Monday, June 6, 2011

TANGANI USAHA MEMPOLITIKKAN TARIF BARU ELEKTRIK

1.      Nampaknya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara berterusan berhadapan dengan pelbagi situasi dan cabaran yang cukup getir dalam meraih sokongan dan keyakinan rakyat.

2.      Walaupun pelbagai usaha pembangunan dan pembaharuan dilaksanakan secara pesat dan memberangsangkan namun keadaan persekitaran yang melibatkan prestasi pertumbuhan ekonomi global yang kurang memberangsangkan dan memihak kepada kita di samping kenaikan harga bahan mentah terutamanya bahan bakar mula memberikan cabaran yang getir dan besar kepada Najib dan kerajaan beliau.

3.      Di kala berusaha menjaga segala kepentingan dan kebajikan rakyat dari pelbagai aspek kehidupan Najib terpaksa berhadapan dengan cabaran global yang sekaligus menyebabkan beliau dan kerajaan terpaksa mengambil tindakan-tindakan yang kurang popular dan boleh menjejaskan nama dan imej kerajaan. Ia juga dilihat membuka peluang yang seluas-luasnya kepada pelbagai pihak yang hanya menunggu saat dan waktu untuk melemparkan fitnah dan tohmahan terhadap Najib dan juga kerajaan pimpinan beliau.

4.      Isu yang bakal menjadi perkara pokok dan halwa politik kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dan sentiasa menantikan peluang untuk menghentam kerajaan ialah kenaikan kadar baru tarif elektrik yang baru diumumkan kelmarin.

5.      Ironinya, pengumuman ini menyusul selang beberapa hari selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan harga minyak RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) buat masa ini. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan keputusan itu berkata keputusan tersebut dibuat kerana kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat.

6.      Beberapa hari selepas itu pula Najib sendiri memberi penjelasan mengenai maksud sebenar langkah rasionalisasi subsidi pihak kerajaan. Najib menjelaskan bahawa langkah rasionalisasi subsidi yang dilakukan kerajaan bukan bermaksud kerajaan perlu mengurangkan jumlah subsidi ketika ini. Sebaliknya kata Perdana Menteri, ia bermakna kerajaan terpaksa mencari lebihan RM8 bilion lagi kerana jumlah subsidi bertambah daripada RM11 bilion kepada RM20 bilion.

7.      Kedua-dua pengumuman ini ternyata cukup melegakan rakyat terutamanya yang merisaukan bakal berhadapan dengan kenaikan harga pelbagai barangan pengguna andai harga minyak dinaikkan. Malah ia juga sama sekali menangkis segala spekulasi dan tohmahan pihak yang tidak bertanggungjawab yang menaburkan fitnah bahawa kerajaan bakal menaikkan harag minyak dan menganiaya rakyat.

8.      Namun segalanya berubah apabila kelmarin kerajaan terpaksa mengambil satu lagi langkah kurang popular dengan mengumumkan kadar tarif elektrik yang baru yang juga bakal memberi kesan langsung kepada rakyat. Kerajaan kelmarin mengumumkan bahawa tarif elektrik bagi sektor domestik, komersial dan industri dinaikkan pada kadar purata sebanyak 2.23 sen per kilowatt sejam (kwj) daripada 31.31 sen/kwj kepada kepada 33.54 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Jun dan ianya dilakukan selaras keputusan kerajaan menyemak semula harga gas untuk sektor elektrik di Semenanjung daripada RM10.70/MMBtu (unit termal British) kepada RM13.70/MMBtu.

9.      Sebagai rakyat yang berfikiran waras dan matang kita akui bahawa kerajaan masih prihatin dan mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah di mana buktinya kenaikan ini sama sekali tidak membabitkan kira-kira 75 peratus atau 4.4 juta pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kwj sebulan atau kurang.

10.  Manakala fakta yang lebih penting dan menarik ialah daripada jumlah pengguna domestik itu, 900,000 adalah golongan berpendapatan rendah, manakala 200,000 lagi miskin tegar. Ini jelas menunjukkan kerajaan masih mengutamakan kebajikan rakyat.

11.  Cuma apa yang dikhuatiri ialah pihak yang tidak bertanggungjawab yang sentiasa menunggu peluang untuk menangguk di air yang keruh bakal mengambil peluang ini untuk secara berterusan mengaburi mata dan merosakkan minda dan pemikiran rakyat dengan menaburkan pelbagai fitnah serta menghentam kerajaan.

12.  Hal ini tidak mustahil kerana mereka dengan mudahnya boleh mempengaruhi rakyat apabila menjaja isu kenaikan harga seperti ini kerana ianya dikhuatiri juga bakal boleh menaikkan harga pelbagai barangan pengguna.

13.  Justeru apa yang penting di sini ialah pihak kerajaan perlu menggerakkan seluruh jentera penerangan dan pemantauan untuk dua tugas utama iaitu pertama memberi penerangan yang terperinci kepada seluruh rakyat terutamanya yang berada di luar bandar bahawa kenaikan tarif baru ini tidak melibatkan mereka ataupun akan membebankan kehidupan mereka.

14.  Manakala tugas kedua ialah jentera pemantauan pula perlu melipatgandakan aktiviti pemantauan secara proaktif bagi memastikan para pengeluar dan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan dengan alasan kenaikan tarif baru elektrik ini. Dalam hal ini pegawai penguatkuasa perlu memainkan peranan yang lebih efisyen dengan komitmen yang tinggi.

15.  Jika kedua-dua tugas utama ini dapat dilaksanakan dengan sempurna kita percaya rakyat akan lebih faham dan sekaligus akan terus yakin dan percaya kepada pihak kerajaan. Ia juga boleh menangani dan menangkis segala usaha untuk mempolitikkan isu kenaikan tarif elektrik ini.

No comments: