Tuesday, September 29, 2009

UBAH STRATEGI OPS SIKAP
(TELAH DISIARKAN DI UTUSAN MALAYSIA 29/9/2009)
1.Ops Sikap datang dan pergi bersama-sama dengan sejumlah nyawa yang terkorban dengan statistik nahas kemalangan yang terus meningkat dan menyayat hati semua pihak. Agensi kerajaan seperti PDRM, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya, MIROS dan sebagainya telahpun memainkan peranan mereka ditahap yang paling optimum yang mampu mereka lakukan untuk mengatasi ataupun mengurangkan kecelakaan ini.

2.Sekurang-kurangnya marilah terlebih dahulu kita panjangkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada kesemua agensi berkenaan yang berusaha keras demi menyelamatkan nyawa orang lain. Teruskanlah usaha murni anda dan semoga tidak putus asa dan kecewa dengan tingkahlaku dan sikap para pemandu yang semakin melampau.

3.Walaupun pelbagai program kesedaran baik secara bersemuka mahupun melalui media cetak dan elektronik telah dilaksanakan dan ianya dilipatgandakan pada musim perayaan namun masih belum menampakkan tanda-tanda penyelesaian kepada masalah ini yang sekaligus boleh mengurangkan bilangan nyawa yang melayang ataupun mengurangkan statistik kemalangan jalan raya yang berlaku di Negara kita.

4. Jika kita mengkaji secara mendalam, jumlah kemalangan jalan raya yang berlaku di seluruh Negara sebenarnya adalah jauh lebih banyak berbanding apa yang dilaporkan ataupun direkodkan secara rasmi. Ianya berlaku setiap detik dan waktu diseluruh Negara tanpa mengira sesuatu musim perayaan ataupun tanpa menunggu sesuatu Ops Sikap dilancarkan terlebih dahulu.

5.Semua pihak secara terus terang dan hampir sebulat suara membuat kesimpulan bahawa sikap pemandulah antara punca utama kemalangan yang berlaku. Memang benar sikaplah menjadi dalang utama di sebalik semua kejadian yang tidak diingini ini berlaku, namun sebagai manusia yang waras kita perlu juga mengkaji dan menyiasat kesemua kemalangan yang berlaku ini dari segenap aspek dan sudut supaya mendapat gambaran yang lebih menyeluruh. Kita perlu kaji kenapa sikap pemandu menjadi sebegini rupa dan apakah ianya tidak boleh diubah?

6.Lazimnya tiada siapa yang suka untuk mengharungi kesesakan jalan raya, tiada siapa yang suka pulang lewat ke rumah ataupun ke kampung halaman malah semua daripada kita mempunyai keinginan dan naluri yang sama iaitu sampai ke destinasi yang dituju dengan seberapa segera yang mungkin dalam keadaan yang selamat.

7.Malah tiada seorangpun yang ingin terlibat dalam kemalangan mahupun menggadai nyawa di atas jalan raya kerana sekurang-kurangnya semua orang pasti sayang nyawa masing-masing walaupun tidak mempedulikan nyawa orang lain. Malah tiada siapa juga di antara kita yang berhajat untuk pulang menaiki ambulans mahupun kereta jenazah.

8.Saban tahun program Ops Sikap dilancar mengikut keperluan semasa, program dan kempen kesedaran juga semakin rancak dilaksanakan, kajian demi kajian juga dilipatgandakan untuk mengatasi masalah ini namun apa hasilnya dan di mana silapnya? Apa yang pasti jutaan wang ringgit terpaksa dibelanjakan ataupun dibazirkan untuk tujuan tersebut kerana hampir semuannya seolah-olah berakhir dengan kegagalan.

9.Telah terbukti sehingga ke saat ini strategi mengadakan pelbagai kempen dan hukuman berat ternyata tidak dapat mengubah sikap pemandu kita. Sekarang mungkin bukan lagi zaman mendidik seseorang individu itu dengan cara hukuman ataupun denda. Ini kerana buktinya makin kita menghukum semakin bertambah jumlah kemalangan yang berlaku.

10.Maka kita perlu menukar strategi dengan mengolah pelan jangka panjang dan jangka pendek dengan menggunakan kaedah yang lebih sistematik dan berhemah agar gejala ini dapat dicantas dari peringkat akar umbi lagi. Pada masa yang sama kita juga perlu memikirkan dan melaksanakan tindakan-tindakan yang lebih drastik, berani dan “kejam” dalam usaha untuk menangani masalah ataupun fenomena besar ini.

11.Antara pelan jangka panjang yang boleh dipertimbangkan ialah peranan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan sekolah di mana pihak KPM boleh membantu dengan memperkenalkan matapelajaran “Etika Pemanduan” dan “Undang-Undang Jalanraya” di peringkat sekolah menengah ataupun seawal sekolah rendah lagi jika difikirkan sesuai.

12.Matapelajaran ini perlu diajar dalam bentuk teori dan juga amali supaya anak-anak muda ini diberi pendedahan yang secukupnya terutamanya dari aspek praktikal dalam dunia yang sebenar tentang etika pemanduan dan sikap yang betul semasa berada di atas jalan raya serta bahaya yang wujud semasa memandu jika berlaku kecuaian.

13.Pengaruh para guru terhadap anak murid juga dilihat cukup signifikan justeru ianya boleh banyak membantu dalam hal ini untuk memupuk nilai-nilai murni dan etika pemanduan yang betul kepada anak-anak kita sejak di bangku sekolah lagi supaya mereka sedar akan bahaya yang menanti mereka kelak jika tersalah langkah di atas jalan raya.

14.Justeru KPM perlu mempertimbangkan dengan sewajarnya tentang cadangan ini malah setelah mengambilkira situasai semasa pandemik kecelakaan jalan raya yang semakin parah, mungkin tidak keterlaluan untuk dicadangakan agar subjek-subjek sebegini dijadikan subjek wajib lulus untuk memperolehi sijil PMR mahupun SPM.

15.Pada masa yang sama ibu bapa juga tidak boleh lari dari tanggungjawab hakiki mereka iaitu mendidik dan membentuk anak-anak mereka. Jangan kita lupa bahawa anak yang baru lahir umpama kain putih yang bersih di mana kedua ibu bapalah yang mencorakkan masa depan dan halatuju anak kecil tersebut. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

16.Ibu bapa perlu lebih tegas dan jangan terlalu manjakan anak-anak remaja mereka sehingga boleh mendatangkan kecelakaan pada diri sendiri dan orang lain. Perkara sebegini yang boleh membahayakan nyawa anak-anak mereka perlu diberi penekanan yang lebih serius dan ditangani dengan penuh berhemah.

17.Lumrahnya manusia perlu dididik seawal zaman kanak-kanak lagi supaya minda dan tingkahlaku mereka dapat dibentuk seperti yang kita hajatkan. Perubahan sikap pula tidak boleh berlaku dalam sekelip mata. Justeru sekolah dan rumah adalah tempat yang paling sesuai untuk tujuan tersebut. Pendidikan awal di sekolah dan rumah tentang aspek keselamatan ini pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam sanubari setiap remaja kita.

18.Selain daripada itu sebagai pelan jangka pendek yang boleh dilaksanakan dengan serta merta, pihak kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan lagi had umur bagi mendapatkan lesen memandu baik motosikal mahupun kereta misalnya kepada 21 tahun untuk motosikal dan 25 tahun untuk kereta. Memang perlu diakui ini merupakan satu cadangan yang agak “kejam” dan mungkin juga “zalim” bagi sesetengah pihak namun apa lagi pilihan yang kita ada dalam erti kata untuk mengawal kecelakaan ini dari peringkat akar umbi lagi.

19.Statistik menunjukkan golongan penunggang motosikal dan belia merupakan mangsa utama kemalangan jalan raya di Negara kita justeru merekalah yang perlu dikawal dan dibentuk supaya tidak membahayakan diri sendiri serta tidak membawa kecelakaan kepada orang lain atas kecuaian dan sikap pemanduan mereka. Umur 21 tahun ke atas dilihat lebih rasional dalam membentuk seorang pemandu yang lebih matang dan berdisiplin di atas jalan raya.

