Wednesday, August 4, 2010

SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN PERLU IKHLAS, PENGHAYATAN MENDALAM
(Telah disiarkan dalam utusan Malaysia bertarikh 4/8/2010)

1. Bulan Ogos sekali lagi datang menjenguk kita yang sekaligus menandakan kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang Ke-53 pada tahun ini. Tahun ini juga sekali lagi kita akan menyambut tarikh keramat 31 Ogos dalam bulan Ramadan yang mulia sama seperti beberapa tahun sejak kebelakangan ini.

2. Kelmarin YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telahpun melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang di Kangar secara besar-besaran yang sekaligus menandakan bermulanya sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-53 bertemakan “1Malaysia Menjana Transformasi”.

3. Sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini yang bermula dengan pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang di Perlis ini dijangka akan berakhir dengan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada tarikh 16 September yang telahpun diisytiharkan sebagai cuti umum pada tahun ini manakala sambutan Hari Kebangsaan pula akan berlangsung pada 31 Ogos di Stadium Putra Bukit Jalil.

4. Sambutan bulan kemerdekaan seumpama ini telahpun menjadi tradisi di negara kita setiap tahun demi memperingati semula detik kemerdekaan negara yang dicapai pada tanggal 31 Ogos 1957.

5. Ironinya pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang dan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini dilaksanakan selang sehari selepas sambutan Hari Pahlawan iaitu pada 31 Julai yang lepas. Kedua-dua peristiwa ini dilihat mempunyai nilai signifikan dan hubungkait yang cukup kuat dan erat.

6. Pengorbanan wira-wira negara, para pejuang bangsa dan bekas perajurit yang berjuang tanpa mengenal erti takut dan putus asa akhirnya telah menjelmakan kebebasan yang mutlak kepada negara kita dari penjajah. Tanpa mereka tidak mungkin kita akan mengecapi nikmat kebebasan dan kemerdekaan yang ada pada hari ini. Jasa dan sumbangan mereka bukanlah sesuatu yang boleh dilupakan begitu sahaja malah ianya adalah terlalu besar dari segi nilai dan harganya kepada generasi yang ada pada hari ini.

7. Justeru segala pengorbanan mereka tidak boleh disia-siakan begitu sahaja. Untuk itu apa yang ingin dikupas oleh penulis ialah adakah selama ini kita benar-benar ikhlas menyanjung segala pengorbanan wira-wira negara tersebut. Dalam konteks ini dua perkara yang sering menjadi persoalan utama ialah aspek keikhlasan dan penghayatan dalam kita menyambut sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang yang diadakan setiap tahun sebagai memperingati detik sejarah negara ini yang terlakar hasil pengorbanan para wira negara. Ini kerana keihklasan kita dalam memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan boleh dilihat sebagai hadiah terbaik kepada semua pejuang kemerdekaan tanahair.

8. Penulis berpendapat, salah satu cara yang terbaik untuk kita menunjukkan tanda penghargaan kepada para pejuang serta membuktikan bahawa kita menghargai nilai kemerdekaan yang diwariskan kepada kita ialah dengan cara kita menzahirkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang dengan penuh ikhlas serta penghayatan yang mendalam. Hanya dengan cara inilah kita dapat membalas segala jasa dan pengorbanan para pejuang kemerdekaan tanahaiar.

9. Malah kalau diizinkan dan diberi pilihan, penulis sendiri ingin mencadangkan agar bulan Ogos diisytihar sebagai bulan yang paling mulia untuk seluruh warganegara Malaysia sama seperti bulan Ramadan untuk umat Islam di seluruh dunia. Bukan niat penulis untuk menyamakan kesucian dan kelebihan bulan Ramadan dengan bulan lain tetapi difikirkan adalah tidak salah untuk kita menjadikan bulan Ogos sebagai bulan yang sangat bermakna kepada kita.

10. Hal ini adalah kerana kita tidak mahu bulan Ogos dan tarikh 31 Ogos datang dan pergi begitu sahaja sekadar memenuhi kalendar tahunan kita. Ianya perlu disambut dan diraikan secara ikhlas dengan penuh penghayatan yang mendalam terutamanya oleh generasi pasca merdeka yang tidak mengenal erti kesusahan dan kepayahan dijajah oleh orang luar.

11. Ini penting kerana pengamatan pada tahun-tahun yang lepas menunjukkan bahawa walaupun kita tidak pernah ketinggalan untuk melancarkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang pada setiap tahun namun sambutan dan kemeriahan dalam kalangan masyarakat kita masih rendah malah adakalanya kita merasakan ianya berada pada tahap yang cukup mendukacitakan.

12. Misalnya, bilangan premis kerajaan mahupun organisasi korporat yang mengibarkan Jalur Gemilang secara relatifnya masih sedikit. Jumlah kenderaan yang memasang Jalur Gemilang juga dilihat tidak begitu memberangsangkan. Malah kebanyakkan daripada kita hanya akan memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing apabila ianya diberikan secara percuma. Tidak ramai yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli Jalur Gemilang sendiri walaupun kosnya cukup rendah dan murah. Maka persoalan yang timbul disini ialah di manakah nilai keikhlasan dan penghayatan kita terhadap kempen dan sambutan tersebut? Ini juga membuktikan bahawa keikhlasan dan penghayatan kita dalam meraikan kemerdekaan negara kita masih meragukan dan boleh dipersoalkan.

13. Dalam isu ini, kita tidak menafikan mungkin ada kebenaran pada hujah segelintir masyarakat bahawa tindakan tidak memasang bendera tidak bererti tidak sayang negara tetapi adakah kita mempunyai cara lain yang lebih senang dan mudah untuk menzahirkan perasaan sayang kita kepada ibu pertiwi? Sama-samalah kita fikirkan.

14. Bukankah sewajarnya kita berbangga dengan bendera kita kerana ianya adalah payung negara ini. Kalau benderapun tidak boleh dikibarkan apatah lagi hal lain yang lebih besar. Justeru kita perlu ikhlas dan benar-benar menghayati sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang sebagai tanda kita sayang dan cintakan negara ini.

15. Tahap kesedaran untuk menghayati nilai kemerdekaan dalam kalangan generasi muda dilihat semakin pudar ataupun kurang meresapi jiwa mereka. Maka kita perlu berusaha untuk memupuk nilai kasih dan sayang kepada negara ke dalam sanubari mereka secara mendalam dengan penuh penghayatan supaya mereka akan sedar dan seterusnya akan mempertahankan kemerdekaan yang ada pada hari ini.

16. Untuk itu, di samping memupuk budaya cintakan negara melalui sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang kita juga wajar memikirkan cara lain melalui pendekatan yang berbeza agar keikhlasan dan penghayatan dapat diterjemahkan seperti yang kita harapkan.

17. Antara caranya ialah kita perlu fokus dalam menjalankan sesuatu kempen kesedaran seperti ini agar ianya membuahkan hasil yang diharapkan. Dalam hal ini kumpulan pelajar sekolah dan pelajar IPT yang bakal menjadi pewaris negara wajar diberi perhatian yang lebih. Kumpulan ini perlu disedarkan kepentingan untuk menjaga dan mempertahankan kemerdekaan kita.

18. Walaupun pihak sekolah dan IPT sering menganjurkan pelbagai program kesedaran sepanjang bulan Ogos namun sudah tiba masanya untuk kita menilai semula serta memberi nafas baharu kepada program-program yang dianjurkan itu agar ianya dapat memberi impak yang diharapkan.

19. Program-program yang memupuk nilai-nilai kasih dan sayang kepada negara seperti pertandingan drama atau teater kemerdekaan, pertandingan debat dan perbahasan kemerdekaan serta tayangan drama dan filem yang menceritakan kisah perjuangan para pejuang kemerdekaan yang sering diadakan selama ini di peringkat sekolah dan juga IPT wajar diperkasa semula agar ianya benar-benar mampu mewujudkan rasa kesedaran dan keinsafan dalam kalangan generasi muda kita.

20. Pada masa yang sama masyarakat juga perlu ikhlas dan menghayati sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang yang telah dilancarkan ini. Budaya acuh tak acuh serta sekadar melepaskan batuk di tangga perlu dikikis dan digantikan dengan budaya keikhlasan dan penghayatan yang mendalam. Usahlah pula kedatangan bulan Ramadan dijadikan halangan mahupun alasan untuk tidak memeriahkan sambutan yang telah dilancarkan sebaliknya jadikan sambutan kemerdekaan di bulan Ramadan sebagai yang lebih bermakna dan dihayati dengan penuh ikhlas dan keinsafan.

21. Percayalah bahawa hanya melalui keikhlasan dan penghayatan yang mendalam sahaja kita mampu memperoleh hasil yang diidamkan melalui sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang dan itulah juga cara terbaik untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan yang gugur dalam mempertahankan tanahair tercinta ini. Semoga sambutan kali ini yang sekali lagi jatuh pada bulan Ramadan yang mulia dapat benar-benar menyedarkan dan menginsafkan kita semua agar kita perlu ikhlas menyayangi negara kita.