYAH INI TERNYATA ADA ALASANNYA SENDIRI YANG MUNGKIN KADANG KALA SUKAR JUGA UNTUK KITA MENYANGGAHNYA.