20.Tambahan pula, tindakan penguatkuasaan dan hukuman seperti mewajibkan pemakaian talipinggang keledar belakang serta menaikkan jumlah denda dan kompaun dilihat masih tidak mampu menyekat golongan ini dari terus menjadi mangsa di atas jalan raya. Sehinggakan Ketua Polis Negara merumuskan bahawa hukuman mati sekalipun tidak akan mengubah tabiat buruk pengguna jalan raya yang degil dan rakus.

21.Di samping itu, faktor lain seperti keadaan jalan raya di Negara kita juga perlu diberi perhatian secukupnya dan perlu dibaiki dan dinaiktaraf dengan sewajarnya mengikut keperluan semasa. Walaupun secara keseluruhunnya keadaan jalan raya di Negara kita boleh dibanggakan malah ada yang menyamakan dengan beberapa buah Negara maju namun masih terdapat beberapa buah jalan baik jalan persekutuan, jalan kampung mahupun lebuhraya yang dilihat mampu membahayakan pengguna.

22.Satu contoh yang boleh dikongsi bersama ialah, masih terdapat papan tanda amaran “Awas! Pandu perlahan jalan tidak rata” yang dipasang di beberapa buah lokasi tertentu. Peliknya pihak yang bertanggungjawab hanya bertindak memaklumkan masalah yang ada kepada pengguna jalan raya melalui papan tanda tersebut dan meminta mereka berhati-hati, tetapi kenapa pihak yang berkenaan yang telah mengetahui masalah tersebut serta musibah yang mungkin boleh berlaku masih tidak bertindak memperbaiki sahaja keadaan jalan berkenaan. Kita tidak perlu menunggu sehingga berlaku suatu kematian di kawasan tersebut untuk kita bertindak dan memperbaiki jalan yang jelas membahayakan pengguna jalan raya.

23.Ini mungkin satu kes yang terpencil dan kita juga tidak tergamak rasanya untuk terus menuding jari kepada pihak yang ketiga ataupun pihak berkuasa tempatan atas kesilapan kecil sebegini namun jika masing-masing tahu memainkan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan maka sekurang-kurangnya kemalangan yang berlaku dapat dikurangkan ataupun dielakkan.

24.Kemalangan jalan raya sudahpun menjadi satu masalah yang besar kepada kita, malah tidak hairan suatu hari nanti diisytihar darurat jalan raya ataupun penggunaan kenderaan terpaksa dicatu demi mengurangkan bilangan nyawa dari terus menjadi korban jalan raya. Keadaan itu tidak mustahil untuk menjadi realiti kerana trend semasa menunjukkan bilangan rakyat Malaysia yang membeli kenderaan semakin bertambah dan ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi peluang berlakunya lebih banyak lagi kemalangan jalan raya pada masa-masa akan datang.

25.Justeru semua pihak yang berkenaan terumatanya KPM, sekolah serta ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing bagi membendung masalah ini dari terus berleluasa. Hanya pendidikan awal di sekolah dan rumah sahaja yang dilihat mampu menyelamatkan nyawa anak-anak kita. Cukuplah sudah segala kepiluan dan ratapan yang menyelebungi keluarga yang kehilangan anak, kakak, abang, ibu bapa dan saudara mara akibat daripada kemalangan jalan raya. Pelan jangka panjang perlu dibentuk, dirancang dan dilaksanakan dengan segera sebagai tindakan untuk membanteras musibah ini dari peringkat akar umbi lagi. Sasaran kemalangan sifar masih boleh dicapai jika kita sedia bertindak dengan lebih bijak dan berhemah serta berani dan “kejam”.

Monday, September 28, 2009

TERIMA KASIH MALAYSIA
1.Terima kasih Malaysia. Itulah ungkapan yang paling wajar dan sesuai diucapkan oleh seluruh rakyat Negara tercinta ini kerana diberi ruang dan peluang untuk hidup dan menetap di bumi bertuah yang sungguh unik dan istimewa yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘Swarnabumi’ ataupun ‘bumi emas’.

2.Bulan Syawal yang baharu sahaja menggamit kita menjadi saksi dan bukti yang mendokong ungkapan terima kasih tersebut. Masyarakat majmuk Negara ini sekali lagi menunjukkan bahawa perpaduan dan keharmonian kaum tidaklah seteruk yang digembar gemburkan oleh segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab.

3.Buktinya, seperti biasa kita dapat lihat rakyat pelbagai keturunan saling kunjung mengunjungi ke rumah rakan-rakan mereka yang beragama Islam. Jelas ini menunjukkan, baik orang politik mahupun rakyat biasa masing-masing boleh melupakan sejenak persengketaan di antara mereka dan bersatu atas nama pemuafakatan dan kekitaan.

4.Apa lagi kita boleh rumuskan bila melihat ribuan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama membanjiri majlis rumah terbuka Perdana Menteri dan kabinetnya kelmarin kalau bukan itu suatu bukti yang kuat yang mendokong perpaduan kita selama ini.

5.Tradisi rumah terbuka, saling kunjung mengunjungi dan budaya bermaaf maafan ini sekali lagi membuktikan bahawa kita masih boleh bersatu hati walaupun ada sedikit perselisihin faham. Kemeriahan perayaan jelas dapat menenggelamkan kemarahan dan persengketaan yang wujud.

6.Warisan nenek moyang inilah yang telah menjadi banteng kita selama ini dalam mempertahankan jambatan perpaduan antara kaum. Ia juga dapat elak dan menangkis segala prasangka buruk antara satu sama lain. Gagasan 1Malaysia juga dapat direalisasikan jika kita terus memupuk budaya sebegini dalam sanubari generasi masa depan Negara ini.

7.Semuga kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri dapat diteruskan dan dimantapkan lagi pada musim-musim perayaan yang lain seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Natal dan sebagainya. Ternyata masyarakat kita kaya dengan pelbagai adat dan budaya yang unik dan istimewa.

8.Keunikan ini jugalah telah menjadi kebangaan kita selama ini. Masyarakat dunia melihat kemajmukan kita sebagai suatu yang pelik dan mustahil tetapi selama ini kita berjaya buktikan bahawa kita boleh maju dan membangun sebagai satu bangsa dan satu suara.

9.Bukan mudah untuk mempertahankan warisan turun temurun ini. Dewasa ini terlalu banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa kita tempuhi dalam mempertahankan perpaduan dan keharmonian kaum tersebut.

10.Ini kerana sudah ada golongan tertentu yang sengaja cuba bermain dengan api di mana mereka mengapi-apikan sentimen perkauman di kalangan kita demi untuk mengejar cita-cita kotor mereka.

11.Ketamakan harta dan kerakusan dalam merebut kuasa dan kedudukan menyebabkan mereka begitu mudah hilang pertimbangan. Kedangkalan pemikiran jelas menguasai kewarasan akal fikiran mereka. Kelogikan dan kerasionalan sesuatu perbuatan sudah tidak dipedulikan lagi asalkan mereka mencapai matlamat mereka.

12.Lantaran kontrak sosial yang kita meterai dan warisi mula dipersoalkan malah ada yang cuba untuk merobeknya sama sekali tanpa memikirkan kesan dan akibat yang bakal menimpa.

13.Kita merdeka, kita maju dan terkenal serta aman dan makmur selama ini kerana kita berjaya memelihara keunikan persefahaman antara pelbagai kaum yang ada. Kita juga bangga dengan tradisi yang kita amalkan selama ini. Semuanya kerana warga bumi bertuah ini saling memahami dan bertolak ansur di antara satu sama lain.

14.Justeru kita wajar berterima kasih di atas keunikan yang telah Negara ini anugerahkan kepada kita. Kita adalah insan terpilih yang diberi peluang untuk menikmatinya. Sebagai rakyat Malaysia marilah kita berkongsi bersama kenikmatan ini agar ianya dapat terus dipelihara sehingga ke anak cucu kita. Usahlah kita derhaka kepada ibu pertiwi ini. Syukurilah nikmat yang dipinjamkannya kepada kita. Ucapkanlah Terima Kasih Malaysia.

Thursday, September 17, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI UNTUK SELURUH
MUSLIMIN DAN MUSLIMAT
MARILAH KITA MENGAMBIL PELUANG INI UNTUK SALING BERMAAF-MAAFAN DAN PERERATKAN LAGI TALI SILATURRAHIM SESAMA KITA. INGAT, 1 SYAWAL ADALAH HARI KEMENANGAN YANG PERLU DIRAIKAN DENGAN PENUH KESYUKURAN DAN KEGEMBIRAAN DAN BUKANNYA DITANGISI DAN DIRATAPI. SELAMAT PULANG KE KAMPUNG. SELAMAT MEMANDU.
SEMARAKKAN BUDAYA KUNJUNG MENGUNJUNG
1. Musim perayaan kembali lagi di mana dalam beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut 1 Syawal dengan penuh kesyukuran dan dalam keadaan yang sederhana tetapi meriah.

2.Suatu keunikan dalam masyarakat majmuk Negara kita ialah amalan rumah terbuka dan budaya kunjung mengunjung ke rumah rakan taulan yang berlainan agama dan keturunan. Ianya telah menjadi satu tradisi dan agenda tetap setiap perayaan yang kita raikan selama ini.

3. Budaya ini sebenarnya adalah warisan turun temurun yang menjadi kebangaan kita sekian lama. Ianya juga telah menjadi satu platform dan jambatan yang merapatkan dan menghubungkan tali persaudaraan dan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum Negara kita.

4.Sejak dahulu lagi jambatan ini telah digunakan sepenuhnya dengan penuh berhemah untuk mengukuhkan kontrak sosial yang telah terbentuk yang sekaligus mengharmonikan perpaduan kaum di Malaysia.

5.Namun keadaan semasa menunjukkan bahawa seolah-olah jambatan ini mula mengalami sedikit keretakan angkara golongan tertentu yang cuba mengambil kesempatan dengan mengapi-apikan soal agama dan hak sesuatu kaum melampaui kontrak sosial yang telah dimeterai.

6.Golongan ini jelas mempunyai agenda mereka tersendiri dan sanggup membuat apa sahaja demi mencapai cita-cita dan hasrat mereka. Perasaan tamak dan ingin berkuasa mula mengaburi mata dan minda golongan ini.

7.Perpaduan kaum yang kita banggakan selama ini sudah mula menghadapi saat genting dengan pelbagai ujian getir. Akibatnya pelbagai peristiwa yang boleh menggoncang jambatan perpaduan ini mula mewarnai dada-dada akhbar baik dalam mahupun luar Negara.

8.Dalam keadaan kita baru sahaja selesai menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-52 serta hari penubuhan Malaysia yang ke-46, kita sewajarnya semakin kuat dan teguh dari segi perpaduan dan keharmonian antara kaum sebagai aset untuk mempersiapkan diri bagi menyahut misi 1Malaysia dan Wawasan 2020.

9.Malangnya sehingga sekarang kita masih tidak nampak jalan penyelesaian untuk menutup segala retakan di jambatan perpaduan tersebut. Ini kerana masih terdapat individu atau golongan yang bergiat aktif dan bersungguh-sungguh untuk merobek perpaduan yang sedia terbentuk ini.

10.Justeru kehadiran 1 Syawal dilihat sebagai detik dan waktu yang sangat sesuai dan bertepatan untuk kita jernihkan semula keadaan yang dilihat semakin keruh di samping memperkukuhkan semula jambatan perpaduan tersebut.

11.Budaya kunjung mengunjung yang biasa kita amalkan dalam musim perayaan perlu disemarakkan lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri ini dalam keadaan yang harmoni agar hubungan antara kaum dapat dipereratkan semula. Inilah antara peluang yang ada yang perlu kita manfaatkan sepenuhnya agar kita dapat lupakan segala sengketa dan perselisihan paham di samping menyuburkan kembali budaya saling bermaaf– maafan sesama kita.

12.Mungkin juga ini merupakan benteng terakhir kita untuk menangkis segala usaha pihak yang tidak bertanggungjawab ini agar kita kekal aman dan damai sepanjang masa.

13.Ayuh warga Malaysia marilah kita buktikan bahawa kita masih kuat, perpaduan di kalangan kita masih kukuh, teguh dan harmoni. Sama-samalah kita menjaga dan mempertahankan jambatan perpaduan yang telah dibina oleh nenek moyang kita sekian lama.

Tuesday, September 15, 2009

ROMBAK PROGRAM RAYA
1.Ramadan adalah bulan mulia yang menjanjikan seribu satu rahmat kepada umat Islam manakala Hari Raya pula adalah hari kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada umatnya yang berjaya melalui ujian dan perjuangan disepanjang bulan Ramadan.

2.Seeloknya Ramadan dan Hari Raya disambut dan diraikan dengan penuh ketakwaan, kesyukuran dan kegembiraan namun apa yang sering ditonjolkan dalam televisyen terutamanya untuk menyambut Hari Raya didapati agak jauh menyimpang dari konsep asal perayaan tersebut.

3.Kita sering kali disajikan dua bentuk program yang seolah-seolah sudah sinonim dan tidak boleh dipisahkan dengan Hari Raya iaitu hiburan yang melampau dan juga drama-drama yang sungguh menyayat hati, pilu dan sedih.

4.Islam tidak pernah menghalang hiburan asalkan ianya mengikut syarak, berpada dan bertempat. Namun dalam suasana baru sahaja selesai menjalani ibadat puasa, seawal 1 Syawal lagi kita telah dijamu dengan pelbagai konsert dan nyanyian yang tidak langsung menggambarkan kesyukuran kita pada Ilahi.

5.Memang program sebegini dapat menarik minat golongan belia namun adakah ini pengajaran dan moral yang hendak kita tonjolkan kepada anak muda kita? Jika begini bagaimana mereka hendak memahami konsep sebenar sambutan Hari Raya terutamanya tujuan kita meraikan 1 Syawal dan apa signifikannya tarikh ini kepada umat Islam.

6.Akibat daripada pengaruh budaya yang melalaikan seperti ini menyebabkan remaja kita semakin jauh dari ajaran Islam yang sebenarnya. Semakin sukar untuk kita membentuk, mendidik malah mengembalikan mereka ke jalan yang benar.

7.Ini ditambah pula dengan adengan drama-drama sempena Aidilfitri yang sungguh pilu, sedih dan boleh menitiskan air mata para penonton. Seolah-olah sudah menjadi satu kemestian untuk semua stesen televisyen berlumba-lumba menayangkan drama sebegini atas alasan untuk menyedarkan para penonton atau untuk mewujudkan keinsafan di kalangan umat Islam.

8.Memang kita tidak menafikan hasrat murni mereka itu iaitu untuk mewujudkan kesedaran di kalangan penonton namun adakah ini sahaja cara yang ada untuk kita memupuk kesedaran dan seterusnya meraikan hari kemenangan kita?

9.Kenapa di hari yang sepatutnya kita bergembira dan bersyukur tiba-tiba kita perlu menangis dan sedih. Drama-dramanya memang cukup hebat malah tajuknya pun sudah cukup untuk menusuk kalbu para penonton. Dari aspek itu memang wajar kita puji dan ucapkan tahniah kepada para pengarah dan penerbit tempatan di atas mutu kerja yang sangat membanggakan.

10.Saban tahun inilah senario di kaca televisyen kita menjelang 1 Syawal seperti kata Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, mantan Mufti Perlis dalam tulisan beliau di akhbar Mingguan Malaysia yang lepas, Hari Raya dalam Islam adalah hari gembira, bukan hari sedih dan duka seperti yang selalu ditonjolkan oleh drama dan lagu Melayu menjelang Hari Raya.

11.Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama memperbetulkan keadaan ini sebelum budaya ini berjangkit dan menular ke generasi akan datang. Kita tidak mahu mewariskan cara sambutan Hari Raya yang terlampau melalaikan mahupun suasana yang sedih dan memilukan seperti ini kepada anak cucu kita kelak.

12.Stesen televisyen, pengarah daan penerbit program Hari Raya perlu bermuhasabah diri dan memikirkan secara mendalam situasi yang kita lalui sekarang. Hanya mereka yang boleh memperbetulkan budaya yang tidak sihat ini.

13.Banyak lagi rancangan yang boleh kita hasilkan dan terbitkan untuk tatapan para penonton misalnya yang menonjolkan cara hiburan yang betul dalam Islam di samping menayangkan drama-drama yang mewujudkan suasana kegembiraan bersama keluarga.

14.Cukuplah sudah kesedihan dan kepiluan yang dilalui oleh mangsa-mangsa kecederaan mercun, kemalangan dan sebagainya menjelang musim perayaan, usahlah kita menambah lagi keperitan mereka dengan menayangkan drama-drama yang lebih merobek hati dan perasaan mereka. Berilah secebis harapan dan kegembiraan kepada mereka pada hari yang bahagia ini.

15.Justeru besaralah harapan kita agar pihak yang berkenaan segera bertindak dan membuat rombakan yang sewajarnya ke atas semua program Hari Raya yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Friday, September 11, 2009

IBU BAPA BERTANGGUNGJAWAB BENDUNG MERCUN

Kudung sudah, buta pun sudah, yang putus jari usah dibilang lagi, itulah fenomena setiap kali menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Malah sebelum Ramadanpun kita disajikan dengar berita kecelakaan yang menimpa anak-anak kita akibat daripada bermain mercun.


Mercun dan Ramadan seolah-olah sudah tidak dapat dipisahkan lagi. Baik yang dibeli mahupun yang dibuat sendiri fungsinya tetap sama dan yang lebih penting padahnya juga tetap sama dan boleh jadi lebih parah mengikut daya kreativiti anak-anak kita yang memainkannya.


Memang sedih dan pilu bila setiap hari terpapar di dada akhbar kes kecederaan akibat bermain mercun bagaikan tidak ada noktah dan tiada jalan penyelesaiannya. Pihak berkuasa baik Polis, Kastam dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) telahpun memainkan peranan mereka di tahap yang paling maksima, walaupun masih ada sedikit kelonggaran kawalan dan penguatkuasaan di sana sini namun mereka bukanlah orang utama yang perlu dipersalahkan.
Jika kita mengkaji secara mendalam, Ibu Bapa boleh dikatakan berada di tempat pertama dalam senarai pihak yang perlu dipersalahkan dalam hal musibah yang menimpa anak-anak mereka ini.


Walaupun peranan pihak berkuasa penting dalam memastikan bahan ini tidak dijual atau ada di pasaran namun cuba kita renungkan sejenak siapa yang memberi wang saku kepada kanak-kanak ini, siapa yang perlu memantau penggunaan wang saku tersebut dan siapa pula yang perlu sentiasa memantau dan mengikuti gerak geri dan perbuatan kanak-kanak ini setiap hari. Jawapannya jelas menjurus kepada satu pihak sahaja iaitu para Ibu Bapa kanak-kanak tersebut.


Ibu Bapa perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam menjaga dan memelihara keselamatan anak-anak mereka. Mereka perlu ambil tahu dengan siapa anak-anak mereka bergaul dan apa aktiviti mereka bila keluar atau lepak bersama rakan-rakan mereka.


Memang mudah untuk menuding jari kepada pihak lain, namun jangan kita lupa dan alpa tentang empat lagi jari yang menuding terus kepada kita. Kita hanya tahu untuk marah dan melenting bila anak-anak kita terlibat dan mendapat kecederaan tetapi kita tidak pernah berusaha untuk mencegah ataupun membendung penglibatan anak-anak kita dari awal lagi. Lebih mendukacitakan apabila ada pula Ibu Bapa yang sanggup membelikan sendiri mercun untuk anak-anak mereka.


Waima mercun, bunga api ataupun bahan lain yang diperbuat sendiri semuanya memberikan natijah yang sama dan mengundang kecelakaan kepada penggunanya. Jika tidak dapat membelinya di kedai maka mereka ada banyak pilihan dan alternatif lain untuk menghasilkannya sendiri malah buatan sendiri dilihat lebih menyeronokkan dan memberi kepuasan kepada anak-anak muda ini.


Justeru hanya orang yang paling dekat dan rapat dengan mereka sahaja yang boleh memainkan peranan untuk mengawal anak-anak ini dari menempa masa depan yang gelap. Kita tidak dapat membayangkan masa depan anak-anak kita yang kudung, putus jari tangan dan kaki serta buta. Hanya Ibu bapa yang boleh menyedarkan mereka tentang bahaya mercun ini dan apa akibatnya jika berlaku sebarang musibah yang akan menghancurkan seluruh masa depan mereka.


Dalam hal ini Ibu Bapa perlu memainkan peranan sebagai seorang sahabat dan bukannya bertindak sebagai pegawai penguatkuasa yang menjatuhkan hukuman. Mereka perlu bijak menggunakan kaedah psikologi seperti memberi nasihat dan memujuk agar suara mereka itu didengari oleh anak-anak remaja ini. Jiwa remaja memang cepat memberontak apatah lagi kalau kita guna cara kekerasan ataupun hukuman. Kaedah kekerasan bukan sahaja tidak dapat mengatasi masalah ini malah boleh menyebabkan anak-anak ini bertindak lebih agresif dan liar.

Justeru cara yang terbaik ialah memberi nasihat dan pujukan secara halus dan perlahan mengikut rentak mereka. Kita perlu menjadi rakan karib mereka supaya mereka dengar nasihat dan pujukan kita itu. Kaedah ini didapati lebih mudah untuk diamalkan dan membolehkan kita mengawal anak-anakini dari terus terjebak ke dalam aktiviti yang tidak sihat seperti ini.


Pada masa yang sama, Ibu Bapa juga perlu berusaha untuk mengalihkan perhatian dan tumpuan anak-anak mereka dari bermain mercun kepada menjalankan aktiviti lain yang lebih berfaedah. Sepanjang bulan Ramadan misalnya, Ibu bapa boleh memujuk dan membawa bersama anak-anak mereka ke masjid untuk solat tarawih berjemaah di samping menyertai program-program lain yang dianjurkan oleh pihak masjid.


Pokok pangkalnya jangan kita biarkan anak-anak kita mempunyai masa yang lapang tanpa sebarang pengisian yang bermanfaat, pastikan sama ada kita dapat menemani mereka pada waktu lapang atau paling tidakpun menyediakan ruang dan peluang kepada mereka untuk melaksanakan atau ikuti sebarang aktiviti yang berfaedah sebagai mengisi masa lapang mereka tersebut.


Dengan cara ini, kita dapat mengawal dan memantau semua gerak geri mereka dan aktiviti harian mereka sepanjang masa yang sekaligus boleh elakkan mereka dari terlibat dengan gejala bermain mercun ini.


Sampai bila kita mahu lihat mercun dan bunga api terus mencemari Ramadan dan Aidilfitri. Sudah tiba masanya untuk kita terokai kaedah dan cara baharu yang lebih berkesan bagi mengatasi masalah ini. Marah dan menghukum perlu ditukar kepada pujuk, sayang dan nasihat. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, anak-anak kita masih belum terlambat untuk dilentur atau dibentuk. Jangan sampai kita menyesal dikemudian hari.

Thursday, September 10, 2009

EMAS OLIMPIK 2012 – REALISTIK ATAU RETORIK?
1.Sebagai rakyat Malaysia yang rindukan detik bersejarah berkumandangnya lagu Negaraku di pentas antarabangsa apatah lagi di peringkat Olimpik kita wajar mengalu-alukan impian Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan yang telah mensasarkan pingat emas Sukan Olimpik pertama pada temasya yang bakal berlangsung di London pada tahun 2012.

2. Empat jenis sukan yang menjadi sandaran utama ialah badminton, memanah, berbasikal dan terjun akuatik. Kita percaya jawatankuasa ini mempunyai alasan yang kukuh dalam menetapkan sasaran tersebut terutamanya berdasarkan rekod prestasi semasa atlet berkenaan, prospek masa depan mereka serta aspek persaingan dari atlet Negara lain.

3.Memang sudah tiba masanya untuk kita melihat rakyat Negara ini membawa pulang sekurang-kurangnya sebutir pingat emas sukan olimpik. Impian ini nyaris menjadi kenyataan pada tahun 2008 namun Datuk Lee Chong Wei gagal untuk merealisasikan harapan jutaan rakyat Malaysia itu.

4.Tempoh masa tiga tahun bukanlah satu tempoh yang lama. Jika diambil kira aspek persiapan yang perlu dilakukan untuk bergelar juara dunia ianya dilihat sebagai satu tempoh yang sangat pendek, malah masih ramai daripada kita berasa ragu-ragu dengan sasaran tersebut apabila dibandingkan dengan prestasi semasa sukan dan atlet Negara di persada antarabangsa.

5.Sukan badminton misalnya, kita tidak menafikan sumbangan atlet sukan ini dalam mengharumkan nama Negara di mata dunia selama ini, namun sebagai sebuah Negara tradisi sukan badminton kita masih gagal untuk memenangi emas dalam acara ini di peringkat sukan olimpik. Malah Piala Thomas juga seolah-olah sudah menjadi umpama jauh panggang dari api.

6.Prestasi turun naik pemain badminton cukup mengecewakan peminat sukan tanahair. Kekalahan demi kekalahan terutamanya di kejohanan utama semakin merisaukan kita dan ini ditambah lagi dengan kekalahan di tangan pemain yang tidak ternama ataupun pendatang baru. Kita juga belum nampak lagi barisan pelapis yang meyakinkan.

7. Sukan lainpun tidak kurang hebatnya dari segi masalah dan konflik terutamanya penglibatan atlet berbasikal dan memanah dengan najis dadah. Selain mengaibkan nama Negara ia juga boleh meragut peluang dan harapan kita untuk memperolehi pingat bagi acara-acara tersebut.

8. Di mana silapnya sehingga atlet kita dilihat begitu sukar untuk bersaing di peringkat antarabangsa, sukar untuk mengekalkan prestasi bagi suatu tempoh masa yang lama dan juga sukar untuk membawa pulang sesuatu kejuaraan yang kita impikan.

9.Apa kurangnya kita dari segi kemudahan dan infrastruktur sukan jika dibandingkan dengan Negara lain. Malah kita boleh dikatakan antara Negara membangun yang mempunyai kemudahan dan peralatan sukan yang lengkap, canggih dan bertaraf antarabangsa.

10.Buktinya kita sering kali terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi pelbagi jenis sukan bertaraf dunia, malah boleh dikatakan selama ini kita lebih banyak menerima pujian dari aspek menjadi penganjur terbaik berbanding pencapaian cemerlang atlet kita.

11.Justeru sudah tidak ada ruang lagi untuk para atlet kita memberi alasan bahawa tiada kemudahan yang cukup untuk meningkatkan prestasi mereka, dan ia sekaligus membawa kepada satu lagi persoalan yang perlu dirungkai iaitu apakah faktor yang menjadi penyumbang utama kepada kegagalan para atlet kita selama ini.

12.Inilah aspek terpenting yang perlu dikaji dan diatasi segera oleh semua pihak yang terlibat jika impian emas olimpik itu hendak dijadikan realiti. Cukuplah dengan segala janji-janji palsu yang ditaburkan selama ini yang memberikan seribu satu harapan kepada peminat sukan tanahair. Ini bukan lagi zaman angan-angan mat jenin. Hanya yang konsisten dan terbaik sahaja akan bergelar juara.

13.Semua pihak perlu memainkan peranan yang agresif secara serius jika kita benar-benar mahu lagu Negaraku berkumandang di kota London pada tahun 2012. Kita menyandarkan harapan yang sangat besar kepada 19 orang atlet yang akan membelanjakan RM10 juta di bawah program ‘Road To London’ untuk menukar impian kita menjadi kenyataan.

14.Sasarannya sudah ditetapkan, medannya juga telah ditentukan, ayuh atlet Malaysia bangkitlah dengan semangat 1Malaysia, pastikan Jalur Gemilang berkibar megah di bumi London. Jika tidak impian emas olimpik tidak dapat direalisasikan dan hanya akan menjadi retorik semata-mata
.

Wednesday, September 9, 2009

HENTIKAN SEGERA MONOPOLI DRAMA INDONESIA
1.Rata-rata hampir semua stesen televisyen utama di Negara kita terutamanya stesen swasta dan berbayar seakan-akan begitu ghairah dalam menyiarkan drama dan sinetron dari Indonesia.

2.Setiap hari dari pagi hingga ke tengah malam kita disajikan dengan program dari Negara jiran terutamanya drama dan sinetron bersiri yang kebanyakkannya berunsurkan tahyul yang melampau dan mencerminkan budaya kehidupan barat dan tidak menonjolkan adat dan nilai masyarakat timur.

3.Paling menyedihkan ialah apabila saban hari kita terpaksa berbuka puasa sambil menonton drama bersiri dari Indonesia yang ditayangkan setiap petang dan melarut hingga ke waktu berbuka. Mana hilangnya drama-drama kita yang pernah dihasilkan khas untuk bulan Ramadan?

4.Kenapa kita begitu mengagungkan program mereka berbanding drama dan rancangan terbitan orang kita sendiri. Apakah aspek kos yang murah melebihi tanggungjawab sosial stesen-stesen televisyen ini.

5.Kita sedia maklum bahawa Malaysia tidak pernah ketandusan dalam melahirkan pengarah-pengarah drama dan filem yang berbakat di samping mengeluarkan drama dan filem yang memenuhi citarasa kita semua.

6.Di mana silapnya sehingga program luar mendominasi stesen televisyen Negara kita. Bila kita melihat intisari rancangan setiap hari, ianya cukup merisaukan dan membimbangkan kerana jelas drama luar begitu banyak ditayangkan dalam Negara kita.

7. Kita jangan lupa bahawa pengaruh televisyen cukup kuat terutamanya di kalangan golongan muda dan belia. Malah drama-drama ini yang dikatakan begitu mengasyikkan dan melalaikan sudahpun mempunyai peminat setianya sendiri di kalangan warga tempatan.

8.Apakah kita mahu generasi muda kita mewarisi budaya Negara luar? Ini kerana setiap rancangan luar ini datangnya bersama-sama dengan budaya mereka masing-masing, ianya menonjolkan cara hidup, adat dan budaya hidup mereka yang pastinya akan mempengaruhi minda dan gaya hidup para penontonnya.

9. Kegagalan kita membendung budaya tidak sihat ini di kalangan stesen televisyen negara ini dikhuatiri akan menenggelamkan adat dan budaya masyarakat majmuk Negara kita sendiri.

10.Tidak cukupkah dengan kebanjiran penduduk negara itu di negara kita yang semakin merisaukan dan menimbulkan pelbagai masalah sosial, perlukah kita menambah pula dengan kebanjiran program televisyen mereka?

11.Kita sebenarnya kaya dengan adat dan budaya yang pelbagai yang menjadi kebangaan kita semua. Kita ada Melayu, Cina, India dan pribumi lain dari Sabah dan Sarawak yang begitu kaya dengan adat dan budaya masing-masing. Kenapa tidak ada pihak yang berusaha untuk menonjolkan budaya dan ciri-ciri hidup masyarakat kita tersebut dalam bentuk drama dan filem bagi menggantikan drama luar ini.

12.Daripada kita menayangkan drama luar apa salahnya kalau kita memperbanyakkan drama-drama tempatan yang menyelitkan unsur-unsur perpaduan kaum, misalnya drama yang menggabungkan pelakon-pelakon dari pelbagai kaum yang ada di Malaysia supaya lebih memenuhi citarasa kita. Ianya juga pasti akan menyumbang ke arah pemantapan perpaduan kaum di negara ini.

13.Harapan ini kita sandarkan kepada para pengarah dan penerbit tempatan agar dapat menghasilkan lebih banyak drama-drama sedemikain rupa dan sudah pastinya pihak kerajaan perlu membantu terutamanya dari segi dana untuk membiayai penghasilan drama-drama tersebut. Jangalah kita asyik memikirkan soal keuntungan semata-semata.

14.Pihak yang berkenaan terutamanya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan perlu memainkan peranan yang agresif malah jika perlu gunalah kuasa veto yang ada untuk membendung budaya kurang sihat ini dari terus menular di kalangan stesen-stesen televisyen tanahair. Sedarkan mereka tentang keperluan dalam menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing.

15.Kita ada budaya kita sendiri, kita berjaya selama ini dengan acuan kita sendiri, justeru kita perlu bangga dengan apa yang kita miliki dan bukannya bangga dengan budaya luar yang boleh merosakkan norma-norma kehidupan masyarakat majmuk Negara ini.

16.Antara unsur penting dalam gagasan 1Malaysia ialah membina sebuah bangsa Malaysia yang kaya dengan nilai-nilai murni dan menyanjung tinggi budaya dan adat setiap kaum yang terdapat di Malaysia, namun jika kita biarkan budaya luar ini menular dalam masyarakat, maka pasti sukar untuk kita mencapai gagasan tersebut seperti yang diidamkan.

Tuesday, September 8, 2009

PULIHKAN SEGERA REPUTASI BARISAN NASIONAL
1.Sejarah politik Negara ini menunjukkan kita hanya diperintah oleh satu parti ataupun pakatan politik iaitu bermula dengan Parti Perikatan hinggalah ke sekarang ini dikenali sebagai Barisan Nasional (BN).

2.Generasi pasca Merdeka hanya mengenali Barisan Nasional sahaja sebagai pemerintah tunggal tanpa tolok bandingan selama ini. Perpaduan dan kesefahaman serta tolak ansur dan kerjasama yang telah wujud dalam Barisan Nasional memang dikagumi dan boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum. Malah masyarakat antarabangsa juga mengiktiraf pakatan unik ini.

3.Buktinya selama ini pengundi lebih mementingkan parti berbanding calon yang bertanding di satu-satu kawasan tersebut. Hasilnya calon bukan Melayu boleh menang dengan selesa di kawasan majoriti penduduk Melayu dan juga sebaliknya asalkan mereka bertanding atas tiket BN.

4.Kehebatan pemimpin-pemimpin BN selama ini cukup diakui dan diiktiraf oleh semua pihak terutamanya sepanjang 22 tahun pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memberi impak yang sangat positif kepada parti ini di atas kebolehan dan karisma kepimpinan beliau yang melakukan satu anjakan paradigma yang cukup besar dan luar biasa terhadap kemajuan dan kemakmuran Malaysia sehinggakan kita dikenali di seantero dunia sebagai Negara kecil yang sangat pesat membangun.

5.Bak kata pepatah, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari, semuanya berubah dalam sekelip mata dalam Pilihanraya Umum ke-12 (PRU 12) pada Mac 2008. Kerajaan BN menerima satu tamparan yang sangat besar dan memalukan. Tsunami politik yang berlaku telah menghanyutkan lima (5) buah negeri dari kuasa BN terutamanya negeri-negeri tradisi BN seperti Selangor, Perak dan Kedah.

6.Analisa oleh pelbagai pihak terutamanya pemerhati politik memberikan satu senarai yang panjang yang menyenaraikan punca penyebab prestasi buruk BN namun antara sebab utama ialah di samping peranan agresif pihak pembangkang yang sebenarnya telah dihadiahkan sendiri oleh pihak BN dengan pelbagai isu yang menarik, ianya juga berpunca dari sikap dan tindak tanduk calon serta ahli-ahli parti komponen BN itu sendiri.

7.Keadaan ini membuktikan bahawa para pengundi sudah mula lebih peka, cerdik dan tidak lagi memangkah berdasarkan parti malah lebih kepada calon yang bertanding di sesuatu kawasan tersebut.

8.Kita menjangkakan BN akan melakukan satu transformasi secara besar-besaran supaya dapat mengatasi segala punca kekalahan tersebut seterusnya menawan kembali negeri-negeri yang terlepas pada Pilihanyara Umum ke-13 kelak. Memang kita nampak usaha ke arah penjenamaan semula BN sudahpun dimulakan terutamanya oleh UMNO yang menjadi tunjang utama BN selama ini.

9.Di kala UMNO dilihat berusaha gigih untuk memulihkan seterusnya meremajakan kembali partinya agar kekal relevan di persada politik Negara ini, parti-parti komponen utama yang lain seperti MCA, MIC dan juga PPP seolah-olah dilanda ribut taufan yang belum tentu apa kesudahannya.

10.Hasilnya saban hari kita disajikan dengan pelbagai masalah dalaman parti-parti komponen ini yang secara langsung menjejaskan imej BN. MIC misalnya sekali lagi bergelut dengan pemilihan jawatan Timbalan Presiden yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru dalam keadaan di mana Presiden MIC secara terbuka memberikan sokongan dan restu kepada calon pilihannya. Keadaan ini pasti akan merungsingkan para perwakilan yang akan terlibat dalam proses pemilihan pada hujung minggu ini.

11.Kemelut MCA pula semakin meruncing dengan pemecatan Timbalan Presiden akibat skandal seks yang dikatakan mencemarkan imej parti. Akibatnya MCA terpaksa mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dijangka diadakan sebelum 30 September 2009 bagi merungkai segala kekalutan yang sedang menimpa mereka. Senario semasa menunjukkan ahli MCA seolah-olah berpecah kepada dua iaitu satu pihak yang menyokong Presiden dan satu lagi pihak menyokong Timbalan Presiden yang telah dipecat.

12.Ini ditambah lagi dengan masalah Presiden MCA itu sendiri yang sedang bergelut dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang sudahpun melibatkan campurtangan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

13.Kedua-dua parti ini merupakan tonggak utama BN selain UMNO kerana ianya mewakili dua kaum yang menjadi majoriti besar penduduk Malaysia. Kemelut ini jelas mula mencemarkan nama baik parti masing-masing dan rakyat terutamanya orang India dan Cina mula berasa bosan, jemu dan hilang kepercayaan terhadap parti yang mereka sokong selama ini.

14.Ini ditambah lagi dengan masalah dua nakhoda ataupun dua Presiden untuk Parti Progresif Penduduk (PPP), walaupun pendaftar pertubuhan telah mengesahkan siapa Presiden yang sah namun PPP dilihat sudahpun berpecah kepada dua puak iaitu yang menyokong Presiden mereka masing-masing.

15.Adakah semua kemelut ini dapat membantu memulihkan reputasi BN yang tercalar dalam PRU 12, sudah semestinya tidak malah masalah ini lebih merumitkan usaha pemulihan tersebut dan makin menjauhkan BN dari para pengundi yang ingin melihat perubahan yang besar dalam BN. Ia juga banyak menyumbang kepada kemenangan pihak pembangkang dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang telah diadakan. Malah pembangkang kini dihulurkan dengan begitu banyak modal yang menarik untuk dijadikan isu dalam menghentam dan memperlekehkan kerajaan BN.

16.Kekuatan BN selama ini banyak bergantung kepada resipi hebat mereka yang mengadunkan unsur-unsur kerjasama, tolak ansur, perpaduan dan persefahaman di kalangan parti-parti komponen, justeru ianya wajar dipelihara dan dipertahankan malah perlu dimantapkan lagi.

