Wednesday, December 8, 2010


KERAJAAN PERLU TANGKIS USAHA MEMPOLITIKKAN
ISU PENYELARASAN SUBSIDI
(Berita Harian 7/12/2010)
1. Pihak kerajaan kuhususnya Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dilihat sekali lagi terpaksa membuat satu keputusan tidak popular apabila mengumumkan penyelaran harga petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula sebagai langkah selanjutnya dalam Program Rasionalisasi Subsidi.
2. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, langkah ini diyakini mampu mengurangkan perbelanjaan kerajaan mencecah 1.8 billion di samping dapat mengimbangi defisit kewangan negara.
 
3. Keputusan yang cukup berani ini bagaimanapun dilihat agak tidak popular bagi pihak kerajaan kerana penyelarasan ini menyebabkan pengguna terpaksa mengalami kenaikan harga beberapa bahan keperluan di mana harga baru petroleum RON 95 naik kepada RM1.90 manakala harga gula pula naik kepada RM2.10 sekilogram. Ianya menggambarkan seolah-olah keputusan pihak kerajaan ini membebakan rakyat demi mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang sedia ada.

4. Hal ini adalah kerana kita masih segar dengan langkah pertama Program Rasionalisasi Subsidi pada 16 Julai lalu di mana harga petrol dan diesel diselaraskan lima sen seliter dan kenaikan harga gula sebanyak 25 sen yang sekaligus membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaan sebanyak RM750 juta.

5. Kita percaya keputusan ini bukanlah suatu keputusan yang mudah bagi pihak kerajaan apatah lagi untuk ianya dilabel sebagai keputusan yang terburu-buru mahupun tergesa-gesa kerana kita yakin kerajaan sedikitpun tidak berniat untuk membebankan rakyat. Kita juga yakin Najib telahpun memperhalusi segenap aspek dan kesan yang boleh timbul sebelum membuat pengumuman tersebut.

6. Dalam hal ini rakyat juga perlu lebih bersikap terbuka dan adil kepada pihak kerajaan. Ini kerana, pihak kerajaan susah pastinya sentiasa berusaha menjaga imej dan populariti di mata rakyat namun adakalanya terpaksa membuat keputusan yang kurang popular dan kurang disenangi sebegini demi kelangsungan pembangunan ekonomi negara pada masa akan datang.

7. Sejak beberapa bulan yang lepas isu subsidi yang ditanggung oleh pihak kerajaan menarik perhatian khalayak apabila ianya mula didedahkan untuk perhatian umum.

8. Pelbagai pendedahan demi pendedahan telah dibuat dalam bentuk fakta dan juga statistik oleh pihak kerajaan untuk menunjukkan kepada rakyat tentang jumlah sebenar dan jenis subsidi yang ditanggung selama ini dan juga kesan tanggungan selepas ini jika keadaan sekarang berterusan hinggalah keluar kenyataan bahawa negara boleh muflis suatu hari kelak jika kita tidak bertindak mengurangkan subsidi sekarang.

9. Walaupun pakar-pakar ekonomi kurang bersetuju dengan ramalan bahawa kita akan muflis namun satu perkara yang jelas ialah beban tanggungan kerajaan semakin bertambah kerana subsidi ini. Ini adalah kenyataan dan hakikat yang perlu diterima dan diakui oleh semua pihak.

10. Pakar ekonomi, persatuan pengguna dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) telahpun mengupas dan mengulas panjang lebar tentang kesan penyelarasan subsidi ini dari aspek pembangunan ekonomi, sosial, kesihatan, keperluan pemantauan kenaikan harga hinggalah kepada daya beli pengguna terutamanya masyarakat miskin luar bandar.

11. Justeru penulis tidak berhasrat untuk menyentuh aspek-aspek tersebut yang sudahpun diperhalusi dan diperjelaskan oleh semua pihak yang berkaitan. Maka apa yang ingin disentuh disini ialah satu lagi aspek yang cukup signifikan dan penting yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan iaitu aspek politik.

12. Dalam konteks politik, isu penyelarasan subsidi boleh diterjemahkan sebagai memberi kesan langsung kepada imej, populariti serta sokongan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Najib.

13. Seperti yang kita sedia maklum keputusan kerajaan ini sudah pastinya sedikit sebanyak akan mula memberi kesan kurang baik kepada imej pihak kerajaan di mata rakyat terutamanya masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai pendapatan tetap umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Kenaikan harga gula dan minyak ini dilihat mampu memberi kesan yang besar kepada golongan ini. Hal ini menyebabkan ramai yang mula menzahirkan perasaan marah dan tidak puas hati terhadap pihak kerajaan.

14. Maka dalam keadaaan seperti ini, sudah mula kedengaran dan kelihatan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan isu pengurangan subsidi ini sebagai modal politik mereka demi meraih sokongan rakyat. Mereka secara terang-terangan mempolitikkan isu penyelarasan subsidi ini dengan hujah kononnya kerajaan terlalu boros, tidak menjaga kebajikan rakyat, menyusahkan rakyat dan juga menzalimi penduduk miskin.

15. Golongan ini seperti biasa bijak mengambil kesempatan dan meraih keuntungan demi survival politik mereka. Bagi mereka pengumuman kerajaan ini adalah satu rahmat yang tidak dijangka-jangka kerana isu ini boleh dijadikan modal politik yang amat mujarab.

16. Justeru jentera pentadbiran kerajaan perlu memainkan peranan yang aktif dan agresif supaya dapat menangkis segala tohmahan dan tuduhan yang berbaur politik seperti ini yang dilemparkan kepada kerajaan. Kita khuatir isu ini yang dimanupulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini dengan mudahnya akan mempengaruhi mood dan sentimen rakyat untuk membenci kerajaan.

17. Malah jika segala propaganda politik seperti ini tidak ditangani dengan bijak ianya boleh merubah pandangan, tanggapan dan persepsi rakyat jelata terhadap kerajaan dan juga kepimpinan Najib. Ia pastinya akan mendatangkan kesan dan implikasi yang besar kepada Barisan Nasional (BN) yang sedang giat berusaha untuk memulihkan imej dan meraih keyakinan rakyat selepasa Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12).

18. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyusun strategi yang efisyen dan efektif dengan mencari pendekatan yang lebih bijak dan holistik dalam memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat terutamanya golongan luar bandar yang tidak begitu arif dan memahami tentang data mahupun statistik yang dibentangkan dan didedahkan dalam media cetak dan juga media elektronik.

19. Masyarakat kampung lebih suka dan selesa malah lebih mudah untuk memahami sesuatu perkara apabila ianya dijelaskan secara bersemuka dalam bahasa yang mudah difahami oleh mereka. Di sinilah pihak kerajaan perlu menggerakkan seluruh jentera yang ada terutamanya Jabatan Penerangan Negeri dan juga wakil-wakil parti komponen agar dapat membuat siri penjelajahan ke seluruh kawasan luar bandar demi mendekati penduduk yang masih kurang faham dan perlukan penjelasan. Usah biarkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan seterusnya memutarbelitkan fakta dengan sewenang-wenangnya.

20. Pihak kerajaan sudah semestinya tidak mahu pisang berbuah dua kali di mana kita tidak mahu apa yang berlaku dalam PRU12 berulang kembali dalam PRU13 kelak hanya kerana rakyat dikaburi dengan penjelasan yang berat sebelah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

21. Kerajaan perlu membuktikan kepada rakyat bahawa penyelarasn subsidi adalah untuk kemajuan dan kesejahteraan rakyat untuk tempoh jangka masa yang panjang iaitu sekurang-kurangnya bagi tempoh lima atau 10 tahun yang akan datang terutamanya dalam usaha untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan negara maju menjelang tahun 2020.

22. Dalam hal ini apa yang kita boleh syorkan ialah di samping pihak kerajaan perlu melipatgandakan usaha untuk menangkis segala tohmahan politik yang dilemparkan, kerajaan juga pada masa yang sama wajar berusaha meraih sokongan rakyat dan ianya boleh dicapai jika kerajaan bijak membelanjakan jumlah subsidi yang berjaya dikurangkan itu.

23. Misalnya anggaran pengurangan perbelanjaan sebanyak RM750 juta dan terkini RM1.18 bilion yang mampu dikurangkan ekoran daripada langkah penyelarasan tersebut perlulah dibelanjakan dengan penuh berhemah dan telus demi kesejahteraan semua misalnya untuk menyediakan kemudahan dan infrastruktur asas yang diperlukan oleh rakyat.

24. Jika ini dapat dilaksanakan maka isu subsidi tidak lagi boleh dijadikan sebagai modal politik oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab di samping kerajaan juga boleh meneruskan lagi Program Rasionalisasi Subsidi yang seterusnya demi kelangsungan pembangunan negara dalam usaha untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

No comments: