Tuesday, March 1, 2011

AKTIVITI HINDRAF PERLU DIBENDUNG, PERJUANGAN RASIS BOLEH MENGHANCURKAN PERPADUAN NASIONAL DAN MERUGIKAN NEGARA
1. Pertubuhaan haram hindraf terus mencabar kesabaran pihak berkuasa. Walaupun berkali-kali diberi peringatan dan amaran oleh pihak Polis, kelmarin mereka tetap meneruskan perhimpunan haram mereka seperti yang telah dirancang tanpa sedikitpun rasa takut mahupun menghormati undang-undang negara.
2. Dilaporkan seramai 109 orang termasuk beberapa orang kuat Hindraf ditahan oleh pihak Polis dalam kejdian tersebut. Perhimpunan haram ini dikatakan diadakan bertujuan untuk mendesak polis supaya membebaskan pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengeluarkan novel Interlok daripada kurikulum sekolah serta menuntut hak sama rata untuk kaum India.

3. Dalm menelusuri tujuan penubuhan dan agenda perjuangan kumpulan haram ini, penulis percaya rata-rata masyarakat kita terutamanya orang India itu sendiri masih keliru dan kurang jelas dengan tujuan penubuhan, hala tuju serta perkara yang diperjuangkan oleh kumpulan haram ini.

4. Kumpulan ini yang tiba-tiba sahaja muncul selepas Pilihanraya Umum 2008 dilihat terlalu rasis dan cuba memecahbelahkan perpaduan nasional terutamanya kepercayaan dan kesetiaan masyarakat India terhadap kerajaan dan negara ini secara keseluruhannya.

5. Apakah perkara yang mereka perjuangkan itu tidak pernah diperjuangakn atau diberi perhatian selama ini oleh parti mahupun pemimpin kaum India yang berada dalam kerajaan? MIC bersama-sama dengan beberapa lagi parti serpihan masyarakat India seperti IPF secara terus menerus memperjuangkan hak dan kebajikan masyarakat India di negara ini dari semasa ke semasa.

6. Dalam hal ini pihak kerajaan juga dilihat sentiasa memberikan perhatian yang serius kepada kaum minoriti ini baik dari segi kemudahan yang mereka perlukan mahupun dari segi memenuhi beberapa tuntutan yang mereka kemukakan.

7. Sikap toleransi dan kebertanggungjawaban pihak kerajaan terhadap kesemua kaum di negara ini tanpa mengira jumlah rakyat dari sesuatu kaum amat terserlah dan jelas terbukti. Selama ini masyarakat India tetap diberi layanan yang adil, diberikan peluang pendidikan dan pekerjaan yang sewajarnya, sekolah-sekolah Tamil terus ditambah, kuil juga dibenarkan dibina tanpa halangan di samping peluang-peluang perniagaan diberikan sama seperti kaum Melayu mahupun Cina.

8. Apa yang pelik di sini ialah apakah sejak merdeka sehingga tahun 2008 iaitu sehingga Hindraf ditubuhkan, orang India di negara kita ditindas, dianaktirikan, tidak diberikan hak dan layanan yang sama rata? Sudah terang lagi bersuluh, tidak perlulah kita menyenaraiakn satu persatu bantaun yang telah diberikan oleh pihak kerajaan di mana pihak kerajaan tetap menjalankan tanggungjawab sosial mereka yang turut dibantu oleh parti-parti politik yang mewakili kaum India serta NGO yang berkaitan.
9. Justeru Hindraf tidak perlulah menangguk di air yang keruh berikutan tsunami politik 2008 dengan cuba menjadi hero dan menekan pihak kerajaan. Tindakan mereka jelas boleh menghancurkan perpaduan nasional yang kita pertahankan selama ini di samping merosakkan dan menjejaskan imej negara di mata dunia.

10. Perjuangan mereka yang seolah-olah menegakkan benang yang basah, tanpa hala tuju yang jelas dan terlalu bersifat rasis ini cukup membahayakan jika ianya tidak dibendung dengan segera. Apatah lagi keberanian dan kebiadapan mereka melanggar undang-undang memperlihatkan keangkuhan dan keberanian yang tidak bertempat dan tidak kena pada masanya.

11. Penulis percaya, majoriti Masyarakat India tidak bersetuju dengan tindakan kumpuln haram ini lebih-lebih lagi dengan kaedah perhimpunan haram yang menyusahkan semua pihak. Kehidupan masyarakat India di Malaysia boleh ditakrifkan jauh lebih baik berbanding kehidupan orang India di negara India itu sendiri. Perkara ini perlu disedari oleh semua pihak yang cuba menjadi hero dan menyusahkan rakyat.

12. Perpaduan yang ada perlu dipelihara dan dijaga. Itu adalah tanggungjawab setiap warganegara tanpa mengira warna kulit mahupun anutan agama. Justeru kita harap perjuangan Hindraf ini dikuburkan dengan serta merta bagi mengelak lebih banyak lagi perkara yang tidak diingin berlaku.

13. Pada masa yang sama tindakan mereka memburuk-burukkan imej Malaysia dalam internet juag perlu disekat dengan segera. Hal ini penting keraan kita khuatir pihak luar akan membaut rumusan dan kesimpulan hanya semata-mata berdasarkan maklumat yang diperoleh dalam internet. Ini amat merugikan negara terutamanya dari aspek kemajuan ekonomi dan juga pelancongan.

14. Tatkala pihak kerajaan cuba sedaya upaya untuk memulihkan kembali ekonomi kita, perkembangan kurang sihat seperti ini akan memberikan satu gambaran yang negatif dan kurang tepat kepada pelabur yang sekaligus akan menghalang kemasukan mereka ke Malaysia. Pelabur mana yang hendak datang melabur kalau digambarkan negara kita tidak aman, huru hara dan tidak selamat? Begitu juga halnya dengan pelancong. Pelancong tidak akan memasuki negara kita jika digambarkan keadaan di sini tidak selamat dan sentiasa huru hara.

15. Keadaan gusar dan was-was dalam kalangan pelabur dan pelancong akan memberikan tamparan yang hebat kepada pemulihan dan kemajuan ekonomi negara kita. Maka diharapkan agar para pemimpin Hindraf itu sendiri akan segera sedar dan menghentikan segala tindak tanduk mereka yang cukup merugikan negara kita. Gunakanlah saluran perbincangan dan perundingan yang disediakan oleh pihak kerajaan bagi mengemukakan apa sahaja tuntutan yang kehendaki. Parti-parti politik yang mewakili kaum India juga perlu memainkan peranan yang lebih efektif dalam usaha untuk mendekati masyarakat India untuk memberikan penjelasan dan penerangan yang sewajarnya berkaitan usaha-usaha yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi menjaga hak dan kebajikan kaum India agar terus terpelihara seperti yang terkandung dalam Perlembagaan.

No comments: