Wednesday, December 22, 2010

PERLU USAHA BERSEPADU TANGANI DENGGI
(Seperti disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22/12/2010)

Statistik terkini menunjukkan sebanyak 133 kematian dicatatkan di seluruh negara akibat demam denggi sejak 1 Januari 2010. Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya 84 kes kematian yang dilaporkan untuk tempoh masa yang sama pada tahun 2009. Selangor pula muncul sebagai negeri tertinggi yang mencatatkan kematian akibat demam denggi iaitu sebanyak 44 kematian. Dalam pada itu, jumlah kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara juga meningkat iaitu 45,106 kes berbanding 39,711 kes dalam tempoh yang sama pada tahun 2009 dan Selangor sekali lagi muncul sebagai negeri yang paling banyak merekodkan jumlah kes denggi iaitu 15,978 kes.



Senario ini menunjukkan betapa bahayanya demam denggi dan ianya perlu ditangani dengan segera agar tidak terus meragut nyawa rakyat kita. Usaha bersepadu perlu dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat agar segera membanteras penularan wabak berbahaya ini. Dan untuk itu, memandangkan angka kematian terus meningkat dan semakin merisaukan semua pihak maka adalah diharapkan dan disyorkan agar tahun 2011 yang bakal kunjung tiba selang beberapa hari sahaja lagi diisytihar sebagai tahun banteras denggi habis-habisan ataupun tahun anti-aedes oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Demam Denggi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Denggi (genus Flavivirus) yang disebar oleh nyamuk aedes betina. Cara penyebarannya ialah melalui gigitan nyamuk aedes daripada orang yang berpenyakit virus denggi kepada orang yang sihat. Terdapat dua jenis denggi yang paling berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS). Virus Denggi akan terpendam di dalam badan pesakit selama 3 - 14 hari (purata 4 hingga 6 hari) sebelum menunjukkan tanda-tanda. Pesakit mungkin akan mengalami demam mengejut diikuti dengan berbagai-bagai tanda dan gejala yang tidak khusus.



Di Malaysia penyakit ini mula dilaporkan pada tahun 1902 dan pada tahun 1962 wabak pertama deman denggi berdarah berlaku di Georgetown, Pualau Pinang dan di Kuala Lumpur pada tahun 1973. Semenjak itu, penyakit demam denggi dan demam denggi berdarah telah dikesan berlaku di seluruh negara. Semenjak penyakit demam denggi mula dikesan, ia telah menunjukkan peningkatan yang seiring dengan pertambahan kawasan bandar, pembangunan dan peningkatan kepadatan penduduk.

Antara tanda-tanda penyakit ini ialah, demam kuat yang mengejut dan berterusan, bintik-bintik merah pada kulit, berdarah pada badan, hidung dan mulut, hilang selera makan, muntah-muntah dan juga sakit perut. Sehingga sekarang masih belum terdapat vaksin siap untuk demam denggi flavivirus di mana kita lebih disyorkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih proaktif. Cara mencegah denggi yang utama adalah menghapuskan atau mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi. Langkah menghapuskan takungan air (seperti dalam bekas bunga) terbukti berkesan bagi mengawal penyakit bawaan nyamuk. Pengunaan ubat jentik-jentik juga berkesan untuk menghapuskan jentik-jentik, manakala penggunaan kelambu dan juga semburan (fogging) juga boleh membantu.

Nyamuk aedes merupakan sejenis nyamuk yang biasanya ditemui di kawasan tropika. Namanya diperolehi daripada perkataan Greek aēdēs, yang bererti "tidak menyenangkan", kerana nyamuk ini menyebarkan beberapa penyakit berbahaya seperti demam denggi. Ae. albopictus merupakan spesis yang sering ditemui di Asia. Kakinya berbelang hitam putih. Ae. aegypti pula terkenal sebagai penyebar denggi dan demam kuning. Kitaran hidup nyamuk aedes bermula dari telur hingga dewasa mengambil masa kira-kira satu minggu. Nyamuk aedes senang dikenali dengan belang hitam putih pada badan dan kakinya dan kebiasaannya menggigit pada awal pagi dan waktu senja dan ianya membiak dalam air jernih yang bertakung sama ada di dalam atau di luar rumah. Antara tempat pembiakannya dalam rumah ialah, dalam akuarium, pasu bunga, timba, tempayan serta kolam (kolah) mandi. Manakala di luar rumah pula ialah, dalam tayar buruk, tempurung kelapa, botol atau gelas pecah yang mengandungi air, longkang yang tersekat serta salur air hujan.



Peningkatan kes demam denggi dan jumlah kematian di negara kita mutakhir ini boleh dirumuskan berpunca daripada kurangnya tahap kesedaran, kelalaian sendiri serta sikap tidak peduli dalam kalangan masyarakat. Kita masih dengan budaya tidak mempedulikan sesuatu perkara sehingga ianya kena pada kita ataupun keluarga kita. Pokok pangkalnya selagi tiada kaum keluarga kita yang terkena demam denggi ataupun mati akibat demam denggi selagi itulah kita tidak mengendahkannya. Budaya tidak peduli, lepas tangan dan tidak mengapa ini jelas mula menular menjadi wabak yang serius sama serius dengan penularan wabak denggi dalam masyarakat kita. Budaya ini jika tidak diubati ataupun dibendung dengan segera maka kita khuatir denggi akan terus meragut lebih banyak lagi nyawa rakyat kita. Untuk mengelak ianya menjadi kenyataan, kita perlu mengubah pemikiran dan gaya hidup supaya menjadi masyarakat yang lebih prihatin dan responsif dengan apa yang berlaku di sekitar kita. Tidak salahnya dalam hal begini kita menyibuk dan mengambil tahu tepi kain orang lain asalkan ianya demi untuk kesejahteraan dan keselamatan bersama.

Masyarakat perlu sedar bahawa isu demam denggi ini amat serius serta bahaya dan ianya perlu ditangani dengan segera. Dalam hal ini kita wajar memuji langkah-langkah pencegahan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak KKM dan beberapa agensi lain yang berkaitan sebagai usaha berterusan untuk menyedarkan masyarakat serta membendung penularan virus ini mahupun pembiakan aedes. KKM misalnya mengadakan pelbagai program kesedaran seperti 10 minit dalam seminggu, Jom Ganyang Aedes dan Combi (Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang lain termasuk pihak berkuasa tempatan serta masyarakat setempat, tetapi jika masih tiada kesedaran dan sokongan menyeluruh daripada masyarakat ia tidak akan berjaya. Dalam pada itu mengikut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin sebagai langkah tambahan, kerajaan juga telah melepaskan nyamuk jantan mandul atau nyamuk G (genetik) di kawasan Bentong, Pahang dan Alor Gajah, Melaka untuk diuji keberkesanannya dalam mengurangkan pembiakan aedes. Ujian ini dikatakan berkesan mengurangkan pembiakan nyamuk di kepulauan Cayman, justeru kerajaan sedang uji sama ada ia berkesan di negara kita dan mampu mengatasi masalah pembiakan aedes. Senario ini jelas menunjukkan tahap keseriusan pihak kerajaan dalam membendung wabak denggi dalam masyarakat kita. Namun statistik yang masih terus meningkat sekaligus membuktikan bahawa keberkesanan pelbagai program yang dianjurkan selama ini masih belum menampakkan hasil yang diharapkan dan ianya adalah kerana sikap masyarakat itu sendiri yang tidak memandang serius penularan demam denggi. Malah Kempen Media Pencegahan Denggi yang telah dilancarkan oleh KKM sebagai usaha untuk menyebarkan mesej dan maklumat tentang bahaya demam denggi juga dilihat masih belum cukup untuk menyedarkan masyarakat kita.

Pembanterasan nyamuk aedes memerlukan perubahan sikap yang menyeluruh dalam kalangan masyarakat kita. Setiap individu perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan yang aktif demi menyelamatkan nyawa sendiri, keluarga mahupun masyarakat setempat. Tindakan kita seperti membuang sampah merata tempat terutamanya ke dalam longkang yang akhirnya menyebabkan aliran longkang tersekat dengan timbunan sampah dan rumput perlu dielakkan di samping tidak membiarkan sebarang jenis takungan air baik di dalam mahupun di sekitar kawasan luar rumah. Kita juga perlu berubah dari sikap pengotor kepada pembersih. Hanya kebersihan secara hakiki mampu membendung pembiakan nyamuk aedes ini dari terus bermaharaja lela. Di samping bergantung harap kepada tindakan pencegahan daripada pihak KKM dan agensi yang berkaitan, masyarakat juga perlu bertindak sendiri secara proaktif misalnya mengenalpasti lokaliti-lokaliti yang berpotensi sebagai hot spots dan segera melakukan aktiviti pembersihan dan gotong-royong secara bersepadu.

Pada masa yang sama kita juga berharap agar tindakan penguatkuasaan dan pemantauan serta hukuman diperhebatkan lagi oleh semua agensi yang terbabit. Pemilik premis baik rumah kediaman mahupun premis perniagaan yang didapati membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes perlu dikompaun serta merta tanpa pilih kasih dan dalam hal ini kompaun maksium RM500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang sedia ada dilihat masih rendah dan belum cukup menggerunkan pemilik premis yang terlibat. Adalah disyorkan agar nilai kompaun ini dikaji semula dan dinaikkan ke satu nilai yang lebih besar serta ditambah dengan hukuman penjara yang setimpal. Dala hal ini, kita juga mengesyorkan agar Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Mengawal Denggi (2009-2013) yang telah dilancarkan pada April 2009 disemak semula dan dimantapkan mengikut keadaan semasa agar memberikan impak yang maksima. Kesimpulannya, walau apapun tindakan mahupun program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, ianya tidak akan berhasil tanpa kerjasama setiap individu dalam masyarakat kita. Justeru, masyarakat perlu berganding bahu dengan berusaha secara bersepadu dan bertindak dengan segera untuk membendung penularan wabak ini. Marilah kita berazam dan bertekad untuk membanteras habis-habisan nyamuk aedes pada tahun 2011 ini dan isytihar tahun 2011 sebagai tahun anti-aedes.

No comments: