Tuesday, February 17, 2009

Ke mana kita tanpa PPSMI?

PETIKAN DARI RUANGAN FORUM UTUSAN ONLINE 17/2/2009:

KEMELUT Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) nampaknya semakin berpanjangan seolah-olah tiada penyelesaian.

Apa sudah jadi dengan bangsa Melayu? Adakah pemikiran mereka tidak konsisten, bercelaru dan kacau bilau! Semakin ramai Melayu yang mempersoalkan pelaksanaan PPSMI.

Dalam jangka panjang PPSMI akan memberi faedah kepada orang Melayu. Semua sedia maklum PPSMI diwujudkan untuk menangani ramai graduan Melayu yang gagal mendapatkan pekerjaan akibat lemah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

PPSMI memerlukan masa yang panjang untuk membuahkan hasil, mungkin 20 atau 30 tahun lagi. Sebagai contoh, pelaksanaan pengajaran bahasa Melayu di semua sekolah kebangsaan dan universiti yang dilaksanakan 20-30 tahun lalu telah menghasilkan generasi graduan Melayu yang purata umur 20-35 tahun, terutama dari luar bandar yang gagal berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Mereka hanya mahir berbahasa Melayu.

Pernah menjadi isu, graduan yang balik dari belajar di luar negara pun gagal berbahasa Inggeris dengan baik. Inilah buktinya PPSMI juga memerlukan tempoh jangkamasa yang sama untuk menunjukkan keberkesanannya.

Masalah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris bukan masalah utama pelajar-pelajar di bandar.

Tetapi di mana dan dengan siapa anak-anak Melayu luar bandar hendak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Bolehkah mereka memahirkan penggunaan bahasa Inggeris secara berkomunikasi dengan ibu bapa petani mereka atau ibu bapa penoreh mereka?

Cukupkah dengan hanya masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris antara 120-160 minit seminggu sahaja di sekolah?
Inilah sikap unik orang Melayu. Tanpa paksaan orang Melayu tidak akan berjaya. Orang Melayu tidak sukakan perkara-perkara yang positif. Orang Melayu terutama di luar bandar harus dipaksa untuk menguasai bahasa Inggeris.

Program PLKN yang amat memberi manfaat sekalipun jika tidak diwajibkan, bilangan pelajar Melayu yang menyertainya boleh dibilang dengan jari. Pelajar-pelajar Melayu luar bandar yang cemerlang dalam UPSR dan PMR hanya mahu mengambil jurusan sastera dan perdagangan sahaja, jika tidak dihimpunkan di sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Sains, MRSM dan diwajibkan mengambil jurusan sains tulen.

Tidak ada yang tidak kena dalam pelaksanaan PPSMI. Tentunya setiap pembaharuan akan wujud kelemahan dan kekurangannya!
Dalam pelaksanaan PPSMI memang ada pelajar-pelajar yang akan menjadi korban sebagaimana 'terkorbannya' beratus ribu graduan Melayu kini yang gagal menguasai kemahiran berbahasa Inggeris dan menganggur kesan pelaksanaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah kebangsaan dan di universiti-universiti 30 tahun dahulu.
Di saat orang Melayu mendebatkan cadangan jumud ini, parti pembangkang pula tersenyum mendabik dada mengapi-apikan lagi penentangannya.

Jangan kita bandingkan diri kita dengan orang Korea, China atau Jepun yang maju dengan menggunakan bahasa sendiri. Jepun pun belajar menggunakan bahasa Inggeris sebelum mengungguli teknologi dengan bahasa Jepun.

Siapakah kita orang Melayu yang hendak dibandingkan dengan orang Jepun. Apakah sikap, disiplin dan semangat kita setanding dengan orang Jepun?

Berapa peratus orang Melayu yang mempunyai disiplin dan semangat seperti bangsa Jepun? Tepuk dada tanya selera! Orang Melayu harus menguasai semua bidang dan buktikan dahulu pencapaian orang Melayu.
Ubah minda dan paradigma orang Melayu kerana hakikatnya jika orang Melayu mula mengorak langkah, kejayaan pasti dalam tangan.
Apa jua keadaan, kerajaan sepatutnya terus mengangkasakan PPSMI. Mengangkasakan PPSMI bukanlah agenda politik, tetapi lebih dari itu iaitu demi survival bangsa.

Mungkin demi untuk memenuhi permintaan segelintir orang Melayu yang sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan PPSMI dimansuhkan, atas dasar liberalisasi pendidikan saya ingin mengemukakan dua cadangan.

- Pertama, teruskan PPSMI dengan mewujudkan sekolah-sekolah rendah dan menengah yang berorientasikan PPSMI dan dalam masa yang sama diwujudkan sekolah-sekolah rendah dan menengah yang tidak berorientasikan PPSMI sebaliknya kembali ke sistem pembelajaran berteraskan bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing.

- Kedua, di setiap sekolah rendah dan menengah yang sama diwujudkan dua sistem pembelajaran iaitu yang berteraskan PPSMI dan satu lagi sistem pembelajaran berteraskan bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing sepenuhnya.

NORHISYAM MOHAMAD
Kuala Kedah

KOMEN:

1. SATU LAGI PENDAPAT UMUM YANG MENYOKONG PELAKSANAAN PPSMI. SATU KUPASAN YANG SANGAT MENARIK DAN MENDALAM.

2. SEMOGA PIHAK-PIHAK YANG AKTIF MENGERAKKAN USAHA UNTUK MANSUHKAN PPSMI BACA DAN FAHAMI APA YANG TERSIRAT DISEBALIK PANDANGAN ORANG LUAR BANDAR INI.

3. SAYA YAKIN INI MERUPAKAN LUAHAN PENDUDUK LUAR BANDAR YANG MERAYU DEMI SURVIVAL BANGSANYA.

4. SAYA TERINGAT DASAR PANDANG KE TIMUR YANG TELAH DIPERKENALKAN OLEH PERDANA MENTERI YANG KEEMPAT. DASARNYA MENYERU KITA MENCONTOHI JEPUN DAN KOREA UNTUK MAJU KE HADAPAN DENGAN MENGAMBIL SEMANGATNYA DAN BUKANNYA MENCONTOHI PERKARA-PERKARA YANG BOLEH MENYEBABKAN KITA MAKIN KETINGGALAN.

5. SEPERTI KATA PENULIS TERSEBUT, DASAR YANG BARU BERUSIA ENAM TAHUN JANGAN DIJADIKAN KAMBING HITAM. BELUM BOLEH KITA MENILAI SEPENUHNYA KEBERKESANAN DASAR INI. JANGAN CEPAT MELATAH DAN MENGHAKIMINYA KERANA IANYA AMAT TIDAK ADIL DAN TIDAK WAJAR.

6. KITA PERLU MEMIKIRKAN MASA DEPAN ANAK-ANAK KITA. DALAM 20 HINGGA 30 AKAN DATANG KE MANA HALA TUJU PELAJAR LUAR BANDAR? ADA TAK PIHAK YANG MENENTANG PPSMI INI MEMIKIRKANNYA? TELAH MENGKAJINYA?

No comments: