Wednesday, December 29, 2010

AMBIL PEDOMAN TAHUN 2010
1. Tahun 2010 bakal melabuhkan tirainya dalam beberapa hari sahaja lagi. Seperti tahun-tahun yang lepas, tahun ini juga meninggalkan pelbagai kenangan suka duka, pahit manis yang terus mewarnai kehidupan seluruh rakyat Malaysia.
2. Pelbagai peristiwa penting yang telah berlaku sepanjang tahun 2010 dilihat wajar dijadikan ikhtibar, panduan dan pedoman oleh kita semua agar tahun baharu 2011 yang bakal kunjung tiba dapat diharungi dan dinikmati bersama dengan seadanya dalam suasana yang aman, makmur dan harmoni.

3. Isu berkaitan politik, ekonomi, sosial dan perpaduan kaum terus menjadi sebutan dan perkara pokok yang dibincangkan sepanjang tahun 2010. Kekalutan di gelanggang politik misalnya terus menarik perhatian khalayak. Di samping beberapa pilihanraya kecil yang terpaksa diadakan, isu keluar masuk ataupun lompat parti, kecelaruan dalam beberapa parti utama baik pemerintah mahupun pembangkang serta teka-teki tarikh Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13) terus melemaskan rakyat dengan keadaan yang serba salah dan mengelirukan.

4. Adakalnya rakyat semakin keliru dengan situasi politik tanahair yang dicampur adukkan dengan beberapa perkara sensitif seperti isu ketuanan Melayu, kedaulatan institusi raja serta pertikaian dan perdebatan tentang perlembagaan yang selama ini telah menjadi kunci kejayaan kita sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya.
5. Perbezaan idelogi politik dan matlamat perjuangan yang tidak menentu dan menentingkan agenda peribadi masing-masing dalam kalangan politikus tanahair dilihat mengheret sama rakyat jelata yang tidak tahu apa-apa dan tidak mahu terlibat sama dalam kekalutan tersebut.

6. Keadaan ini akhirnya memberikan mesej dan isyarat yang kurang baik kepada aspek perpaduan nasional di negara kita. Bibit-bibit kemarahan mula muncul dalam kalangan rakyat pelbagai kaum apabila isu hak dan kepentingan sesuatu kaum mula diungkit dan dipersoalkan secara terbuka. Ia juga dilihat menyukarkan hasrat kita untuk merobohkan tembok prasangka yang ada di antara kita dek kedegilan segelintir ahli politik yang tamak kuasa dan memetingkan diri sendiri yang cuba mengapi-apikan perbalahan di antara kaum.

7. Akibatnya juga, kontrak sosial dan jambatan perpaduan yang telah dibina oleh nenek moyang kita di atas semangat kemuafakatan dan kerjasama antara kaum dengan hati yang terbuka dan ikhlas mula memperlihatkan sedikit keretakan.

8. Dari segi ekonomi pula, kerajaan dilihat tampil dengan pelbagai program transformasi dan pembaharuan ekonomi dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dan juga sebagai usaha untuk mencapai Wawasan 2020.

9. Program-program seperti Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dilihat mempunyai objektif dan sasaran yang jelas. Dalam hal ini kita wajar memuji segala inisiatif tersebut yang menampakkan keseriusan dan kesungguhan pihak kerajaan dalam mensejahterakan kehidupan rakyat.

10. Namun kenaikan harga barangan pengguna seperti gula dan petrol melalui program rasionalisasi subsidi dilihat sedikit sebanyak mengurangkan keyakinan rakyat. Hal ini berlaku kerana rakyat terutamanya masyarakat luar bandar tidak mendapat penjelasan yang sewajarnya dari agensi kerajaan yang berkaitan. Rakyat perlu dijelaskan secara terperinci kesan penjimatan subsidi tersebut bagi mengelak perasaan salah sangka dan keliru.

11. Tambahan pula tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan isu rasionalisasi subsidi ini dilihat lebih mengeruhkan keadaan dalam mengelirukan rakyat. Situasi ini jika tidak ditangani dengan berhati-hati dikhuatiri akan menimbulkan rasa kemarahan dan kebencian rakyat terhadap kerajaan yang sekaligus akan membantutkan segala usaha pembaharuan dan transformasi yang sedang dan bakal dilaksanakan.

12. Tahun 2010 juga bakal dicatatkan sebagai tahun yang kurang sihat dalam aspek sosial di negara kita. Pelbagai masalah sosial terus direkodkan yang bakal dicatatkan sebagai satu lagi titik hitam dalam sejarah negara ini.

13. Kes pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak misalnya terus bermaharaja lela sepanjang tahun 2010 tanpa satu jalan solusi yang konkrit. Ini ditambah pula dengan gejala-gejala negatif lain terutamanya melibatkan belia negara seperti merempit, meragut, terlibat dengan najis dadah dan pelbagai jenayah jalanan lain yang cukup membimbangkan.

14. Ini menyebabkan hala tuju belia dan generasi masa hadapan negara kita terus menjadi tanda tanya dan persoalan utama dalam kalangan masyarakat yang dilihat sukar mencari jalan penyelesaian kepada masalah-masalah sosial seperti ini yang terus menjadi duri dalam daging dalam masyarakat kita. Generasi pewaris yang bakal mewarisi negara ini dilihat masih terumbang ambing dan tercari-cari rentak hala tuju dan masa depan yang jelas.

15. Itu adalah antara kupasan tentang beberapa perkara penting yang mewarnai kehiduan rakyat Malaysia sepanjang tahun 2010. Pihak kerajaan dilihat sedang berusaha keras untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil, aman dan makmur dalam segenap aspek terutamanya dari segi politik, ekonomi dan perpaduan nasional. Tetapi kesemua itu agak sukar untuk dicapai atau direalisasikan jika kita sebagai rakyat Malaysia tidak bersatu hati, berganding bahu demi melahirkan sebuah negara yang aman dan damai dalam konteks pelbagai kaum dan agama.

16. Untuk itu kita perlu mengetepikan segala perbezaan pandangan dan pendapat dan segera melihat persamaan dalam perbezaan yang wujud dalam kalangan kita dengan mengambil ikhtibar dan pedoman dengan apa yang telah berlaku sepanjang tahun 2010 ini agar pisang tidak berbuah dua kali di mana kita tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama.

17. Kita perlu sedar bahawa hanya kestabilan politik yang kukuh dan perpaduan nasional yang ampuh mampu menterjemahkan segala hasrat kita untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020. Ingatlah bahawa negara kita, tanggungjawab kita.

No comments: