Wednesday, November 3, 2010

TRAGEDI OKTOBER WAJAR MENJADI PENGAJARAN DAN IKTIBAR KEPADA SEMUA

1. Dua kemalangan bas yang meragut masing-masing 13 dan tujuh nyawa yang berlaku sepanjang bulan Oktober dilihat mula membuka mata semua pihak yang selama ini masih cuai dan tidak memandang serius keselamatan semasa berada di atas jalan raya. Tragedi Oktober ini juga wajar dijadikan sebagai pengaajaran dan iktibar kepada semua pihak yang terlibat.

2. Seluruh negara tergamam dengan berita kejadian nahas ngeri yang membabitkan dua bas, tiga kereta dan sebuah van yang menyebabkan 13 kematian di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pedas, Negeri Sembilan.

3. Sinar kegembiraan yang diharapkan pada tarikh keramat 10 Oktober 2010 ataupun lebih glamour dengan ringkasan 10.10.10 akhirnya menjadi mimpi ngeri dan tragedi Oktober yang paling dasyat dalam sejarah kemalangan maut di negara kita.

4. Kejadian kedua pula seolah-olah melengkapi peristiwa tragedi Oktober apabila mengorbankan tujuh lagi nyawa yang terdiri dripada kumpulan anak-anak muda di Kilometer 38 Genting Sempah. Bas yang dinaiki 43 ahli Belia 4B Kampung Baru, Mukim Siong, Kedah terbabas semasa menuruni Genting Highlands di Kilometer 38 Genting Sempah sehingga terbalik di laluan bertentangan mengakibatkan tujuh maut, 16 parah dan 21 lagi cedera ringan, termasuk dua pemandu bas berkenaan.

5. Apa yang mengejutkan kita ialah pendedahan bahawa pemandu bas ini mengaku mengambil upah memandu bas tanpa lesen sejak lima tahun yang lalu dan lebih memeranjatkan apabila dilaporkan bas dipandu dengan menggunakan sebelah tangan kerana cacat.

6. Kejadian seumpama ini membawa kita kepada satu persoalan yang cukup serius dan penting iaitu siapakah yang patut dipersalahkan dalam hal seperti ini? Apakah ianya berpunca daripada kecuaian pemandu semata-mata atau kecuaian pengusaha bas mahupun kegagalan pihak penguatkuasa menjalankan tanggungjawab mereka dengan cekap? Masing-masing dilihat sudah mula mencari kesalahan dan menuding jari kepada orang lain.

7. Walaupun kecuaian melampau pemandu yang dilaporkan memandu dengan terlalu laju dikatakan sebagai antara punca utama kepada tragedi terbabit namun kita perlu sedar bahawa ini bukanlah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku dalam negara kita. Sebelum inipun beberapa kemalangan maut melibatkan bas ekspres telahpun berlaku dan meragut sebilangan besar nyawa penumpang yang tidak berdosa dan kebanyakkannya dilaporkan berpunca daripada kecuaian dan sikap pemandu bas yang tidak bertanggungjawab.

8. Justeru apabila kita menganalisis kesemua kejadian seperti ini maka apa yang boleh kita rumuskan ialah ketiga-tiga pihak tersebut iaitu pemandu, pengusaha dan juga penguatkuasa (3P) masing-masing dilihat turut menyumbang kepada kejadian yang tragis seperti ini.

9. Bagi pemandu kejadian seperti ini sekali lagi membuktikan bahawa nasihat, kempen, saman dan juga penguatkuasaan undang-undang yang lain masih belum mampu mengubah sikap dan perangai mereka yang memandu umpama raja lumba di atas lebuhraya.

10. Dalam hal ini apa yang pasti ialah sikap tidak boleh diubah dalam sekelip mata. Ianya melibatkan proses yang panjang dan bergantung kepada beberapa faktor terutamanya personaliti seseorang individu. Justeru apa yang boleh kita cadangkan ialah pihak yang berkuasa perlu melipatgandakan proses penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan di lebuhraya.

11. Bagi pengusaha bas pula, sikap kedegilan dan tamak dilihat begitu mudah menggaburi mata dan minda mereka daripada mengutamakan aspek keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka.

12. Dalam kes terbaru misalnya, pengakuan pemandu tersebut menunjukkan pengusaha bas tersebut sedia maklum yang beliau tidak memiliki lesen dan juga cacat namun pengusaha bas terbabit dikatakan merayu dan mendesak pemandu tersebut untuk terus membantu beliau membawa bas. Ini memperlihatkan sifat ketidakbertanggungjawaban pengusaha tersebut yang hanya mengutamakan keuntungan daripada aspek keselamatan.

13. Keberanian pengusaha terbabit mengubahsuai bas tersebut daripada bas sewa khas kepada bas persiaran juga menimbulkan seribu satu persoalan yang misteri. Lebih mengejutkan apabila pemeriksaan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mendapati pejabat syarikat bas terbabit tidak wujud di alamat yang didaftarakan.

14. Hal ini sekali lagi menunjukkan betapa mereka tidak takut kepada undang-undang dan penguatkuasaannya selama ini. Ternyata ianya tidak memberi apa-apa impak kepada perubahan sikap mereka supaya lebih bertanggungjawab dan mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan penumpang.

15. Pada masa yang sama aspek penguatkuasaan oleh pihak-pihak yang berkaitan juga wajar dinilai semula. Apakah peningkatan bilangan saman yang berjaya dikeluarkan boleh dijadikan sebagai indikator keberkesanan penguatkuasaan yang dilakukan selama ini? Sejauhmana aspek pemantauan, penguatkuasaan dan pelbagai kempen yang telah dilaksanakan meninggalkan kesan yang diharapkan? Persoalan seperti ini wajar dirungkai terlebih dahulu sebelum kita mencari jalan penyelesaian yang mutlak ke atas kejadian yang tidak diingini seperti ini.

16. Penulis tidak berniat untuk mempersoalkan peranan pihak berkuasa selama ini di mana kita akui kesungguhan pihak penguatkuasa yang dilihat telahpun melipatgandakan usaha pencegahan dan penguatkuasaan namun ianya masih boleh dirumuskan sebagai belum mencukupi. Malah kita berharap agar pihak yang berkaitan dapat memikirkan kaedah alternatif lain secara lebih kreatif supaya dapat memberi impak yang lebih positif ke atas keselamatan para penumpang yang tidak berdosa.

17. Antara kaedah yang boleh kita cadangkan ialah, kita memohon agar pihak PDRM dan JPJ terutamanya menambah bilangan anggota yang bertugas supaya dapat meronda di lebuhraya sepanjang masa iaitu 24 jam sehari dengan melakukan rondaan yang lebih kerap. Ini membolehkan mereka terus menahan dan mengambil tindakan yang sewajaranya ke atas pemandu yang dilihat memandu dengan laju dan cuai atau membahayakan kenderaan lain. Kehadiran anggota pasukan penguatkuasa ini dilihat mampu menakutkan dan menggerunkan para pemandu agar lebih takut, berhati-hati dan berhemah apabila berada di atas lebuhraya.

18. Malah jika perlu kehadiran anggota penguatkuasa ini perlu dirasakan dengan menempatkan mereka di setiap 50 hingga 100 kilometer di sepanjang lebuhraya di samping menempatkan anggota penguatkuasa di beberapa plaza tol yang terpilih bagi memantau keadaan secara berterusan.

19. Pada masa yang sama anggota penguatkuasa juga wajar diberi kuasa untuk terus menahan pemandu yang didapati memandu secara berbahaya ataupun melakukan kesalahan yang serius sehingga boleh membahayakan nyawa orang lain termasuk menarik balik ataupun menggantung serta merta lesen pemanduannya.

20. Cadangan seperti ini mungkin dilihat tidak begitu praktikal ataupun melampau terutamanya apabila melibatkan penguatkuasaan undang-undang yang lebih keras, penggunaan tenaga pekerja yang begitu ramai di samping peningkatan kos operasi tetapi percayalah bahawa hanya tindakan drastik sebegini sahaja yang mampu mengajar sikap, tindakan dan kecuaian melampau para pemandu ‘pelesit’ kita yang turut dibantu oleh pengusaha yang tamak dan degil.
21. Justeru kita berharap agar ketiga-tiga pihak yang berkaitan iaitu pemandu, pengusaha dan juga pihak penguatkuasa (3P) dapat menilai semula tanggungjawab sosial mereka kepada rakyat agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi. Tiada gunanya kita saling menuduh dan menuding jari kepada pihak lain. Semoga insiden ini menjadi satu pengajaran dan iktibar yang berguna kepada semua.

No comments: