Friday, April 30, 2010

MASYARAKAT PERLU YAKIN PADA POLIS

1. Insiden seorang remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak polis di Shah Alam baru-baru ini sekali lagi menjadikan pihak polis sebagai sasaran utama kemarahan pelbagai pihak.

2. Sehingga ke saat ini kita masih belum dapat gambaran yang sebenarnya tentang kejadian tersebut untuk membolehkan kita membuat kesimpulan bahawa siapa yang benar dan siapa yang bersalah.

3. Namun pelbagai andaian dan tuduhan sudah mula kedengaran yang kesemuanya menuding jari menyalahkan pihak polis lantaran bermacam-macam tuduhan mula dilemparkan kepada mereka seperti kononya pihak polis zalim, menganiaya remaja yang tidak bersalah dan cuba menyembunyikan fakta sebenar sekaligus menutup kes terbabit.

4. Penulis berpendapat adalah tidak wajar dan adil untuk kita membuat tuduhan melulu sebegitu dengan terlalu cepat dan tanpa asas yang kukuh. Kita perlu memberi ruang yang secukupnya kepada panel khas yang telah ditubuhkan yang akan diketuai oleh Datuk Wira Abu Seman Yusop untuk menjalankan siasatan mereka secara terperinci.

5. Apa yang berlaku sekarang ialah terdapat beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan oprtunis yang dilihat mula mengambil peluang dan kesempatan ini untuk menjadikan ianya isu politik dan mula menanamkan rasa benci di kalangan rakyat terhadap pihak polis.

6. Golongan sebegini sememangnya pandai memutar belitkan sesuatu kejadian untuk kepentingan dan agenda peribadi mereka. Ironiknya apa yang pelik adalah mereka begitu mudah memujuk dan mempengaruhi sebilangan masyarakat yang taksub dan percaya dengan mereka.

7. Kita memang simpati dengan keluarga mangsa terbabit serta nasib yang menimpa remaja tersebut apatah lagi pada usia yang begitu muda dan masih bersekolah namun kita perlu yakin dan percaya dengan undang-undang yang ada di negara kita.

8. Ketidakpercayaan dan ketidakyakinan kita terhadap pihak polis seolah-olah menunjukkan kita tidak yakin dan tidak percaya dengan sistem undang-undang dan keadilan negara kita.

9. Sewajarnya kita puji pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis yang telahpun mengambil tindakan susulan yang segera dengan menubuhkan pasukan khas di samping merehatkan anggota polis yang terbabit dari menjalankan tugas rondaan kepada tugas pentadbiran di pejabat. Tambahan pula Kabinet sendiri kelmarin telah membincangkan hal ini dan melahirkan rasa sedih dan simpati dengan apa yang telah berlaku.

10. Ini membuktikan bahawa pihak polis dan juga kerajaan memandang serius insiden ini dan telahpun memulakan langkah yang sepatutnya untuk mencari kebenaran di sebalik kejadian tersebut.

11. Maka adalah elok untuk kita sama-sama bersabar dan memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada pasukan khas tersebut menjalankan siasatan. Tindakan sesetengah pihak yang cuba mengapi-apikan baik pihak keluarga mangsa mahupun masyarakat pastinya akan menggangu tugas penyiasatan pasukan khas ini.

12. Pada masa yang sama masyarakat juga perlu sedar tentang pengorbanan dan sumbangan anggota-anggota Polis kita. Penurunan kadar jenayah, penjagaan keselamatan diri dan negara kita selama ini dijaga dan dipelihara oleh mereka dengan sebaik yang mungkin. Pada hari ini kita masih selamat untuk berada di jalanan di mana-mama sahaja dalam negara kita berbanding apa yang berlaku di negara-negara jiran seperti di Thailand misalnya yang sedang bergolak dan tidak selamat.

13. Jangan kita mudah lupa di mana ramai anggota polis turut cedera malah ada yang mati semasa menjalankan tugas untuk mempertahankan keamanan dan keselamatan negara kita. Mereka bertugas siang dan malam demi keselamatan kita. Mereka tidak pernah meminta balasan untuk apa yang telah mereka lakukan selama ini.

14. Walaupun kita masih berat mulut dan kedekut untuk berterima kasih kepada mereka sekurang-kurangya jangalah mencaci mereka hanya disebabkan insiden seperti ini. Tiada gunanya kita berkelakuan seperti itu yang akhirnya akan merugikan semua pihak. Siapa lagi yang boleh menjga keselamatan kita jika bukan polis? Andai kata anggota tersebut bersalah sekalipun biarlah ianya mereka diadili dengan sebaik yang mungkin berlandaskan undang-undang yang sedia ada.

15. Justeru kita berharap agar pihak polis tidak putus asa dan kecewa dengan apa yang sedang menimpa mereka dan diharapkan peristiwa ini menjadi satu pengajaran dan pengalaman yang berguna sekaligus menaikkan lagi semangat mereka untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara. Ingatlah bahawa tidak semua orang marah dan benci kepada polis, masih ramai yang yakin dengan kemampuan dan kebolehan polis Malaysia.

Wednesday, April 28, 2010

GEJALA SONGSANG HANCURKAN MASYARAKAT

1. Masalah berkaitan pengkid dan gay bukanlah isu baru dalam masyarakat kita malah dewasa ini ianya kelihatan semakin menjadi-jadi dan seolah-olah telahpun menjadi trend bagi segelintir rakyat negra ini.

2. Walaupun secara relatifnya bilangan mereka yang tergolong dalam kedua-dua kategori ini mungkin masih kecil berbanding jumlah rakyat Malaysia yang hampir 26 juta orang namun gejala yang tidak sihat ini perlu dibendung dengan segera agar ianya tidak merebak menjadi parasit dalam masyarakat kita.

3. Dua kejadian yang dilaporkan oleh akhbar tempatan baru-baru ini iaitu kes dua gay durjana dan pasangan pengkid edar dadah ditahan menceritakan dengan jelas apa yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.

4. Walaupun kes pengkid itu lebih kepada isu pengedaran dadah tetapi apa yang lebih merisaukan kita ialah terbongkarnya misteri kehidupan mereka yang selama ini dikatakan hidup sebagai ‘suami isteri’.

5. Lain pula halnya dengan kes gay durjana yang lebih memeranjatkan kita dengan keberanian dan kelakuan tingkah laku mereka di tempat awam di mana dengan beraninya mereka cuba mengurat dan menggoda seorang lelaki di Taman Tasik Permaisuri. Malah pasangan itu juga dikatakan bertindak agresif ke atas lelaki tersebut yang menegur dan enggan melayan karenah mereka.

6. Kedua-dua kes ini sekali lagi mencerminkan kepincangan dan tahap keruntuhan akhlak yang begitu serius dalam masyarakat kita. Ianya muncul di kala kita masih belum pulih sepenuhnya dan sedang mencari jalan penyelesaian untuk menangani pelbagai masalah sosial yang sedang melanda masyarakat kita seperti kes pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, anak gadis melarikan diri dari rumah mengikut teman lelaki, gejala merokok di kalangan remaja terutamanya pelajar sekolah serta lain-lain isu sosial peringkat nasional.

7. Ternyata peredaran zaman dan dunia tanpa batasan semakin meragut nilai-nilai murni dan adapt ketimuran yang kita banggakan selama ini. Gejala seperti yang telahpun menjadi amalan biasa dalam kehidupan mastarakat barat sudah mula merebak dan menjangkiti masyarakat kita.

8. Kekurangan didikan agama, kepincanagn rumahtangga mahupun keluarga serta pergaulan bebas dilihat sebagai faktor utama yang menyumbang kepada penularan gejala songsang sebegini dalam masyarakat kita.
9. Oleh yang demikian, masyarakat tidak boleh menganggap isu ini sebagai kes terpencil lantas tidak mempedulikannya. Kita tidak boleh membiarkan gejala ini terus berleluasa dalam masyarakat kita.

10. Tindakan segera perlu diambil bagi memperbetulkan dan menyedarkan individu-individu yang terlibat dalam gejala ini. Pihak ibu bapa dan kaum keluarga di samping jabatan agama, kementerian yang terlibat serta pihak penguatkuasa perlu bergabung tenaga dan idea bagi mencari jalan penyelesaian untuk masalah ini.

11. Masyarakat juga perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dengan bertindak menegur ataupun paling tidak melaporkan kes-kes sebegini jika berlaku di kawasan perumahan dan kejiranan masing-masing. Kita perlu sedar bahawa tindakan kita yang menutup mata dan memekakkan telinga ataupun tidak mengendahkan apa yang berlaku disekeliling kita adalah suatu perbuatan bersubahat.

12. Tiada salahnya kita menjaga tepi kain orang dalam hal sebegini asalkan niat kita adalah betul dan ikhlas untuk menolong mereka yang semakin terpesong. Tindakan berdiam diri kita adalah lebih teruk berbanding kelakuan mereka. Adalah menjadi tanggungjawab setiap seorang daripada kita untuk membantu membendung gejala ini.

13. Justeru marilah kita sama-sama berganding bahu menyelamatkan masyarakat kita dari terus terjerumus dan terpalit dengan pelbagai gejala sosial yang jelas merugikan agama, bangsa dan negara.

Monday, April 26, 2010

TERIMA KASIH HULU SELANGOR, MASA UNTUK BN TUNAI JANJI

1. Akhirnya Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor yang ‘dipinjamkan’ sementara kepada pihak lawan selama hampir dua tahun sejak PRU12 pada tahun 2008. Tambahan pula ianya merupakan kerusi tradisi BN sejak dulu lagi.

2. Jumlah 24,997 undi yang diterima oleh P. Kamalanathan cukup besar nilai dan maknanya kepada BN terutamanya kepada Perdana Menteri, datuk Sri Najib. Walaupun peratusan yang keluar mengundi tidaklah begitu tinggi dan berbeza dengan jumlah yang keluar mengundi pada tahun 2008 namun jumlah majoriti sebanyak 1,725 undi adalah jauh lebih besar berbanding kemenangan calon PKR pada tahun 2008.

3. Setiap satu undi yang diterima oleh calon BN ini boleh diterjemahkan sebagai undi kepercayaan rakyat kepada Datuk Sri Najib dan kepimpinan beliau sejak satu tahun yang lalu. Ianya juga mencerminkan keyakinan rakyat terhadap segala inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh beliau.

4. Fenomena ini menunjukkan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan segala pembaharuan yang beliau lakukan. Kemenangan ini juga mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila buat pertama kali Najib selaku Pengerusi BN sendiri turun padang berkempen yang sekaligus membuka satu lagi dimensi baru dalam lanskap politik tanahair.

5. Tambahan pula buat pertama kali juga dalam pilihanraya kecil ini kita dipertontonkan gabungan tenaga tiga pemimpin utama negara iaitu Datuk Sri Najib, Tan Sri Muhyiddin dan juga Tun Dr. Mahathir, malah mereka telahpun berkongsi satu pentas yang sama pada malam kemuncak kempen.

6. Beberapa kejadian ‘luar biasa’ seperti ini yang jarang-jarang berlaku dikatakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan BN kali ini.

7. Kemenangan yang diidamkan sudahpun dirai, rakyat telah menunaikan janji mereka dengan memberi peluang kedua kepada BN maka tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak terutamanya rakyat Hulu Selangor iaitu sejauhmana BN akan menunaikan segala janji yang mereka berikan sepanjang kempen tempoh hari.

8. Rakyat menunggu dengan penuh harapan agar BN dapat tunaikan janji mereka dengan segera yang merangkumi pelbagai aspek seperti isu pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas, kebajikan, peluang pekerjaan, pendidikan, kemudahan kesihatan, peluang perniagaan serta jalan penyelesaian kepada masalah-masalah lapuk yang belum dapat diselesaikan sehingga kini.

9. Bak kata BN memang mereka tidak menjanjikan bulan dan bintang, maka begitu juga halnya harapan pengundi yang juga bukan mahukan bulan dan bintang, apa yang mereka mahu hanyalah perkara-perkara asas untuk hidup lebih selesa dan aman.

10. Kata perlu dikota, janji perlu ditunaikan. Kamalanathan hanya ada lebih kurang dua tahun sahaja lagi sebelum PRU13 untuk menunaikan segala janjinya dan meyakinkan para pengundi bahawa beliau adalah pilihan yang tepat. Tempoh masa dua tahun bukanlah suatu jangka masa yang panjang maka segala kerja yang perlu dilaksanakan wajar dimulakan dengan segera. Tiada lagi ruang untuk berbulan madu merai kemenangan.

11. Ini penting bagi Kamalanathan kerana walaupun berjaya memenangi kerusi tersebut namun beliau bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk terus kekal sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor.

12. Di samping cabaran untuk menunaikan segala janjinya semasa kempen, beliau juga perlu mengambilkira cabaran dari segi meyakinkan baki 23,272 orang pengundi yang masih menyokong parti lawan. Jumlah ini bukanlah suatu jumlah yang kecil dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja jika BN mahu kekalkan kerusi ini pada PRU13 kelak. Kamalanathan perlu buktikan bahawa beliau lebih baik dari lawannya untuk menarik sokongan pengundi tersebut.

13. Pada masa yang sama satu lagi cabaran beliau ialah hakikat bahawa Negeri Selangor berada di bawah pemerintahan pakatan rakyat maka beliau pastinya akan menhgadapi pelbagai kekangan, halangan dan rintangan untuk meneruskan khidmat beliau seperti yang dijanjikan. Oleh yang demikian, perkara ini juga perlu diperhalusi dan ditangani oleh Kamalanathan dengan penuh berhemah dan berhati-hati.

14. Harapan besar diletakkan oleh semua pihak di bahu Kamalanathan yang diharap bukan sahaja boleh menaikkan nama dan imej BN malah lebih penting lagi ialah mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti MIC yang perlu kekal relevan untuk memperjuangkan nasib kaum India di negara ini.
 
15. Kemenangan ini juga memberikan peluang kedua kepada MIC untuk membuktikan keikhlasan mereka dalam membela kedudukan kaum India agar maju ke hadapan seangkatan dengan kaum-kaum lain di negara kita.

16. Justeru diharapkan Kamalanathan tidak leka dan dibuai mimpi dengan kemenangan ini dan segera sedar akan tanggungjawab berat yang menantinya. Beliau perlu meyakinkan para pengundinya bahawa mereka membuat keputusan yang tepat dan bijak. Sekalung tahniah kepada Datuk Sri Najib, Tan Sri Muhyiddin dan seluruh jentera BN yang bertungkus lumus memastikan kejayaan calon BN. Selamat bertugas YB Kamalanathan.

DETIK PENENTUAN DI HULU SELANGOR

1. Esok adalah hari penentuan untuk BN dan PKR yang bersaing hebat di Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor. Mengikut Suruhanjaya Pilhanraya (SPR), keputusan dijangka akan diumumkan pada pukul 11.00 malam yang bakal melibatkan jumlah pengundi seramai 64,500 orang termasuk 799 orang pengundi pos.

2. PRK Hulu Selangor ini dilihat medan yang cukup penting bagi kedua-dua parti yang bertanding. Bagi BN ini adalah masa yang paling terbaik untuk menilai semula sokongan rakyat terhadap parti tersebut setelah pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan dengan penuh gigih dan efektif demi kemajuan rakyat pelbagai kaum sejak setahun yang lalu di bawah kepimpinan Datuk Sri Najib.

3. Bak kata Perdana Menteri yang turun padang ke Hulu Selangor kelmarin, Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor merupakan medan penting bagi menilai penerimaan rakyat terhadap pembaharuan dan transformasi yang diperkenalkan oleh beliau melalui gagasan 1Malaysia. Keseriusan beliau dalam hal ini jelas terbayang apabila Najib bergegas pulang dengan segera ke tanahair setelah tamat lawatan ke Jepun demi untuk membantu kempen BN di Hulu Selangor.

4. Sebarang keputusan yang bakal diterjemahkan melalui undi esok juga bakal mencerminkan sama ada segala program pembangunan baru yang telah Najib perkenalkan seperti Model Ekonomi Baru (MEB) serta NKRA melalui pendekatan 1Malaysia diterima atau tidak oleh rakyat.

5. Lantas PRK Hulu Selangor menjadi platform terbaik untuk mendapatkan maklum balas secara langsung dari rakyat melalui peti undi. 64,500 orang pengundi akan memberikan satu gambaran yang menyeluruh berkaitan dengan tanggapan dan persepsi mereka ke atas BN dan juga Najib apatah lagi Najib juga merupakan Pengerusi BN Selangor.

6. Walaupun agak tidak adil untuk menilai sama ada rakyat Malaysia secara keseluruhannya dapat menerima ataupun menolak segala dasar tersebut dengan hanya bersandarkan undi 64,500 orang pengundi namun ianya sedikit sebanyak bakal memberi isyarat yang jelas kepada pentadbiran Najib yang telah menjangkau usia setahun pada 3 April yang lalu.

7. Bagi BN juga boleh dikatakan ini adalah misi yang mesti menang dan kekalahan bukanlah suatu pilihan kerana implikasinya ternyata cukup besar terutamanya kepada imej dan reputasi BN di mata pengundi.

8. BN pastinya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Biarlah peristiwa tsunami 2008 dan siri kekalahan dalam beberapa PRK sebelum ini menjadi sejarah dan kalau boleh dipadamkan terus dari lanskap politik tanahair.

9. Ini kerana ternyata implikasinya cukup dasyat dan memberi impak yang tidak menguntungkan kedua-dua pihak iaitu BN dan juga para pengundi. Bukti yang jelas, kita boleh lihat apa yang berlaku di negeri-negeri yang dipimpin oleh pihak pakatan pembangkang.

10. Pelbagai masalah dan isu kedengaran dan dibangkitkan oleh rakyat yang tidak berpuas hati yang masih belum menampakkan jalan penyelesaiannya. Walaupun mereka mula menyuarakan kekesalan dengan pilihan dan keputusan yang telah mereka buat terutamanya pada tahun 2008 namun mereka terpaksa menerima hakikat bahawa nasi sudahpun menjadi bubur. Paling tidakpun mereka terpaksa menunggu sehingga ke Pilihanraya Umum yang akan datang untuk mengubah nasib dan keadaan tersebut.

11. Hulu Selangor juga menjadi pentas yang penting kepada parti MIC yang sedang melalui krisis keyakinan dari masyarakat India di negara kita. MIC perlu menang demi survival politik mereka dalam BN dan juga di negara ini. Mereka perlu bangkit membuktikan bahawa MIC masih relevan dan merupakan parti yang boleh menaungi kesejahteraan dan nasib kaum India di negara kita. Lebih menarik lagi apabila Presiden MIC sendiri dijangka akan mengumumkan persaraan yang lebih awal jika BN berjaya memenangi PRK ini.

12. Bagi PKR pula ini adalah misi hidup atau mati mereka. Jelas sekali hampir setiap hari sejak hari penamaan calon tempoh hari ada saja ahli dan juga pemimpin kanan mereka tampil mengisytihar keluar parti dan menyertai UMNO. Ini jelas satu lagi tamparan hebat kepada PKR untuk meneruskan survival politik mereka di negara ini.

13. Walaupun mereka tampil dengan calon yang mempunyai nama dan reputasi yang besar di mana pernah memegang jawatan dalam kerajaan BN sebelum ini berbanding calon muka baru yang ditampilkan oleh BN namun pendedahan demi pendedahan berkaitan pelbagai kepincangan dalaman parti tersebut yang dilakukan oleh bekas ahli parti itu sediri sudah cukup untuk meragut dan menjejaskan reputasi yang diwar-warkan.

14. Pakatan pembangkang juga kali ini kelihatan agak ketandusan isu untuk dijaja mahupun dipolitikkan sebagai modal bagi menarik perhatian pengundi di Hulu Selangor. Malah segala isu yang cuba dibangkitkan oleh mereka juga dapat dijawap dan ditangkis dengan baik oleh BN.

15. Mengambil kira senario ini, adalah jelas bahawa para pengundi telahpun disajikan dengan pelbagai isu menarik berkaitan dengan kedua-dua parti yang bertanding termasuklah isu calon tempatan dan calon luar. Ini diharapkan akan membantu para pengundi untuk menilai sendiri parti mana yang mereka ingin mengundi.

16. Bak kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut turun padang berkempen untuk calon BN, pada masa sekarang para pengundi perlu melihat kepada imej dan kemampuan parti yang bertanding dan bukannya kepada calon yang mewakili parti terbabit. Ini penting demi mewujudkan kesinambungan dalam pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan di kawasan tersebut. Tiada gunanya kita memiliki calon yang hebat jika partinya tidak mampu berbuat apa-apa.

17. Hal ini cukup signifikan kerana adanya perbezaan di antara parti yang memerintah di peringkat pusat dan di peringkat negeri. Misalnya segala projek dan infrastruktur yang hendak dibangunkan oleh kerajaan pusat di kawasan tersebut pastinya akan terjejas dan tergendala andai calon yang menang nanti bukan dari parti yang memerintah kerajaan pusat.

18. Justeru, ini adalah masa dan detik yang paling penting bagi penduduk Hulu Selangor untuk melakukan perubahan yang mereka kehendaki. Kepada para pengundi, anda diberi peluang kedua untuk menentukan nasib sendiri. Pilihan di tangan anda. Anda tidak dipaksa untuk mengundi mana-mana calon yang bertanding. Maka fikirlah semasak-masaknya dan nilailah sendiri kemampuan parti yang bertanding dan seterusnya buatlah keputusan dengan akal yang waras agar tidak lagi menyesal di kemudian hari. Undilah demi masa depan anak cucu anda. SELAMAT MENGUNDI.

Thursday, April 22, 2010

MASYARAKAT WAJAR BERUBAH DARI SIKAP ‘LEBIH KURANG’ KEPADA ‘LEBIH TELITI’

1. Sekali lagi Datuk Sri Najib bercakap tentang perubahan sikap yang perlu ada pada masyarakat kita jika ingin mencapai taraf negara maju. Terkini Najib meminta agar masyarakat kita mengikis sikap ‘lebih kurang’ sebaliknya berubah menjadi masyarakat yang lebih teliti seperti di Jepun dan kali ini pentasnya ialah di negara Jepun itu sendiri iaitu salah sebuah negara yang telah kita jadikan sebagai panduan dan juga pengukuran untuk mencapai kemajuan di bawah Dasar Pandang ke Timur.

2. Permintaan ataupun nasihat Najib ini boleh dikatakan hadir tepat pada waktunya agar kita dapat menilai semula prestasi pembangunan negara kita dari segala aspek supaya landasan yang telah dibina untuk mencapai Wawasan 2020 masih kekal kukuh dan relevan.

3. Kita tidak boleh maju jika masih terus mengamalkan budaya ‘lebih kurang’ dalam segala aspek kerja yang kita laksanakan baik di peringkat individu mahupun organisasi.

4. Apabila kita meneliti secara mendalam makna sebenar sikap ‘lebih kurang’, ianya sebenarnya bukanlah suatu perkara mahupun sikap baru yang wujud dalam masyarakat kita. Ianya telahpun menular sekian lama dan sudahpun menjadi budaya ataupun wabak yang cukup serius di kalangan rakyat Malaysia.

5. Banyak contoh-contoh yang boleh kita senaraikan untuk membuktikan kewujudan dan amalan budaya ‘lebih kurang’ dalam masyarakat kita. Senarainya cukup panjang dan ianya perlu dikikis dengan segera.

