Friday, March 26, 2010

APA ISTIMEWANYA JEJAKA LOMBOK?
(TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR HARIAN METRO BERTARIKH 29 MAC 2010)

1. Belumpun reda cabaran yang dilemparkan kepada kaum lelaki negara ini ekoran daripada isu dominasi kaum wanita dalam sektor pekerjaan, timbul pula satu lagi cabaran yang perlu diharungi oleh lelaki Malaysia. Kali ini mereka perlu pula menghadapi persaingan yang hebat dalam merebut cinta dan hati kaum wanita di negara kita dengan jejaka dari wilayah Lombok.

2. Nampak gayanya lelaki negara kita semakin kurang laku berbanding lelaki dari Lombok. Trend terkini menunjukkan ramai wanita kita suka mengahwini jejaka dari Lombokk hingga sanggup lari bersama mereka meninggalkan kaum keluarga.

3. Mereka dilihat sanggup membuat apa sahaja demi untuk bersama lelaki idaman mereka dari Lombok. Maklumat yang didedahkan oleh Pergerakan Puteri UMNO bahawa kira-kira 500 gadis kita berada di Lombok sekarang akibat terjerat dengan ikatan perkahwinan dengan lelaki dari wilayah tersebut semasa mereka bekerja di sini cukup merisaukan dan membimbangkan kita dan ternyata statistik ini mengejutkan semua pihak.

4. Kerisauan ini terbukti dengan permintaan dan gesaan pelbagai pihak termasuk Pergerakan Puteri UMNO yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) membekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok dengan serta merta. Gesaan ini dilihat ternyata ada asasnya berdasarkan beberapa kes yang dilaporkan dewasa ini yang mendedahkan nasib malang yang dilalui dan dialami oleh gadis kita yang kahwin lari dengan jejaka Lombok.

5. Gejala tidak sihat ini menular ke dalam masyarakat kita dengan begitu pantas dan kita percaya selain daripada statistik yang didedahkan di atas masih ramai lagi gadis kita berada di Lombok yang hanya menunggu masa untuk didedahkan. Mengambil kira nasib malang yang menimpa beberapa orang yang berjaya diselamatkan sehingga kini, kita tidak dapat membayangkan jenis penderitaan dan kesusahan yang sedang dilalui oleh wanita kita di Lombok.

6. Masa depan mereka dan juga anak-anak mereka cukup sukar untuk diramalkan. Mereka sanggup meninggalkan keluarga tercinta dan memperjudikan masa depan hanya kerana termakan pujuk rayu lelaki asing yang baru beberapa bulan mereka kenali.

7. Berada di negara orang dengan hanya mengharapkan kepada cinta dari jejaka mereka tidak mampu mengubah nasib wanita kita yang berada di sana. Kes demi kes yang didedahkan sejak kebelakangan ini menunjukkan bahawa gadis kita belum serik dengan apa yang dilalui dan dialami oleh rakan-rakan mereka sebelum ini.

8. Mereka langsung tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari kisah-kisah penderitaan gadis kita yang disiarkan oleh media selepas mereka lari mengikut kekasih mereka ke Lombok.

9. Ianya juga sekaligus menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dirungkai dengan segera iaitu apakah keistimewaan yang dimiliki oleh jejaka dari Lombok sehingga anak-anak gadis kita jatuh hati dan terpikat hingga sanggup kahwin lari dengan mereka serta mengapa wanita negara ini begitu mudah terpedaya dan mempercayai orang luar?

10. Adakah ini menunjukkan bahawa lelaki kita tidak memenuhi kriteria calon suami yang diidamkan oleh wanita tempatan ataupun lelaki negara ini sudah tidak boleh dipercayai ataupun diharapkan lagi?

11. Mungkin agak keterlaluan juga untuk kita membuat kesimpulan tersebut hanya berdasarkan statistik di atas di samping beberapa insiden kahwin lari yang dilaporkan namun fenomena ini perlu dikupas dari pelbagi perspektif dengan lebih menyeluruh dan berhati-hati.

12. Antara punca kenapa gadis kita mudah terpikat dengan jejaka Lombok ialah kerana mereka dikatakan rajin bekerja, penyayang, memiliki budi bahasa yang baik dan berhemah tinggi, tutur kata yang digunakan cukup teratur dan suka menggunakan bahasa-bahasa yang indah dan romantik. Sikap dan sifat sedemikian dikatakan semakin terhakis daripada lelaki negara kita malah kita masih segar dengan satu laporan yang dididedahkan baru-baru ini bahawa lelaki Malaysia kurang romantik.

13. Akibatnya, bahasa-bahasa puitis yang digunakan disamping jiwa halus yang mereka miliki dengan mudahnya memikat hati anak gadis kita yang akhirnya sanggup kahwin lari mengikut mereka ke Lombok dengan meninggalkan ibu bapa, saudara mara dan segala kesenangan yang dimiliki di negara sendiri.

14. Situasi ini sebenarnya meletakkan kaum lelaki di negara kita dalam suatu keadaan yang serba salah. Bayangkan jika lelaki kita asyik bermadah, berpuitis dan romantik apakah gelaran dan tanggapan yang diberikan oleh masyarakat? Jawapannya ialah ‘mat jiwang’ dan akan dilabel sebagai menggatal dan menggada.

15. Inilah antara cabaran-cabaran yang perlu dilalui oleh kaum lelaki negara kita dalam usaha untuk kekal relevan sebagai seorang lelaki mahupun sebagai seorang ketua keluarga. Mereka bukan sahaja perlu bersaing dengan warga asing dari segi memperoleh peluang pekerjaan malah sekarang perlu juga bersaing untuk bertahta di hati wanita tempatan.

16. Kebanjiran warga asing dilihat sekali lagi menyumbang kepada masalah sosial ini namun kita juga perlu mengakui hakikat bahawa negara kita masih bergantung harap kepada tenaga kerja dari luar. Maka apakah tindakan kita membekukan mahupun mengharamkan pengambilan tenaga kerja dari Lombok ataupun dari negara lain yang ternyata memang rajin bekerja boleh menyelesaikan mahupun mengatasi masalah ini?

17. Ini kerana pengharaman kemasukan warganegara tertentu ke dalam negara kita dilihat tidak dapat menyelesaiakan masalah sosial di kalangan rakyat negara ini sebaliknya kita perlu meneliti dan menilai pelbagai faktor lain yang turut menyumbang kepada penularan gejala sebegini berbanding mengambil jalan mudah dengan mengharamkan kemasukan mereka yang boleh menjejaskan perkembangan ekonomi negara kita.

18. Semua pihak terutamanya Ibu bapa perlu memainkan peranan jika kita mahu menangani isu sosial ini dengan segera. Ibu bapa dan keluarga sebagai pihak yang paling rapat dengan golongan wanita muda ini perlu membimbing dan menasihati anak-anak mereka. Kita tidak mahu anak gadis kita menjadi modal untuk membantu jejaka dari Lombok membuktikan kehebatan mereka dengan mengahwini wanita dari wilayah lain.

19. Pada masa yang sama adalah tidak wajar untuk kita menuding jari menyalahkan hanya sebelah pihak semata-mata iaitu jejaka Lombok sahaja. Ini kerana seperti kata peribahasa, tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Kesediaan dan kesanggupan anak-anak gadis kita melayan dan menerima kehadiran jejaka luar dalam kehidupan mereka juga dilihat menjadi pendorong utama kepada penularan gejala ini.

20. Justeru, anak-anak ini perlu disedarkan supaya tidak mudah terpedaya hanya kerana cinta buta tanpa memikirkan kesan yang akan timbul jika mengikut jejaka Lombok mahupun negara lain. Paling utama tanpa dokumen perjalanan yang sah mereka akan menjadi pendatang tanpa izin di negara orang. Ini ditambah pula dengan keadaan sosio ekonomi tempat mereka yang serba serbinya kurang berbanding negara kita. Peluang pekerjaan yang kurang, kadar kemiskinan yang tinggi serta kemudahan infrastruktur yang tidak lengkap dan mencukupi mana mungkin menjanjikan kehidupan yang bahagia kepada wanita kita.

21. Perkara-perkara sebegini perlu dipupuk dan disematkan ke dalam sanubari setiap seorang daripada wanita negara kita supaya mereka tidak menyesal di kemudian hari setelah nasi menjadi bubur.

22. Perlu diingat, kita mahukan wanita tempatan berkahwin dengan jejaka tempatan dan melahirkan waris dan generasi masa depan negara kita. Untuk membina sebuah negara bangsa yang kita cita-citakan, kita perlukan sebuah masyarakat yang mempunyai jatidiri yang tulen yang mampu mendukung impian dan harapan tersebut. Perkara ini sukar untuk direalisasikan jika wanita kita asyik mengejar cinta palsu dan berkahwin dengan jejaka luar yang kemudiannya menimbulkan pelbagai masalah keluarga.

23. Kepada kaum wanita, percayalah bahawa berkahwin dengan jejaka tempatan lebih selamat, mudah dan menjamin masa depan yang lebih gemilang berbanding jejaka luar yang kebanyakkannya indah khabar dari rupa dan bagi kaum lelaki negara ini, anggaplah ini sebagai suatu lagi cabaran yang positif dan wajar bangkit dan membuktikan bahawa kita juga mampu memiliki cirri-ciri lelaki mahupun suami yang diidamkan oleh wanita tempatan. Buktikan bahawa tiada istimewanya jejaka Lombok berbanding jejaka tempatan.

Thursday, March 18, 2010

AMBIL IKTIBAR TEGURAN AGONG

1. Dua elemen penting yang perlu dihayati dan diambil iktibar oleh semua ahli poltik tanahair telah digariskan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mizan Zainal Abidin ketika merasmikan sidang Penggal Ketiga Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat kelmarin iaitu perlu rajin turun padang mendekati rakyat dan perlu sentiasa menjaga tingkah laku dan tutur kata.

2. Pesanan dan teguran ini dilihat hadir tepat pada masanya kerana senario politik semasa tidak begitu menyenangkan rakyat negara ini. Bermula dengan isu keluar parti mahupun lompat ke parti lain hinggalah masalah salah laku dan rasuah dalam kalangan ahli politik dewasa ini terus mewarnai pentas politik tanahair.

3. Akibatnya rakyat yang juga pengundi semakin muak dan bosan dengan segelintir wakil mereka yang lupa daratan, lupa segala janji yang telah ditaburkan semasa kempen pilihantaraya dahulu di samping mengabaikan tanggungjawab mereka di kawasan masing-masing.

4. Para pengundi memilh mereka dengan harapan yang cukup besar terutamanya dari aspek penjagaan kebajikan dan hak mereka namun apa berlaku sekarang ialah wakil yang mereka pilih lebih banyk menjaga dan memelihara kebajikan dan hak peribadi di samping kaum keluarga dan kroni masing-masing sahaja.

5. Ini menyebabkan rakyat merasa teraniaya dan diri mereka dikhianati serta diabaikan oleh wakil mereka sendiri. Tidak ramai daripada ahli politik yang ada sekarang ini rajin turun padang mendengar masalah rakyat apatah lagi mendekati rakyat bawahan di kawasan mereka.

6. Alasannya cukup mudah iaitu mereka terlalu sibuk dengan pelbagai urusan lain seperti mesyuarat dan majlis jamuan dan sebgainya. Kenapa begitu mudah memberikan alasan di kala para pengundi hanya menuntut segala janji yang telah ditaburkan sebelum ini?

7. Kenapa susah sangat untuk mendampingi rakyat yang menyokong mereka tanpa berbelah bagi selama ini dan Apakah ini balasan kepada mereka yang begitu setia menyokong selama ini?

8. Hati nurani rakyat bawahan terutamanya masyarakat di luar bandar boleh dikatakan hancur musnah apabila wakil yang mereka harapkan selama ini untuk membawa sinar baru ke kawasan mereka amat sukar untuk ditemui mahupun didampingi.

9. Perwatakan ahli politik kita dilihat cukup senang untuk berubah di mana semasa musim kempen mereka cukup rajin turun padang dan sentiasa berada di kawasan mereka untuk mengambil tahu dan mendengar segala masalah rakyat tetapi segala-galanya boleh dikatakan berubah 360 darjah apabila mereka telah menang dalam pilihanraya.

10. Ini menyebabkan janji hanya tinggal janji semata-mata dan seolah-olah wujud pula suatu jurang yang besar antara rakyat dengan wakil mereka selepas mereka memenangi sesuatu pilihanraya. Mereka seakan-akan menjadi golongan yang terlalu eksklusif untuk berjumpa ataupun mendampingi rakyat.

11. Ini menyebabkan hanya pegawai-pegawai yang dilantik oleh mereka sahaja menjadi tempat mengadu para pengundi. Apa sahaja masalah mereka semuanya perlu disalurkan melalui pegawai-pegawai tersebut yang belum tentu kesemua masalah yang diadu sampai ke telinga dan pengetahuan wakil rakyat tersebut. Apakah pengundi dan penyokong yang memangkah mereka ini hanya layak untuk berjumpa dengan wakil mereka sahaja?

12. Begitu juga halnya dengan aspek tingkah laku para wakil rakyat kita. Walaupun bukan semua namun tindak tanduk segelintir daripada mereka sudah cukup untuk mencemarkan institusi politik tanahair. Rasanya tidak perlu lagi kita ungkitkan atau senaraikan satu persatu kes yang telahpun didedahkan oleh baik media cetak mahupun media elektronik di negara kita selama ini berkaitan masalah moral, tingkah laku, salah guna kuasa, rasuah mahupun penyelewengan dalam kalangan ahli politik kita.

13. Hampir setiap hari ada sahaja laporan berkaitan salah laku ahli politik yang didedahkan untuk pengetahuan umum. Keperibadian yang tidak menentu ini sekali lagi cukup mengecewakan rakyat dan para pengundi mereka.

14. Pengundi rasa diri mereka terpedaya dan tertipu apabila didedahkan dengan pelbagai kes tingkah laku wakil mereka kerana semasa pemilihan dahulu mereka mengundi seorang wakil yang mempertontonkan keperibadian dan akhlak yang cukup tinggi dan mulia dan sekali lagi ianay berubah sekelip mata apabila mendapat jawatan yang diidamkan.

15. Semoga teguran dan nasihat Yang di-Pertuan Agong itu dijadikan iktibar dan panduan seterusnya menjadi titik tolak ke arah melahirkan ahli politik yang tinggi akhlaknya dan seterusnya boleh membela nasib para pengundi mereka.
PENGANIAYAAN TERHADAP KANAK-KANA PERLU DIBENDUNG SEGERA

1. Belum lagi reda isu penderaan dan kematian adik Syafiah Humairah Sahari yang berusia 3 tahun dan K. Haresyarren yang berusia 18 bulan, kita dikejutkan pula dengan berita perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak.

2. Siti Nur Zubaidah Hussin yang baru sahaja berusia 11 tahun dipaksa berkahwin dengan seorang lelaki dewasa dan lebih malang lagi perkahwinan ini diwalikan oleh bapa kandungnya sendiri.

3. Sebagai manusia yang waras kita boleh bayangkan apalah nasib masa hadapan kanak-kanak ini dan pada usia yang begitu muda ini sejauhmanakah beliau mengerti makna sebuah perkahwinan. Kita juga pasti beliau masih mentah dan belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.

4. Apa yang jelas perkahwinan ini menyalahi undang-undang syariah negara kita kerana pernikahan itu dilakukan tanpa kebenaran secara bertulis mahkamah syariah dan lebih jelas lagi di mana mengikut Seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002, pasangan wanita yang berumur di bawah 16 tahun perlu mendapatkan kebenaran secara bertulis daripada mahkamah syariah.

5. Walaupun aspek undang-undangnya sangat jelas namun kita masih hairan kenapa perkara-perkara sebegini masih terus membelenggu dan mengahantui masyarakat kita? Kenapa kita begitu mudah taksub dan terpedaya dengan individu yang seringkali menyalahgunakan pegangan agama ataupun imej warak?

6. Belum cukupkah dengan pelbagai pendedahan tentang ajaran sesat dan salah laku yang dibuat oleh individu mahupun kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai nabi mahupun pembawa sesuatu ajaran yang sesat. Isu-isu begini juga terus mencemarkan insitusi agama serta nama baik para ulama di negara kita.

7. Kejadian yang menimpa kanak-kanak di negara kita dewasa ini sangat merisaukan semua pihak. Kita khuatir jika insiden-insiden sebegini tidak dibendung dengan segera maka suatu hari kelak bilangan kanak-kanak di negara kita akan semakin pupus.

8. Sikap tidak peduli dan tingkah laku yang tidak endah dengan apa yang berlaku di sekelilling kita dilihat sebagai antara punca utama kejadian sebegini terus berleluasa dalam masyarakat kita.

9. Masyarakat kita masih belum mahu mengambil iktibar dan pedoman daripada apa telah menimpa Syafiah Humairah Sahari, K. Haresyarren dan terkini Siti Nur Zubaidah Hussin. Kita masih dengan budaya selagi tidak kena batang hidung sendiri maka tidak apa dan tidak peduli dengan apa yang berlaku.

10. Kita hanya marah, geram dan menangis apabila insiden ini berlaku ke atas anak-anak kita mahupun saudara mara kita tetapi kita buat tidak tahu dan tidak peduli dengan apa yang berlaku di sebelah rumah kita ataupun di kawasan perumahan kita.

11. Budaya tidak peduli, lepas tangan dan tidak mengapa ini jelas mula menular menjadi wabak yang serius dalam masyarakat kita. Virus ini jika tidak diubati ataupun dibendung dengan segera maka kita khuatir pelbagai lagi insiden yang lebih dasyat dan menggerunkan boleh berlaku dalam masyarakat kita.

12. Kita perlu mengubah pemikiran dan gaya hidup supaya menjadi masyarakat yang lebih prihatin dan responsif dengan apa yang berlaku di sekitar kita. Tidak salahnnya dalam hal begini kita menyibuk dan mengambil tahu tepi kain orang lain asalkan ianya demi untuk kesejahteraan bersama.

13. Hukuman yang berat dari segi undang-undang ternyata masih belum mampu membendung kes-kes sebegini daripada terus berulang maka alternatif yang kita ada hanyalah perubahan sikap dan tingkah laku masyarakat kita yang perlu dilaksanakan dengan segera.

14. Justeru, disamping kita begitu asyik dalam menegakkan undang-undang yang ada, kita juga wajar memberi perhatian kepada usaha-usaha untuk mendidik masyarakat kita menjadi masyarakat penyayang dan lebih responsif kepada masalah sosial yang melanda negara kita.

15. Pihak yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa dalam hal ini perlu melihat perubahan sikap sebagai suatu aspek yang penting di mana langkah-langkah untuk memupuk budaya masyarakat penyayang perlu dilipatgandakan dengan pelbagai cara dan kaedah yang boleh menarik perhatian dan minat rakyat kita.

16. Masyarakat kita perlu disedarkan dengan segera tentang kesan dan akibat yang bakal menimpa generasi masa depan negara ini jika masalah sosial ini tidak dibendung dengan secepat yang mungkin. Semuga beberapa insiden yang telah berlaku ini dapat menyedarkan kita seterusnya mengubah kita menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

Thursday, March 11, 2010

PERKHIDMATAN AWAM PERLUKAN ANJAKAN PARADIGMA
(Telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 11/3/2010)

1. Antara intipati utama ucapan YAB Perdana Menteri dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA XI) ke-11 ialah beliau menekankan dua prinsip yang perlu diberi perhatian dan penekanan oleh penjawat awam.

2. Prinsip pertama ialah memastikan kehidupan rakyat pada hari ini lebih baik daripada hari semalam dan yang kedua ialah memastikan kehidupan rakyat pada masa hadapan akan lebih baik lagi berbanding pada hari ini.

3. Kedua-dua prinsip ini boleh diterjemahkan sebagai kesinambungan daripada slogan keramat ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Ianya sekali lagi mencerminkan keikhlasan pihak kerajaan untuk menjaga kebajikan serta memenuhi segala kehendak dan aspirasi rakyat di mana ianya bukan sahaja terhad kepada generasi sekarang tetapi juga untuk generasi akan datang.

4. Ia juga membuktikan bahawa pihak kerajaan tidak pernah lupa mahupun leka dalam menunaikan janji mereka kepada rakyat iaitu menjaga, memelihara serta memartabatkan kehendak dan kebajikan rakyat.

5. Kedua-dua prinsip yang ditekankan oleh Perdana Menteri ini boleh dianggap sebagai amanat dan arahan beliau kepada seluruh penjawat awam di negara ini. Amanatnya cukup ringkas dan mudah iaitu terus berkhidmat dengan cemerlang untuk memakmurkan kehidupan serta memelihara kebajikan rakyat.

6. Walaupun ringkas dan mudah namun maksud yang tersirat disebalik ungkapan tersebut adalah cukup meluas dan memberikan makna yang cukup mendalam. Ianya perlu diperhalusi dan diberi perhatian yang serius oleh penjawat awam.

7. Setiap penjawat awam perlu menyahut amanat dan arahan ini dengan minda dan sikap yang lebih terbuka. Ianya harus diterima sebagai satu permintaan dan rayuan secara terbuka oleh Perdana Menteri agar penjawat awam dapat bersama-sama dengan beliau dalam berkhidmat dan berbakti kepada rakyat.

8. Mengambil kira amanat tersebut, sudah tiba masanya untuk perkhidmatan awam melakukan suatu anjakan paradigma secara holistik dan menyeluruh yang merangkumi sikap, budaya dan cara kerja penjawat awam serta perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

9. Isu perkhidmatan awam yang melibatkan penjawat awam seperti kurang cekap, lambat, cuai dan tidak mesra pelanggan, rasuah dan salah guna kuasa sewajarnya tidak lagi timbul. Perkara-perkara sebegini perlu dibendung dari peringkat akar umbi lagi agar ianya tidak terus menular dalam perkhidmatan awam.

10. Tidak dinafikan perkhidmatan awam pada hari ini jauh lebih efektif dan berkesan berbanding pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an namun insiden-insiden yang berlaku seperti di atas serba sedikit terus menjejaskan imej dan reputasi perkhidmatam awam secara keseluruhannya bak kata pepatah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

11. Ketika ini kita boleh lihat di mana pihak kerajaan secara terus menerus mengiktiraf sumbangan yang diberikan oleh penjawat awam. Penambahbaikan ke atas beberapa skim perkhidmatan seperti yang terkini skim perkhidmatan pensyarah serta peluang kenaikan pangkat yang lebih cepat kepada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi serta peluang kenaikan pangkat kepada anggota perkhidmatan awam kumpulan sokongan yang telah berkhidmat selama 15 tahun di samping pelbagai insentif lain dari semasa ke semasa membuktikan bahawa pihak kerajaan terus prihatin nasib dan masalah penjawat awam. Bak kata Perdana Menteri beliau mendengar segala rintihan penjawat awam selama ini.

12. Justeru penjawat awam tiada lagi alasan untuk berkhidmat sambil lewa mahupun tidak efisyen. Insentif-insentif tersebut sepatutnya menjadi suntikan motivasi kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan cemerlang kepada rakyat.

13. Kita berharap perkhidmatan awam akan menjadi suatu perkhidmatan yang lebih eksklusif dan hebat dengan menyediakan peluang-peluang yang lebih terbuka dan menarik supaya dapat menarik minat lebih ramai golongan muda dan profesional untuk menyertai perkhidmatan awam.

14. Perkhidmatan awam perlu keluar dengan segera dari stigma bahawa ianya menjadi pilihan pencari kerja hanya semata-mata kerana menawarkan kemudahan-kemudahan seperti skim pencen serta rawatan perubatan secara percuma di samping kedudukan kerjaya yang terjamin berbanding sektor swasta.

15. Untuk itu, peluang bagi menyertai perkhidmatan awam perlu lebih kempetitif serta terbuka dan pada masa yang sama bilangan siswazah yang begitu ramai dewasa ini sepatutnya membuka peluang dan ruang kepada JPA untuk memilih dan mendapatkan pekerja yang lebih cemerlang, kreatif, inovasi dan mempunyai tahap disiplin diri yang tinggi. Ini kerana bilangan mereka yang begitu ramai memberikan kita peluang yang lebih baik untuk membuat pilihan yang tepat.