17.Kita harap semua parti komponen BN sedar akan tanggungjawab dan peranan masing-masing kerana tindak tanduk mereka akan secara langsung memberi kesan yang tidak baik kepada BN secara keseluruhannya. Mereka seharusnya elak perpecahan dalam parti dan perlu memulihkan segera segala masalah dan kemelut dalaman yang sedang melanda parti masing-masing jika mahu melihat BN kembali berdiri teguh dan kuat sebagai satu parti untuk menjayakan gagasan 1Malaysia. Jika tidak gagasan yang dicitakan ini hanya akan menjadi angan-angan mat jenin.

18.Sesungguhnya Malaysia memerlukan sebuah parti BN yang kuat, kukuh dan meyakinkan bagi terus memacu kegemilangan dan mencapai wawasan yang telah direncanakan.

19.Apa yang lebih dikhuatiri adalah jika proses pemulihan ini tidak disegerakan dan tidak meyakinkan para pengundi maka tidak mustahil dan juga tidak keterlaluan untuk dirumuskan bahawa BN mungkin akan menjadi pembangkang dalam PRU 13 kelak. Justeru pulihkanlah segera reputasi dan nama baik BN supaya terus kekal relevan dalam kancah politik tanahair.

Thursday, September 3, 2009

DISEBALIK LIRIK LAGU “MALAYSIA SATU”
1.Akhirnya lagu Malaysia Kita yang digubah oleh Audi Mok diumumkan sebagai juara pencarian lagu 1Malaysia Kita. Menariknya pihak yang terlibat dalam penghasilan lagu ini sendiri telah melambangkan konsep 1Malaysia di mana ianya digubah oleh seorang yang berbangsa Cina dan penulisan lirik serta nyanyian melibatkan orang Melayu.

2.Hasil gabungan Melayu-Cina ini akhirnya dinobatkan sebagai juara yang melakar satu lagi sejarah baru dalam usaha untuk menyuntik semangat patriotik di kalangan rakyat Malaysia serta sekaligus menyemarakkan lagi gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kita.

3.Sekilas pandang ianya tidak lebih dari sebuah lagu patriotik yang tersedia ada di negara kita. Itulah persepsi dan pandangan mata kasar kita jika tidak menghayati lirik lagu tersebut.

4.Antara senikata yang begitu dalam maksudnya ialah ‘satu impian nyawaku pertaruhkan’ yang mencerminkan kesanggupan kita untuk menggadai nyawa bagi memacu impian dan wawasan yang telah dibina.

5.Setiap rangkap dalam lagu ini seolah-olah memberi satu harapan baru kepada kita untuk terus berjuang dengan penuh semangat sebagai satu bangsa bagi mencapai cita-cita yang diidamkan.

6.Lagu ini wajar dihayati dan dijadikan lagu wajib dalam majlis-majlis rasmi baik di peringkat kerajaan mahupun korporat agar semangatnya terus dijiwai dan dipupuk dari semasa ke semasa.

7.Memandangkan golongan belia adalah tonggak masa depan negara ini maka wajarlah mereka didedahkan dengan semangat yang dituntut oleh lagu ini. Pihak sekolah juga boleh memainakn peranan dengan memainkan lagu ini setiap pagi atau petang sebelum bermulanya hari persekolahan bagi menyemai budaya dan semangat 1Malaysia di kalangan pelajar sekolah.

8.Konsep lagu ini yang rancak dan bersemangat amat sesuai dan memenuhi citarasa golongan muda, justeru perlu diberi penekanan kepada aspek bagaimana untuk memastikan golongan ini akan menghayati dan menjiwai lagu tersebut.

9.Ini kerana, generasi inilah kelak akan meneruskan agenda dan harapan untuk membina sebuah negara dan bangsa yang bersatu hati dan bersatu jiwa dalam konteks 1Malaysia.

10.Pada masa yang sama, seperti kata Perdana Menteri, memandangkan nada lagu ini agak tinggi maka wajarlah juga dipertimbangkan untuk diubah suai sedikit jika hendak dinyanyikan oleh kumpulan koir atau dalam irama yang berlainan mengikut kesesuaian. Mungkin ini satu lagi kaedah untuk mempelbagaikan rentak dan ‘kesedapan’ lagu ini di samping membolehkan semua golongan dapat mendengar dan menghayatinya.

11.Walaupun lagunya dalam bahasa kebangsaan, kita harap pihak media elektronik terutamanya radio yang berlandaskan bahasa ibunda masing-masing seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil wajar memainkan lagu ini sekerap yang mungkin agar ianya sampai ke telinga segenap masyarakat Malaysia.

12.Ini penting jika kita benar-benar mahu mencapai agenda gagasan 1Malaysia yang mahu wujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatu tanpa mengira agama dan kaum. Lagu ini juga boleh dijadikan salah satu senjata untuk meruntuhkan tembok perkauman yang wujud di negara ini.

13.Semoga lagu ini akan membuka satu lagi lembaran baru dalam kita menyemai, menyubur dan memantapkan perpaduan kaum di negara ini dan seterusnya menyusun langkah bagi menjayakan gagasan 1Malaysia.

14.Tahniah Audi Mok, Nur Fatima dan Faizal Tahir – anda adalah generasi baru 1Malaysia.

Wednesday, September 2, 2009

PERISTIWA 13 MEI BOLEH BERULANG
1.Sejak kebelakangan ini, hampir setiap hari kita disajikan dengan pelbagai peristiwa yang berlaku dalam Negara kita yang mula mengugat perpaduan dan keharmonian kaum yang dibanggakan selama ini.

2.Senarainya semakin hari semakin panjang yang sekaligus mengundang seribu satu persoalan apakah peristiwa 13 Mei 1969 bakal berulang. Walaupun tahun ini genap 40 tahun tragedi malang itu menimpa Negara kita, namun saya pasti masih ramai di kalangan kita yang boleh terbayang-bayang apa yang berlaku pada tarikh keramat tersebut yang sekaligus menjadi titik hitam yang sukar untuk dipadamkan dari lipatan sejarah Negara ini dan ianya tidak mustahil berulang jika tidak diambil langkah yang sewajarnya.

3.Satu demi satu peristiwa yang menyentap perpaduan kaum mula diperagakan untuk tatapan umum oleh pihak-pihak yang jelas mempunyai agenda dan kepentingan peribadi masing-masing. Dalang-dalang ini begitu licik memainkan peranan tanpa kita sedari akan rupa bentuknya dan natijah yang bakal dibawanya bersama.

4.Mahu tidak mahu kita perlu akui bahawa antara punca utama soal perpaduan kaum menjadi bahan perbualan dan perdebatan adalah akibat daripada keputusan Pilihanraya Umum ke-12 pada Mac 2008 yang jelas menukar lanskap politik tanahair kita. Kesannya cukup mendalam dan meninggalkan implikasi yang sangat besar kepada kita semua.

5.Akibatnya juga sudah ada pihak yang begitu berani menyuarakan hak dan pelbagai tuntutan yang jelas tidak berasas dan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati pihak yang lain. Mereka yang sebelum ini tidak langsung dikenali oleh masyarakat sudah mula menjadi hero dan pejuang golongan tertentu. Mereka muncul umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan iaitu selepas PRU 12.

6.Mempersoalkan apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan, mengadakan demonstrasi haram, mencabar pihak berkuasa dengan sengaja, menyebar pelbagai fitnah dan khabar angin yang boleh merobek perpaduan kaum serta meniup api kemarahan terhadap pihak kerajaan telah menjadi intipati dan agenda tetap perjuangan golongan ini.

7.Satu persoalan yang sukar untuk dirungkai adalah apakah tujuan sebenar golongan ini yang cuba melaga-lagakan rakyat kita yang hidup aman dan damai. Tidak cukupkah dengan apa yang berlaku pada 13 Mei 1969. Kenapa mereka perlu bermain dengan api. Wajarkah keamanan yang kita nikmati selama ini dikorbankan demi untuk memuaskan hawa nafsu golongan yang mengejar kedudukan, kuasa dan pengaruh semata-mata.