6. Dalam konteks masyarakat secara umumnya, salah satu contoh yang cukup ketara pada masa sekarang ialah sikap ‘lebih kurang’ kita terhadap penyakit Influenza A (H1N1) di mana masih ramai daripada kita tidak menitikberatkan aspek pembendungan penularan wabak tersebut. Kita masih degil untuk memakai penutup mulut and hidung (mask) walaupun tergolong dalam kategori individu yang berisiko tinggi. Akibatnya jumlah kes ILI dan juga kes positif H1N1 dilaporkan semakin bertambah.

7. Begitu juga halnya dalam aspek pemakanan di mana sikap ‘lebih kurang’ jugalah menyebabkan kita tidak mempedulikan sangat kuantiti gula dan garam yang kita ambil setiap hari yang akhirnya membawa kepada pelbagai komplikasi penyakit kepada kita.

8. Kedua-dua isu kesihatan ini adalah contoh yang nyata yang sedang kita lalui pada setiap hari dan ianya membuktikan bahawa sekali lagi kita tidak peduli ataupun bersikap ‘lebih kurang’ terhadap semua kempen-kempen kesihatan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di samping pihak-pihak lain yang berkaitan.

9. Dari aspek sosial pula misalnya, sikap ‘lebih kurang’ kita terhadap apa yang berlaku di sekeliling menyebabkan masalah-masalah sosial seperti pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, vandalisme, seks bebas serta masalah-masalah disiplin yang melibatkan pelajar sekolah dan juga remaja semakin berleluasa dalam masyarakat kita.

10. Hampir setiap hari kita didedahkan dengan berita-berita seperti di atas yang sememanganya berlaku di kawasan perumahan dan kejiranan kita. Namun kita masih tidak mahu mengambil berat denagn apa yang berlaku selagi ianya tidak kena pada batang hidung kita sendiri. Sikap ‘lebih kurang’ sebeginilah menyebabkan bilangan bayi yang mati dibuang semaking meningkat di samping peningkatan statistik pelbagai salah laku dan masalah sosial di kalangan remaja kita. Percayalah bahawa jika kita masih bersikap seperti ini, masyarakat kita akan semakin parah dan boleh menghancurkan tamadun bangsa yang kita banggakan selama ini.

11. Sikap ‘lebih kurang’ ini juga selalunya dikaitkan dengan sesuatu kerja yang kita laksanakan. Perkhidmatan awam merupakan antara sektor yang sering menjadi sasaran apabila kita membicarakan soal kerja ‘lebih kurang’.

12. Sikap ini seolah-olah begitu sinonim dengan penjawat awam di negara kita. Buktinya kita masih mendengar rungutan dan aduan dari pelanggan bahawa penjawat awam melaksanakn sesuatu tugas secara sambil lewa, cuai dan juga tidak mematuhi tempoh masa yang telah ditetapkan.

13. Sikap dan tingkah laku ini adalah elemen-elemen budaya ‘lebih kurang’ yang ada pada segelintir penjawat awam yang perlu dikikis dengan segera. Sikap ini di kalangan penjawat awam cukup merugikan semua pihak dan akan menjejaskan pelaksanaan dan kejayaan segala program transformasi kerajaan seperti NKRA dan MEB.

14. Ini kerana budaya tersebut boleh mengakibatkan seseorang penjawat awam mahupun sesebuah jabatan kerajaan tersebut tidak dapat berfungsi dengan cekap dan efisyen. Keputusan-keputusan yang dibuat boleh jadi salah ataupun tidak berkesan malah ianya juga boleh menjurus ke arah pembaziran wang rakyat terutamanya apabila melibatkan urusan perolehan.

15. Untuk mengelak kejadian-kejadian seperti itu, penjawat awam yang tergolong dalam kumpulan yang suka mengamalkan budaya ‘lebih kurang’ ini perlu melakukan anjakan paradigma secara besar-besaran dan juga secara menyeluruh dengan segera agar mereka tidak lagi menjadi beban kepada sesebuah jabatan mahupun menjadi punca kegagalan sesuatu program kerajaan.

16. Hal ini penting kerana kejayaan dan kegagalan kesemua program dan inisiatif yang kerajaan lancarkan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat adalah terletak di tangan penjawat awam. Justeru perubahan sikap perlu dilakukan dengan segera.

17. Ketelitian selalunya dikaitkan dengan aspek cerewet. Dalam hal sebegini terutamanya apabila ianya melibatkan isu sosial masyarakat serta kepentingan rakyat maka tidak salahnya untuk kita lebih teliti mahupun cerewet asalkan niatnya adalah betul.

18. Pada masa yang sama, berbeza halnya isilah ‘lebih kurang’ dalam masyarakat perniagaan. Pengguna misalnya cukup seronok jika seseorang peniaga itu boleh mengamalkan budaya ‘lebih kurang’ dalam perniagaanya di mana jika peniaga memiliki sikap ‘lebih kurang’ maka pengguna boleh menikmati sedikit keuntungan terutamanya dari segi harga yang ditawarkan.

19. Para peniaga juga selalunya tidak terlalu berkira dengan pengguna kerana ianya merupakan satu strategi perniagaan yang cukup signifikan kerana sikap ini sekaligus akan membantu meningkatkan perniagaan peniaga tersebut kerana sikap ‘lebih kurang’ peniaga akan mewujudkan hubungan yang baik dengan para pelanggan untuk jangka masa yang panjang.

20. Justeru kesimpulannya ialah, isu ‘lebih kurang’ dan ‘teliti’ perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar dan ianya perlu diadaptasi mengikut keperluan dan senario semasa. Masyarakat dan penjawat awam wajar berubah sikap dari ‘lebih kurang’ kepada ‘lebih teliti’ demi kemajuan bangsa, agama dan negara. Sebaliknya para peniaga perlu terus kekal menyuburkan budaya ‘lebih kurang’ demi kemajuan sektor perniagaan yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak yang terlibat iaitu peniaga dan juga pengguna.

Tuesday, April 20, 2010

IBU BAPA PERLU SOKONG KEMPEN ‘MINGGU TIDAK MENONTON TELEVISYEN’
(Telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia pada 20/4/2010)

1. Dewasa ini pelbagai masalah sosial melibatkan anak-anak dan golongan remaja mula mencengkam masyarakat kita. Kes pembuangan bayi, merokok, merempit, menagih dadah, seks bebas, vandalisme, lari dari rumah dan macam-macam lagi salah laku jenayah sudah cukup untuk merisaukan semua pihak.

2. Ternyata Ibu bapa dilihat semakin hari semakin hilang kawalan ke atas anak-anak mereka yang semakin nakal dan liar. Mereka juga menghadapi masalah untuk mendidik dan membentuk anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna mengikut acuan yang mereka kehendaki.

3. Terkini pihak Polis Kuala Lumpur mendedahkan bahawa seramai 3,263 orang pelajar sekolah ditahan pada tahun lalu melibatkan 2003 kes. Pelajar berusia antara 13 dan 18 tahun dilaporkan turut terlibat dalam kes seks bebas, kehamilan, pembuangan bayi, rogol, samun dan juga mencuri motosikal.

4. Statistik ini yang dikatakan semakin meningkat setiap tahun sudah cukup untuk membuktikan dan mencerminkan tahap masalah sosial di kalangan remaja di negara kita. Golongan yang sepatutnya menjadi harapan masa depan negara ini dilihat semakin hanyut dek dunia yang bebas tanpa sempadan.

5. Antara punca kepada pelbagai masalah sosial yang melanda golongan belia negara kita pada hari ini ialah pengaruh negatif rancangan-rancangan televisyen yang boleh dikategorikan sebagai kurang sihat. Televisyen yang sentiasa menjadi medium panduan dan pendidikan anak-anak kita sudah mula menguasai minda dan pemikiran mereka dengan nilai-nilai yang jauh bertentangan dengan nilai dan adat ketimuran kita yang kemudiannya mempengaruhi segala tingkah laku mereka dalam kehidupan seharian.

6. Adengan pergaulan tanpa batasan dan seks bebas serta perlakuan ganas seperti gengsterime yang dipaparkan dalam televisyen kita baik melalui drama dan filem tempatan mahupun barat boleh diibaratkan telah menjadi guru kepada remaja kita.

