Thursday, November 4, 2010

SETIAP PEMIMPIN ADA ZAMANNYA

1. Komen terbaharu bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin dalam blognya bahawa sudah tiba masanya untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara daripada dunia politik kerana banyak rentak politiknya dilihat semakin sumbang mula menarik minat dan mendapat pelbagai reaksi dan maklum balas daripada khalayak baik orang politik mahupun rakyat biasa.

2. Menurut Mohd. Asri, Anwar perlu menerima hakikat bahawa zamannya akan beransur pergi dan tidak mungkin generasi baru terus bertahan untuk melihat reka bentuk cerita politiknya yang sama. Tambahnya lagi, berilah peluang untuk beliau berundur dengan aman. Demikian setiap kita ada hari datang dan hari pergi. Biarlah kita datang disambut mesra, dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar.

3. Kenyataan tersebut dilihat cukup signifikan dan dalam maksudnya apabila kita menghayati keadaan semasa dunia politik tanahair. Malah rata-rata khalayak bersetuju dan bersependapat dengan pandangan Mohd. Asri tersebut yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan ianya lebih merupakan pandangan dan pendapat peribadi beliau sebagai seorang ulama yang pernah menjadi Mufti.

4. Apa yang ingin dikupas oleh penulis ialah setiap pemimpin ada zamannya baik zaman kegemilangan mauhpun zaman kemerosotan. Ada yang meniti zaman emas pada awal kepimpinannya tetapi diakhiri dengan pelbagai catatan kegagalan dan kontrovesi.

5. Ada pula yang gagal di peringkat awal tetapi mencapai zaman kegemilangannya kemudian hari. Apa yang pasti kesemua pencapaian ini akan terlipat kemas dalam lipatan sejarah di negara kita. Isu ini sebenarnya menunjukkan bahawa soal kepimpinan dan gaya kepimpinan seseorang individu adalah sangat subjektif dan sukar untuk diramal masa depannya.

6. Ianya melibatkan persoalan keadaan persekitaran semasa yang turut merangkumi aspek social dan ekonomi di samping aspek politik semata-mata, kuantiti dan kualiti para pengikut serta kebijaksanaan dalam mencari peluang serta menggunakan kesempatan yang ada bagi membuktikan kehebatan masing-masing.

7. Justeru seseorang yang diberi peluang menjadi pemimpin perlu bersedia untuk menerima hakikat kegagalan dan melepaskan jawatan mahupun berundur apabila tiba waktunya secara terhormat. Sejarah dunia banyak mencatatkan nota hitam dalam kehidupan seseorang pemimpin sama ada didesak untuk meletak jawatan dan berundur mahupun digulingkan secara paksa.

8. Dalam hal ini kita amat bertuah kerana soal peralihan kepimpinan dan kuasa yang telah berlaku di Negara kita berjaya meletakkan satu penanda aras yang sangat kukuh dan contoh tauladan yang sangat terpuji untuk dijadikan ikutan dan iktibar.

9. Kita masih segar dengan tindakan bekas Perdana Menteri kita Tun Dr. Mahathir yang secara sukarela mengumumkan perletakan jawatan beliau dan kesediaannya untuk berundur dari jawatan nombor satu negara walaupun pada ketika itu beliau masih dilihat mampu meneruskan zaman kegemilangannya.

10. Buktinya tempoh masa 22 tahun pemerintahan beliau diiktiraf sebagai era kegemilangan dan zaman emas negara kita di persada antarabangsa yang kemudiannya diteruskan oleh Tun Abdullah dan kini oleh Datuk Sri Najib. Peralihan kuasa dari Tun Dr. Mahathir kepada Tun Abdullah dan kemudiannya kepada datuk Sri Najib sering diiktiraf sebagai satu peralihan kuasa yang sangat licin dan terpuji oleh seantero masyarakat dunia.

11. Maka apa yang penting ialah pemimpin politik baik di pihak kerajaan mahupun di pihak pembangkang wajar mengambil iktibar dari peringatan ini agar bermuhasabah diri masing-masing bahawa apakah kepimpinan mereka masih relevan, mendapat sokongan akar umbi serta diterima oleh rakyat.

12. Mereka perlu peka dengan sebarang bentuk signal yang diberikan oleh rakyat ke atas kepimpinan mereka agar parti yang diwakilinya tidak menerima tempias kekecewaan rakyat dan majoriti ahli parti mereka sendiri.

13. Hal ini penting kerana kegagalan pemimpin seperti ini untuk berundur bukan sahaja dilihat sebagai beban dan liabiliti kepada parti malah boleh membawa padah kepada parti yang diwakilinya dalam sesuatu pilihan raya baik pilihan raya umum mahupun pilihanraya kecil. Ini kerana rakyat kita sudah terbiasa budaya menghukum sesebuah parti walaupun yang bermasalah itu hanya beberapa orang pemimpinnya. Ini telahpun dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lepas.

14. Justeru gunakanlah peluang ini untuk membetulkan keadaan. Sedar bahawa setiap pemimpin ada zamannya dan mungkin zaman kita sudahpun berakhir di mana kita perlu memberi peluang dan ruang kepada barisan pelapis untuk meneruskan legasi pemerintahan dalam parti masing-masing. Biar sejarah menjadi saksi dan hakim ke atas segala sumbangan dan pencapaian kita selama ini.

Wednesday, November 3, 2010

TRAGEDI OKTOBER WAJAR MENJADI PENGAJARAN DAN IKTIBAR KEPADA SEMUA

1. Dua kemalangan bas yang meragut masing-masing 13 dan tujuh nyawa yang berlaku sepanjang bulan Oktober dilihat mula membuka mata semua pihak yang selama ini masih cuai dan tidak memandang serius keselamatan semasa berada di atas jalan raya. Tragedi Oktober ini juga wajar dijadikan sebagai pengaajaran dan iktibar kepada semua pihak yang terlibat.

2. Seluruh negara tergamam dengan berita kejadian nahas ngeri yang membabitkan dua bas, tiga kereta dan sebuah van yang menyebabkan 13 kematian di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pedas, Negeri Sembilan.

3. Sinar kegembiraan yang diharapkan pada tarikh keramat 10 Oktober 2010 ataupun lebih glamour dengan ringkasan 10.10.10 akhirnya menjadi mimpi ngeri dan tragedi Oktober yang paling dasyat dalam sejarah kemalangan maut di negara kita.

4. Kejadian kedua pula seolah-olah melengkapi peristiwa tragedi Oktober apabila mengorbankan tujuh lagi nyawa yang terdiri dripada kumpulan anak-anak muda di Kilometer 38 Genting Sempah. Bas yang dinaiki 43 ahli Belia 4B Kampung Baru, Mukim Siong, Kedah terbabas semasa menuruni Genting Highlands di Kilometer 38 Genting Sempah sehingga terbalik di laluan bertentangan mengakibatkan tujuh maut, 16 parah dan 21 lagi cedera ringan, termasuk dua pemandu bas berkenaan.

5. Apa yang mengejutkan kita ialah pendedahan bahawa pemandu bas ini mengaku mengambil upah memandu bas tanpa lesen sejak lima tahun yang lalu dan lebih memeranjatkan apabila dilaporkan bas dipandu dengan menggunakan sebelah tangan kerana cacat.

6. Kejadian seumpama ini membawa kita kepada satu persoalan yang cukup serius dan penting iaitu siapakah yang patut dipersalahkan dalam hal seperti ini? Apakah ianya berpunca daripada kecuaian pemandu semata-mata atau kecuaian pengusaha bas mahupun kegagalan pihak penguatkuasa menjalankan tanggungjawab mereka dengan cekap? Masing-masing dilihat sudah mula mencari kesalahan dan menuding jari kepada orang lain.

7. Walaupun kecuaian melampau pemandu yang dilaporkan memandu dengan terlalu laju dikatakan sebagai antara punca utama kepada tragedi terbabit namun kita perlu sedar bahawa ini bukanlah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku dalam negara kita. Sebelum inipun beberapa kemalangan maut melibatkan bas ekspres telahpun berlaku dan meragut sebilangan besar nyawa penumpang yang tidak berdosa dan kebanyakkannya dilaporkan berpunca daripada kecuaian dan sikap pemandu bas yang tidak bertanggungjawab.

8. Justeru apabila kita menganalisis kesemua kejadian seperti ini maka apa yang boleh kita rumuskan ialah ketiga-tiga pihak tersebut iaitu pemandu, pengusaha dan juga penguatkuasa (3P) masing-masing dilihat turut menyumbang kepada kejadian yang tragis seperti ini.

9. Bagi pemandu kejadian seperti ini sekali lagi membuktikan bahawa nasihat, kempen, saman dan juga penguatkuasaan undang-undang yang lain masih belum mampu mengubah sikap dan perangai mereka yang memandu umpama raja lumba di atas lebuhraya.

10. Dalam hal ini apa yang pasti ialah sikap tidak boleh diubah dalam sekelip mata. Ianya melibatkan proses yang panjang dan bergantung kepada beberapa faktor terutamanya personaliti seseorang individu. Justeru apa yang boleh kita cadangkan ialah pihak yang berkuasa perlu melipatgandakan proses penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan di lebuhraya.

11. Bagi pengusaha bas pula, sikap kedegilan dan tamak dilihat begitu mudah menggaburi mata dan minda mereka daripada mengutamakan aspek keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka.

12. Dalam kes terbaru misalnya, pengakuan pemandu tersebut menunjukkan pengusaha bas tersebut sedia maklum yang beliau tidak memiliki lesen dan juga cacat namun pengusaha bas terbabit dikatakan merayu dan mendesak pemandu tersebut untuk terus membantu beliau membawa bas. Ini memperlihatkan sifat ketidakbertanggungjawaban pengusaha tersebut yang hanya mengutamakan keuntungan daripada aspek keselamatan.

13. Keberanian pengusaha terbabit mengubahsuai bas tersebut daripada bas sewa khas kepada bas persiaran juga menimbulkan seribu satu persoalan yang misteri. Lebih mengejutkan apabila pemeriksaan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mendapati pejabat syarikat bas terbabit tidak wujud di alamat yang didaftarakan.

14. Hal ini sekali lagi menunjukkan betapa mereka tidak takut kepada undang-undang dan penguatkuasaannya selama ini. Ternyata ianya tidak memberi apa-apa impak kepada perubahan sikap mereka supaya lebih bertanggungjawab dan mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan penumpang.

15. Pada masa yang sama aspek penguatkuasaan oleh pihak-pihak yang berkaitan juga wajar dinilai semula. Apakah peningkatan bilangan saman yang berjaya dikeluarkan boleh dijadikan sebagai indikator keberkesanan penguatkuasaan yang dilakukan selama ini? Sejauhmana aspek pemantauan, penguatkuasaan dan pelbagai kempen yang telah dilaksanakan meninggalkan kesan yang diharapkan? Persoalan seperti ini wajar dirungkai terlebih dahulu sebelum kita mencari jalan penyelesaian yang mutlak ke atas kejadian yang tidak diingini seperti ini.

16. Penulis tidak berniat untuk mempersoalkan peranan pihak berkuasa selama ini di mana kita akui kesungguhan pihak penguatkuasa yang dilihat telahpun melipatgandakan usaha pencegahan dan penguatkuasaan namun ianya masih boleh dirumuskan sebagai belum mencukupi. Malah kita berharap agar pihak yang berkaitan dapat memikirkan kaedah alternatif lain secara lebih kreatif supaya dapat memberi impak yang lebih positif ke atas keselamatan para penumpang yang tidak berdosa.

17. Antara kaedah yang boleh kita cadangkan ialah, kita memohon agar pihak PDRM dan JPJ terutamanya menambah bilangan anggota yang bertugas supaya dapat meronda di lebuhraya sepanjang masa iaitu 24 jam sehari dengan melakukan rondaan yang lebih kerap. Ini membolehkan mereka terus menahan dan mengambil tindakan yang sewajaranya ke atas pemandu yang dilihat memandu dengan laju dan cuai atau membahayakan kenderaan lain. Kehadiran anggota pasukan penguatkuasa ini dilihat mampu menakutkan dan menggerunkan para pemandu agar lebih takut, berhati-hati dan berhemah apabila berada di atas lebuhraya.

18. Malah jika perlu kehadiran anggota penguatkuasa ini perlu dirasakan dengan menempatkan mereka di setiap 50 hingga 100 kilometer di sepanjang lebuhraya di samping menempatkan anggota penguatkuasa di beberapa plaza tol yang terpilih bagi memantau keadaan secara berterusan.

19. Pada masa yang sama anggota penguatkuasa juga wajar diberi kuasa untuk terus menahan pemandu yang didapati memandu secara berbahaya ataupun melakukan kesalahan yang serius sehingga boleh membahayakan nyawa orang lain termasuk menarik balik ataupun menggantung serta merta lesen pemanduannya.

20. Cadangan seperti ini mungkin dilihat tidak begitu praktikal ataupun melampau terutamanya apabila melibatkan penguatkuasaan undang-undang yang lebih keras, penggunaan tenaga pekerja yang begitu ramai di samping peningkatan kos operasi tetapi percayalah bahawa hanya tindakan drastik sebegini sahaja yang mampu mengajar sikap, tindakan dan kecuaian melampau para pemandu ‘pelesit’ kita yang turut dibantu oleh pengusaha yang tamak dan degil.
21. Justeru kita berharap agar ketiga-tiga pihak yang berkaitan iaitu pemandu, pengusaha dan juga pihak penguatkuasa (3P) dapat menilai semula tanggungjawab sosial mereka kepada rakyat agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi. Tiada gunanya kita saling menuduh dan menuding jari kepada pihak lain. Semoga insiden ini menjadi satu pengajaran dan iktibar yang berguna kepada semua.