8.Peristiwa bantahan penduduk terhadap pembinaan kuil di Selangor baru-baru ini yang melibatkan perarakan dengan kepala lembu merupakan antara insiden yang sepatutnya tidak berlaku. Ianya jelas mengguris hati dan perasaan rakan-rakan kita dari kalangan penganut agama Hindu.

9.Kita percaya penduduk yang membuat bantahan ini tidak sedikitpun berniat untuk menghina agama rakan mereka namun ianya jelas telah dimanupulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan seterusnya mengambil kesempatan untuk bertindak sedemikian rupa. Akhirnya para penduduk itu secara khususnya dan umat Islam secara amnya dipandang serong kerana dikatakan telah menghina agama lain. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

10.Insiden sedemikian rupa tidak boleh dipandang ringan dan diambil mudah. Ianya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Andai kita leka maka dikhuatiri ianya akan menular dengan cepat seperti wabak selesema babi Influenza A (H1N1) yang semakin sukar untuk dibendung kelak. Sudah semestinya kita tidak rela dan sanggup melihat peristiwa 13 Mei berulang kembali.

11.Justeru besarlah harapan semua agar pihak berkuasa dapat membawa pihak yang bertanggungjawab ini ke muka pengadilan sekaligus menjernihkan kembali hubungan antara kedua-dua pihak yang terlibat dan seterusnya membersihkan juga nama baik umat Islam secara keseluruhannya.

12.Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk terus memerangi golongan yang sebegini yang cuba menggangu gugat keamanan dan kestabilan Negara kita. Janganlah esok kita menyesal bak kata pepatah menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.

13.Malaysia adalah rumah kita. Sebagai penghuni rumah ini kita wajib menjaga dan memelihara keselamatannya dan melindunginya sepanjang masa. Usahlah kita membenarkan anasir-anasir liar ini bermaharajalela dan mengambil kesempatan kerana akhirnya mereka akan merobohkan rumah kita suatu hari nanti. Jelas itulah tujuan dan matlamat utama mereka selama ini.

14.Rakyat Malaysia seharusnya menghayati konsep 1Malaysia dengan sepenuh jiwa dan raga jika mahu melihat perpaduan dan keharmonian kaum terus subur di bumi bertuah ini. Gagasan ini merupakan ramuan yang cukup lengkap dan sempurna untuk kita jadikan sebagai panduan dan pedoman bagi membina Negara bangsa yang dicitakan. Ingatlah bahawasanya kita wajib mempertahankan kontrak sosial yang telah diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu agar kita dapat membekalkannya dalam keadaan yang sedia ada kepada generasi yang akan datang. Itu adalah tanggungjawab kita bersama.

Tuesday, September 1, 2009

KENAPA SUKAR BERTERIMA KASIH
1. Dalam kita begitu asyik dan sibuk mengejar kedudukan dan kemewahan, masyarakat kita semakin hari semakin jauh dari beberapa nilai-nilai murni seperti rasa kasih sayang, hormat menghormati, menghargai jasa dan sumbagan orang lain serta ucapan terima kasih.

2.Sedar atau tidak sekarang kita lebih banyak menerima dari memberi. Kita sering dibantu dalam pelbagai cara dan bentuk oleh orang lain yang berada di sekeliling kita.

3.Walaupun kita sering dibantu namun amat jarang sekali kita dengar ungkapan terima kasih keluar dari mulut orang yang menerima bantuan tersebut. Masyarakat kita semakin ego dan sombong walaupun untuk sekadar mengukir sekuntum senyuman ikhlas dari hati.

4.Satu senario terkini yang agak menarik untuk dikupas adalah peranan pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sumbangan para petugas pasukan perubatan ataupun kesihatan dalam hal membendung dan mencegah penularan wabak selesema babi influenza A (H1N1).

5.Saban hari kita dapat lihat baik di media cetak mahupun di media elektronik pelbagai hebahan dilaksanakan oleh pihak KKM dan agensi yang berkaitan tentang bahaya wabak ini serta langkah-langkah yang perlu dipatuhi dan diamalkan oleh orang ramai.

6.Di samping itu para petugas pasukan perubatan juga bertungkus lumus tanpa mengenal erti penat dan jemu menghulurkan bantuan dan perkhidmatan mereka kepada pesakit dan masyarakat yang memerlukan bantuan tanpa mengira waktu dan masa.

7.Namun hakikatnya bilamana wabak ini semakin menular dan angka kematian pula dilaporkan semakin meningkat maka ramai di kalangan kita begitu mudah menuding jari menyalahkan pihak KKM, hospital dan petugas perubatan. Pelbagai tohmahan dilemparkan antaranya KKM dikatakan tidak memainkan peranan secara efektif, hospital lambat bertindak dan cuai, para petugas perubatan pula dikatakan tidak menjalankan tugas dengan baik dan sebagainya. Kita lupa bahawa empat lagi jari terarah kepada siapa.

8.Pada masa yang sama, berapa ramai dari kita yang sedar dan tahu akan keperitan dan kepayahan yang dilalui oleh mereka terutamanya para petugas perubatan dan pihak hospital. Para petugas perubatan misalnya adalah pasukan hadapan (frontliner) yang paling awal akan menemui para pesakit dan menghulurkan bantuan yang diperlukan walaupun dalam dalam keadaan mendedahkan diri mereka kepada bahaya jangkitan wabak ini.

9.Mereka menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi dalam usaha untuk membendung penularan wabak ini dengan menghulurkan bantuan kepada para pesakit di samping berusaha untuk mendidik masyarakat melalui pendidikan kesihatan.

10.Berapa ramai dari kita selain marah dan melemparkan pelbagai tohmahan kepada mereka, pernah berterima kasih kepada mereka di atas jasa, sumbangan dan pengorbanan mereka selama ini.

11.Mungkin masih ramai yang tidak tahu dan sedar pengorbanan mereka di mana pihak hospital dan klinik kesihatan terpaksa melanjutkan waktu operasi, para petugas pula terpaksa bekerja sampai lewat malam, giliran syif bertugas bertambah, cuti dibekukan dan sebagainya.

12.Mengambil kira situasai ini, apakah mereka tidak layak untuk menerima ucapan terima kasih di atas sumbangan mereka itu. Sukar sangatkah untuk kita menghargai jasa dan sumbangan mereka selama ini. Adakah wajar untuk kita menyalahkan mereka semata-mata di kala masyarakat itu sendiri masih leka dan tidak mahu mengikut nasihat yang disarankan oleh pihak KKM untuk membendung penularan wabak ini.

13.Kita sebenarnya banyak terhutang budi kepada orang lain dari pelbagai aspek. Misalnya pernahkah kita berterima kasih kepada nenek moyang kita yang memberi peluang kepada kita untuk menikmati kemerdekaan yang ada pada hari ini.

14.Ataupun pernahkah kita berterima kasih kepada pasukan keselamatan Negara seperti tentera dan polis yang terus menjaga keselamatan dan keamanan Negara tanpa mengenal erti penat dan lelah malah jauh sekali untuk kita berterima kasih kepada pihak kerajaan yang terus memelihara keamanan dan kesejahteraan rakyat di Negara ini.

15.Budaya kacang melupakan kulit semakin menular dan mula meragut budaya bersyukur dan berterima kasih dari hati dan sanubari rakyat Malaysia. Kita semakin bongkak untuk bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang kita nikmati selama ini. Masyarakat kita juga semakin mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan hati dan perasaan orang lain.

16.Semakin kita maju ke hadapan semakin kita hilang dan lupa akan nilai dan identiti masyarakat timur yang penuh dengan adat kesopanan dan kesusilaan. Bak kata pepatah manusia sememangnya mudah lupa. Kita lupa kepada pertolongan orang lain, kita lupa kepada pengorbanan orang lain, kita lupa kepada jasa dan sumbangan orang lain dan yang pastinya kita semakin lupa untuk berterima kasih
.