7. Drama-drama sinetron yang berunsurkan tahyul dari seberang dan filem-filem yang ganas dari barat dilihat cukup mudah mempengaruhi minda para penonton dan itulah yang sedang menjadi gaya dan trend ikutan muda mudi zaman sekarang.

8. Mereka mencontohi kesemua perlakuan dan gelagat yang dipertonjolkan secara bulat-bulat dan sering menjadikannya sebagai panduan dalam hidup mereka. Perbuatan yang dimulakan atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru akhirnya menjadi ketagih dan budaya yang sukar untuk ditinggalkan.

9. Fenomena ini sebenarnya adalah selaras dengan pandangan para sarjana komunikasi yang bersetuju bahawa media seperti televisyen mempunyai pengaruh yang cukup kuat terhadap penonton dan ianya dibuktikan melalui beberapa teori komunikasi yang terkenal. Magic Bullet Theory yang telah diperkenalkan oleh Katz dan Lazarsfeld pada tahun 1955 misalnya menggandaikan bahawa televisyen memberikan kesan negatif kepada penonton secara langsung dan segera seperti peluru di mana para penonton cenderung untuk percaya kesemua perkara yang dilihat di kaca televisyen yang sekaligus boleh mempengaruhi tingkah laku mereka.

10. Maka jika kita mengkaji secara mendalam segala masalah sosial yang kita hadapi pada hari ini dengan pengaruh televisyen ke atas remaja kita, ternyata andaian teori komunikasi tersebut ada kebenarannya. Ini membuktikan bahawa menonton televisen pada hari ini boleh mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika ianya tidak dikawal dan dipantau dengan sewajarnya.

11. Mengambilkira senario yang membahayakan ini, adalah wajar untuk kita terutamanya para Ibu bapa menyokong kempen ‘Minggu Tidak Menonton Televisyen’ anjuran Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang akan berlangsung mulai 21 hingga 27 April ini.

12. FOMCA juga mendedahkan bahawa kajian yang dibuat pada tahun 2005 melibatkan penggunaan peralatan berskrin seperti televisyen, komputer dan telefon bimbit mendapati golongan muda menghabiskan 73% daripada masa lapang mereka untuk menonton televisyen dan dilaporkan juga bahawa kanak-kanak menghabiskan masa antara tiga hingga lima jam sehari di hadapan peti televisyen masing-masing.

13. Justeru Ibu bapa perlu mengawal dan memberi perhatian yang serius kepada jenis rancangan yang ditonton oleh anak-anak mereka di rumah supaya mereka tidak terdedah dengan rancangan-rancangan yang boleh meruntuhkan akhlak dan moral masing-masing.

14. Memang tidak dapat dinafikan kepentingan televisyen dalam hidup kita sebagai sumber maklumat tetapi ianya banyak bergantung kepada rancangan apa yang menjadi bahan tontonan kita seisi keluarga. Dalam hal ini, kita juga berharap agar pihak kementerian dan juga Lembaga Penapisan Filem (LPF) dapat memainkan peranan yang lebih efektif untuk membendung penularan filem dan drama yang kurang sihat ini ke dalam negara kita.

15. Selain keruntuhan moral, ketagihan menonton televisyen juga banyak mendatangkan kesan buruk pada tahap kesihatan di mana pelbagai penyakit seperti obesiti dan diabetes akan mula mengancam hidup kita kerana kita terlalu pasif dan tidak bergerak aktif untuk suatu tempoh masa yang lama di hadapan kaca televisyen.

16. Pembaziran masa yang begitu lama (tiga hingga lima jam sehari) di hadapan kaca televisyen juga sudah pastinya akan menjejaskan pelajaran anak-anak kita di mana ada yang terlalu asyik menonton televisyen hingga leka dan tidak mengulangkaji pelajaran mahupun menyiapkan kerja sekolah masing-masing. Akibatnya prestasi akademik mereka boleh menurun secara mendadak.

17. Keruntuhan moral, masalah kesihatan dan juga pelajaran adalah antara kesan negatif yang langsung yang muncul akibat daripada kelalaian kita mengawal anak-anak kita dari terus menjadi hamba televisyen.

18. Anak-anak hari ini adalah generasi pewaris masa depan negara kita. Justeru kelestarian pembangunan modal insan perlu dititikberatkan agar kita dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi juga kaya dari segi akhlak dan budi bahasanya.

19. Kita khuatir tabiat yang kurang sihat ini akan mula menjauhkan kita daripada anak-anak kita, merenggangkan hubungan kekeluargaan dan sekaligus menghancurkan keharmonian keluarga kita.

20. Maka gunakanlah peluang ini bersempena dengan kempen yang dianjurkan oleh FOMCA untuk membetulkan keadaan dengan mengubah secara total gaya hidup kita dan juga ahli keluara kita dengan memperbanyakkan aktiviti aktif yang lebih berfaedah secara bersama. Perkara ini sewajarnya berterusan sepanjang masa dan bukan hanya bertahan untuk tepoh masa kempen tersebut semata-mata.

21. Jika ini dapat dilakukan, pasti ianya akan merapatkan dan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan kita sepanjang masa dan percayalah bahawa hubungan kekeluargaan yang rapat yang disulami dengan perasaan kasih dan sayang adalah merupakan ubat yang paling mujarab dalam membendung segala masalah sosial yang melibatkan remaja di negara kita.

Friday, April 16, 2010

PELAJAR SEKARANG BERANI TAK BERTEMPAT
(TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR HARIAN METRO BERTARIKH 19/4/2010)

1. Masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah kembali menarik perhtian umum. Terkini, sekumpulan pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Jalan Klang Lama dilaporkan menyembur cat ke atas sebelas buah kenderaan guru mereka dan juga memecahkan cermin beberapa buah kereta yang terbabit.


2. Kejadian ini boleh dikatakan cukup serius dan melampau malah mengejutkan ramai pihak kerana melibatkan pelajar yang rata-rata baru berusia 14 dan 15 tahun. Keberanian mereka cukup merisaukan semua pihak.



3. Insiden ini dilaporkan berpunca daripada rasa ketidakpuasan hati pelajar yang telah dikenakan tindakan disiplin oleh guru sekolah terbabit. Namun walau apapun alasan mereka, perbuatan ini tidak boleh diterima sama sekali dan sukar untuk kita mengambarkan perasaan guru terbabit yang kita yakin tindakan mereka adalah semata-mata untuk mendidik dan membentuk pelajar berkenaan.



4. Ternyata pelajar zaman sekarang cukup berani sehingga sanggup membalas dendam terhadap guru yang cuba membetulkan mereka. Kes ini boleh dikatakan rentetan daripada beberapa kes yang pernah dilaporkan sebelum ini malah kita percaya masih banyak lagi kejadian seumpama ini berlaku di sekolah di seluruh negara yang tidak dilaporkan ataupun dihebahkan untuk tatapan umum.



5. Masalah sosial yang melibatkan pelajar sekolah desawa ini semakin menjadi-jadi. Bermula dengan gejala merokok, penagihan dadah, mencuri hinggalah kepada pelbagai lagi perbuatan vandalisme yang menakutkan kita.



6. Maka institusi sekolahlah dilihat sebagai tempat harapan semua pihak terutamanya Ibu Bapa agar anak-anak mereka dapat dididik dan dibentuk menjadi manusia yang berguna tanpa terpengaruh dan tergolong dalam kategori pesalah juvana seperti di atas.



7. Tetapi kejadian membalas dendam terhadap guru seperti ini pastinya akan menjejaskan malah boleh menghancurkan harapan tersebut kerana para guru akan mula berfikir dua kali sebelum mengambil sesuatu tindakan ke atas anak murud mereka kerana takut pelajar terbabit akan membalas semula.



8. Apa yang jelas, dalam hal ini yang rugi ialah para pelajar itu sendiri dan ternyata keberanian mereka langsung tidak bertempat dan dilihat akan menghancurkan masa depan mereka sendiri.


9. Jika kita meneliti semula impak dan kesan akibat daripada kejadian ini, ianya boleh dibahagikan kepada dua aspek iaitu impak kepada guru dan satu lagi ialah impak kepada para pelajar. Bagi guru yang terbabit, kita percaya kejadian ini pastinya akan meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam pada diri masing-masing.



10. Mereka bukan sahaja akan kecewa malah ianya juga boleh memberi kesan dari segi psikologi dan motivasi guru berkenaan. Misalnya, ianya boleh menggangu perasaan dan emosi mereka di samping boleh juga mewujudkan rasa takut serta menjejaskan motivasi dan semangat untuk meneruskan aktiviti penjagaran mereka. Malah insiden ini juga akan dilihat sebagai kejadian yang boleh mengancam keselamatan diri mereka.



11. Akibatnya kita yakin dan pasti akan ada guru yang terbabit mula memikirkan secara serius untuk memohon pertukaran sekolah dan ini sekali algi akan merugikan dan menjejaskan aktiviti pembelajaran di sekolah tersebut. Maka perbuatan segelintir pelajar nakal ini menyebabkan kerugian kepada pelajar lain yang yang tidak bersalah.



12. Bagi pelajar yang terbabit pula, tindakan berani tak bertempat mereka ini pasti akan mengundang hukuman yang setimpal. Mereka bukan sahaja berhadapan tindakan disiplin dari pihak sekolah seperti digantung ataupun dibuang sekolah malah ia juga mula melibatkan pihak Polis apabila guru terbabit telahpun membuat laporan di Balai Polis Taman Medan.



13. Tindakan mereka akhirnya memakan diri sendiri dan sekarang berhadapan dengan tindakan undang-undang yang pastinya akan menghancurkan masa depan mereka. Akibatnya juga, para Ibu Bapa pelajar berkenaan perlu menanggung malu malah mereka mula risau apabila terkenang tindakan yang bakal dikenakan terhadap anak-anak mereka kelak.



14. Kesimpulannya, kejadian sebegini lebih banyak mendatangkan kerugian di pihak para pelajar itu sendiri. Misalnya, para guru boleh bertukar sekolah, boleh tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pelajar malah mereka juga boleh berdiam diri dan tidak mempedulikan masalah pelajar-pelajar seperti ini.


15. Tetapi apakah itu yang kita kehendaki? Maka kita perlu menyuntik kembali semangat para guru dengan membela nasib mereka di samping meyakinkan mereka bahawa keselamatan mereka sentiasa terjamin. Pokok pangkalnya, para guru perlu dibenarkan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi tanpa gangguan seperti ini.



16. Justeru kejadian ini sewajarnya membuka mata dan minda kita untuk merenung kembali masa depan anak-anak kita yang semakin liar, nakal dan sukar untuk dikawal baik oleh pihak sekolah mahupun oleh Ibu Bapa sendiri.



17. Kita berharap agar semua pihak yang terlibat secara langsung seperti pihak sekolah, PIBG, Kementerian Pelajaran dan juga pihak Polis dapat duduk semeja, bergabung idea dan tenaga bagi mencari jalan penyelesaian supaya gejala sebegini dapat dibendung dengan segera.



18. Anak-anak kita pada hari ini adalah generasi pelapis harapan agama dan bangsa kita. Maka kita tidak mahu mereka hanyut dek pelbagai masalah sosial yang boleh menghancurkan masa depan mereka dan juga masa depan negara kita.

Wednesday, April 14, 2010

MASYARAKAT PERLU BERTINDAK

1. Isu buang bayi berulang lagi dan terkini satu lagi mayat bayi lelaki yang sempurna sifatnya dijumpai dalam timbunan sampah di Sungai Choh di Hulu Selangor dan hasil bedah siasat mengesahkan bahawa bayi malang itu mati akibat keguguran.

2. Sama ada ianya merupakan takdir ataupun kebetulan tetapi hakikatnya kes ini berlaku di kawasan yang sedang begitu sibuk dengan persiapan pilihanraya kecil tidak lama lagi. Ini membuktikan bahawa pelaku jenayah ini tidak takut untuk melakukan kesalahan tersebut walaupun di kawasan tumpuan ramai yang terdiri daripada ahli politik dan juga pihak berkuasa.

3. Apa yang nyata, kes terbaru ini sekali mencerminkan bahawa sehingga ke hari ini masalah pembuangan bayi masih tidak menampakkan tanda noktahnya. Walaupun pelbagai kempen dan program dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat namun ianya belum menunjukkan jalan penyelesaian kepada masalah ini.

4. Kita hanya mampu menggeleng kepala meratapi kematian seorang lagi bayi yang tidak berdosa. Saban hari senarainya semakin meningkat yang sekaligus mengundang kegelisahan di kalangan masyarakat dan juga pihak berkuasa.

5. Rata-rata semua pihak mengakui bahawa kita perlu melahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab, menjaga tepi kain orang dan prihatin jika mahu menangani gejala sosial ini. Memang betul kita perlu mendidik masyarakat supaya lebih prihatin dan peka dengan apa yang berlaku di sekitar mereka. Ini kerana kita tidak boleh membiarkan masalah sosial sebegini terus mencengkam kehidupan kita.

6. Kejadian sebegini memang sukar untuk diterima dek akal yang waras. Haiwan sekalipun belum tentu berkelakuan seperti ini pada anaknya. Maka ianya menimbulkan pelbagai persoalan yang dilihat cukup misteri dan aneh untuk dirungkai dan diselesaikan.

7. Di samping kita terpaksa mengakui bahawa nilai-nila kemanusiaan itu semakin pudar dari masyarakat kita yang dikatakan semakin cerdik dan bijak, kita juga perlu memperhalusi kembali peranan masyarakat yang sanggup prihatin dengan masalah seperti ini.

8. Apakah kita benar-benar memahami erti perkataan ‘prihatin’ dan sejauhmana kita boleh bertindak untuk membantu mengatasi masalah sosial ini? Kedua-dua isu ini perlu dijelaskan kepada umum agar masyarakat dapat memainkan peranan yang kita kehendaki.

9. Mengikut kamus dewan, prihatin bermaksud mengambil berat ataupun memberi perhatain terhadap sesuatu perkara. Kedua-dua aspek ini secara luarannya hanyalah setakat apa yang kita buat sekarang iaitu meluahkan rasa sedih dan marah kepada pelaku jenayah tersebut dan paling baikpun kita melaporkan kepada pihak berkuasa.

10. Apakah tindakan tersebut sudah memadai? Setelah mengambilkira rentetan kes buang bayi yang sedang berlaku, ternyata tindakan tersebut semata-mata belum memadai untuk menghentikan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini.

11. Maka adalah disyorkan agar pihak kerajaan tampil dengan pelan strategi yang lebih menyeluruh dengan menekankan aspek peranan sebenarnya yang perlu dimainkan oleh masyarakat. Hal ini cukup penting dan ianya perlu digariskan dengan jelas kerana rata-rata kita masih terpinga-pinga dengan konsep prihatin itu sendiri.

12. Ini kerana, percaya ataupun tidak masih ramai di kalangan kita yang beranggapan bahawa prihatin maksudnya hanyalah sekadar berkongsi rasa kesedihan tentang apa yang menimpa bayi ataupun kanak-kanak malang di negara kita selama ini. Maka masih ramai yang belum bermotivasi mahupun bersemangat untuk turun padang dan bertindak dengan lebih agresif bagi membendung wabak ini yang semakin merebak.

13. Justeru masyarakat perlu diperjelaskan tentang peranan mereka dalam menangani hal ini dan masyarakat perlu dilibatkan secara langsung dalam setiap tindakan yang bakal diambil oleh pihak yang berkuasa. Dalam keadaan sekarang kita perlukan masyarakat yang berani bertindak bukan hanya berkongsi emosi dan perasaan semata-mata.

14. Jika perlu penurunan kuasa perlu dilakukan kepada pemimpin masyarakat supaya mereka lebih sedar tentang tanggungjawab mereka. Kuasa yang diberikan boleh diterjemahkan dalam bentuk tindakan bagi membendung isu ini.

15. Misalnya apakah kuasa yang boleh kita diberikan kepada Ketua Kampung, Imam, AJK masjid dan surau, Pengerusi Rukun Tetangga serta pemimpin-pemimpin masyarakat yang lain termasuk ahli politik di peringkat cawangan mahupun bahagian tanpa mempedulikan fahaman dan idelogi politik masing-masing.

16. Mereka ini adalah sebahagian daripada ahli masyarakat di mana kejadian-kejadian sebegini berlaku di kawasan perumahan, kejiranan dan sekeliling mereka yang sepatutnya boleh dibendung jika kita mendidik masyarakat kita untuk lebih prihatin dalam erti kata yang sebenar. Ketika ini apa yang kita perlukan adalah tindakan dan bukannya rungutan ataupun hanya setakat meluahkan rasa kemarahan dan ketidakpuasan hati masing-masing.

17. Isu ini adalah isu nasional dan mangsa yang terlibat selama inipun tidak kenal usia, bangsa dan agama. Maka kerjasama dan pemuafakatan di kalangan ahli masyarakat dari pelbagai agama dan bangsa perlu digembeling supaya kita dapat bertindak sebagai satu pasukan dalam memerangi wabak ini.

18. Percayalah bahawa tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Pokok pangkalnya setiap seorang daripada kita perlu sedar tentang peranan masing-masing. Ini kerana setiap seorang daripada kita ada peranannya tersendiri dan kita perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku di sekitar kita. Hanya dengan cara ini kita mampu membendung gejala tersebut dari terus berleluasa dalam masyarakat kita.
EKSPEKTASI PELANGGAN YANG TINGGI CABARAN UTAMA PERKHIDMATAN AWAM

1. Sekali lagi Datuk Seri Najib bercakap tentang harapan beliau kepada kira-kira 1.2 juta penjawat awam dalam merealisasikan segala inisiatif kerajaan. Secara terbuka Najib mengakui bahawa beliau sangat bergantung kepada sokongan penjawat awam dan untuk itu beliau berjanji untuk menaikkan gaji kakitangan awam dengan syarat mereka meningkatkan produktiviti dan menyokong inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara ekonomi berpendapatan tinggi seperti yang telah digariskan dalam MEB.

2. Ternyata Najib sangat serius dalam hal ini. Ianya merupakan satu amanat yang cukup jelas dan penting yang sekaligus bakal menjadi cabaran utama kepada setiap penjawat awam. Bagi membuktikan keprihatinan beliau terhadap penjawat awam, beliau telahpun memperkenalkan pelbagai insentif dan inisiatif sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Laluan kerjaya yang lebih menarik serta peluang kenaikan pangkat antara hadiah beliau kepada penjawat awam setakat ini. Justeru adalah tidak keterlaluan dengan apa yang beliau harapkan daripada setiap penjawat awam.

3. Perkhidmatan awam pada hari ini dilihat lebih cekap, efisien, efektif dan mesra pelanggan berbanding tahun 80-an dan awal 90-an. Transformasi, pembaharuan dan penambahbaikan yang telah dilaksanakan selama ini sudah mula menampakkan hasil yang memuaskan semua pihak.

4. Perkhidmatan kaunter di kebanyakkan jabatan kerajaan pada hari ini yang lebih mesra pelanggan dan informatif yang dapat bertindak sebagai one stop center dilihat sangat berkesan. Pelbagai perkhidmatan dan urusniaga di atas talian seperti e–filing dan bayaran cukai pula cukup menyenangkan para pelanggan terutamanya dari aspek penjimatan masa. Perkhidmatan hospital dan klinik kerajaan yang dahulunya dilihat cukup memeritkan para pesakit yang terpaksa menunggu begitu lama kini lebih pantas malah kewujudan klinik 1Malaysia juga sangat membantu dalam hal ini.

5. Lantaran ketika ini agak jarang kita mendengar keluhan dan rungutan pelanggan yang berurusan dengan jabatan kerajaan terutamanya dari aspek tempoh masa menunggu yang lama serta layanan perkhidmatan kaunter yang kurang sopan. Kalau ada sekalipun ianya merupakan kes terpencil yang disebabkan oleh pelbagai masalah sampingan. Walaupun perkhidmatan awam pada hari ini lebih baik dari dahulu namun kita akui masih terdapat ruang dan peluang untuk penambahbaikan yang berterusan.

6. Salah satu cabaran utama kepada perkhidmatan awam pada hari ini ialah ekspektasi pelanggan yang semakin hari semakin tinggi dari segenap aspek. Ekspektasi pelanggan adalah suatu tuntutan yang cukup dinamik. Ianya sentiasa berubah mengikut kehendak dan senario semasa.

7. Maka ianya menjadi satu cabaran yang sangat besar dan kadang kala dilihat mula membebankan penjawat awam kerana mereka dipaksa untuk memenuhi segala kehendak pelanggan. Akibatnya ramai penjawat awam terutamanya ketua-ketua jabatan mula rasa tertekan kerana takut dilabel tidak menunjukkan presatasi yang memuaskan. Ianya sekaligus dilihat mula menjejaskan produktiviti sesebuah jabatan kerajaan.

8. Karenah pelanggan yang kadang kala cukup melampau, mengharapkan sesuatu yang luar biasa ataupun keajaiban, sentiasa ingin cepat tanpa mempedulikan kehendak dan keperluan orang lain, mementingkan diri sendiri serta suka memprovokasi staf yang bertugas semaas berurusan adalah antara masalah dan cabaran utama penjawat awam dewasa ini dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

9. Kita masih terlalu taksub dengan ungkapan pelanggan adalah raja dan mereka selalunya betul. Walaupun ungkapan ini ada kebenarannya terutamanya bagi jabatan-jabatan yang terlibat secara langsung dalam memberikan perkhidmatan korporat atau berfokus pelanggan namun mungkin sudah sampai masanya ungkapan tersebut dikaji semula agar adanya situasi menang-menang (win-win situation) antara kedua-dua pihak yang terlibat.

10. Situasi menang-menang cukup penting kerana ianya akan menjadi pendorong dan pencetus semangat kepada penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Ini kerana dalam situasi tersebut peranan, sumbangan, perasaan dan emosi para penjawat awam juga akan diambil kira. Ianya cukup signifikan kerana selama ini hanya kehendak dan keperluan satu pihak iaitu pelanggan sahaja diutamakan dalam apa jua keadaan sekalipun. Perasaan dan emosi staf pula tidak begitu dipedulikan ataupun diendahkan atas alasan pelanggan adalah betul sepanjang masa.

11. Apabila timbulnya sesuatu aduan maka semua pihak akan terus menuding jari menyalahkan pegawai dan jabatan yang terlibat tanpa menyiasat sepenuhnya punca utama masalah yang timbul. Kita perlu sedar bahawa tidak semua masalah berpunca daripada kesilapan mahupun kelalaian penjawat awam. Sikap dan tingkah laku para pelanggan juga sering menjadi punca utama kepada masalah yang timbul.

12. Misalnya masalah perbezaan kemahiran komunikasi interpersonal di antara pegawai dan pelanggan adalah antara punca utama kepada semua aduan yang berkaitan dengan aspek komunikasi di jabatan kerajaan. Kemahiran komunikasi interpersonal yang baik di antara kedua belah pihak yang berurusan pastinya akan mewujudkan perhubungan dan perbualan yang lebih sopan, mesra dan erat yang sekaligus dapat memudahkan sistem penyampaian dan penerimaan perkhidmatan dalam sesebuah organisasi.

13. Justeru, apa yang diharapkan ialah, disamping kita mahukan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan mesra rakyat dengan penjawat awam yang produktif, cekap, berhemah dan dedikasi, kita juga mengharapkan agar pelanggan juga lebih bertimbang rasa, tidak terlalu menekan dan mendesak serta memahami tugas dan beban kerja penjawat awam.

14. Kita khuatir apabila penjawat awam terlalu ditekan atau dibebani dengan masalah sebegini maka ianya akan menjejaskan produktiviti yang kita harapkan. Penjawat awam perlu dibenarkan untuk bertugas dan menjalankan tanggungjawab mereka dalam keadaan yang lebih selesa tanpa dibebani dengan masalah seperti di atas.

15. Jika ini boleh berlaku maka penulis percaya bukan sahaja penjawat awam boleh membantu Najib meningkatkan produktiviti serta mengukuhkan ekonomi negara malah rakyat juga akan menikmati perkhidmatan bertaraf kelas pertama daripada semua jabatan kerajaan yang ada. Kita perlu sedar bahawa sesungguhnya organisasi dan pelanggan saling bergantung dan memerlukan di antara satu sama lain. Kerajaan, penjawat awam dan juga rakyat perlu berganding bahu dan saling melengkapi andai kita mahu memastikan kehidupan kita pada hari ini lebih baik daripada hari semalam dan serta memastikan kehidupan kita pada masa hadapan akan lebih baik lagi berbanding pada hari ini seperti yang telah digariskan oleh Najib.
AWAS! H1N1 MASIH BERSAMA KITA
(Telah disiarkan dlam akhbar harian Metro bertarikh 12/4/2010)

1. Secara tiba-tiba kita dikejutkan dengan dua kes kematian melibatkan dua beranak dari satu keluarga akibat jangkitan H1N1 di Hospital Melaka. Lebih tragis lagi ianya melibatkan seorang wanita yang sedang mengandung 36 minggu yang tidak sempat menatap wajah bayinya yang baru dilahirkan.

2. Kes kematian ini menyusul selepas satu lagi kes kematian yang dicatatkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada 28 Februari 2010 melibatkan seorang wanita muda berusia 22 tahun. Dalam pada itu jumlah kes seakan Influenza (ILI) juga dilaporkan mula meningkat kembali setelah agak reda untuk seketika.

3. Di peringkat antarabangsa, penularan jangkitan influenza A(H1N1) masih lagi aktif khususnya di Asia Tenggara, Afrika Barat dan Afrika Timur serta negara-negara beriklim sederhana di Hemisfera Utara seperti di Eropah Timur dan Selatan, Asia Selatan dan Timur. Sehingga 21 Mac 2010, jumlah kematian akibat jangkitan influenza A(H1N1) di seluruh dunia adalah melebihi 16,931 kes.

4. Ketika ini jumlah kes kematian di negara kita telahpun mencecah angka 80 orang dengan bilangan pesakit yang positif wabak berjumlah 12,715 orang. Di samping itu, mengikut laporan terkini, jumlah kes ILI yang masih dirawat ialah 401 kes di 49 hospital kerajaan dan swasta dan daripada jumlah tersebut 26 pesakit atau 6.5% dilaporkan adalah positif virus H1N1.

5. Statistik dan kes kematian di atas tersebut membuktikan bahawa Influenza A(H1N1) masih aktif di negara kita dan seolah-olah memberi petanda kepada gelombang kedua penularan wabak tersebut. Walaupun situasinya dikatakan agak terkawal namun tiga kematian tersebut sudah cukup untuk mencetuskan kembali kerisauan dalam kalangan masyarakat kita.

6. Ternyata jangkaan kita bahawa wabak ini sudah tidak merebak lagi dalam masyarakat kita meleset sama sekali. Ianya dilihat terus merebak secara senyap dan juga secara berterusan.

7. Dalam konteks ini, tiada gunanya kita menuding jari menyalahkan pihak lain terutamannya KKM akibat daripada penularan kembali wabak ini. Ini Kerana, dewasa ini semakin kurang kita melihat rakyat kita memakai penutup mulut dan hidung ataupun mask untuk menghindari jangkitan wabak tersebut.

8. Ianya berbeza sama sekali bila kita imbas apa yang berlaku pada pertengahan tahun lepas semasa wabak ini menular dengan pantas di negara kita yang membawa kepada penutupan beberapa buah sekolah dan juga IPTA di mana tahap kesedaran rakyat kita pada ketika itu untuk memakai mask cukup tinggi sehinggakan harga mask melambung tinggi malah kita juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan mask di pasaran.

9. Namun tahap kesedaran ini semakin hari dilihat semakin merudum dan pada hari ini kita amat sukar untuk melihat rakyat kita memakai mask di khalayak ramai sama seperti tahun lepas. Kenapa perkara ini boleh berlaku dan apakah hanya setakat itu sahaja tahap kesedaran kita tentang bahaya wabak ini?. Setiap seorang daripada kita wajar merenung persoalan tersebut secara serius kerana jawapannya terletak pada diri kita sendiri.

10. Walau apapun jawapannya, kelekaan kita telah membuka ruang dan peluang yang seluas-luasnya kepada wabak ini untuk kembali mengganas di negara kita. Walaupun KKM tidak putus-putus melancarkan pelbagai kempen kesedaran untuk terus mengingatkan masyarakat tentang panduan penjagaan kesihatan diri dan keluarga namun tahap kesedaran kita boleh dikatakan masih rendah.

11. Kita masih leka dalam menjaga kebersihan diri, kita masih gagal untuk mematuhi etika batuk yang disarankan dan kita juga masih gagal untuk segera mendapatkan rawatan di hospital apabila adanya tanda ataupun gejala ILI.

12. Kelekaan dan kegagalan kita akhirnya mula menimbulkan masalah kepada kita sendiri. Kes-kes kematian yang berlaku di negara kita sewajarnya mampu dielak atau sekurang-kurangnya dapat dikurangkan andai kita mematuhi nasihat yang diberikan oleh KKM.

13. Peningkatan kes yang dilaporkan juga menunjukkan betapa pentingnya mereka-mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko seperti penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit asma, kanak-kanak dan ibu mengandung perlu segera mendapatkan rawatan jika menunjukakn tanda-tanda ILI iaitu demam yang tinggi (38ยบ C) yang disertai dengan batuk dan lain-lain tanda seperti selsema dan batuk.

14. Rawatan awal dengan ubat Tamiflu dilihat sangat berkesan dan dapat mengelakkan dari berlakunya komplikasi yang lebih memudaratkan. Kelewatan kita dalam menerima rawatan khusus akan menjejaskan keberkesanan ubat tersebut dan boleh mengundang pelbagai komplikasi lain.

15. Percayalah bahawa KKM sendiri tidak mampu untuk membendung penularan wabak ini tanpa kerjasama masyarakat. Masyarakat juga perlu memainkan peranan yang aktif agar kita dapat mengekang penularan wabak ini daripada terus menjadi tidak terkawal.

16. Masyarakat perlu sedar dengan segera. Kita tidak boleh lagi terus hidup dengan budaya di mana selagi ianya tidak kena pada batang hidung sendiri tidak mengapa. Kita akan mengelabah dan panik hanya apabila sesuatu musibah itu berlaku ke atas diri kita ataupun ahli keluarga kita. Budaya ini perlu dibendung dengan segera.

17. Sebenarnya pilihan adalah di tangan kita sendiri. Kita perlu mengelak dari mementingkan diri sendiri dalam keadaan sebegini. Andai kita ada simptom ILI adalah wajar untuk kita memakai mask dan kurangkan aktiviti di khalayak ramai serta menjaga etika batuk seterusnya segera mendapatkan rawatan di hospital.

18. Sebagai masyarakat yang bertamadun dan progresif kita perlu mengubah sikap kita. Hanya perubahan sikap dilihat mampu membendung penularan wabak ini. Selagi kita degil, tidak peduli, tidak mahu ambil tahu, tidak mahu mematuhi arahan KKM, adalah sukar untuk kita mengekang mahupun membendung wabak ini dalam masyarakat kita.

19. Justeru marilah kita bersama-sama mengambil ikhtibar dengan kes-kes kematian yang berlaku sebelum ini seterusnya berganding bahu, saling ingat-meningatkan ahli keluarga, rakan, jiran dan anggota masyarakat yang lain supaya kita dapat berganding bahu mengekang penularan wabak ini secara menyeluruh. Ingatlah bahawa mencegah lebih baik dari mengubatinya.