Monday, July 26, 2010

BUDAYA DERHAKA PERLU DIBENDUNG SEGERA
(Telah disiarkan dalam akhbar Harian Metro bertarikh 26/7/2010)

1. Secara tiba-tiba kita dikejutkan dengan beberapa kes saman dan laporan polis melibatkan sama ada ibu mahupun bapa terhadap anak kandung sendiri akibat pelbagai kejadian malang yang cukup menyayat hati kita yang akhirnya dirumuskan sebagai kes derhaka si anak terhadap ibu bapa sendiri.

2. Insiden seperti anak mengabaikan tanggungjawab terhadap bapa, anak mengurung bapa untuk dapatkan harta, anak membelasah bapa kerana ditegur dan anak memaki hamun ibu termasuk dengan panggilan babi cukup merobek hati khalayak yang prihatin dengan nasib malang yang menimpa ibu bapa tersebut.

3. Rata-rata mayarakat hanya mampu menggeleng kepala dan mengucap panjang apabila berita seperti ini dipaparkan di dada-dada akhbar. Masing-masing terpinga-pinga dan mengajukan satu persoalan yang cukup serius iaitu apa sudah jadi dengan masyarakat kita?

4. Sebagai manusia yang waras yang dibesarkan dalam kelompak masyarakat yang mengutamakan adat ketimuran dan nilai-nilai murni seperti taat kepada ibu bapa dan ajaran agama, kita seolah-olah tidak boleh percaya dengan apa yang sedang melanda generasi anak-anak muda zaman milenium ini. Senario ini juga menunjukkan kepada kita betapa rapuhnya institusi keluarga yang ada pada masa sekarang.

5. Pada hemat penulis, terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang utama kepada berleluasanya budaya derhaka dan gejala kurang sihat dalam kalangan anak-anak muda di negara kita dewasa ini.

6. Faktor pertama ialah kesilapan di pihak ibu bapa itu sendiri. Anak-anak yang dilahirkan adalah umpama kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan hala tuju dan masa depan anak tersebut, justeru dalam hal ini ibu bapa tidak boleh menuding jari menyalahkan orang lain.

7. Kesibukan ibu bapa dengan tugasan masing-masing atas alasan mengumpul harta mahupun mencari rezeki akhirnya dilihat memerangkap keluarga mereka sendiri. Hal ini kerana, kesibukan melampau mereka menyebabkan mereka sering mengabaikan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka di rumah. Anak-anak yang sebahagian besar masanya dihabiskan dengan pembantu rumah atau di tadika dilihat tidak dapat merasakan nikmat kasih dan sayang daripada ibu bapa sendiri. Akibatnya mereka mudah melawan cakap, memberontak dan derhaka kepada ibu bapa mereka sendiri tanpa sebarang rasa hormat, takut mahupun malu.

8. Faktor kedua ialah pengaruh rakan. Rakan yang seringkali menjadi tempat untuk meluahkan segala masalah dan juga berkongsi kegembiraan dilihat mempunyai pengaruh yang besar ke atas anak-anak zaman ini. Mereka lebih mendengar kata, pendapat dan nasihat rakan berbanding ahli keluarga sendiri. Maka jika salah pilih kawan, salahlah tingkah laku dan sikap anak-anak tersebut. Misalnya anak-anak yang bergaul dengan rakan yang tidak mempunyai didikan yang baik serta amalan budaya yang kurang sihat pastinya akan turut mempengaruhi tingkah laku anak-anak kita.

9. Faktor ketiga ialah pengaruh media massa terutamanya media elektronik melalui program-program televisyen yang sentiasa mengagungkan rancangan-rancangan barat. Budaya masyarakat barat yang tidak mementingkan nilai-nilai murni seperti membolehkan berkurang ajar dengan ibu bapa sendiri dilihat sangat mempengaruhi gelagat anak-anak kita di rumah. Adengan yang ditonton seringkali menjadi gaya ikutan mereka dalam kehidupan seharian.

10. Faktor keempat ialah kurangnya didikan agama. Sudah menjadi lumrah kepada masyarakat pada zaman ini yang lebih mengutamakan ilmu duniawi berbanding ilmu keagamaan atau kerohanian. Akibatnya unsur kerohanian tidak dapat disemai dalam diri anak-anak kita hingga mereka tidak tahu yang mereka perlu taat kepada ibu bapa masing-masing. Malah penulis percaya ada kalangan anak-anak hari ini yang tidak faham apa itu erti derhaka kepada ibu bapa.

11. Dan faktor yang terakhir ialah berpunca daripada kelemahan sistem pendidikan yang ada pada hari ini. Sistem pendidikan kita yang lebih mengutamakan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan dilihat semakin mudah meragut unsur-unsur kemanusiaan dan pembangunan modal insan yang patut diterapkan dalam diri setiap pelajar sekolah. Akhirnya mereka membesar seperti mesin ataupun robot yang tidak mempunyai persaan dan tidak kenal erti kasih dan sayang kepada ahli keluarga sendiri.

12. Itu adalah antara beberapa faktor yang dilihat menjadi punca kenapa anak-anak zaman sekarang begitu cenderung dan mudah untuk derhaka kepada ibu bapa. Tiada gunanya kita berbangga menjadi sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020 jika generasi yang akan meneruskan kesinambungan kemajuan dan kecemerlangan negara ini tidak ampuh nilai dan etikanya serta miskin budi dan pekertinya.

13. Justeru semua pihak perlu berganding bahu menyelamatkan generasi pewaris negara dari terus hanyut yang boleh menghancurkan institusi kekeluargaan di negara kita.

No comments: