Friday, February 12, 2010

PUJIAN DR.MAHATHIR BERI IMPAK BESAR
(TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR UTUSAN MALAYSIA BERTARIKH 12/2/2010)

1. Kegembiraan Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas kesungguhan Datuk Seri Najib Tun Razak mempraktikkan corak pentadbiran yang selari dengan kehendak dan kepentingan rakyat adalah amat signifikan dan memberi impak yang cukup besar kepada imej dan gaya kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sejak mengambil alih tampuk pemerintahan Negara.

2. Seperti yang kita sedia maklum, bukan mudah untuk seseorang itu meraih pujian dan penghargaan dari Tun Dr. Mahathir. Beliau yang cukup dikenali dengan pelbagai teguran dan kritikan yang pedas sebelum ini akhirnya melahirkan rasa kegembiraan dengan corak pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

3. Ini adalah kerana kita masih segar dengan segala teguran dan kritikan Tun terhadap pemerintahan yang terdahulu sehinggakan beliau bertindak keluar dari UMNO, parti yang pernah dipimpinnya sendiri.

4. Akibatnya keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan juga semakin merudum dan ini dibuktikan melalui Pilihanraya Umum yang ke-12 (PRU 12) yang lalu.

5. Kita percaya pujian ini ikhlas datang dari seorang negarawan yang sentiasa mahu melihat negara ini aman dan makmur serta mampu mencapai Wawasan 2020 yang diilhamkannya.

6. Ini juga sudah pastinya akan membantu menambahkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang ada sekarang seterusnya boleh menarik minat rakyat untuk menyokong segala program dan usaha pembangunan yang hendak dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

7. Ternyata kesungguhan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam melaksanakan pelbagai pembaharuan sudah mula menampakkan hasilnya. Pemantapan sistem penyampaian perkhidmatan awam, pengenalan konsep 1Malaysia, NKRA, KPI, Program Juara Rakyat dan kerajinan beliau yang sentiasa turun padang meninjau permasalahan dan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat mencerminkan kemampuan dan kehebatan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

8. Gaya kepimpinan beliau jelas sudah mula menarik minat segenap lapisan masyarakat untuk kembali menyokong pihak kerajaan. Buktinya setiap program yang dianjurkan dewasa ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan dari rakyat pelbagai kaum.

9. Rata-rata rakyat Malaysia melahirkan rasa keyakinan dan kepercayaan yang tinggi terhadap kemampuan Datuk Seri Najib Tun Razak memimpin kerajaan dan Negara menuju sebuah Negara yang maju dalam keadaan yang aman dan damai.

10. Semoga pujian dari Tun Dr. Mahathir ini tidak melalaikan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, sebaliknya pujian ini wajar dilihat sebagai suntikan semangat kepada kerajaan yang ada pada hari ini untuk terus mengorak langkah memacu kegemilangan negara kita.

Wednesday, February 10, 2010

HALA TUJU PERPADUAN KITA

1. Beberapa peristiwa yang menyentuh soal perpaduan dan persefahaman kaum yang berlaku dewasa ini cukup merisaukan semua pihak. Baik pihak kerajaan mahupun orang ramai yang mencintakan keamanan dan perpaduan kaum sudah mula menyuarakan rasa kebimbangan tentang hal ini sehinggakan ada yang menggelar persefahaman kaum pada hari ini adalah senipis kulit bawang.
2. Kebimbangan dan pemberian gelaran tersebut ternyata ada asasnya. Buktinya saban hari kita disajikan dengan pelbagai insiden dan isu yang memperlihatkan kerapuhan perpaduan kaum di negara kita. Sikap prejudis dan prasangka sesama kita sudah mula mengambil tempat dan menguasai minda masyarakat kita dan jika keadaan ini dibiarkan berlarutan pasti kita akan menghadapi masalah yang besar untuk mengekalkan keharmonian kaum di banggakan selama ini.
3. Sesungguhnya peristiwa-peristiwa seperti isu kebenaran penggunaan kalimah ‘Allah’, pembakaran surau dan gereja serta beberapa insiden yang lepas seperti peristiwa perarakan kepala lembu dan tindakan mempersoalkan apa yang termaktub dalam perlembagaan seperti hak-hak orang Melayu adalah jelas mencerminkan tahap sebenar kematangan pemikiran masyarakat kita pada hari ini yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan keturunan.

4. Isu-isu tersebut telah menjadi satu siri ujian yang cukup getir kepada jambatan perpaduan yang telah kita bina selama ini. Ternyata ujian ini meninggalkan kesan dan impak yang cukup mendebarkan dan merisaukan semua pihak. Malah ada yang merumuskan bahawa kita gagal dalam ujian tersebut yang sekaligus mengiyakan gelaran perpaduan senipis kulit bawang.

5. Walaupun usia kemerdekaan negara kita telahpun menjangkau 53 tahun namun tahap kematangan masyarakat kita dalam soal perpaduan dan persefahaman kaum masih boleh dikategorikan berada pada peringkat yang cetek dan lemah. Generasi sekarang makin kurang memahami dan menghayati nilai serta erti perpaduan dan persefahaman kaum yang kita nikmati selama ini.

6. Akibatnya kita cepat melatah dan mudah terpengaruh dengan mainan emosi yang diapi-apikan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab yang jelas mempunyai agenda mereka yang tersendiri dan tersembunyi.

7. Sebagai sebuah masyarakat yang sedang menuju ke arah negara maju menjelang tahun 2020, sewajarnya soal perpaduan kaum tidak perlu diperdebatkan lagi. Pada hari ini kita sepatutnya lebih bersatu padu, bertolak ansur, membudayakan konsep penerimaan, memahami kehendak kaum masing-masing di samping tidak menafikan hak dan kehendak kaum lain.

8. Masyarakat kita sepatutnya bersedia untuk mencari persamaan dalam perbezaan yang sedia ada supaya kita dapat hidup aman dan damai sebagai sebuah bangsa yang merdeka dan berjaya. Kita wajib menghentikan perbuatan-perbuatan yang boleh memecah belahkan masyarakat kita.

9. Perpaduan dan kemajmukan di kalangan rakyat Malaysia adalah suatu khazanah yang menjadi kebangaan kita selama ini dan masyarakat dunia juga cukup mengagumi kehebatan kita dalam hal ini tetapi beberapa peristiwa yang berlaku dewasa ini jelas telah menyentap tanggapan masyarakat dunia tersebut dan ianya dilihat sedang merobek dan cuba menghancurkan khazanah peninggalan nenek moyang kita.

10. Jambatan perpaduan yang telah dibina hasil keringat generasi terdahulu sudah mula menampakkan sedikit keretakan angkara kerakusan dan ketamakan sesetengah individu dan kelompak rakyat negara ini yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri.

11. Bagi mereka apa yang penting adalah mencapai kehendak dan hasrat masing-masing dengan apa cara sekalipun termasuklah dengan mengapi-apikan sentimen perkauman ke dalam masyarakat kita.

12. Keadaan ini membawa kita kepada beberapa persoalan penting yang perlu dirungkai dengan segera antaranya, apakah hala tuju masa hadapan perpaduan rakyat kita dan corak perpaduan yang bagaimana pula yang hendak kita wariskan kepada anak cucu kita kelak?

13. Perlu diingat bahawa apa yang kita telah dan sedang nikmati selama ini adalah hasil pengorbanan generasi terdahulu yang telah diwariskan kepada kita dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga, memelihara dan seterusnya menyerahkannya kepada generasi yang akan datang.

14. Kontrak sosial yang telah dibina selama ini adalah hasil pemuafakatan pemimpin masyarakat terdahulu yang mewakili setiap kaum yang ada di negara kita. Perlembagaan yang telah digubal juga adalah lahir hasil daripada perbincangan dan persetujuan generasi terdahulu yang sanggup mengorbankan pelbagai hak keistimewaan demi mencapai kemerdekaan secara bersama dan bersatu padu.

15. Perpaduan yang ada pada hari ini adalah umpama sepohon pokok yang telah disemai dan dibaja oleh nenek moyang kita yang telah diamanahkan kepada kita untuk terus menyiramnya supaya ianya akan terus mekar berbunga. Perlu juga diingat bahawa perpaduan ini sebenarnya telah dipinjamkan kepada kepada kita yang perlu dipulangkan semula kepada anak cucu kita kelak.

16. Usahlah kita menggadai nasib anak cucu kita hanya semata-mata mengejar nama, kuasa dan harta. Apakah kita mahu anak cucu kita kelak mencaci dan membenci kita kerana mewariskan kepada mereka sebuah negara yang kucar kacir. Semua pihak terutamanya orang politik dan kumpulan-kumpulan yang suka memainkan sentimen perkauman perlu cepat sedar dan insaf sebelum nasi menjadi bubur. Adakah kita sanggup melihat peristiwa 13 Mei berulang kembali?

17. Soal perpaduan adalah isu peringkat nasional yang perlu melibatkan peranan dan tanggungjawab setiap warga negara ini. Persefahaman kaum adalah suatu perkara yang tidak boleh dikompromi atau dipandang remeh.

18. Perpaduan dan persefahaman kaum hanya boleh dimantapkan jika kita sanggup berusaha bersama-sama baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang yang perlu berganding bahu dengan seluruh rakyat Malaysia dengan mengenepikan perbezaan idelogi politik dan kepentingan masing-masing.

19. Kita perlu kembali menghayati roh dan semangat perpaduan yang telah ditonjolkan oleh nenek moyang kita sebelum ini. Aktiviti-aktiviti yang menekankan perpaduan dan persefahaman kaum perlu dilipatgandakan untuk memulihkan kembali semangat yang semakin luntur.

20. Generasi hari ini perlu dipupuk dan dididik supaya dapat menyemai semangat cintakan negara dan perpaduan yang sedia ada. Usaha ke arah ini perlu dimulakan di peringkat sekolah lagi agar anak-anak kita dapat dibentuk dan dilentur mengikut acuan yang kita kehendaki.

21. Konsep 1Malaysia yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri juga dilihat hadir tepat pada masanya kerana konsepnya yang cukup jelas, mudah difahami dan menyeluruh meliputi penglibatan dan peranan seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai kaum.

22. Justeru, marilah kita mengambil ikhtibar daripada segala apa yang telah berlaku dan seterusnya bersama-sama menghayati pengorbanan nenek moyang kita di samping memahami dan mendalami konsep 1Malaysia agar kita dapat merapatkan dan memperkukuhkan kembali perpaduan sesama kita demi membina sebuah negara bangsa yang dicita-citakan.

Friday, February 5, 2010

BARANG KAWALAN PERLU BENAR-BENAR DIKAWAL

1. Seperti biasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekali lagi tampil dengan senarai harga barangan terkawal sempena musim perayaan. Kali ini bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina mereka menyenaraikan 11 barangan sebagai barang terkawal yang telah ditetapkan harga maksimum borong dan runcit.

2. Antara barang yang telah disenaraikan adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B, C, kubis bulat (import dari Indonesia dan China kecuali dari Beijing), bawal putih, udang putih besar, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak). Tempoh kawalan pula adalah selama 12 hari bermula 10 hingga 21 Februari 2010.

3. Fenomena perisytiharan harga dan senarai barangan terkawal sudahpun menjadi lumrah di negara kita apabila menjelangnya sesuatu musim perayaan. Untuk itu, syabas dan tahniah kita ucapkan kepada pihak KPDNKK yang sentiasa peka dan sedar akan tanggungjawab mereka kepada pengguna ataupun masyarakat kita keseluruhunnya.

4. Namun apa yang menyedihkan ialah harga barangan masih tidak mampu dikawal sepenuhnya. Peniaga dan pemborong tetap degil dengan gaya perniagaan mereka tanpa mempedulikan penetapan harga oleh KPDNKK mahupun takut kepada tindakan undang-undang yang bakal mereka hadapi jika ditangkap.

5. Mereka seolah-olah sudah lali dan tepu dengan gejala pengawalan harga. Bagi mereka formulanya cukup mudah iaitu pengguna walaupun merungut dan mengadu kepada pihak berkuasa namun mereka tetap memerlukan barangan tersebut. Pengguna tetap akan membelinya ataupun terpaksa juga membeli walaupun dengan harga yang lebih mahal kerana kebanyakkannya daripada baranagn tersebut adalah barang makanan yang utama dan penting.

6. Ini membawa lepada senario di mana pengguna sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan. Mahu tidak mahu terpaksa membelinya walaupun dengan harga yang jelas lebih tinggi dari harga yang telah ditetapkan.

7. Sebagai pengguna kita masih tidak dapat membayangkan keadaan di mana kita memulau makanan seperti daging ayam, telur dan juga ikan. Kita masih belum ke tahap boleh katakan ‘tidak’ lepada makanan ini kerana ianya merupakan antara makanan utama masyarakat kita.

8. Sejak kecil hingga sekarang kita sudah terbiasa menjamah makanan ini sebagai makanan rutin dalam hidup kita. Justeru, pengguna sanggup membayar semahal mana sekalipun untuk mendapatkannya.

9. Mengambil kira situasi ini timbul persoalan sejauhmanakah aspek penetapan harga dan penguatkuasaan kepada pematuhan peraturan ini berjaya dan memberi impak kepada pengguna?

10. Kita masih tertanya-tanya kenapa peniaga dan pemborong masih tetap dengan perangai lama mereka yang suka menaikkan harga walaupun harga barangan kawalan. Apakah hukuman yang termaktub dalam Akta Kawalan Harga 1946 masih ringan dan tidak menakutkan mereka. Hukuman denda sehingga RM15,000 ataupun penjara dua tahun mengikut akta tersebut mungkin dilihat masih belum cukup untuk menginsafkan mereka.

11. Alasan ketiadaan bekalan yang menyebabkan harga terpaksa dinaikkan adalah suatu alasan yang agak sukar untuk diterima oleh pengguna. Tambahan pula inilah antara alasan utama yang kita dengar setiap kali tibanya musim perayaan. Malah untuk perayaan Tahun Baru Cina inipun sudah mula kedengaran bahawa kemungkinan besar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengimport hasil laut dari India jika bekalan tidak mencukupi di mana ini sekaligus membuka peluang dan ruang kepada para pemborong dan peniaga untuk menaikkan harga ikan kelak.

12. Akibatnya para pengguna juga yang terpaksa menanggung penderitaan selama ini dan ianya sekali lagi menimbulkan tanda tanya apakah barangan yang telah diisytihar sebagai barangan kawalan ini benar-benar terkawal?

13. Jika benar harganya terkawal kenapa masih ada rungutan daripada pengguna yang terpaksa membayar lebih daripada harga yang telah ditetapkan? Di mana silapnya sehinggakan kenaikan harga ini seolah-olah sudah tidak dapat dikawal atau dipantau lagi.

14. Harga gula misalnya, walaupun pihak kerajaan telah menetapkan harga jualan namun sehingga ke hari ini kita masih boleh kedengaran masalah rakyat yang perlu membayar lebih untuk mendapatkan gula.

15. Kita percata selama ini pegawai penguatkuasa KPDNKK memang rajin turun padang memantau harga barangan namun ianya tetap tidak memberikan impak dan kesan yang diharapkan oleh pengguna.

16. Maka mungkin sudah tiba masanya pihak KPDNKK memikirkan mekanisme yang lain dengan kaedah-kaedah yang lebih proaktif dalam usaha untuk melindungi hak pengguna.

17. Perlu diingat, keadaan ekonomi yang masih tidak menentu membawa kepada masalah kewangan dan pendapatan yang cukup serius di kalangan pengguna negara kita terutamanya penduduk luar bandar yang hidup umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Cukup menyedihkan apabila kita mendengar luahan hati mereka berkaitan masalah kenaikan harga barangan makanan. Sudahlah sukar untuk diperolehi, harga pula melambung tinggi. Ianya cukup membebankan mereka.

18. Kita perlu makan untuk hidup. Anak-anak memerlukan makanan yang berkhasiat dan berprotein untuk terus membesar, oleh yang demikian pengguna sering kali tersepit antara tuntutan keperluan untuk membeli barangan tersebut dengan ketamakan para peniaga yang menaikkan harga barangan makanan.

19. Sebagai pengguna kita berharap agar pihak pemborong dan peniaga akan lebih ‘berhati perut’ dan bertanggungjawab dalam mencari rezeki. Biarlah rezeki yang diperolehi itu merupakan hasil usaha yang akan diberkati tanpa mengundang rasa kemarahan dan ketidakpuasan hati para pengguna.

20. Kita juga meminta agar pihak KPDNKK melipatgandakan usaha pemantauan dan penguatkuasaan yang sedia ada supaya dapat terus melindungi hak pengguna. Sudah tiba masanya untuk dikaji dan menilai semula kesemua kaedah penguatkuasaan yang digunapakai sekarang termasuk aspek hukuman yang sedia ada supaya isu penguatkuasaan dan hukuman dapat dimantapkan lagi.