16. Pada hari ini, perkhidmatan awam sering kali menjadi bahan perbualan dalam kalangan rakyat apabila sesuatu jabatan tidak dapat memberikan perkhidmatan yang dikehendaki oleh rakyat. Ini menunjukkan walaupun kita semakin efisyen dan cekap dengan pelbagai penambahbaikan namun ekspektasi para pelanggan juga semakin meningkat dari semasa ke semasa.

17. Ekspektasi pelanggan dewasa ini dilihat cukup dinamik dan berubah-ubah mengikut keadaan dan perubahan zaman. Maka perkhidmatan awam perlu bersedia untuk meneriama situasi ini sebagai satu cabaran dan seterusnya melakukan perubahan dengan segera bagi memenuhi kehendak pelanggan.

18. Ketika ini, boleh dikatakan hampir semua jabatan kerajaan mempunyai piagam pelanggan masing-masing yang dipaparkan di ruang pejabat untuk tatapan para pelanggan.

19. Piagam Pelanggan yang disenaraikan adalah janji jabatan tersebut kepada pelanggan mereka yang selalunya melibatkan tempoh masa sesuatu urusan dapat diselesaikan mahupun cara sesuatu tugas akan dilaksanakan.

20. Namun apa yang berlaku ialah penghayatan dan pembudayaan penjawat awam terhadap piagam yang telah dibangunkan itu masih dilihat rendah dan belum mantap. Akibatnya pelanggan menghadapi masalah apabila berurusan dengan jabatan tersebut. Justeru piagam yang telah dibangunkan perlulah disemak semula supaya ianya memberik impak yang lebih besar serta terus kekal relevan mengikut kehendak pelanggan.

21. Begitu juga dengan nilai-nilai murni serta etika perkhidmatan awam yang telah dibangunkan. Masih ramai penjawat awam yang tidak menghayati erti sebenar nilai-nilai murni tersebut. Jika tidak masakan masih berlaku pelbagai masalah disiplin seperti rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Isu ini juga perlu diberi penekanan dan ditangani dengan segera kerana ianya melibatkan tingkahlaku dan moral penjawat awam.

22. Semoga amanat Perdana Menteri dalam MAPPA ke-11 ini menjadi titik permulaan ke arah perkhidmatan awam yang lebih dinamik, progresif, profesional serta berinovasi. Penjawat awam pula perlu ingat bahawa apa yang mereka laksanakan itu adalah suatu amanah yang perlu ditunaikan kepada rakyat dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab.

Wednesday, March 3, 2010

BERILAH PELUANG KEPADA WANITA
(TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR HARIAN METRO PADA 1 MAC 2010)

1. Agak memeranjatkan apabila tiba-tiba isu penguasaan wanita dalam sektor awam didedahkan oleh pihak Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Ini adalah kerana isu dominasi kaum wanita dalam sektor pekerjaan di negara kita bukanlah suatu fenomena yang baharu.

2. Ianya sudahpun berlaku dan berterusan sekia lama malah saban tahun jumlah wanita yang memperoleh peluang pekerjaan boleh dikatakan lebih tinggi daripada kaum lelaki baik di sektor awam mahupun dalam sektor swasta.

3. Dalam sektor awam sendiri misalnya mengikut data Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga 19 Februari 2010 menunjukkan kaum wanita menguasai sebanyak 63% daripada jumlah penjawat awam yang meliputi pelbagai kumpulan perkhidmatan.

4. Sebagai seorang lelaki dan juga penjawat awam penulis tidak sedikitpun terasa tergugat mahupun bimbang dengan senario tersebut. Ini kerana selama inipun kita sudah sedia maklum kehebatan kaum wanita di negara kita dalam pelbagai bidang.

5. Jika kita mengkaji secara mendalam, ternyata kaum wanita di negara kita lebih cerdik daripada kaum lelaki. Buktinya boleh dilihat apabila setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan di mana baik UPSR, PMR, SPM mahupun STPM semuanya dikuasai oleh pelajar perempuan. Mereka sering muncul sebagai pelajar yang memperoleh paling banyak A dalam matapelajaran yang diambil berbanding pelajar lelaki.

6. Situasai ini berterusan pula di peringkat pengajian tinggi di mana akibatnya hampir 70% hingga 80% populasi pelajar di setiap kampus adalah tediri daripada pelajar perempuan dan sekali lagi mereka juga muncul sebagai pelajar terbaik di setiap konvokesyen yang diadakan di IPT masing-masing.

7. Ini menunjukkan kaum wanita dengan mudah mengatasi kaum lelaki dari segi pencapaian akdemik maka tidak hairanah apabila mereka juga terus mendominasi sekor pekerjaan kelak bila tamat pengajian masing-masing.

8. Seperti kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, pelantikan ke sektor awam adalah berdasarkan merit dan bukannya berdasarkan jantina maka sudah semestinya graduan wanita yang cemerlang akan mendapat peluang yang lebih baik untuk terpilih ke sesuatu jenis pekerjaan tersebut.

9. Majikan swasta juga dewasa ini dilihat tidak mempunyai sebarang masalah untuk memilih dan memberi kepercayaan kepada kaum wanita untuk menyandang sesuatu jawatan dalam organisasi mereka.

10. Oleh yang demikian, walaupun kebimbangan CUEPACS tetap ada asasnya namun baik CUEPACS mahupun kaum lelaki sewajarnya melihat keadaan ini dari sudut dan perspektif yang lebih positif dan terbuka.

11. Anggaplah ianya sebagai cabaran kepada seluruh kaum lelaki di negara kita terutamanya golongan remaja dan belia yang bakal memasuki alam pekerjaan. Mereka perlu cemerlang dalam akademik jika mahu bersaing dengan kaum wanita.

12. Namun apa yang berlaku sekarang cukup menyedihkan di mana kebanyakkan golongan lelaki muda terlibat dalam gejala-gejala yang kurang sihat seperti merempit dan dadah. Akibatnya bilangan kaum lelaki di penjara dan pusat serenti boleh dikatakan melebihi bilangan kaum lelaki yang ada di IPT di seluruh negara kita.

13. Jika keadaan ini berterusan maka agak mustahil untuk kaum lelaki bersaing dengan kaum wanita. Kaum lelaki perlu cepat sedar dan melakukan anjakan paradigma jika mahu terus kekal bersaing dengan kaum wanita. Persaingan ini pula perlulah dilihat sebagai suatu persaingan yang sihat demi masa depan negara yang gemilang.

14. Pada masa yang sama apalah salahnya untuk kita memberi peluang dan ruang kepada kaum wanita untuk membuktikan kehebatan mereka. Ternyata mereka juga mampu menjadi pemimpin yang baik misalnya organisasi yang penting seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara yang dipimpin oleh kaum wanita ternyata mampu diuruskan dengan cemerlang tanpa sebarang masalah.

15. Walau apapun kita wajar merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak CUEPACS kerana membangkitkan isu ini kerana sekurang-kurangnya pendedahan ini boleh menyedarkan kaum lelaki. Penulis mengharapkan agar kaum lelaki akan mula sedar dari lamunan dan mimpi seterusnya berusaha keras untuk sama-sama berganding bahu dengan kaum wanita bagi memajukan negara kita.

Tuesday, March 2, 2010

SIAPA PULA SELEPAS SYAFIAH?
(Telah disiarkan dalam ruangan Forum akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2/3/2010)

1. Tidak berperikemanusiaan dan lebih teruk daripada haiwan. Itulah ungkapan yang keluar daripada mulut majoriti rakyat Malaysia yang terbaca tentang nasib malang yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari berusia 3 tahun. Seluruh rakyat Malaysia mengutuk keras kejadian tersebut yang meruntun hati, jiwa dan perasaan setiap seorang daripada kita.

2. Syafiah disahkan meninggal dunia akibat penderaan yang teruk oleh teman lelaki ibunya sendiri. Hasil bedah siasat pula menunjukkan Syafiah meninggal dunia kerana pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek. Kulit kepalanya juga dikatakan terkoyak kerana dipijak dan terdapat kesan punting rokok pada bahagian kaki dan dagunya.

3. Apalah dosa insan kecil ini sehingga diperlakukan sebegini rupa? Kanak-kanak kecil yang belum mengenal erti dosa didera dengan begitu dasyat sekali hanya kerana kesilapan yang sangat kecil.

4. Walaupun suspek bukan bapa kandungnya, namun kita hairan ke mana hilangnya sifat timbang rasa, kasih sayang mahupun nilai-nilai kemanusiaan hingga Syafiah diperlakukan umpama binatang. Orang begini jelas langsung tidak layak untuk digelar manusia.

5. Binatang bertopengkan manusia ini perlu dihukum dengan setimpal. Orang seperti ini tidak boleh dibiarkan terus hidup di atas muka bumi ini kerana khuatir akan mengulangi perbuatan kejinya ini ke atas kanak-kanak lain.

6. Maka hukuman yang sewajarnya adalah hukuman gantung sampai mati dan seelok-eloknya disebat terlebih dahulu di khalayak ramai supaya ianya menjadi iktibar dan pengajaran kepada orang lain.

7. Kejadian yang menimpa Syafiah ini menyusul selang beberapa hari selepas kejadian pembunuhan bayi lelaki yang baru dilahirkan oleh Ibunya sendiri dengan melemaskan anaknya dalam pam tandas di sebuah sekolah memandu di Segamat.

8. Siri keganasan terhadap bayi ataupun kanak-kanak di negara kita dewasa ini seolah-olah tiada penyudahnya. Hampir setiap hari ada saja berita ataupun laporan berkaitan isu ini baik di media cetak mahupun di media elektronik.

9. Buang bayi, membunuh bayi yang baru dilahirkan dan kes penderaan sudah mula menjadi trend dalam kehidupan masyarakat kita yang dikatakan semakin maju dan mara ke hadapan. Akibatnya statistik kejadian seumpama itu semakin hari semakin meningkat dan yang pasti ianya cukup merisaukan kita semua.

10. Apa yang lebih menyedihkan ialah hampir kesemua perbuatan keji ini dilakukan oleh ibu bapa ataupun keluarga terdekat mangsa berkenaan. Bukankah mereka ini yang sepatutnya melindungi anak-anak kecil ini? Di mana rasa kasih sayang dan tanggungjawab mereka terhadap darah daging mereka sendiri?

11. Anak-anak kecil ini yang sepatutnya menjadi bakal pewaris generasi sekarang dan merupakan khazanah masa hadapan negara kita terpaksa dikuburkan dengan begitu tragis dan sadis. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan tidak hairan suatu hari nanti bilangan kanak-kanak akan semakin pupus di negara kita ini.

12. Masalah sosial ini jelas mencerminkan tahap dan kedudukan sebenar institusi kekeluargaan di negara kita yang begitu rapuh dan pincang. Kejadian-kejadian ini membawa kita kepada beberapa persoalan penting yang perlu dirungkai dan ditangani dengan segera.

13. Antaranya, apakah punca yang menyumbang kepada masalah sosial sebegini dalam masyarakat kita dan ke mana hilangnya nilai-nilai kasih sayang dalam masyarakat kita?

14. Jika kita mengkaji secara mendalam, kejadian sebegini berpunca daripada kepincangan dan kehancuran institusi kekeluargaan itu sendiri. Tiada gunanya kita menuding jari menyalahkan orang lain mahupun pihak berkuasa di atas apa yang sedang berlaku sekarang.

15. Sistem kekeluargaan dalam masyarakat kita nampaknya semakin goyah dan sedang menuju ke suatu keadaan yang cukup merbahaya. Buktinya, masyarakat kita kini kembali mengamalkan budaya zaman jahiliyah iaitu membunuh ataupun menanam bayi. Jika kita terus leka maka dikhuatiri budaya ini akan menghancurkan terus nilai kemanusiaan dalam masyarakat kita suatu hari kelak.

16. Pada masa yang sama, masyarakat kita juga dilihat dewasa ini lebih mementingkan harta dan kebendaan yang menyebabkan kita semakin lalai dan melupakan nilai-nilai kasih sayang yang selama ini menjadi tunjang dan tulang belakang sesebuah keluarga.

17. Kita semakin jauh dari nilai-nilai asas peradaban manusia sejagat. Kita juga semakin jauh dari nilai-niali ketimuran yang menjadi pegangan dan amalan kita sejak turun temurun.

18. Akibatnya juga kita sedikitpun tidak rasa kesian mahupun sayang hingga tergamak mendera atau membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa. Ternyata, semakin kita maju ke hadapan, semakin kita mundur ke belakang dari aspek nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

19. Perasaan sayang, cinta, ambil berat dan saling hormat menghormati semakin terhakis daripada masyarakat kita. Itulah harga yang terpaksa kita bayar selama ini untuk menikmati kemajuan dan pembangunan yang kita miliki sekarang. Apakah kita boleh bangga dengan kemajuan sebegini dan apakah arus pemodenan ini yang kita idamkan selama ini?

20. Jika inilah keadaannya, maka pembangunan yang kita kecapi selama ini tiada maknanaya kerana ia lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan dalam masyarakat kita.

21. Tiada gunanya kita maju menjelang tahun 2020 jika manusia yang akan menguruskan kemajuan itu hanyalah binatang yang bertopengkan manusia. Jelas masyarakat kita gagal untuk menyeimbangkan antara keperluan dan kemajuan fizikal dan kekayaan dengan keperluan rohani dan sosial. Sifat kerakusan dan ketamakan sudah mula menguasai masyarakat kita.

22. Justeru kita perlu bertindak dengan segera untuk memperbetulkan keadaan ini sebelum nasi menjadi bubur. Semua pihak perlu berganding bahu menyelamatkan institusi kekeluargaan di negara kita.

23. Kita harap baik pihak kerajaan, jabatan agama mahupun NGO dapat memainkan peranan yang lebih agresif dalam mendidik kembali masyarakat kita tentang nilai-nilai kekeluargaan yang sejati seperti kasih sayang dan cinta agar kita dapat melahirkan masyarakat madani yang progresif seperti yang kita idamkan di samping menongkah arus pemodenan yang penuh dengan pelbagai dugaan dan rintangan ke atas sistem nilai dan sosial penduduk negara ini.

24. Jika tidak, kita sudah boleh menghitung hari dan perlu bersiap sedia dari sekarang dengan jawapan siapa pula mangsa seterusnya selepas Syafiah.