Thursday, October 28, 2010

HENTI CURIGA DAN PERBALAHAN, MASA UNTUK BERSATU DAN BEKERJA KERAS (BERITA HARIAN 1/11/2010)

1. Pelancaran Pelan Hala Tuju Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin sekali lagi menunjukkan tahap kesriusan pihak kerajaan untuk melakukan transformasi yang menyeluruh bagi mencapai Wawasan 2020 dan impian menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

2. Sembilan projek permulaan yang diumumkan membuktikan betapa hala tuju ETP ini berada di landasan yang betul dan tepat. Dalam pada itu jaminan Najib bahawa setiap setiap projek besar akan dijalankan secara terbuka dan telus menggunakan proses tender terbuka, selain tender terhad atau rundingan terus dalam keadaan terkecuali pastinya melegakan masyarakat perniagaan yang menyambut baik langkah berani pihak kerajaan seperti ini dalam usaha untuk memacu ekonomi negara.

3. Seperti kata Najib, bukan lagi mimpi, dongeng atau penyataan hasrat yang kabur, malah adalah peta panduan yang jelas, tersusun dan bakal menjulang martabat negara di mata dunia. Tambah Najib, tiba masanya untuk kita melenyapkan perasaan curiga, usah terus bergelut dengan percakapan dan perbalahan kosong, hentikan suara sumbang dan senyuman sinis yang menyempitkan hati serta mematikan azam.

4. Apa yang jelas ialah Najib dan kabinetnya dilihat cukup serius dan bersedia untuk memacu kegemilangan negara ini dalam pelbagai sektor melalui pelbagai program transformasi seperti ETP, GTP, NKRA, NKEA dan Model Ekonomi Baru. Namun persoalannya ialah sejauhmana rakyat, sektor awam dan swasta dapat beganding bahu dan bersedia bergerak seiringan dengan pihak kerajaan dalam memastikan kejayaan semua program transformasi terbabit.

5. Hal ini penting kerana kejayaan setiap program tersebut bergantung kepada peranan yang bakal dimainkan oleh rakyat baik yang berkhidmat di sektor awam mahupun yang berada dalam sektor swasta. Masing-maisng ada tanggungjawab dan peranan mereka tersendiri dan mereka tidak boleh berpeluk tubuh tanpa berusaha melaksanakan tanggungjawab tersebut.

6. Apa yang dikhuatiri sekarang ialah masih terdapat segelintir rakyat kita yang masih belum mahu yakin sepenuhnya dengan segala usaha yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Kumpulan ini sering kali menjadi dalang dan juga penentang yang cuba untuk menggagalkan segala usaha kerajaan demi kepentingan peribadi dan agenda masing-masing.

7. Bagi mereka apa saja yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan akan dilihat dan ditafsir dari perspektif yang negatif dan serong. Tindakan mereka yang sentiasa cuba mencari kelemahan dalam program yang dilaksanakan oleh kerajaan demi kepentingan rakyat adalah suatu perbuatan yang tidak adil bagi pihak kerajaan di samping merugikan diri dan juga masyarakat.

8. Tindakan mereka jelas merugikan semua pihak. Justeru kita berharap agar kumpulan seperti ini akan segera sedar dan berubah demi kepentingan negara. Kita perlukan kesepakatan yang holistik dan menyeluruh dari segenap lapisan masyarakat demi kelangsungan kemajuan negara kita.

9. Setiap seorang daripada kita perlu sedar bahawa bukan mudah untuk mencapai status negara maju mahupun negara berpendapatan tinggi. Ianya melibatkan kesungguhan, ketekunan, iltizam dan usaha yang mapan yang perlu melibatkan beberapa elemen asas yang penting seperti kreativiti, inovasi, semangat, percambahan idea serta gabungan tenaga setiap seorang daripada kita tanpa mengira agama dan bangsa.

10. Untuk itu, ketepikanlah sejenak segala perbezaan pendapat, ideology dan fahaman politik, prasangka, prejudis mahupun perbalahan sesama kita agar kita dapat berganding bahu atas semangat 1Malaysia supaya kita dapat mencapai wawasan yang diimpikan.

11. Adalah menjadi tanggugjawab generasi hari ini untuk membina sebuah landasan kegemilangan melalui pembentukan sebuah negara bangsa yang mampu berdiri sama tinggi di saf hadapan bersama-sama dengan negara maju yang lain untuk diserahkan kepada generasi yang akan datang. Marilah kita bersama-sama berganding bahu bergerak seiringan dengan Najib dan kabinetnya untuk menjayakan semua pembaharuan dan program transformasi yang telah diperkenalkan.

No comments: