Wednesday, February 10, 2010

HALA TUJU PERPADUAN KITA

1. Beberapa peristiwa yang menyentuh soal perpaduan dan persefahaman kaum yang berlaku dewasa ini cukup merisaukan semua pihak. Baik pihak kerajaan mahupun orang ramai yang mencintakan keamanan dan perpaduan kaum sudah mula menyuarakan rasa kebimbangan tentang hal ini sehinggakan ada yang menggelar persefahaman kaum pada hari ini adalah senipis kulit bawang.
2. Kebimbangan dan pemberian gelaran tersebut ternyata ada asasnya. Buktinya saban hari kita disajikan dengan pelbagai insiden dan isu yang memperlihatkan kerapuhan perpaduan kaum di negara kita. Sikap prejudis dan prasangka sesama kita sudah mula mengambil tempat dan menguasai minda masyarakat kita dan jika keadaan ini dibiarkan berlarutan pasti kita akan menghadapi masalah yang besar untuk mengekalkan keharmonian kaum di banggakan selama ini.
3. Sesungguhnya peristiwa-peristiwa seperti isu kebenaran penggunaan kalimah ‘Allah’, pembakaran surau dan gereja serta beberapa insiden yang lepas seperti peristiwa perarakan kepala lembu dan tindakan mempersoalkan apa yang termaktub dalam perlembagaan seperti hak-hak orang Melayu adalah jelas mencerminkan tahap sebenar kematangan pemikiran masyarakat kita pada hari ini yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan keturunan.

4. Isu-isu tersebut telah menjadi satu siri ujian yang cukup getir kepada jambatan perpaduan yang telah kita bina selama ini. Ternyata ujian ini meninggalkan kesan dan impak yang cukup mendebarkan dan merisaukan semua pihak. Malah ada yang merumuskan bahawa kita gagal dalam ujian tersebut yang sekaligus mengiyakan gelaran perpaduan senipis kulit bawang.

5. Walaupun usia kemerdekaan negara kita telahpun menjangkau 53 tahun namun tahap kematangan masyarakat kita dalam soal perpaduan dan persefahaman kaum masih boleh dikategorikan berada pada peringkat yang cetek dan lemah. Generasi sekarang makin kurang memahami dan menghayati nilai serta erti perpaduan dan persefahaman kaum yang kita nikmati selama ini.

6. Akibatnya kita cepat melatah dan mudah terpengaruh dengan mainan emosi yang diapi-apikan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab yang jelas mempunyai agenda mereka yang tersendiri dan tersembunyi.

7. Sebagai sebuah masyarakat yang sedang menuju ke arah negara maju menjelang tahun 2020, sewajarnya soal perpaduan kaum tidak perlu diperdebatkan lagi. Pada hari ini kita sepatutnya lebih bersatu padu, bertolak ansur, membudayakan konsep penerimaan, memahami kehendak kaum masing-masing di samping tidak menafikan hak dan kehendak kaum lain.

8. Masyarakat kita sepatutnya bersedia untuk mencari persamaan dalam perbezaan yang sedia ada supaya kita dapat hidup aman dan damai sebagai sebuah bangsa yang merdeka dan berjaya. Kita wajib menghentikan perbuatan-perbuatan yang boleh memecah belahkan masyarakat kita.

9. Perpaduan dan kemajmukan di kalangan rakyat Malaysia adalah suatu khazanah yang menjadi kebangaan kita selama ini dan masyarakat dunia juga cukup mengagumi kehebatan kita dalam hal ini tetapi beberapa peristiwa yang berlaku dewasa ini jelas telah menyentap tanggapan masyarakat dunia tersebut dan ianya dilihat sedang merobek dan cuba menghancurkan khazanah peninggalan nenek moyang kita.

10. Jambatan perpaduan yang telah dibina hasil keringat generasi terdahulu sudah mula menampakkan sedikit keretakan angkara kerakusan dan ketamakan sesetengah individu dan kelompak rakyat negara ini yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri.

11. Bagi mereka apa yang penting adalah mencapai kehendak dan hasrat masing-masing dengan apa cara sekalipun termasuklah dengan mengapi-apikan sentimen perkauman ke dalam masyarakat kita.

12. Keadaan ini membawa kita kepada beberapa persoalan penting yang perlu dirungkai dengan segera antaranya, apakah hala tuju masa hadapan perpaduan rakyat kita dan corak perpaduan yang bagaimana pula yang hendak kita wariskan kepada anak cucu kita kelak?

13. Perlu diingat bahawa apa yang kita telah dan sedang nikmati selama ini adalah hasil pengorbanan generasi terdahulu yang telah diwariskan kepada kita dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga, memelihara dan seterusnya menyerahkannya kepada generasi yang akan datang.

14. Kontrak sosial yang telah dibina selama ini adalah hasil pemuafakatan pemimpin masyarakat terdahulu yang mewakili setiap kaum yang ada di negara kita. Perlembagaan yang telah digubal juga adalah lahir hasil daripada perbincangan dan persetujuan generasi terdahulu yang sanggup mengorbankan pelbagai hak keistimewaan demi mencapai kemerdekaan secara bersama dan bersatu padu.

15. Perpaduan yang ada pada hari ini adalah umpama sepohon pokok yang telah disemai dan dibaja oleh nenek moyang kita yang telah diamanahkan kepada kita untuk terus menyiramnya supaya ianya akan terus mekar berbunga. Perlu juga diingat bahawa perpaduan ini sebenarnya telah dipinjamkan kepada kepada kita yang perlu dipulangkan semula kepada anak cucu kita kelak.

16. Usahlah kita menggadai nasib anak cucu kita hanya semata-mata mengejar nama, kuasa dan harta. Apakah kita mahu anak cucu kita kelak mencaci dan membenci kita kerana mewariskan kepada mereka sebuah negara yang kucar kacir. Semua pihak terutamanya orang politik dan kumpulan-kumpulan yang suka memainkan sentimen perkauman perlu cepat sedar dan insaf sebelum nasi menjadi bubur. Adakah kita sanggup melihat peristiwa 13 Mei berulang kembali?

17. Soal perpaduan adalah isu peringkat nasional yang perlu melibatkan peranan dan tanggungjawab setiap warga negara ini. Persefahaman kaum adalah suatu perkara yang tidak boleh dikompromi atau dipandang remeh.

18. Perpaduan dan persefahaman kaum hanya boleh dimantapkan jika kita sanggup berusaha bersama-sama baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang yang perlu berganding bahu dengan seluruh rakyat Malaysia dengan mengenepikan perbezaan idelogi politik dan kepentingan masing-masing.

19. Kita perlu kembali menghayati roh dan semangat perpaduan yang telah ditonjolkan oleh nenek moyang kita sebelum ini. Aktiviti-aktiviti yang menekankan perpaduan dan persefahaman kaum perlu dilipatgandakan untuk memulihkan kembali semangat yang semakin luntur.

20. Generasi hari ini perlu dipupuk dan dididik supaya dapat menyemai semangat cintakan negara dan perpaduan yang sedia ada. Usaha ke arah ini perlu dimulakan di peringkat sekolah lagi agar anak-anak kita dapat dibentuk dan dilentur mengikut acuan yang kita kehendaki.

21. Konsep 1Malaysia yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri juga dilihat hadir tepat pada masanya kerana konsepnya yang cukup jelas, mudah difahami dan menyeluruh meliputi penglibatan dan peranan seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai kaum.

22. Justeru, marilah kita mengambil ikhtibar daripada segala apa yang telah berlaku dan seterusnya bersama-sama menghayati pengorbanan nenek moyang kita di samping memahami dan mendalami konsep 1Malaysia agar kita dapat merapatkan dan memperkukuhkan kembali perpaduan sesama kita demi membina sebuah negara bangsa yang dicita-citakan.

No comments: