Monday, February 28, 2011

CINTA INTERNET TAK KE MANA
1. Nampaknya kaum wanita di negara kita tidak pernah sunyi daripada pelbagai konflik yang terus mencengkam kehidupan mereka. Dari pelbagai gejala sosial seperti buang bayi hinggalah kepada cinta lelaki Lombok dan terkini terpedaya dengan cinta internet.
2. Trend terkini menunjukkan wanita kita begitu mudah percaya dan terpedaya dengan lelaki yang mereka baru kenali dalam internet seperti laman rangkaian sosial facebook. Beberapa laporan di akhbar tempat menceritakan pelbagai kisah malang wanita kita yang ditipu oleh lelaki yang baru mereka kenali melalui facebook.

3. Antaranya seorang wanita penjawat awam berjawatan pegawai dari Raub dilaporakan kerugian sebanyak RM10,000 angkara termakan pujuk rayu seorang lelaki “Mat Salih” yang hanya dikenali tidak sampai dua bulan melalui facebook. Kita seolah-olah sukar untuk mempercayai perkara seperti ini boleh berlaku lagi-lagi ianya melibatkan seorang wanita berpendidikan tinggi.
4. Insiden seperti ini membawa kita kepada beberapa persoalan yang perlu dirungkai dengan segera sebelum ianya menjadi semakin parah dan sukar untuk dikawal. Antaranya, kenapa begitu mudah wanita kita boleh terpedaya dengan mempercayai seorang lelaki yang tidak dikenali ataupun baru dikenali dalam internet?

5. Apakah wanita kita semakin terdesak untuk mencari kasih dan sayang seorang lelaki yang tidak mampu diperolehi dari lelaki tempatan sehingga sanggup berbuat apa sahaja untuk lelaki luar yang mereka baru kenali?

6. Jawapan kepada dua persoalan ini perlu dirungkai demi mencari kepastian dan punca kenapa wanita kita bertingkahlaku sedemikian rupa. Kita tidak mahu episod lari ke Lombok mahupun diperdaya menjadi keldai dadah terus menghimpit wanita negara kita akibat kecuaian diri sendiri. Walaupun pelbagai insiden seperti ini terus didedahkan oleh pihak media namun ternyata wanita kita masih belum mampu menjadikan ianya sebagai satu iktibar mahupun pengajaran.

7. Dalam konteks ini, keluarga perlu memainkan peranan agar perkara-perkara seperti tidak berjangkit kepada anak-anak perempuan mereka. Ibu bapa perlu segera mencarikan pasangan hidup kepada anak perempuan mereka apabila sampai waktunya tanpa berlengah kerana kelambatan mahupun kesukaran untuk berumahtangga atau mencari pasangan hidup dilihat antara punca berlakunya masalah mencari cinta dalam internet seperti ini. Dalam pada itu lelaki tempatan juga perlu menjadikan isu ini sebagai satu cabaran kepada mereka untuk merebut hati dan cinta wanita tempatan. Ternyata kegagalan mereka bertakhta di hati wanita tempatan mendorong wanita kita mencari kasih dari lelaki luar.

8. Kepada kaum wanita, carilah lelaki tempatan yang lebih terjamin masa hadapan anda. Usahlan menagih cinta lelaki hidung belang yang kebiasaanya ada agenda tersembunyi dan berakhir dengan duka.

9. Semoga kaum wanita kita segera sedar dan menjaga kehormatan, keselamatan dan maruah diri maisng-masing. Jangalah mudah terpedaya dengan pujukan dan rayuan cinta internet yang jelas tidak ke mana hala tujunya.

No comments: