Tuesday, May 4, 2010

SEKTOR KORPORAT WAJAR SOKONG PENUBUHAN TABUNG AMANAH KANAK-KANAK 1MALAYSIA
(Telah disiarkan dalam akhbar Utusan Maalysia bertarikh 4 Mei 2010)

1. Mengambil kira statistik jumlah kes salah laku ke atas kanak-kanak seperti kes penderaan dan juga kes pembuangan bayi yang dewasa ini semakin meningkat, nasib dan masa depan kanak-kanak negara ini boleh diterjemahkan sebagai berada dalam suasana yang cukup genting dan merisaukan.

2. Walaupun pelbagai usaha dan kempen dilaksanakan bagi membendung gejala salah laku seperti ini malah memang ramai yang tampil membela nasib kanak-kanak malang tersebut namun ianya masih belum menampakkan jalan penyelesaian mahupun kesudahannya.

3. Buktinya hampir setiap hari kita masih dipertontonkan dengan berbagai insiden yang menyayat hati melibatkan kanak-kanak di negara kita. Kanak-kanak hari ini yang sepatutnya menjadi generasi pelapis dan pewaris masa depan negara dilihat semakin terancam dan jika masalah sosial ini tidak ditangani dengan baik kita khuatir kanak-kanak Malaysia akan semakin pupus suatu hari kelak.

4. Usaha terancang dan teliti perlu dilaksanakan dengan segera bagi mengatasi budaya tidak sihat ini lantaran itu cadangan penubuhan satu dana amanah dikenali Tabung Amanah Kanak-Kanak 1Malaysia yang dikemukakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dilihat hadir tepat pada masanya.

5. Rosmah mencadangkan penubuhan dana ini ketika berucap melancarkan Kem Harapan DRB-Hicom di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada Jumaat yang lalu.

6. Secara konsepnya Rosmah mencadangkan agar dana untuk tabung ini diperoleh daripada peruntukan khas tahunan daripada belanjawan tanggunjawab sosial korporat (CSR) syarikat korporat di negara ini. Hasil sumbangan syarikat korporat ini dicadangkan untuk digunakan bagi memajukan kanak-kanak di negara ini dari segenap aspek kehidupan.

7. Tidak dapat dinafikan Malaysia memiliki banyak syarikat korporat yang sentiasa melaksanakan berbagai program tanggungjawab sosial kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk.

8. CSR telahpun menjadi salah satu agenda tetap tahunan mereka atas dasar memberi semula kepada masyarakat sama ada dari segi penajaan sumber kewangan mahupun penyediaan pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang memberi manfaat kepada orang awam. Untuk itu syarikat-syarikat ini kebiasaanya akan memperuntukkan sejumlah peruntukan tertentu dari bajet tahunan mereka bagi menjayakan program CSR tersebut.

9. Justeru adalah dicadangkan agar sebahagian kecil daripada peruntukan tersebut dikhaskan terus untuk dana yang disyorkan ini. Peruntukan kecil dari sebuah syarikat apabila digabungkan dengan sumbangan daripada beberapa buah syarikat pastinya akan menjadikan jumlah dana yang terkumpul semakin bertambah apatah lagi jika sumbangan daripada syarikat berkenaan menjadi sumbangan kekal secara tahunan.

10. Dana yang besar ini memungkinkan kita merancang dan melaksana pelbagai pelan yang lebih strategik secara rapi dan teliti untuk menambahbaik kehidupan masa depan kanak-kanak negara kita.

11. Penubuhan tabung ini jika dapat direalisasikan, dana yang terkumpul kelak boleh dipelbagaikan fungsinya agar kanak-kanak di negara kita tanpa mengira agama dan bangsa dapat menikmati faedah dan manfaatnya secara bersama.

12. Antara fungsi yang boleh dicadangkan ialah dana ini digunakan sepenuhnya untuk tujuan-tujuan seperti mewujudkan lebih banyak kemudahan asas dan prasarana khas untuk kanak-kanak, menjaga kebajikan kanak-kanak dengan menubuhkan lebih banyak rumah kebajikan dan rumah perlindungan yang sekaligus dapat melindungi keselamatan mereka, menyalurkan sumbangan kewangan kepada rumah-rumah kebajikan dan anak yatim yang sedia ada, menubuhkan tabung kesihatan khas untuk kanak-kanak dan juga menubuhkan tabung biasiswa yang dapat menyediakan lebih banyak peluang pendidikan.

13. Dana ini juga di samping membela nasib kanak-kanak yang tiada tempat bergantung atau yatim piatu, ianya juga diyakini mampu memberi harapan baru kepada kanak-kanak yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan dan msikin yang memerlukan pelbagai bantuan terutamanya dari segi peluang pendidikan dan kesihatan.

14. Seperti kata Rosmah, jika 838 syarikat yang tersenarai awam di papan utama dan padan kedua di Bursa Saham Malaysia bergabung dengan 117 buah syarikat yang tersenarai di Mesdaq dan menyumbang ke dalam dana ini pastinya ia akan mencetuskan suatu fenomena dan harapan yang besar kepada nasib dan masa depan kanak-kanak negara ini.

15. Kanak-kanak adalah kelompok manusia yang perlu disayangi, dilindungi dan dibentuk dengan penuh berhati-hati mengikut acuan yang kita kehendaki dengan mengenalpasti potensi diri mereka masing-masing seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

16. Bagi mencapai sasaran ini, baik ibu bapa, penjaga mahupun rumah-rumah anak yatim memerlukan sumber kewangan yang mencukupi secara tetap dan berterusan. Seboleh-bolehnya kita mahukan setiap kanak-kanak itu akan menjadi kanak-kanak yang pintar dan seterusnya membesar menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

17. Semua pihak terutamanya para ibu bapa pasti memasang impian dan cita-cita agar anak-anak mereka juga menjadi kanak-kanak yang pintar dalam pelbagai bidang misalnya seperti Adi Putra Abdul Ghani yang muncul sebagai kanak-kanak yang hebat dalam bidang Matematik.

18. Justeru kegemilangan masa depan kanak-kanak banyak bergantung kepada peranan ibu bapa, pihak kerajaan dan juga swasta. Gabungan ketiga-tiga pihak ini dalam pelbagai aspek pasti akan melahirkan generasi masa depan yang hebat.

19. Kita juga perlu sedar akan kepentingan dalam mengenalpasti dan mengembangkan potensi yang ada pada setiap kanak-kanak di negara ini. Kanak-kanak adalah mutiara dan permata negara kita. Maka adalah disyorkan juga agar dana ini kelak turut digabungkan dan mengadakan kerjasama dengan projek PERMATA dan PERMATApintar yang turut lahir hasil cetusan idea dan minda Datin Seri Rosmah.

20. Pelbagai program yang telahpun direka di bawah program tersebut boleh dikembangkan dan dijayakan dengan lebih berkesan dengan adanya suntikan dana dari tabung ini kelak.

21. Setiap anggota masyarakat perlu sedar bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan kanak-kanak tidak boleh disandarkan pada bahu pihak kerajaan semata-mata. Walaupun selama ini pihak kerajaan tidak pernah meminggirkan ataupun mengabaikan tanggungjawab mereka dalam menjaga kebajikan dan keselamatan kanak-kanak di negara ini tetapi kita perlu sedar dan akur bahawa pihak kerajaan tetap mengalami masalah kekangan bajet yang perlu diselaraskan dan diagihkan untuk pelbagai kepentingan awam yang lain secara sama rata.

22. Maka peranan syarikat korporat ditagih agar dapat memainkan peranan yang lebih efektif dan ketara dengan mengambil alih sebahagian daripada peranan pihak kerajaan dalam hal ini terutamanya dengan cara menyuntik dana yang diperlukan bagi menjayakan pelbagai program yang sedang dirangka khusus untuk pembangunan masa depan kanak-kanak.

23. Dengan cara ini pihak kerajaan juga dapat memberikan tumpuan yang lebih kepada pelbagai projek pembangunan yang lain di samping dapat merangka dan melaksanakan pelbagai program untuk kanak-kanak menggunakan dana dari tabung tersebut.

24. Pada masa yang sama, pihak NGO juga boleh memainkan peranan yang lebih mendalam dan aktif apabila adanya dana yang disumbang secara tetap di mana seperti yang kita sedia maklum selama ini pihak NGO walaupun mempunyai pelbagai idea dan program yang baik namun tidak semuanya dapat dilaksanakan kerana kekurangan dana bagi menjayakannya.

25. Perlu diakui bahawa sumber kewangan adalah faktor penghalang utama yang selama ini membantutkan pelbagai program yang ingin dilaksana maka dana ini pastinya akan membuka satu lagi lembaran baru dalam kita membela dan menjamin masa depan yang lebih gemilang kepada kanak-kanak kita.

26. Kanak-kanak hari ini juga adalah aset dan modal insan yang menjadi harapan kita untuk terus memacu kegemilangan negara ini terutamanya ke arah mencapai status negara maju, oleh yang demikian semua pihak terutamanya pihak kerajaan dan juga pihak swasta peru bergabung tenaga dan berganding bahu bagi menjayakan agenda nasional ini.

27. Semoga pihak-pihak yang bertanggungjawab terutamanya sektor korporat akan menyahut cadangan ini sekaligus tampil ke hadapan dengan mengambil inisiatif yang sewajarnya bagi merealisasikan idea penubuhan Tabung Kanak-Kanak 1Malaysia ini demi menyediakan suatu harapan baru kepada nasib dan masa depan kanak-kanak di negara ini.