Wednesday, November 18, 2009

LAKSANA SEGERA CADANGAN RAKYAT ERAT PERPADUAN
(DISIARKAN DALAM UTUSAN MALAYSIA RUANGAN FORUM BERTARIKH 25 NOVEMBER 2009)
1.Agak menarik bila kita membaca laporan bahawa kerajaan telah menerima kira-kira 75,000 maklum balas dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang ramai berhubung cadangan untuk memperbaiki dan mengeratkan hubungan perpaduan di kalangan rakyat negara ini.

2.Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala ada antaranya merupakan cadangan yang sangat menarik. Ini memperlihatkan tindakan responsif rakyat untuk membantu pihak kerajaan memulihkan hubungan antara kaum yang agak ‘tidak selesa’ sejak kebelakangan ini.

3.Maklum balas ini membuktikan bahawa rakyat amat menitik beratkan soal perpaduan kaum. Rakyat sedar akan implikasi ketegangan kaum kepada keamanan dan keharmonian negara ini di mana ianya perlu dibendung dari terus merebak dan menghancurkan negara kita.

4.Atas kesedaran itulah rakyat memberikan pelbagai cadangan penambahbaikan untuk memperbaiki hubungan perpaduan sesama kita. Rakyat telah bertindak dengan menunaikan tanggungjawab mereka melalui SMS tersebut maka sekarang tibalah giliran pihak kerajaan pula untuk bertindak dan membuktikan ketelusan mereka.

5.Kerajaan tidak boleh memandang rendah mahupun mensia-siakan semua cadangan dan maklum balas yang telah diterima. Agak merugikan jika maklum balas tersebut dibairkan begitu sahaja tanpa tindakan susulan yang sewajarnya.

6.Kerajaan harus ingat bahawa rakyat sentiasa memerhatikan apakah tindakan kerajaan yang seterusnya. Rakyat ingin tahu apa yang kerajaan buat dengan semua maklum balas yang diberikan.

7.Justeru kerajaan perlu bertindak dengan segera dan membuktikan kepada rakyat bahawa segala maklum balas dan idea yang telah diutarakan sedang diperhalusi dan akan diambil tindakan yang sewajarnya. Kerajaan perlu mengotakan janjinya selaras dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

8.Walaupun kerajaan telah menubuhkan lapan makmal yang bertanggungjawab terhadap program transformasi termasuk membangunkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), agenda 1Malaysia dan perpaduan negara namun kalau boleh kita mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas (special task force) untuk meneliti dan menilai setiap maklum balas yang telah diterima setakat ini.

9.Ini penting agar tidak ada satupun maklum balas yang tertinggal atau tercicir dari diberi perhatian disamping meraih kembali keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam usaha untuk memantapkan keharmonian kaum di negara kita.

10.Pasukan ini boleh bekerjasama dengan kakitangan yang bertugas dalam dua makmal yang telah dikhaskan untuk 1Malaysia serta perpaduan negara supaya menampakkan hasil yang lebih berkesan dan telus.

11.Hasilnya pula kelak perlulah dihebahkan untuk perhatian dan makluman seluruh rakyat Malaysia agar rakyat tahu apa berlaku dengan maklum balas yang telah mereka berikan serta apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak kerajaan dan juga implikasi daripada pelaksanaan cadangan-cadangan tersebut.

12.Jika ini dapat dilaksanakan dengan jayanya maka kita percaya ianya akan membuka lebih banyak peluang kepada kita untuk memantapkan hubungan kaum dari semasa ke semasa seterusnya akan dapat menangkis segala cubaan pihak yang tidak bertanggungjawab yang berusaha untuk merobek keharmonian kaum di negara kita.

13.Oleh yang demikian, diharap kerajaan tidak mensia-siakan harapan sekurang-kurangnya 75,000 rakyat dengan andaian seorang menghantar satu SMS dalam usaha untuk memperbaiki hubungan perpaduan di kalangan rakyat negara ini disamping membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk rakyat memberikan idea dan maklum balas berhubung perkara ini secara berterusan.

Monday, November 16, 2009

USAH JADIKAN MASJID MEDAN POLITIK
(TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR UTUSAN MALAYSIA RUANGAN PENDAPAT PADA 13/11/2009)
1.Masjid adalah rumah Allah SWT. Masjid adalah tempat untuk umat Islam membuat amal ibadat mencari keredhaan Allah SWT. Secara definisinya, masjid adalah tempat beribadat yang khusus seperti solat dan i'tikaf bagi orang Islam, dan juga menjadi pusat kebudayaan, muamalat serta perkembangan dakwah Islamiah. Masjid adalah pusat aktiviti umat Islam.

2.Penjelasan itu cukup untuk menggambarkan peranan dan fungsi utama masjid bukan sahaja di negata kita tetapi itulah juga fungsi dan peranan masjid di seantero dunia sejak zaman berzaman.

3.Namun dewasa ini fungsi masjid sudah mula dipersoalkan di negara kita angkara sesetengah pihak yang dilihat sering menyalahgunakan masjid untuk kepentingan peribadi atau tujuan tertentu. Tujuan tersebut jelas dilihat terpesong jauh dari peranan dan fungsi utama masjid seperti yang telah digariskan di atas.

4.Sudah ada pihak yang seakan-akan hendak mengubah fungsi asal masjid tersebut kepada fungsi yang lebih berbentuk duniawi iaitu sebagai medan politik yang mementingkan kuasa dan kedudukan.

5. Memang tidak dapat dinafikan bahawa politik tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan harian kita tetapi medan yang digunakan untuk berpolitik itu bialah berpada dan bersesuaian.

6.Umat Islam negara ini sudahpun terpisah secara politik dengan fahaman dan parti masing-masing, usahlah kita mengeruhkan lagi keadaan dengan memisahkan lagi mereka dalam rumah Allah SWT.

7.Kita masih segar lagi dengan peristiwa dua imam dalam sebuah masjid gara-gara berbeza fahaman politik imam dan makmumnya. Terkini Jabatan agama Islam Selangor (JAIS) pula menamatkan tugas imam Masjid Darul Ehsan Subang Jaya kerana membiarkan masjid itu dijadikan pentas politik. Imam tersebut dilaporkan telah membiarkan khatib jemputan menyampaiakan khutbah Jumaat yang diselitkan dengan unsur politik pada 30 Oktober yang lalu.

8.Perbuatan sebegini bukanlah perkara baharu dan sudah lama ianya berlarutan dan kita risau jika tidak dibendung dengan segera akan menyesal kemudian hari.

9.Kenapa perkara sebegini perlu berlaku? Hormatilah masjid sebagai rumah Allah SWT. Jangan sekali-kali terpesong akidah dan pegangan kita semata-mata untuk mengejar kuasa dan kedudukan yang bersifat sementara.

10.Rakyat kita semakin bijak dan celik. Mereka tidak lagi menerima bulat-bulat apa yang dihujahkan oleh orang politik walaupun di medan mana sekalipun termasuklah di masjid. Justeru hentikanlah polemik seperti ini yang jelas memporak-perandakan umat Islam negara ini.

11.Kalau mahu berpolitik banyak lagi medan dan platform yang telah disediakan dalam negara ini. Janganlah kacau rumah Allah SWT. Biarlah orang yang memasuki masjid itu bersih hati dari segala jenis fahaman politik dan hanya fokus kepada amalan yang hendak dilakukan demi mencari keredhaan Allah SWT.

12.Masyarakat kita sudah cukup bosan dan muak dengan amalan politik yang bertopengkan agama. Kenapa kita masih mahu menggunakan agama sebagai alat politik? Biarkanlah agama itu bebas dan tidak berparti. Semua orang bebas dan berhak beramal ibadat di masjid, maka janglah menghalang dan menggangu orang ramai daripada menunaikan tanggungjawab mereka kepada Allah SWT.

13.Kita khuatir tindakan-tindakan sebegini boleh menyebabkan umat Islam kecewa dan mula menjauhkan diri dari masjid. Islam itu suci dan indah dan masjid adalah tempat utama yang memartabatkan dan memuliakan agama Islam. Justeru kita mohon kepada semua pihak terutamanya yang suka menyalahgunakan masjid segeralah hentikan perbuatan tersebut dan biarkan masjid dengan fitrahnya sendiri. Kembalilah ke ajaran Islam yang sebenarnya.
PENGIKLANAN PERLU AMBIL KIRA SENTIMEN RAKYAT
(TELAH DISIARKAN DALAM UTUSAN MALAYSIA RUANGAN RENCANA BERTARIKH 17 NOVEMBER 2009)
1.Pengiklanan adalah strategi penting untuk memasarkan atau memperkenalkan sesuatu produk dan perkhidmatan yang baharu di pasaran. Tanpa pengiklanan pengguna tidak akan tahu tentang kewujudan sesuatu produk tersebut.

2.Justeru semua pihak yang terlibat dengan pengeluaran produk atau perkhidmatan baharu di negara kita dilihat berlumba-lumba membuat pelbagai jenis iklan untuk menarik perhatian pengguna. Kesungguhan mereka dapat dilihat melalui daya kreativiti masing-masing yang cukup hebat dan profesional.

3.Tidak boleh dinafikan bahawa gaya pengiklanan yang hebat mampu menarik minat kumpulan sasaran mereka untuk membeli ataupun menggunakan perkhidmatan yang hendak dipasarkan. Ini sekaligus dapat meningkatkan keuntungan masing-masing.

4.Pelbagai media digunakan sebagai platform untuk mereka menyiarkan iklan masing-masing mengikut kemampuan dan kumpulan sasaran. Namun televisyen tetap menjadi pilihan utama sebagai media perantara antara pihak pengeluar dengan para pengguna.

5.Pengiklanan melalui televisyen dilihat cukup penting kerana terbukti ianya mudah mempengaruhi penonton dalam membuat keputusan. Maka pelbagai cara digunakan oleh pengeluar untuk menarik minat penonton televisyen mengikut sasaran mereka.

6.Dewasa ini keterujaan sesetengah pengeluar dalam menarik perhatian para pengguna menyebabkan mereka seakan-akan lupa tentang nilai-nilai murni dan sentimen masyarakat negara ini. Perkara ini sering dikesampingkan dalam usaha mereka untuk melariskan produk masing-masing.

7.Akibatnya kita sering dipertontonkan dengan bermacam-macam iklan yang kadang kala sukar untuk diterima sebagai norma kehidupan anggota masyarakat kita. Ini menunjukkan seolah-olah kita cuba meniru gaya pengiklanan di media-media barat yang jelas terlalu bebas dan mengabaikan penerapan nilai-nilai murni dalam masyarakt mereka.

8. Harus diingat bahawa walaupun masyarakat kita semakin maju dan moden namun nilai dan adat ketimuran yang kita banggakan selama ini tetap menjadi pegangan utama. Usahlah kita cuba menggantikan nilai itu dengan budaya barat yang agak melampau dan memesongkan.

9.Perkara ini perlu diambil perhatian dan dipandang serius oleh semua pihak kerana sekarang kita dapat lihat timbul berbagai kontrovesi dalam iklan yang ditayangkan di peti televisyen negara kita.

10.Antara masalah yang biasa kita dengar ialah penggunaan bahasa yang tidak betul atau tidak sopan, penonjolan imej dan gaya yang agak menjolok mata dengan menggunakan wanita sebagai simbol daya penarik walaupun produk atau perkhidmatan tersebut tiada kaitan dengan kaum wanita. Malah ada juga iklan yang agak sensitif yang dilihat boleh menyentuh sensitiviti sesetengah pihak dalam anggota masyarakat kita yang majmuk.

11.Kita akui bahawa iklan adalah nadi sesuatu perniagaan dan wajar kita puji syarikat-syarikat yang begitu kreatif dan inovasi dalam menyediakan pengiklanan mereka namun biarlah aspek moral dan sentimen masyarakt juga diambilkira dan bergerak secara beriringan agar ianya tidak mengundang masalah kepada mana-mana pihak.

12.Janganlah hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan hak, perasaan dan sensitiviti rakyat negara ini. Buatlah iklan yang sopan dan berhemah yang boleh diterima oleh masyarakat kita.

13.Satu lagi kesan penting yang juga perlu diambil perhatian ialah pengaruh iklan yang tidak sihat sebegini kepada anak-anak muda kita. Ternyata golongan remaja dan kanak-kanak adalah golongan utama yang menonton televisyen setiap hari. Mereka adalah golongan yang cukup mudah untuk terpengaruh dengan apa saja yang mereka lihat di kaca televisyen masing-masing. Justeru pihak yang berkenaan perlu juga mengambil berat aspek tanggungjawab sosial mereka terhadap golongan muda ini agar mereka tidak terpengaruh dan terpesong dengan mudah.

14.Kita juga memohon agar pihak-pihak yang berkenaan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Mlaaysia (SKMM) dapat bertindak dengan lebih tegas dalam membendung penularan budaya yang kurang sihat ini ke dalam masyarakat kita. Biarlah aktiviti pengiklanan dan perniagaan berkembang pesat dan maju dalam suasana yang sihat dan berhemah agar kedua-dua pihak menerima manfaat secara bersama.

Tuesday, November 10, 2009

KENAPA PERLU BAI’AH?
(TELAH DISIARKAN DALAM RUANGAN FORUM AKHBAR UTUSAN MALAYSIA BERTARIKH 10 NOVEMBER 2009)
1.Hampir seluruh rakyat Malaysia terkejut dan terpinga-pinga dengan pendedahan konsep bai’ah yang dipraktikkan selama ini oleh sebuah parti yang begitu mendabik dada sebagai pejuang Islam yang tulen. Rupa-rupanya ia bukanlah suatu amalan baharu bagi mereka cuma ianya baru sekarang didedahkan untuk perhatian orang ramai.

2.Sebagai sebuah masyarakat yang sangat mementingkan ikatan kekeluargaan dan kasih sayang agak sukar untuk kita menerima amalan yang boleh diklasifikasikan sebagai ‘kejam’ dan ‘zalim’ bukan sahaja kepada kaum wanita tetapi kepada seluruh masyarakat negara ini.

3.Apalah salah dan dosa kaum isteri sehingga mereka menjadi mangsa kerakusan nafsu politik si suami? Ianya umpama ‘marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar’. Yang bersalah orang lain tetapi orang lain yang dipaksa menerima akibatnya. Di mana keadilan dan pertimbangan mereka yang kononnya sentiasa memperjuangkan agama Islam di negara ini.

4.Kedudukan kaum wanita telah diangkat ke tahap yang cukup tinggi dan mulia oleh Nabi Muhammad SAW. Agama Islam adalah benteng yang terbaik untuk memelihara martabat kaum wanita di dunia ini. Maka jika benar mereka memperjuangkan Islam kenapa perkara sebegini boleh menjadi amalan dan ikutan mereka? Kenapa kaum wanita dibiarkan diperlakukan sebegini?

5.Ini secara tidak langsung menggambarkan seolah-olah mereka kembali ke zaman jahiliyah di mana kedudukan kaum wanita pada masa itu begitu rendah dan hina sekali pada pandangan manusia dan masyarakat dunia. Kaum wanita pada ketika itu bukan sahaja tiada sebarang nilai malah diperlakukan sebagai barang dagangan sesuka hati tanpa sebarang belas kasihan.

6.Apakah kita mahu kembali ke zaman tersebut setelah Islam mencetuskan sinar baharu untuk kaum wanita di dunia ini? Kaum wanita yang sewajarnya dilindungi, disayangi dan dimuliakan telah dijadikan alat percaturan dan ugutan politik golongan ini.

7.Di kala kita berusaha keras untuk menerapkan pelbagai nilai murni ke dalam masyarakat kita untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan tiba-tiba kita digemparkan dengan berita sebegini. Di mana kewajaran dan kewarasan akal fikiran mereka sehingga tergamak mencampur adukkan urusan perkahwinan dengan urusan politik.

8.Tidakkah mereka melihat kesan daripada bai’ah ini kepada institusi kekeluargaan Muslim negara kita. Tidak cukupkah dengan perpecahan umat Islam yang sedang berlaku dalam negara ini.

9.Biarlah orang politik beradu tenaga dengan orang politik secara gentleman. Usahlah diseret bersama para isteri yang tidak tahu apa-apa ataupun tiada sebarang kaitan dengan fahaman politik suami mereka. Renung-renungkanlah nasib dan masa depan anak-anak kita jika berlaku perceraian melalui bai’ah ini.

10.Isu keluar parti ataupun lompat parti adalah melibatkan soal moral dan prinsip pegangan seseorang individu tersebut justeru yang perlu dihukum adalah individu berkenaan dan bukannya para isteri mereka. Carilah kaedah lain untuk menahan mereka daripada keluar parti.

11.Namun satu perkara yang perlu diterima hakikatnya ialah, tiada gunanya kita melarang, menahan mahupun mengugut mereka yang hendak keluar parti jika itulah pilihan dan keputusan mereka. Perlu diakui bahawa kita adalah negara demokrasi yang memberi hak kepada setiap individu untuk memilih parti ataupun fahaman yang mereka sukai. Belajarlah untuk menghormati nilai demokrasi tersebut.

12.Kita berharap semua pihak baik pihak yang berkuasa mahupun pihak yang memperkenalkan bai’ah ini segera bertindak sebelum terlambat. Cukuplah dengan pelbagai polemik yang sedang memeningkan kepala umat Islam negara ini, jangalah dimudaratkan lagi dengan perkara sebegini.

13.Jika benar ajaran Islam menjadi pegangan utama maka kembalilah ke ajaran Islam yang sebenarnya. Tidak cukup setakat bertopengkan Islam tetapi perbuatannya bertentangan dengan ajaran tersebut.

Wednesday, November 4, 2009

PENJAWAT AWAM WAJAR BERSYUKUR
(TELAH DISIAR DALAM UTUSAN MALAYSIA RUANGAN RENCANA BERTARIKH 4/11/2009)
1.Penjawat awam disajikan lagi dengan berita gembira apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan cadangan untuk memperkenalkan sistem ganjaran bagi memperkasakan budaya prestasi cemerlang di kalangan penjawat awam negara ini. Pengumuman ini muncul selang seminggu selepas pelbagai insentif diperkenalkan untuk rakyat melalui Bajet 2010 termasuklah pemberian imbuhan khas sebanyak RM500.00 yang dipanjangkan kepada penjawat awam kumpulan Pengurusan dan Profesional.

2.Ini semua membuktikan bahawa pihak kerajaan secara berterusan prihatin dan mengambil berat nasib penjawat awam sepanjang masa. Pelbagai insentif sebelum ini seperti pemberian elaun COLA, bonus serta semakan gaji adalah bukti yang cukut jelas dan nyata.

3.Kita percaya sistem ganjaran ini pastinya akan membuka satu lagi lembaran baharu kepada penjawat awam yang akan menjadi pemangkin kepada budaya kerja yang lebih berkualiti dan berprestasi tinggi.

4.Cuma apa yang menjadi persoalan utama adalah bentuk ganjaran tersebut sama ada kepada seluruh jabatan yang terlibat ataupun kepada individu dalam bentuk wang ringgit atau peluang kenaikan pangkat. Pada masa yang sama kaedah penilaian juga menjadi satu lagi perdebatan yang hangat. Ini kerana kita khuatir unsur-unsur seperti penilaian yang tidak adil, pilih kasih serta berat sebelah akan terus bermaharajalela. Ianya sudah pasti akan mencacatkan niat murni pihak kerajaan memperkenalkan sistem ganjaran ini.

5.Semoga pihak Jabatan perkhidmatan Awam (JPA) dapat mengambilkira segala aspek tersebut sebelum memperincikan dan mengumumkan bentuk ganjaran serta kaedah penilaiannya.

6.Kita wajar elak pisang berbuah dua kali di mana kita tidak mahu akan ada lagi penjawat awam yang mempersoalkan ataupun tidak berpuas hati kepada sistem baharu ini kelak sebagaimana yang berlaku sekarang kepada sistem penilaian prestasi tahunan kakitangan awam serta penilaian yang dibuat dalam Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan juga pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

7.Diharapkan ganjaran ini akan menyuntik semangat baharu serta memberi motivasi kepada seluruh penjawat awam agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang dan berkesan kepada rakyat selaras dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

8.Walau apapun bentuk ganjaranya, perkara utama adalah semua penjawat awam wajar bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan. Di kala kadar pengangguran semakin merisaukan dan ramai pekerja swasta diberhentikan, kakitangan awam terus terjamin masa depan mereka sehingga ke umur persaraan. Malah kerajaan terus memberi bermaca-macam insentif dan ganjaran tambahan hampir setiap tahun. Apa lagi yang kita perlukan?

9.Sepatutnya isu-isu seperti layanan kaunter yang tidak memuaskan, sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lemah dan soal disiplin kakitangan awam tidak wajar berlaku lagi. Setiap penjawat awam perlu ada budaya bekerja dengan ikhlas dan mencari rezeki yang halal. Jika kita dapat sematkan budaya sebegini maka soal ketirisan dalam perkhidmatan awam tidak akan ditimbuklan lagi malah kita percaya laporan Ketua Audit Negara yang akan datang juga pastinya lebih meyakinkan rakyat.

10.Percayalah akhirnya ganjaran itu pasti akan datang mencari kita dalam apa jua bentuk sekalipun jika kita bekerja dengan ikhlas. Janganlah asyik memikirkan soal ganjaran atau balasan untuk sesuatu kerja yang dilaksanakan.

11.Justeru bersempena dengan pengumuman sistem ganjaran ini diharapkan semua penjawat awam dapat bermuhasabah diri, merenung kembali dan seterusnya mensyukuri segala nikmat yang telah diberikan selama ini dan hindarilah budaya asyik meminta atau mengharapkan balasan supaya semua pihak dapat menikmati rezeki di bumi bertuah ini secara adil, saksama dan seimbang. Budayakanlah pengorbanan sebagai nilai hidup kita agar kita terus maju dan mara ke hadapan.

Monday, November 2, 2009

GELAGAT PENONTON CEMARI BOLA SEPAK
(TELAH DISIARKAN DALAM UTUSAN MALAYSIA RUANGAN FORUM BERTARIKH 3/11/2009)
1.Tahniah kepada pasukan Kelantan yang layak ke final Piala Malaysia selepas hampir 40 tahun tidak menjejak kaki ke perlawanan akhir. Kali terakhir ialah pada tahun 1970 tetapi tewas kepada Perak.

2.Bila kita menonton kedua-dua perlawanan separuh akhir antara Kelantan dengan Perlis ternyata Kelantan cukup hebat dan sememangnya layak untuk masuk final malah jika mereka terus kekal konsisten dengan mutu permainan sedemikian rupa tidak mustahil untuk mereka mencipta sejarah menjulang Piala Malaysia pada 7 November nanti.

3.Kita wajar puji semangat perjuangan yang kental yang dipertontonkan oleh pemain-pemain Kelantan dalam mengharungi kedua-dua perlawanan tersebut. Mereka berusaha dengan penuh gigih dan bersemangat untuk mencapai kejayaan. Semoga semangat ini berterusan hingga ke final kelak.

4.Namun apa yang amat mendukacitakan dan menyedihkan adalah gelagat segelintir penonton yang mencemarkan kejayaan tersebut. Ianya terus menenggelamkan kejayaan yang sungguh manis tersebut yang patut diraikan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

5.Insiden membakar mercun dan membaling ke arah penyokong lawan, membaling botol ke arah penyokong dan juga ke dalam padang, membaling objek-objek lain termasuk kerusi amat dikesali oleh semua pihak. Malah ianya dilaporkan berlarutan hingga ke luar stadium hingga mencetuskan pergaduhan di antara penyokong kedua-dua pihak.

6.Untuk rekod ini bukanlah kali pertama perkara sebegini yang melibatkan penyokong Kelantan dilaporkan, kerana sebelum inipun kita sering kali disajikan dengan gelagat mereka yang cukup terkenal dengan budaya samseng bola sepak. Perbuatan ini adalah sama seperti apa yang berlaku di beberapa buah negara barat seperti penyokong England yang cukup terkenal dengan budaya pergaduhan mereka di luar stadium. Apakah kita juga perlu mengikut budaya mereka yang jelas menyusahkan semua pihak.

7.Pihak stadium terpaksa memperbaiki segala kemudahan yang dirosakkan, pihak berkuasa pula terpaksa melipatgandakan kawalan keselamatan malah terpaksa membuat beberapa penangkapan dan pihak persatuan bola sepak negeri juga terpaksa menerima tempias gelagat penyokong ini apabila didenda oleh FAM.

8.Wajarkah perkara sebegini dibiarkan berlarutan? Sebagai masyarakat yang semakin maju ke hadapan kita perlu berfikir dengan lebih waras dan rasional dan tidak bertindak mengikut emosi semata-semata. Semangat memang penting dan perlu dipertontonkan tetapi bukan dengan cara sebegini.

9.Pada masa yang sama adalah tidak adil juga kita terus menuduh bahawa semua penyokong Kelantan mengamalkan budaya tidak sihat tersebut. Masih ramai ataupun majoriti daripada mereka merupakan penyokong setia yang masih boleh mengawal perasaan dan emosi dan wajar mendapat kepujian. Tetapi apakan daya kerana kita sudah terbiasa dengan pepatah ‘kerana nila settik, rosak susu sebelanga’. Justeru dek gelagat tidak senonoh segelintir penyokong yang tidak dapat mengawal perasaan, hampir kesemua penyokong Kelantan dicop sebagai bermasalah dan suka menimbulkan kekecohan.

10.Keadaan mula merisaukan semua pihak apabila Kelantan akan turun beraksi di final Sabtu ini. Masing-masing mula membuat pelbagai andaian tentang apa akan bakal berlaku Sabtu nanti. Menang atau kalah bukan lagi menjadi topik perbualan tetapi rata-rata semua pihak lebih merisaukan gelagat penyokong kedua-dua pasukan.

11.Kita harap semua pihak baik pihak stadium mahupun pihak berkuasa bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku kelak. Kita juga berharap agar penyokong kedua-dua pasukan dapat mengawal emosi masing-masing dan menceriakan suasana perlawanan akhir tersebut.

12.Walau apapaun kita mendoakan agar perlawanan akhir nanti akan berlangsung dalam suasana yang ceria, harmoni dan tenang serta penuh dengan semangat kesukanan. Kalah dan menang adalah adat pertandingan. Belajarlah untuk menerima hakikat tersebut.

13.Bola sepak adalah sukan nombor satu bukan sahaja di Malaysia malah di seantero dunia. Dari kampung hinggalah ke bandar tiada siapa yang tidak kenal dan tidak minat dengan sukan yang hebat ini. Justeru rayuan kita pada mereka yang suka menimbulkan kekecohan, tolonglah jangan mencemari sukan ini.