Monday, February 14, 2011

PEDULIKAN SAHAJA LEE KUAN YEW
1. Nampaknya isu berkaitan bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew tidak pernah lekang mahupun hilang daripada ingatan kita. Pelbagai isu yang diperkatakan oleh Kuan Yew baik dalam bentuk ucapan mahupun tulisan terus menyentuh mengenai negara kita.

2. Terkini Lee Kuan Yew mendakwa bahawa terdapat usaha antara Malaysia dan Indonesia untuk menjejaskan perniagaan pelabuhan di negara itu. Dakwaan yang tidak berasas sama sekali ini seolah-olah menunjukkaan beliau sudah ketandusan idea dan takut kepada bayang-bayang sendiri.

3. Dakwaan Kuan Yew ini muncul menerusi buku Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going yang menyentuh mengenai wujudnya kempen dari luar untuk menjatuhkan negara itu kerana dianggap sebagai penceroboh selain menurut beliau terdapat usaha antara Malaysia dan Indonesia yang mahu menjejaskan perniagaan pelabuhan negara berkenaan.

4. Isu seperti ini pernah timbul suatu ketika dahulu apabila kita bercadang membina jambatan bengkok menggantikan tambak Johor yang sehingga kini masih belum ada kata putus yang jelas disebabkan pelbagai hal berbangkit antara kita dengan Singapura.

5. Situasi ini menunjukkan Singapura dan Lee Kun Yew semakin terdesak dan cuba mencari publisiti murahan ataupun menakut-nakutkan negara jiran. Justeru penulis berpandangan kita tidak perlu melayan karenah dan tuduhan Lee Kuan Yew tersebut. Pedulikan sahaja Lee Kuan Yew. Tiada sebarang faedah mahupun manfaat kepada kita untuk terus berdebat dengan beliau.

6. Sejak zaman Tunku Abdul Rahman hingga ke zaman Tun Dr. Mahathir beliau telah memainkan pelbagai peranan melalui pelbagai isu berbangkit dua hala antara kedua-dua buah negara yang kesudahannya beliau sentiasa menyalahkan kita. Dan sekarang beliau terus cuba memainkan beberapa polemik baru untuk menggangu gugat pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak pula.

 
7. Dalam hal ini, apa yang jelas ialah segala ucapan mahupun kenyataan Lee Kuan Yew tidak pernah mengambil kira sensitiviti rakyat negara jiran seperti kita. Beliau terus membangkitkan pelbagai isu sensitif yang menyentuh kedudukan orang Melayu dan juga umat Islam mengikut pandangan dan tafsiran sempit beliau semata-mata.

8. Terkini beliau terus menaikkan kemarahan umat Islam dengan kenyataan menggesa umat Islam negara itu supaya tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam kerana ia boleh menghalang integrasi dan pembangunan.

9. Jelas ini meruipakan satu bentuk penghinaan ke atas agama Islam dan penganutnya kerana ianya menunjukkan seolah-olah ajaran agama Islam menjurus kepada perpecahan dan anti pembangunan.

10. Persoalannya ialah siapa Lee Kuan Yew untuk mengeluarkan kenyataan sedemikan rupa? Sejauh mana beliau memahami ajaran Islam? Apa bukti selama ini umat Islam ataupun rakyat sesebuah negara berpecah belah mahupun mundur hanya kerana berpegang kuat kepada ajaran Islam?

11. Tindak tanduk Lee Kuan Yew dewasa ini jelas menunjukkan beliau cuba mencampuri urusan negara lain terutamanya negara jiran dan dengan sewenang-wenangnya menyentuh dan mempersoalkan isu-isu sensitif.

12. Justeru dalam hal ini kita perlu bertindak secara bijak, waras dan matang tanpa melibatkan emosi mahupun terpengaruh dengan kenyataan-kenyataan liar beliau. Bagi kita Lee Kuan Yew hanyalah sejarah semata-mata. Tidak lebih daripada itu. Biarlah generasi yang akan datang mengenali ataupun membaca mengenai Lee kuan Yew dan Singapura dalam buku Sejarah di sekolah dan tidak perlu diperbesar-besarkan segala kenyataan beliau mutakhir ini yang tidak membawa sebarang bentuk manfaat kepada generasi yang akan datang.

13. Birakanlah Lee Kuan Yew dan Singapura dengn cara mereka sendiri. Tidak perlu kita melayan segala kehendak mahupun karenah mereka. Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat kita ada hak kita sendiri dan pemimpin kita ada cara tersendiri untuk menangani sergala permasalahan yang timbul. Justeru pedulikan sahaja Lee kuan Yew.

No comments: