Thursday, July 9, 2009

Saya sedih - Dr. Mahathir

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA ONLINE BERTARIKH 9HB JULAI 2009:

PUTRAJAYA 8 Julai - Tun Dr. Mahathir Mohamad sedih atas keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan di bawah pentadbiran beliau enam tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri menjelaskan langkah memansuhkan dasar itu tidak dirundingkan dengan beliau sebaliknya kerajaan telah membuat keputusan lebih awal.

''Kerajaan telah membuat keputusan, saya hanya diberikan taklimat dan maklumat tentang apa yang akan dilakukan oleh kerajaan.

''Saya ada mencadangkan supaya dasar itu dikekalkan bagi peringkat sekolah menengah tetapi itu pun ditolak, mereka tidak terima sama sekali, jadi itu bukan runding tapi hanya taklimat," katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Beliau memberikan reaksi demikian terhadap keputusan kerajaan hari ini memansuhkan PPSMI berkuat kuasa pada 2012.

Dr. Mahathir berkata, pemansuhan PPSMI akan menyebabkan anak-anak menjadi mangsa apabila mereka tidak dapat mempelajari perkembangan ilmu Sains dan Matematik pada masa depan.

Beliau turut mempertikaikan alasan pemansuhan dasar tersebut bagi memperkukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan kerana penggunaan semula bahasa Melayu dalam mata pelajaran Sains dan Matematik hanya melibatkan sekolah-sekolah kebangsaan.

Sedangkan, katanya, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) menggunakan bahasa ibunda masing-masing bagi mengajar kedua-dua subjek tersebut.

Mengenai masalah guru Sains dan Matematik yang tidak fasih berbahasa Inggeris, beliau berkata, kerajaan bertanggungjawab melatih dan mengeluarkan guru-guru yang mampu berbahasa Inggeris.

''Kita perlu menghadapi masa yang susah, ini amat penting bagi masa depan anak cucu dan negara, maka kita harus menghadapi cabaran pada peringkat awal.

''Saya yakin guru-guru kita boleh mengajar dalam bahasa Inggeris," katanya.
Mengenai langkah kerajaan mahu melatih lebih ramai guru bahasa Inggeris, beliau menyifatkan perkara itu sesuatu yang baik.

''Kalau boleh melatih guru-guru bahasa Inggeris kenapa tidak boleh latih guru Sains dan Matematik, kita perlu belajar kerana ia amat penting bagi masa depan anak-anak kita," katanya.

Sebenarnya, kata beliau, dasar PPSMI tidak menjadi masalah kerana sebelum ini kerajaan pernah menukar pembelajaran berasaskan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.

''Pada masa itu tidak ada bantahan sedangkan ketika itu ramai guru tidak fasih berbahasa Melayu tetapi akhirnya mereka berjaya menguasai bahasa kebangsaan.

''Jadi, pada masa ini kalau kita guna bahasa campur-campur pun tak apa tetapi pada masa yang sama kita perbaiki prestasi guru," katanya.
KOMEN BLOGGER: TUN...SAYA ANTARA RAKYAT MALAYSIA YANG SANGAT SEDIH DENGAN PEMANSUHAN INI. JUSTERU TIMBUL SATU PERSOALAN DALAM PEMIKIRAN SAYA, ADAKAH KITA SEMAKIN MAJU KE HADAPAN ATAU SEMAKIN MUNDUR KE BELAKANG? SAYA PASTI ADA JAWAPAN APABILA ANAK CUCU SAYA SUATU HARI NANTI BERTANYAKAN KENAPA KAMI TIDAK DI AJAR SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS SEDANGKAN ITU ADALAH MATAPELAJARAN PENTING/GLOBAL YANG MEMBOLEHKAN MEREKA MENGUASAI DUNIA. SAYA JUGA PASTI ADA JAWAPAN JIKA MEREKA TANYA KENAPA KAMI GAGAL UNTUK BERSAING DALAM DUNIA TANPA SEMPADAN DI MANA YANG PANDAI AKAN MENGUASAI YANG LEMAH. APAPUN SAYA TETAP AKAN UTAMAKAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA INGGERIS UNTUK ANAK-ANAK SAYA DALAM SEGALA ASPEK DAN MATAPELAJARAN TANPA MENAFIKAN BAHASA MELAYU. KERANA SAYA INSAF, SAYA SEDAR DAN SATA TAHU APA MASALAHNYA JIKA TIDAK TAHU DAN TIDAK PANDAI BERKOMUNIKASI DALAM BAHASA INGGERIS. JUSTERU SAYA TIDAK MAHU ANAK-ANAK SAYA JUGA MENERIMA NASIB YANG SAMA KELAK.

No comments: