Tuesday, August 25, 2009

BUDAYA KELUAR PARTI

1. Budaya keluar parti dan melompat ke parti lain seolah-olah sudah menjadi gaya hidup terkini segelintir ahli politik di Negara kita. Fenomena ini menular secara drastik selepas Pilihanraya Umum ke-12 pada Mac 2008.

2. Walaupun ianya bukan budaya baru di Malaysia dan pernah berlaku sebelum ini namun dewasa ini ianya semakin menjadi-jadi.

3. Pelbagai alasan dan sebab diberikan oleh pihak yang sama ada keluar parti dan isytihar bebas ataupun melompat ke parti lain. Ada yang boleh diterima akal fikiran kita dan tidak kurang juga yang menimbulkan pelbagai spekulasi liar.

4. Hakikatnya pihak-pihak yang terlibat iaitu calon itu sendiri, parti yang telah dianggotainya selama ini, parti baru yang beliau anggotai, pengundi kawasan yang diwakilinya serta Suruhunjaya Pilihanraya kesemuanya mempunyai seribu satu perasaan apabila wabak ini semakin merebak di Negara kita.

5. Di kala kita sibuk dengan wabak Influenza (H1N1), jangan kita lupa akan pandemik keluar parti dan melompat ke parti lain. Ianya juga perlu dibendung secara serius supaya tidak menular ke dalam masyarakat kita.

6. Mahu tidak mahu kita tidak boleh lari dari politik. Baik sebagai pengundi mahupun sebagai orang politik. Politik ada di mana-mana dan ada dalam semua urusan seharian kita.

7. Rakyat ataupun lebih tepat lagi pengundi mahukan wakil yang mereka pilih itu dapat berkhidmat dengan penuh amanah, taat dan setia kepada orang yang mengundinya.

8. Perwatakan, gaya hidup serta ciri kepimpinan seorang Yang Berhormat sering menjadi perhatian dan dinilai oleh semua pihak. Kita masih segar dengan kejatuhan beberapa orang ahli politik akibat daripada salahlaku moral, salahguna kuasa dan sebagainya. Bukti dan kesannya sangat jelas.

9. Memang tidak menjadi suatu kesalah di sisi undang-undang jika sesorang wakil rakyat yang telah dipilih bertindak keluar parti atau lompat parti walaupun ada desakan dari pelbagai pihak untuk mewujudkan undang-undang untuk menghalang budaya tersebut.

10. Walau bagaimanapun rakyat makin keliru dan resah dengan tindak tanduk ahli-ahli politik yang sebegini yang boleh berubah dalam sekelip mata atas pelbagai alasan yang mereka ciptakan.

11. Apakah ahli-ahli politik ini pernah bertanya kembali kepada para pengundinya sama ada mereka mengundi beliau atas sifat peribadi beliau ataupun semata-mata kerana parti yang beliau wakili semasa bertanding tempoh hari?

12. Saya pasti jawapannya sangat berbeza dan reaksinya juga mungkin kurang enak untuk didengar. Namun itulah luahan isi hati para pengundi yang sering kali menjadi mangsa dan rasa ditipu oleh wakil yang mereka pilih.

13. Negara kita telah mencapai usia kemerdekaan 52 tahun pada tahun ini namun budaya politik para ahli politik kita masih belum cukup matang dan dewasa yang akhirnya boleh merosakkan dan menghancurkan Negara ini.

14. Semua parti politik di Negara kita perlu merenung kembali tujuan dan asas perjuangan mereka selama ini. Cukuplah keperitan yang ditanggung oleh para pengundi selama ini. Insaf dan bermuhasabahlah diri anda sebelum terlambat kerana saya khuatir suatu hari nanti mungkin para pengundi akan memulaukan sesuatu pilihanraya sebagai tanda protes dan juga proses untuk mengajar orang politik.

No comments: