Monday, November 16, 2009

USAH JADIKAN MASJID MEDAN POLITIK
(TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR UTUSAN MALAYSIA RUANGAN PENDAPAT PADA 13/11/2009)
1.Masjid adalah rumah Allah SWT. Masjid adalah tempat untuk umat Islam membuat amal ibadat mencari keredhaan Allah SWT. Secara definisinya, masjid adalah tempat beribadat yang khusus seperti solat dan i'tikaf bagi orang Islam, dan juga menjadi pusat kebudayaan, muamalat serta perkembangan dakwah Islamiah. Masjid adalah pusat aktiviti umat Islam.

2.Penjelasan itu cukup untuk menggambarkan peranan dan fungsi utama masjid bukan sahaja di negata kita tetapi itulah juga fungsi dan peranan masjid di seantero dunia sejak zaman berzaman.

3.Namun dewasa ini fungsi masjid sudah mula dipersoalkan di negara kita angkara sesetengah pihak yang dilihat sering menyalahgunakan masjid untuk kepentingan peribadi atau tujuan tertentu. Tujuan tersebut jelas dilihat terpesong jauh dari peranan dan fungsi utama masjid seperti yang telah digariskan di atas.

4.Sudah ada pihak yang seakan-akan hendak mengubah fungsi asal masjid tersebut kepada fungsi yang lebih berbentuk duniawi iaitu sebagai medan politik yang mementingkan kuasa dan kedudukan.

5. Memang tidak dapat dinafikan bahawa politik tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan harian kita tetapi medan yang digunakan untuk berpolitik itu bialah berpada dan bersesuaian.

6.Umat Islam negara ini sudahpun terpisah secara politik dengan fahaman dan parti masing-masing, usahlah kita mengeruhkan lagi keadaan dengan memisahkan lagi mereka dalam rumah Allah SWT.

7.Kita masih segar lagi dengan peristiwa dua imam dalam sebuah masjid gara-gara berbeza fahaman politik imam dan makmumnya. Terkini Jabatan agama Islam Selangor (JAIS) pula menamatkan tugas imam Masjid Darul Ehsan Subang Jaya kerana membiarkan masjid itu dijadikan pentas politik. Imam tersebut dilaporkan telah membiarkan khatib jemputan menyampaiakan khutbah Jumaat yang diselitkan dengan unsur politik pada 30 Oktober yang lalu.

8.Perbuatan sebegini bukanlah perkara baharu dan sudah lama ianya berlarutan dan kita risau jika tidak dibendung dengan segera akan menyesal kemudian hari.

9.Kenapa perkara sebegini perlu berlaku? Hormatilah masjid sebagai rumah Allah SWT. Jangan sekali-kali terpesong akidah dan pegangan kita semata-mata untuk mengejar kuasa dan kedudukan yang bersifat sementara.

10.Rakyat kita semakin bijak dan celik. Mereka tidak lagi menerima bulat-bulat apa yang dihujahkan oleh orang politik walaupun di medan mana sekalipun termasuklah di masjid. Justeru hentikanlah polemik seperti ini yang jelas memporak-perandakan umat Islam negara ini.

11.Kalau mahu berpolitik banyak lagi medan dan platform yang telah disediakan dalam negara ini. Janganlah kacau rumah Allah SWT. Biarlah orang yang memasuki masjid itu bersih hati dari segala jenis fahaman politik dan hanya fokus kepada amalan yang hendak dilakukan demi mencari keredhaan Allah SWT.

12.Masyarakat kita sudah cukup bosan dan muak dengan amalan politik yang bertopengkan agama. Kenapa kita masih mahu menggunakan agama sebagai alat politik? Biarkanlah agama itu bebas dan tidak berparti. Semua orang bebas dan berhak beramal ibadat di masjid, maka janglah menghalang dan menggangu orang ramai daripada menunaikan tanggungjawab mereka kepada Allah SWT.

13.Kita khuatir tindakan-tindakan sebegini boleh menyebabkan umat Islam kecewa dan mula menjauhkan diri dari masjid. Islam itu suci dan indah dan masjid adalah tempat utama yang memartabatkan dan memuliakan agama Islam. Justeru kita mohon kepada semua pihak terutamanya yang suka menyalahgunakan masjid segeralah hentikan perbuatan tersebut dan biarkan masjid dengan fitrahnya sendiri. Kembalilah ke ajaran Islam yang sebenarnya.

2 comments:

Abu Faiq said...

Syarak melarang apa-apa yang najis dibawa masuk masjid demi menjaga kesucian rumah Allah itu. Kalau Rasulullah saw menjadikan masjid pusat kegiatan dakwah, tarbiah, politik dan pemerintahan, kenapa politik sekarang dilarang keras masuk majid? Mari kita fahami bagaimana hal ini terjadi. Dalam pandangan Islam, politik ditakrif: mengurusi urusan (pemerintahan negara dan mengatur kehidupan rakyat) berlandaskan aturan tertentu berupa perintah-perintah dan larangan-larangan Allah, iaitu syari'at. (Perintah-perintah & larangan-larangan Allah, BUKAN perintah-perintah & larangan-larangan i.e. undang-undang yang dibuat oleh akal manusia di dewan legislatif). Oleh itu, seseorang Muslimin sepatutnya menjadikan dirinya ahli politik untuk memikul tanggungjawab melaksanakan amar ma'ruf nahi munkar, iaitu mengurus segala aspek kehidupan - politik, ekonomi, sosial, dll. sama ada di dalam dan di/dengan luar negara dengan aturan Islam; semata-mata Islam. Ini ibadah yang tuntutannya wajib, persis tuntutan mendirikan solat. Inilah visi & misi politik yang ideologinya bersumberkan wahyu - politik yang telah diperjuang dan berjaya ditegakkan oleh Rasulullah saw, para sahabat dan dipertahankan oleh para khalifah seteruanya. Layak jika tempatnya di masjid. Politik sekarang tidak seperti itu lagi, malah sebaliknya sekular yang menolak syari'at, sama ada dia berwajah demokrasi, sosialisme, apatah lagi komunisme yang langsung menokak kewujudan Allah. Demokrasi yang dianggap terbaik di anatara ketiga-tiganya sahaja terbukti telah memecah-belahkan kesatuan umat Muslim. Layak benar jika tiada tempat baginya di dalam masjid.

NOOR MOHAMAD said...

Salam Tuan Abu Faiq,

Zaman Masjid berperanan sebagai tempai berkembangnya sosia ekonomi dan politik umat Islam sudah berlalu dan hanya zaman nabi ianya menjadi amalan utama. Orang sekarang tidak mahu gunakan masjid untuk tujuan tersebut lagi. Mereka lebih gemar manyalahgunakn masjid untuk tujuan peribadi terutamanya politik. Kita harap perbuatan ini dihentikan dengan segera dan kembalikan kesucian masjid.