Tuesday, July 27, 2010

PENGENDALI BAS TAMBAHAN WAJAR UTAMA KUALITI, KESELAMATAN PENUMPANG
(Telah disiarkan dalam akhbar Berita harian & Utusan Malaysia pada 27/7/2010)

1. Seperti biasa isu perkhidmatan bas tambahan sudah mula kedengaran menjelang musim perayaan tidak lama lagi terutamanya sambutan Hari Raya Aidilfitri pada September kelak.

2. Penyediaan kemudahan bas tambahan pada tahun agak menarik untuk diperkatakan kerana sudah ada pengusaha bas yang menyuarakan hasrat untuk tidak menyediakan perkhidmatan tersebut pada tahun ini atas sebab kenaikan lima sen harga diesel yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

3. Misalnya, kira-kira 130 pengusaha bas di Semenanjung yang menjadi ahi Persatuan Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) dilaporkan kemungkinan besar tidak akan menyediakan bas tambahan pada Aidilfitri ini ekoran daripada kenaikan harga diesel tersebut.

4. Dalam pada itu, kira-kira 24 pengusaha bas yang menjadi ahli Persatuan Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) pula tampil dengan kenyataan bahawa tiada masalah kepada mereka untuk menyediakan perkhidmatan bas tambahan yang berjumlah kira-kira 600 buah bas untuk Aidilfitri kelak tetapi meminta pihak Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menimbang permintaan mereka supaya membenarkan bas ekspres tambahan mengenakan tambang tambahan sebanyak RM3 bagi sepanjang musim perayaan seperti yang dibenarkan kepada bas tambahan.

5. Kedua-dua senario ini menimbulkan pelbagai maklum balas dan reaksi dalam kalangan pengguna yang selama ini bergantung harap kepada perkhidmatan pengangkutan awam untuk balik ke kampung semasa musim perayaan. Ada yang kecewa dan marah dengan kenyataan PMBOA yang dilihat boleh menjadi batu penghalang atau menjejaskan peluang dan hasrat orang ramai untuk balik ke kampung, manakala ada juga yang tidak berpuas hati dengan permintaan PEMBAWA yang seolah-olah dilihat cuba mengambil kesempatan dengan permintaan kenaikan harga tersebut.

6. Hal ini berlaku kerana saban tahun sejumlah besar warga kota bergantung harap kepada perkhidmatan bas tambahan kerana bas yang sedia ada tidak pernah mencukupi untuk menampung peningkatan bilangan warga kota yang pulang ke kampung sempena musim perayaan. Ini membawa kepada keadaan di mana penyediaan perkhidmatan bas tambahan adalah suatu kemestian pada setiap tahun malah pengeluaran permit bas tambahan juga dilihat semakin bertambah setiap musim perayaan yang besar.

7. Justeru dalam hal ini, kita percaya LPKP akan berbincang, meneliti dan menimbang dengan sewajarnya kedua-dua kenyataan tersebut sebelum membuat keputusan yang bijak dan menguntungkan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan juga pengusaha bas tambahan.

8. Dalam keadaan seperti ini apa yang penting ialah kedua-dua pihak perlu saling memahami kehendak dan keperlun masing-masing. Pengguna perlu memahami masalah pengusaha bas yang mengalami sedikit kenaikan kos operasi akibat kenaikan harga diesel yang menyebabkan mereka agak berat hati untuk meneruskan perkhidmatan bas tambahan seperti tahun-tahun yang lepas. Ini kerana, secara lumrahnya setiap peniaga mahukan keuntungan yang semaksima yang mungkin dengan kos yang rendah.

9. Dalam pada itu harapan pengguna pula ialah agar pengusaha bas juga perlu mengambil kira peningkatan beban tanggungan pengguna untuk kos pengangkutan akibat daripada kenaikan tambang tersebut. Maka apa yang penting di sini ialah suatu keputusan yang menang-menang agar tidak ada pihak yang rugi dan tidak berpuas hati.

10. Pada hemat penulis, pengguna mungkin tiada masalah untuk membayar tambahan RM3 asalkan mereka dapat pulang ke kampung dengan selamat manakala pengusaha bas pula mengharapkan agar dapat menikmati sedikit keuntungan yang sewajarnya terutamanya untuk menampung peningkatan kos operasi.

11. Namun di sebalik isu kenaikan tambang ini, apa yang lebih menarik dalam hal penyediaan bas tambahan ini ialah, satu perkara yang sering menjadi persoalan dalam kalangan pengguna iaitu masalah kualiti serta aspek keselamatan bas tambahan yang disediakan. Pengalaman-pengalaman yang lepas menunjukkan penyedia bas tambahan lebih mengutamakan jumlah perjalanan yang boleh menguntungkan mereka tanpa begitu mempedulikan kualiti bas serta keselamatan penumpang yang akhirnya membawa kepada pelbagai masalah seperti kerosakan enjin dan kemalangan.

12. Akibatnya sejumlah besar nyawa telah terkorban dek kerana keadaan bas yang tidak sesuai dan selamat serta penggunaan pemandu yang sama untuk beberapa sesi perjalanan yang menyebabkan berlakunya pemanduan yang laju dan cuai serta keadaan pemandu yang terlelap semasa memandu kerana terlalu penat dan letih. Dalam pada itu ada juga pengusaha yang masih menggunakan perkhidmatan pemandu yang memiliki rekod prestasi yang tidak begitu memberangsangkan terutamanya dengan sejumlah saman yang banyak dan menakutkan.

13. Maka pada tahun ini, jika penyediaan kemudahan bas tambahan dapat diteruskan, kita berharap agar pihak LPKP akan lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang melalui pemantauan dan pemeriksaan yang lebih kerap dan berkala agar insiden-insiden yang tidak diingini berulang kembali. Pengeluaran permit bas tambahan juga wajar lebih ketat dan berhemah dengan mengambil kira kondusi dan usia bas tersebut di samping kemampuan pengusaha yang terbabit. Kemunculan ‘ulat tiket’ juga wajar dibendung dari awal lagi agar pengguna tidak ‘disembelih’ dengan harga yang melampau dan tidak munasabah.

14. Tambahan pula jika LPKP meluluskan kenaikan tambahan RM3 tersebut maka apa yang diharapkan oleh pengguna ialah kenaikan ini akan disusuli dengan penyediaan bas yang lebih berkualiti dan selamat. Maknanya kenaikan tambang tambahan ini perlulah seimbang dengan perkhidmatan yang lebih berkualiti dari pengusaha bas yang terbabit, barulah ianya benar-benar menepati konsep ‘nilai untuk wang’.

15. Pada masa yang sama, kita juga meminta agar para pengusaha bas tambahan yang terlibat akan lebih mengutamakan aspek kualiti dan keselamatan penumpang daripada keuntungan semata-mata. Tidak boleh ada toleransi dalam soal keselamatan penumpang walau dalam apa keadaan sekalipun.

Monday, July 26, 2010

BUDAYA DERHAKA PERLU DIBENDUNG SEGERA
(Telah disiarkan dalam akhbar Harian Metro bertarikh 26/7/2010)

1. Secara tiba-tiba kita dikejutkan dengan beberapa kes saman dan laporan polis melibatkan sama ada ibu mahupun bapa terhadap anak kandung sendiri akibat pelbagai kejadian malang yang cukup menyayat hati kita yang akhirnya dirumuskan sebagai kes derhaka si anak terhadap ibu bapa sendiri.

2. Insiden seperti anak mengabaikan tanggungjawab terhadap bapa, anak mengurung bapa untuk dapatkan harta, anak membelasah bapa kerana ditegur dan anak memaki hamun ibu termasuk dengan panggilan babi cukup merobek hati khalayak yang prihatin dengan nasib malang yang menimpa ibu bapa tersebut.

3. Rata-rata mayarakat hanya mampu menggeleng kepala dan mengucap panjang apabila berita seperti ini dipaparkan di dada-dada akhbar. Masing-masing terpinga-pinga dan mengajukan satu persoalan yang cukup serius iaitu apa sudah jadi dengan masyarakat kita?

4. Sebagai manusia yang waras yang dibesarkan dalam kelompak masyarakat yang mengutamakan adat ketimuran dan nilai-nilai murni seperti taat kepada ibu bapa dan ajaran agama, kita seolah-olah tidak boleh percaya dengan apa yang sedang melanda generasi anak-anak muda zaman milenium ini. Senario ini juga menunjukkan kepada kita betapa rapuhnya institusi keluarga yang ada pada masa sekarang.

5. Pada hemat penulis, terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang utama kepada berleluasanya budaya derhaka dan gejala kurang sihat dalam kalangan anak-anak muda di negara kita dewasa ini.

6. Faktor pertama ialah kesilapan di pihak ibu bapa itu sendiri. Anak-anak yang dilahirkan adalah umpama kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan hala tuju dan masa depan anak tersebut, justeru dalam hal ini ibu bapa tidak boleh menuding jari menyalahkan orang lain.

7. Kesibukan ibu bapa dengan tugasan masing-masing atas alasan mengumpul harta mahupun mencari rezeki akhirnya dilihat memerangkap keluarga mereka sendiri. Hal ini kerana, kesibukan melampau mereka menyebabkan mereka sering mengabaikan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka di rumah. Anak-anak yang sebahagian besar masanya dihabiskan dengan pembantu rumah atau di tadika dilihat tidak dapat merasakan nikmat kasih dan sayang daripada ibu bapa sendiri. Akibatnya mereka mudah melawan cakap, memberontak dan derhaka kepada ibu bapa mereka sendiri tanpa sebarang rasa hormat, takut mahupun malu.

8. Faktor kedua ialah pengaruh rakan. Rakan yang seringkali menjadi tempat untuk meluahkan segala masalah dan juga berkongsi kegembiraan dilihat mempunyai pengaruh yang besar ke atas anak-anak zaman ini. Mereka lebih mendengar kata, pendapat dan nasihat rakan berbanding ahli keluarga sendiri. Maka jika salah pilih kawan, salahlah tingkah laku dan sikap anak-anak tersebut. Misalnya anak-anak yang bergaul dengan rakan yang tidak mempunyai didikan yang baik serta amalan budaya yang kurang sihat pastinya akan turut mempengaruhi tingkah laku anak-anak kita.

9. Faktor ketiga ialah pengaruh media massa terutamanya media elektronik melalui program-program televisyen yang sentiasa mengagungkan rancangan-rancangan barat. Budaya masyarakat barat yang tidak mementingkan nilai-nilai murni seperti membolehkan berkurang ajar dengan ibu bapa sendiri dilihat sangat mempengaruhi gelagat anak-anak kita di rumah. Adengan yang ditonton seringkali menjadi gaya ikutan mereka dalam kehidupan seharian.

10. Faktor keempat ialah kurangnya didikan agama. Sudah menjadi lumrah kepada masyarakat pada zaman ini yang lebih mengutamakan ilmu duniawi berbanding ilmu keagamaan atau kerohanian. Akibatnya unsur kerohanian tidak dapat disemai dalam diri anak-anak kita hingga mereka tidak tahu yang mereka perlu taat kepada ibu bapa masing-masing. Malah penulis percaya ada kalangan anak-anak hari ini yang tidak faham apa itu erti derhaka kepada ibu bapa.

11. Dan faktor yang terakhir ialah berpunca daripada kelemahan sistem pendidikan yang ada pada hari ini. Sistem pendidikan kita yang lebih mengutamakan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan dilihat semakin mudah meragut unsur-unsur kemanusiaan dan pembangunan modal insan yang patut diterapkan dalam diri setiap pelajar sekolah. Akhirnya mereka membesar seperti mesin ataupun robot yang tidak mempunyai persaan dan tidak kenal erti kasih dan sayang kepada ahli keluarga sendiri.

12. Itu adalah antara beberapa faktor yang dilihat menjadi punca kenapa anak-anak zaman sekarang begitu cenderung dan mudah untuk derhaka kepada ibu bapa. Tiada gunanya kita berbangga menjadi sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020 jika generasi yang akan meneruskan kesinambungan kemajuan dan kecemerlangan negara ini tidak ampuh nilai dan etikanya serta miskin budi dan pekertinya.

13. Justeru semua pihak perlu berganding bahu menyelamatkan generasi pewaris negara dari terus hanyut yang boleh menghancurkan institusi kekeluargaan di negara kita.