Monday, June 6, 2011

PENJAWAT AWAM WAJAR HAYATI KRITERIA MENGARUSPERDANAKAN SEKTOR AWAM

1.      Sekali lagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap tentang keperluan dan kepentingan budaya serta amalan inovasi dalam perkhidmatan awam di negara kita.

2.      Terkini, Najib menggariskan tiga kriteria yang mampu mengarusperdanakan sektor awam dan sekaligus menjadikannya lebih berinovasi. Najib mengutarakan cadangan ini ketika berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri Tahun 2010 yang telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

3.      Dan jika kita mengkaji, meneliti serta mengikuti secara terperinci setiap ucapan Najib mutakhir ini terutamanya apabila menyentuh tentang sistem penyampaian perkhidmatan awam soal keperluan dan kepentingan amalan budaya inovasi di kalangan penjawat awam sangat dititikberatkan oleh beliau.

4.      Dalam setiap ucapan beliau mesti akan diselitkan dengan nasihat, harapan, tuntutan serta permintaan Najib kepada penjawat awam agar segera membudayakan amalan inovasi dalam setiap tugasan mereka supaya dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di samping dapat berjimat dari segi kos dan masa yang digunapakai.

5.      Justeru penulis yakin dan percaya bahawa tiga kriteria yang telah dikemukakan baru-baru ini sebagai usaha berterusan Najib untuk mengarusperdanakan sektor awam yang wajar dilihat sebagai kemuncak hasrat dan harapan Najib ke atas setiap penjawat awam di negara ini.

6.      Hal ini kerana ketiga-tiga kriteria tersebut dilihat cukup lengkap, komprehensif dan saling berkaitan antara satu sama lain yang boleh membantu mewujudkan sebuah perkhidmatan awam yang profesional, dinamik dan mantap. Oleh yang demikian penjawat awam wajar menyahut tuntutan Najib ini.

7.      Ketiga-tiga kriteria yang telah digariskan oleh Najib ialah, pertama membabitkan sesuatu tindakan yang boleh membawa impak besar kepada negara, kedua menjimatkan wang negara dan ketiga memendekkan tempoh pelaksanaan serta penyampaian.

8.      Dalam hal ini setiap penjawat perlu sedar bahawa budaya inovasi adalah kunci kejayaan jika kita mahu mengarusperdanakan perkhidmatan awam. Justeru bagi mencapai kejayaan tersebut penjawat awam wajar menghayati dan membudayakan ketiga-tiga kriteria ini sebaik yang mungkin dalam kerja harian mereka.
9.      Seperti kata Najib, inovasi bukan hak mutlak para saintis, teknologis dan ilmuwan semata-mata sebaliknya melibatkan pelbagai kelompok lapisan masyarakat termasuklah penjawat awam.

10.  Justeru penjawat awam perlu membuang jauh-jauh pemikiran dan stigma bahawa mereka tidak boleh dan tidak mampu melakukan inovasi dalam kerja harian mereka kerana ianya hak milik eksklusif golongan elit tertentu sahaja.

11.  Sudah tiba masanya penjawat awam melakukan transformasi minda dengan berfikir dan bertindak di luar kotak seterusnya berani mencuba sesuatu yang baharu andai ianya boleh mendatangkan faedah kepada semua pihak. Ianya selaras dengan kriteria pertama yang telah digariskan oleh Najib iaitu melakukan sesuatu tindakan yang boleh membawa impak yang besar kepada negara.

12.  Penjawat awam perlu sedar bahawa setiap tindakan dan keputusan yang bakal diambil melibatkan kepentingan rakyat dan negara yang boleh memberikan impak yang besar baik positif mahupun negatif bergantung kepada pelaksanaan dan tahap kejayaannya.

13.  Maka dalam hal ini wajar untuk penjawat awam membuat perancangan yang teliti secara berhemah dan bersistematik dalam melaksanakan sesuatu tindakan yang penting. Untuk itu penjawat awam perlu membuat analisis yang mendalam secara bijak.

14.  Analisis seperti analisis SWOT yang melibatkan kajian, penelitian dan penyelidikan yang mendalam berkaitan aspek kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman perlu dibuat sebelum membuat sesuatu keputusan yang melibatkan kepentingan nasional. Melalui kaedah seperti ini kita pasti akan bertemu dengan pelbagai pilihan dan kaedah pelaksaan iaitu inovasi baru yang boleh dijadikan sebagai asas dalam membuat keputusan yang sekaligus bakal memberikan impak besar yang positif kepada rakyat dan negara.

15.  Ianya juga sekaligus akan membantu menjimatkan wang negara kerana melalui analisis dan budaya inovasi seperti ini kita akan dapat menggariskan peluang-peluang penjimatan dan penggunaan wang yang lebih efisyen dan berkesan atau dalam erti kata lain nilai untuk wang. Perkara ini cukup penting kerana sesungguhnya kerajaan sangat mengharapkan bantuan para penjawat awam untuk mengurangkan segala bentuk perbelanjaan yang kerajaan belanjakan apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan di samping jumlah subsidi kerajaan yang semakin meningkat.
16.  Pada masa yang sama, melalui pemikiran yang lebih kreatif, berani dan luar kotak pula penjawat awam dapat menghasilkan pelbagai cara kerja yang lebih efektif dan menjimatkan masa yang akhirnya akan memenuhi kriteria memendekkan tempoh pelaksanaan serta penyampaian jabatan kerajaan.

17.  Hal ini penting kerana rakyat masih merungut tentang kelewatan proses penyampaian perkhidmatan di sesuatu jabatan kerajaan. Seolah-olah elemen kelewatan sudah menjadi budaya dan ‘trademark’ sektor awam. Untuk itu, penjawat awam perlu berganding bahu dan menjadikan ini sebagai satu cabaran seterusnya berusaha untuk keluarkan dan selamatkan jabatan masing-masing daripada gelaran yang negatif seperti ini.

18.  Justeru diharapkan agar penjawat awam akan mula menitikberatkan keperluan dan kepentingan budaya inovasi dalam setiap tugasan mereka demi menjga imej diri, jabatan dan juga negara secara menyeluruh. Hayatilah ketiga-tiga kriteria yang telah digariskan oleh Najib ini sebagai garis panduan dan rujukan utama dalam usaha untuk mengarusperdanakan sektor awam.

19.  Kesemua penghujahan ini sebenarnya menjurus ke arah keperluan untuk membudayakan cara kerja dan pemikiran yang berinovasi dalam kalangan penjawat awam. Dengan memenuhi ketiga-tiga kriteria yang telah digariskan oleh Najib ini kita dapat menyuburkan budaya inovasi dalam setiap amalan kita yang akhirnya akan menyumbang kepada usaha untuk memartabatkan dan menjenamakan semula perkhidmatan awam di negara kita.
TANGANI USAHA MEMPOLITIKKAN TARIF BARU ELEKTRIK

1.      Nampaknya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara berterusan berhadapan dengan pelbagi situasi dan cabaran yang cukup getir dalam meraih sokongan dan keyakinan rakyat.

2.      Walaupun pelbagai usaha pembangunan dan pembaharuan dilaksanakan secara pesat dan memberangsangkan namun keadaan persekitaran yang melibatkan prestasi pertumbuhan ekonomi global yang kurang memberangsangkan dan memihak kepada kita di samping kenaikan harga bahan mentah terutamanya bahan bakar mula memberikan cabaran yang getir dan besar kepada Najib dan kerajaan beliau.

3.      Di kala berusaha menjaga segala kepentingan dan kebajikan rakyat dari pelbagai aspek kehidupan Najib terpaksa berhadapan dengan cabaran global yang sekaligus menyebabkan beliau dan kerajaan terpaksa mengambil tindakan-tindakan yang kurang popular dan boleh menjejaskan nama dan imej kerajaan. Ia juga dilihat membuka peluang yang seluas-luasnya kepada pelbagai pihak yang hanya menunggu saat dan waktu untuk melemparkan fitnah dan tohmahan terhadap Najib dan juga kerajaan pimpinan beliau.

4.      Isu yang bakal menjadi perkara pokok dan halwa politik kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dan sentiasa menantikan peluang untuk menghentam kerajaan ialah kenaikan kadar baru tarif elektrik yang baru diumumkan kelmarin.

5.      Ironinya, pengumuman ini menyusul selang beberapa hari selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan harga minyak RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) buat masa ini. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan keputusan itu berkata keputusan tersebut dibuat kerana kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat.

6.      Beberapa hari selepas itu pula Najib sendiri memberi penjelasan mengenai maksud sebenar langkah rasionalisasi subsidi pihak kerajaan. Najib menjelaskan bahawa langkah rasionalisasi subsidi yang dilakukan kerajaan bukan bermaksud kerajaan perlu mengurangkan jumlah subsidi ketika ini. Sebaliknya kata Perdana Menteri, ia bermakna kerajaan terpaksa mencari lebihan RM8 bilion lagi kerana jumlah subsidi bertambah daripada RM11 bilion kepada RM20 bilion.

7.      Kedua-dua pengumuman ini ternyata cukup melegakan rakyat terutamanya yang merisaukan bakal berhadapan dengan kenaikan harga pelbagai barangan pengguna andai harga minyak dinaikkan. Malah ia juga sama sekali menangkis segala spekulasi dan tohmahan pihak yang tidak bertanggungjawab yang menaburkan fitnah bahawa kerajaan bakal menaikkan harag minyak dan menganiaya rakyat.

8.      Namun segalanya berubah apabila kelmarin kerajaan terpaksa mengambil satu lagi langkah kurang popular dengan mengumumkan kadar tarif elektrik yang baru yang juga bakal memberi kesan langsung kepada rakyat. Kerajaan kelmarin mengumumkan bahawa tarif elektrik bagi sektor domestik, komersial dan industri dinaikkan pada kadar purata sebanyak 2.23 sen per kilowatt sejam (kwj) daripada 31.31 sen/kwj kepada kepada 33.54 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Jun dan ianya dilakukan selaras keputusan kerajaan menyemak semula harga gas untuk sektor elektrik di Semenanjung daripada RM10.70/MMBtu (unit termal British) kepada RM13.70/MMBtu.

9.      Sebagai rakyat yang berfikiran waras dan matang kita akui bahawa kerajaan masih prihatin dan mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah di mana buktinya kenaikan ini sama sekali tidak membabitkan kira-kira 75 peratus atau 4.4 juta pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kwj sebulan atau kurang.

10.  Manakala fakta yang lebih penting dan menarik ialah daripada jumlah pengguna domestik itu, 900,000 adalah golongan berpendapatan rendah, manakala 200,000 lagi miskin tegar. Ini jelas menunjukkan kerajaan masih mengutamakan kebajikan rakyat.

11.  Cuma apa yang dikhuatiri ialah pihak yang tidak bertanggungjawab yang sentiasa menunggu peluang untuk menangguk di air yang keruh bakal mengambil peluang ini untuk secara berterusan mengaburi mata dan merosakkan minda dan pemikiran rakyat dengan menaburkan pelbagai fitnah serta menghentam kerajaan.

12.  Hal ini tidak mustahil kerana mereka dengan mudahnya boleh mempengaruhi rakyat apabila menjaja isu kenaikan harga seperti ini kerana ianya dikhuatiri juga bakal boleh menaikkan harga pelbagai barangan pengguna.

13.  Justeru apa yang penting di sini ialah pihak kerajaan perlu menggerakkan seluruh jentera penerangan dan pemantauan untuk dua tugas utama iaitu pertama memberi penerangan yang terperinci kepada seluruh rakyat terutamanya yang berada di luar bandar bahawa kenaikan tarif baru ini tidak melibatkan mereka ataupun akan membebankan kehidupan mereka.

14.  Manakala tugas kedua ialah jentera pemantauan pula perlu melipatgandakan aktiviti pemantauan secara proaktif bagi memastikan para pengeluar dan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan dengan alasan kenaikan tarif baru elektrik ini. Dalam hal ini pegawai penguatkuasa perlu memainkan peranan yang lebih efisyen dengan komitmen yang tinggi.

15.  Jika kedua-dua tugas utama ini dapat dilaksanakan dengan sempurna kita percaya rakyat akan lebih faham dan sekaligus akan terus yakin dan percaya kepada pihak kerajaan. Ia juga boleh menangani dan menangkis segala usaha untuk mempolitikkan isu kenaikan tarif elektrik ini.

Friday, May 27, 2011


HARGA MINYAK KEKAL: TERIMA KASIH KERAJAAN, RAKYAT WAJAR BERSYUKUR

1.      Akhirnya desas-desus kerajaan akan menaikkan harga minyak RON95 dimuktamadkan oleh Kabinet. Kabinet kelmarin memutuskan untuk tidak menaikkan harga minyak RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) buat masa ini.

2.      Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan keputusan itu berkata keputusan tersebut dibuat kerana kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat.

3.      Keputusan ini sekaligus menidakkan segala teka teki dan spekulasi pelbagai pihak yang mengandaikan bahawa kerajaan bakal menaikkan harga minyak RON95 sehingga 30 sen dalam masa terdekat ini apatah lagi harga minyak RON97 telahpun dinaikkan sebanyak dua (2) kali baru-baru ini.

4.      Tindakan bijak kerajaan ini juga dilihat berjaya menutup mulut beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab yang mula meniupkan fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan bahawa kerajaan bakal menganiaya dan menyusahkan rakyat dengan menaikkan harga minyak tersebut.

5.      Ternyata keputusan ini membolehkan pengguna dapat terus menikmati pelbagai kemudahan di mana di samping harga minyak RON95 dan diesel dikekalkan, harga LPG yang turut dikekalkan juga sudah semestinya akan terus membantu rakyat untuk menikmati jumlah perbelanjaan isi rumah masing-masing yang lebih kompetitif. Harga gas memasak yang tidak naik sudah semestinya melegakan surirumah kita.

6.      Walaupun kerajaan tidak menetapkan tempoh masa pengekalan harga ini namun sekurang-kurangnya buat sementara waktu ini rakyat dapat menarik nafas yang lega. Hal ini penting kerana sebarang kenaikan dalam harga bahan bakar ini kebiasaannya akan turut melibatkan kenaikan harga barangan yang lain terutamanya harga makanan dan barangan keperluan harian pengguna yang lain atas alasan kenaikan pelbagai bentuk kos seperti kos pengangkutan berikutan kenaikan harga minyak. Justeru keputusan ini jelas menguntungkan para pengguna secara menyeluruh.

7.      Dalam kita menyambut baik keputusan kerajaan ini, satu perkara yang perlu kita insaf, beri perhatian dan sedar ialah keputusan kerajaan ini juga bermakna jumlah perbelanjaan subsidi kerajaan akan terus meningkat di mana mengikut Ismail Sabri, keputusan mengekalkan harga minyak RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) ini bakal terus meningkatkan perbelanjaan subsidi kerajaan kepada bahan bakar ini. Untuk rekod, subsidi kerajaan untuk bahan bakar ini buat masa sekarang ialah RM18 bilion.
8.      Ini juga bermakna jumlah perbelanjaan kerajaan bakal terus meningkat yang sekaligus akan menghadkan dan seterusnya akan menjadi penghalang kepada segala usaha penambahbaikan dan pelaksanaan program transformasi kerajaan yang lain akibat kekurangan dana.

9.      Ini sebenarnya menunjukkan bahawa kita terpaksa mengorbankan dan melupakan beberapa peluang penambahbaikan dan program pembangunan yang lain hanya kerana mahu terus menikmati harga minyak yang lebih rendah dan apa yang lebih malang lagi ialah masih ramai di kalangan kita yang tidak sedar tentang perkara ini.

10.  Justeru dalam hal ini penulis percaya majoriti rakyat akan menyokong andai kata pihak kerajaan berhasrat untuk menaikkan harga minyak ini dalam masa terdekat ini ataupun melakukan tindakan rasionalisasi subsidi dengan syarat kerajaan dapat membuktikan bahawa penjimatan subsidi yang bakal dilakukan itu akan digunakan sepenuhnya untuk faedah yang lebih besar dan bermanfaat kepada rakyat terutamanya kepada golongan luar bandar dan berpendapatan rendah. Kita perlu bersedia untuk mengorbankan sedikit keselesaan kita demi untuk menikmati keuntungan yang lebih besar pada masa hadapan.

11.  Dalam hal ini rakyat perlu lebih rasional, berfikiran matang, praktikal dan bertanggungjawab di mana kita perlu sedar bahawa kita tidak akan dapat menikmati harga minyak yang murah sebegini untuk sepanjang masa ataupun selama-lamanya kerana harga minyak pasaran global sangat tidak stabil dan terus meningkat dari semasa ke semasa.

12.  Pada masa yang sama bagi pihak kerajaan pula, keputusan ini sekali lagi membuktikan kerajaan sanggup menaggung kos yang besar demi menjaga kepentingan rakyat. Namun apa yang menyedihkan ialah masih terdapat pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan dan memutarbelitkan fakta untuk memburukkan imej kerajaan di mata rakyat.

13.  Golongan ini bukan sahaja tidak mahu untuk berterima kasih kepada pihak kerajaan ataupun bersyukur kerana dapat terus menikmati harga yang rendah tetapi sebaliknya menjadikan isu harga minyak sebagai modal politik murahan untuk menghentam pihak kerajaan. Puak oportunis sebegini tidak pernah dan boleh menerima hakikat dan kenyataan bahawa kerajaan membuat perkara yang baik untuk rakyat sepanjang masa.

14.  Justeru kita berharap semua pihak akan berterima kasih kepada kerajaan di atas keputusan ini sekaligus bersyukur kerana dapat terus menikmati harga yang rendah dan pada masa yang sama bersedia untuk mengorbankan sedikit  keselesaan yang dinikmati selama ini supaya kerajaan boleh mengurangkan subsidi dan menggunakan penjimatan itu untuk program pembagunan dan kebajikan lain yang lebih bermanfaat.