Wednesday, May 25, 2011

IBU BAPA PERLUKAN KEMAHIRAN MENDIDIK, MENJAGA ANAK

1.      Setiap bayi yang baru dilahirkan adalah diumpamakan sebagai kain putih yang suci dan bersih di mana para ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorak ataupun menentukan hala tuju dan masa depan anak-anak mereka.

2.      Maka dalam melaksanakan tanggungjawab ini sebaik yang mungkin demi membentuk sebuah generasi yang bijak dan cemerlang baik dari segi minda mahupun fizikal para ibu bapa terutamanya pasangan muda ini perlu mendalami ilmu untuk menjaga, mendidik dan membesarkan anak-anak mereka agar mereka dapat memenuhi acuan yang diharapkan.

3.      Kegagalan dan kelalaian ibu bapa dalam mengambil berat tentang aspek keselamatan dan kesihatan anak menyebabkan anak-anak mereka sering terdedah kepada pelbagai jenis risiko berbahaya yang adakalanya turut meragut nyawa mereka.

4.      Ibu bapa perlu sedar hakikat bahawa keselamatan dan kesihatan anak adalah tanggungjawab mutlak mereka. Tiada alasan, penolakan, penafian mahupun kompromi dalam perkara asas seperti ini.

5.      Justeru penulis sangat bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang mengesyorkan agar ibu bapa perlu memahami punca kepada risiko yang boleh menyebabkan berlaku kecacatan dalam kalangan anak-anak.

6.      Tambah Najib, pemahaman awal terhadap punca itu akan membolehkan tindakan pencegahan dilakukan segera, sekali gus dapat mengelak sebarang risiko kecacatan kepada anak-anak.

7.      Isu kecacatan mahupun kesihatan ini merupakan salah satu contoh yang paling signifikan dan mudah untuk kita jadikan sebagai rujukan dan panduan kerana saban hari kita dikhabarkan dengan pelbagai berita menyayat hati tentang nasib kanak-kanak malang di negara kita yang menghidapi pelbagai jenis penyakit kritikal.

8.      Kita boleh menerima hakikat  jika penyakit ataupun kecacatan tersebut wujud sejak anak atau bayi itu dilahirkan atau dipanggil kecacatan kelahiran tetapi apa yang menyedihkan dan tidak boleh kita terima ialah kecacatan dan penyakit yang berpunca daripada kelalaian para ibu bapa sendiri di mana akibatnya anak yang sihat pada asalnya jatuh sakit disebabkan kecuaian ibu bapa sendiri.
9.      Ini belum lagi dari aspek keselamatan anak-anak di mana kadang-kadang lebih mengerikan dan menakutkan apabila kita meneliti kelalaian dan sikap acuh tidak acuh para ibu bapa yang seolah-olah tidak mempedulikan nyawa anak-anak mereka. Contoh yang paling mudah ialah dalam urusan persekolahan anak-anak. Setiap hari kita dapat lihat kecuaian dan kedegilan ibu bapa yang memboncengkan anak-anak mereka dengan motorsikal tanpa memakai topi keledar dengan alasan jarak antara rumah dan sekolah dekat.

10.  Itu adalah antara contoh insiden yang paling kerap boleh kita temui yang telah menjadi rutin dalam kehidupan seharian kita yang boleh dilihat berlaku di mana-mana sahaja di negara kita. Malah senarai insiden sebegini  akan menjadi semakin panjang jika kita ingin menelitinya satu per satu.

11.  Lebih mendukacitakan apabila kita juga seringkali didedahkan dengan laporan di mana ibu bapa sendiri didapati mendera anak mereka akibat terlalu marah, geram, hilang sabar dan gagal mengawal emosi.

12.  Justeru pada pengamatan penulis apa yang penting dalam hal ini ialah kurangnya tahap kesedaran kita kepada elemen tindakan pencegahan. Dalam hal ini kita dapati ibu bapa muda yang baru berumah tangga misalnya dilihat masih kekurangan ilmu untuk menjaga, mendidik dan membesarkan anak-anak mereka dengan sewajarnya.

13.  Malah dalam kursus perkahwinan sekalipun ilmu ini tidak diajar dan dititikberatkan. Maka di mana ataupun melalui kaedah apa pasangan muda ini terutamanya dapat mempelajari ilmu tersebut? Hal ini sangat penting kerana menjaga, mendidik dan membesarkan seorang anak memerlukan pelbagai kemahiran yang perlu dipelajari secara berhemah sebagai persiapan sebelum menjadi ibu dan bapa.

14.  Justeru diharapkan pihak yang bertanggungjawab baik jabatan agama yang menguruskan kursus perkahwinan mahupun Kementerian Kesihatan yang menguruskan ibu mengandung dapat memikirkan cara yang terbaik untuk mendidik para ibu bapa supaya tindakan pencegahan dapat diambil dari peringkat awal lagi.

No comments: