Monday, February 16, 2009

Budak kampung anggap PPSMI relevan

Petikan dari ruangan forum Utusan Malaysia online bertarikh 16/2/2009:

SEJAK kebelakangan ini, isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kembali diutarakan. Saya sebagai bekas pelajar tahun 2008 yang belajar subjek Sains dan Matematik terpanggil untuk menyuarakan perkara ini.

Bagi saya pembelajaran dalam bahasa Inggeris tidak membebankan. Malahan, tidak menjejaskan prestasi bahasa Melayu saya. Saya dan rakan-rakan begitu seronok mempelajari istilah-istilah baru. Dari tingkatan 1 hinggalah sampai ke tingkatan 5, saya berasa sudah sebati dengan PPSMI.

Pada mulanya agak sukar bagi saya dan rakan-rakan. Namun alah biasa tegal biasa. Saya belajar subjek Kimia, Biologi dan Fizik dalam bahasa Inggeris, akan tetapi tidak pula saya berasa ia sukar.
Dalam semua peperiksaan, saya dan rakan yang lain memilih untuk menjawab dalam bahasa Inggeris. Bukan tidak patriotik dengan tidak menjawab peperiksaan dalam bahasa Melayu, sebaliknya saya lebih senang memilih bahasa Inggeris.

Dalam pada masa yang sama, ramai rakan saya cemerlang dalam bahasa Melayu. Guru-guru saya juga mengajar dalam bahasa Inggeris dan kemudian menerangkan kembali dalam bahasa Melayu.

Walaupun saya tidaklah cemerlang dalam subjek Sains dan Matematik, saya berasa sangat teruja dengan belajar dalam bahasa Inggeris.
Oleh itu, saya berharap isu ini tidak patutlah diperbesarkan terutamanya dalam kalangan bijak pandai. Apa yang penting untuk belajar berjaya ialah kemahuan dan kegigihan. Apabila kegigihan dan kemahuan ada, halangan dapat diatasi.

Justeru, PPSMI adalah relevan.

NADIATUL AZWA MOHAMAD KHALIDI
E6, Kampung Luat, Lenggong, Perak

Komen:

1. Bagi saya objektif PPSMI amat jelas. Program ini diolah, dirancang adn diperkenalkan dengan satu hasrat yang murni iaitu untuk mengantarabangsakan minda para pelajar kita terutamanya pelajar luar bandar.

2. Di samping pelbagai bantahan dan gesaan daripada segelintir masyarakat kita untuk menghapuskan PPSMI, ramai juga anggota masyarakat kita yang terdiri daripada para pelajar, ibubapa, guru dan sebagainya terus menyatakan kerelevanan dan kepentingan PPSMI.

3. Justeru saya berharap pihak-pihak yang begitu bersemangat untuk menghapuskan PPSMI ini berfikir dengan lebih wajar dan waras dengan mengambil kira pandangan-pandangan pihak yang menyokong PPSMI agar jangan kita menyesal kemudian hari apabila anak-anak kita tidak lagi mampu bersaing di peringkat antarabangsa melainkan niat kita memang mahu lihat anak-anak kita terus kekal menjadi jaguh kampung.

No comments: