Friday, May 27, 2011


HARGA MINYAK KEKAL: TERIMA KASIH KERAJAAN, RAKYAT WAJAR BERSYUKUR

1.      Akhirnya desas-desus kerajaan akan menaikkan harga minyak RON95 dimuktamadkan oleh Kabinet. Kabinet kelmarin memutuskan untuk tidak menaikkan harga minyak RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) buat masa ini.

2.      Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan keputusan itu berkata keputusan tersebut dibuat kerana kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat.

3.      Keputusan ini sekaligus menidakkan segala teka teki dan spekulasi pelbagai pihak yang mengandaikan bahawa kerajaan bakal menaikkan harga minyak RON95 sehingga 30 sen dalam masa terdekat ini apatah lagi harga minyak RON97 telahpun dinaikkan sebanyak dua (2) kali baru-baru ini.

4.      Tindakan bijak kerajaan ini juga dilihat berjaya menutup mulut beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab yang mula meniupkan fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan bahawa kerajaan bakal menganiaya dan menyusahkan rakyat dengan menaikkan harga minyak tersebut.

5.      Ternyata keputusan ini membolehkan pengguna dapat terus menikmati pelbagai kemudahan di mana di samping harga minyak RON95 dan diesel dikekalkan, harga LPG yang turut dikekalkan juga sudah semestinya akan terus membantu rakyat untuk menikmati jumlah perbelanjaan isi rumah masing-masing yang lebih kompetitif. Harga gas memasak yang tidak naik sudah semestinya melegakan surirumah kita.

6.      Walaupun kerajaan tidak menetapkan tempoh masa pengekalan harga ini namun sekurang-kurangnya buat sementara waktu ini rakyat dapat menarik nafas yang lega. Hal ini penting kerana sebarang kenaikan dalam harga bahan bakar ini kebiasaannya akan turut melibatkan kenaikan harga barangan yang lain terutamanya harga makanan dan barangan keperluan harian pengguna yang lain atas alasan kenaikan pelbagai bentuk kos seperti kos pengangkutan berikutan kenaikan harga minyak. Justeru keputusan ini jelas menguntungkan para pengguna secara menyeluruh.

7.      Dalam kita menyambut baik keputusan kerajaan ini, satu perkara yang perlu kita insaf, beri perhatian dan sedar ialah keputusan kerajaan ini juga bermakna jumlah perbelanjaan subsidi kerajaan akan terus meningkat di mana mengikut Ismail Sabri, keputusan mengekalkan harga minyak RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) ini bakal terus meningkatkan perbelanjaan subsidi kerajaan kepada bahan bakar ini. Untuk rekod, subsidi kerajaan untuk bahan bakar ini buat masa sekarang ialah RM18 bilion.
8.      Ini juga bermakna jumlah perbelanjaan kerajaan bakal terus meningkat yang sekaligus akan menghadkan dan seterusnya akan menjadi penghalang kepada segala usaha penambahbaikan dan pelaksanaan program transformasi kerajaan yang lain akibat kekurangan dana.

9.      Ini sebenarnya menunjukkan bahawa kita terpaksa mengorbankan dan melupakan beberapa peluang penambahbaikan dan program pembangunan yang lain hanya kerana mahu terus menikmati harga minyak yang lebih rendah dan apa yang lebih malang lagi ialah masih ramai di kalangan kita yang tidak sedar tentang perkara ini.

10.  Justeru dalam hal ini penulis percaya majoriti rakyat akan menyokong andai kata pihak kerajaan berhasrat untuk menaikkan harga minyak ini dalam masa terdekat ini ataupun melakukan tindakan rasionalisasi subsidi dengan syarat kerajaan dapat membuktikan bahawa penjimatan subsidi yang bakal dilakukan itu akan digunakan sepenuhnya untuk faedah yang lebih besar dan bermanfaat kepada rakyat terutamanya kepada golongan luar bandar dan berpendapatan rendah. Kita perlu bersedia untuk mengorbankan sedikit keselesaan kita demi untuk menikmati keuntungan yang lebih besar pada masa hadapan.

11.  Dalam hal ini rakyat perlu lebih rasional, berfikiran matang, praktikal dan bertanggungjawab di mana kita perlu sedar bahawa kita tidak akan dapat menikmati harga minyak yang murah sebegini untuk sepanjang masa ataupun selama-lamanya kerana harga minyak pasaran global sangat tidak stabil dan terus meningkat dari semasa ke semasa.

12.  Pada masa yang sama bagi pihak kerajaan pula, keputusan ini sekali lagi membuktikan kerajaan sanggup menaggung kos yang besar demi menjaga kepentingan rakyat. Namun apa yang menyedihkan ialah masih terdapat pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan dan memutarbelitkan fakta untuk memburukkan imej kerajaan di mata rakyat.

13.  Golongan ini bukan sahaja tidak mahu untuk berterima kasih kepada pihak kerajaan ataupun bersyukur kerana dapat terus menikmati harga yang rendah tetapi sebaliknya menjadikan isu harga minyak sebagai modal politik murahan untuk menghentam pihak kerajaan. Puak oportunis sebegini tidak pernah dan boleh menerima hakikat dan kenyataan bahawa kerajaan membuat perkara yang baik untuk rakyat sepanjang masa.

14.  Justeru kita berharap semua pihak akan berterima kasih kepada kerajaan di atas keputusan ini sekaligus bersyukur kerana dapat terus menikmati harga yang rendah dan pada masa yang sama bersedia untuk mengorbankan sedikit  keselesaan yang dinikmati selama ini supaya kerajaan boleh mengurangkan subsidi dan menggunakan penjimatan itu untuk program pembagunan dan kebajikan lain yang lebih bermanfaat.

No comments: