Monday, November 16, 2009

PENGIKLANAN PERLU AMBIL KIRA SENTIMEN RAKYAT
(TELAH DISIARKAN DALAM UTUSAN MALAYSIA RUANGAN RENCANA BERTARIKH 17 NOVEMBER 2009)
1.Pengiklanan adalah strategi penting untuk memasarkan atau memperkenalkan sesuatu produk dan perkhidmatan yang baharu di pasaran. Tanpa pengiklanan pengguna tidak akan tahu tentang kewujudan sesuatu produk tersebut.

2.Justeru semua pihak yang terlibat dengan pengeluaran produk atau perkhidmatan baharu di negara kita dilihat berlumba-lumba membuat pelbagai jenis iklan untuk menarik perhatian pengguna. Kesungguhan mereka dapat dilihat melalui daya kreativiti masing-masing yang cukup hebat dan profesional.

3.Tidak boleh dinafikan bahawa gaya pengiklanan yang hebat mampu menarik minat kumpulan sasaran mereka untuk membeli ataupun menggunakan perkhidmatan yang hendak dipasarkan. Ini sekaligus dapat meningkatkan keuntungan masing-masing.

4.Pelbagai media digunakan sebagai platform untuk mereka menyiarkan iklan masing-masing mengikut kemampuan dan kumpulan sasaran. Namun televisyen tetap menjadi pilihan utama sebagai media perantara antara pihak pengeluar dengan para pengguna.

5.Pengiklanan melalui televisyen dilihat cukup penting kerana terbukti ianya mudah mempengaruhi penonton dalam membuat keputusan. Maka pelbagai cara digunakan oleh pengeluar untuk menarik minat penonton televisyen mengikut sasaran mereka.

6.Dewasa ini keterujaan sesetengah pengeluar dalam menarik perhatian para pengguna menyebabkan mereka seakan-akan lupa tentang nilai-nilai murni dan sentimen masyarakat negara ini. Perkara ini sering dikesampingkan dalam usaha mereka untuk melariskan produk masing-masing.

7.Akibatnya kita sering dipertontonkan dengan bermacam-macam iklan yang kadang kala sukar untuk diterima sebagai norma kehidupan anggota masyarakat kita. Ini menunjukkan seolah-olah kita cuba meniru gaya pengiklanan di media-media barat yang jelas terlalu bebas dan mengabaikan penerapan nilai-nilai murni dalam masyarakt mereka.

8. Harus diingat bahawa walaupun masyarakat kita semakin maju dan moden namun nilai dan adat ketimuran yang kita banggakan selama ini tetap menjadi pegangan utama. Usahlah kita cuba menggantikan nilai itu dengan budaya barat yang agak melampau dan memesongkan.

9.Perkara ini perlu diambil perhatian dan dipandang serius oleh semua pihak kerana sekarang kita dapat lihat timbul berbagai kontrovesi dalam iklan yang ditayangkan di peti televisyen negara kita.

10.Antara masalah yang biasa kita dengar ialah penggunaan bahasa yang tidak betul atau tidak sopan, penonjolan imej dan gaya yang agak menjolok mata dengan menggunakan wanita sebagai simbol daya penarik walaupun produk atau perkhidmatan tersebut tiada kaitan dengan kaum wanita. Malah ada juga iklan yang agak sensitif yang dilihat boleh menyentuh sensitiviti sesetengah pihak dalam anggota masyarakat kita yang majmuk.

11.Kita akui bahawa iklan adalah nadi sesuatu perniagaan dan wajar kita puji syarikat-syarikat yang begitu kreatif dan inovasi dalam menyediakan pengiklanan mereka namun biarlah aspek moral dan sentimen masyarakt juga diambilkira dan bergerak secara beriringan agar ianya tidak mengundang masalah kepada mana-mana pihak.

12.Janganlah hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan hak, perasaan dan sensitiviti rakyat negara ini. Buatlah iklan yang sopan dan berhemah yang boleh diterima oleh masyarakat kita.

13.Satu lagi kesan penting yang juga perlu diambil perhatian ialah pengaruh iklan yang tidak sihat sebegini kepada anak-anak muda kita. Ternyata golongan remaja dan kanak-kanak adalah golongan utama yang menonton televisyen setiap hari. Mereka adalah golongan yang cukup mudah untuk terpengaruh dengan apa saja yang mereka lihat di kaca televisyen masing-masing. Justeru pihak yang berkenaan perlu juga mengambil berat aspek tanggungjawab sosial mereka terhadap golongan muda ini agar mereka tidak terpengaruh dan terpesong dengan mudah.

14.Kita juga memohon agar pihak-pihak yang berkenaan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Mlaaysia (SKMM) dapat bertindak dengan lebih tegas dalam membendung penularan budaya yang kurang sihat ini ke dalam masyarakat kita. Biarlah aktiviti pengiklanan dan perniagaan berkembang pesat dan maju dalam suasana yang sihat dan berhemah agar kedua-dua pihak menerima manfaat secara bersama.

2 comments:

Abu Faq said...

Kehidupan kita sekarang telah kita relakan untuk diurus dengan sistem demokrasi yang memberi jaminan paling luas kepada empat bentuk kebebasan: Kebebasan bersuara/berekspresi, Kebebasan berkepemilikan, kebebasan berpendapat/berfikir & kebebasan berperikalu, yang pada hujungnya tertegak gagasan Hak Asasi Manusia (HAM). Nilai moral di dalam sistem sebegini hanya intepretasi, bukan realiti yang dapat diwujudkan. Sesiapa yang masih kuat mencari nilai moral di dalamnya, pasti semput. Hanya sistem hidup Islam sahaja membicarakan moral & akhlak menepati fitrah manusia. Yang sekarang ini hanya menurut nafsu hidonisme. Apatah lagi ekonominya diatur di atas rel kapitalisme; halak-haram bukan kayu ukur. Masih mahu kepada kedua-duanya, atau kepada Islam? Hanya dengan Daulah Khilafah sahaja kehidupan jadi sejahtera, zahir dan batin.

NOOR MOHAMAD said...

Salam Tuan,

Kebebasan ada hadnya. Demokrasi ada batasnya. Kalau kita dapat membezakan dan bertindak dengan waras dan akal fikiran maka pasti perkara sebegini tidak akan berlaku.