Monday, January 4, 2010

HAYATI PERSAMAAN ANTARA GULA DAN ROKOK
(Telah disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian pada 5/1/2010)

1. Gula dan rokok adalah dua barangan keperluan pengguna yang diperlukan mengikut kemahuan masing-masing dan secara kebetulan kedua-kedua barangan ini mengalamai kenaikan harga jualannya mulai 1 Januari 2010.


2. Harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen kepada RM1.65 sekilogram di Semenanjung serta RM1.75 sekilogram di Sabah dan Sarawak manakala harga jualan minimum rokok telah ditetapkan RM6.40 sekotak bagi 20 batang yang bermakna 32 sen sebatang.



3. Kenaikan harga kedua-dua item ini telah menimbulkan pelbagi reaksi di kalangan pengguna dan ternyata ianya memberi impak yang besar kepada pengguna dan peniaga.



4. Perokok tegar semakin pening memikirkan jumlah peruntukan yang bertambah akibat kenaikan harga ini di mana bajet bulanan pastinya terjejas dan terpaksa dicongak semula.



5. Lain pula halnya dengan kenaikan harga gula. Buat pertama kalinya dilaporkan persatuan-persatuan pengguna langsung tuidak membantah kenaikan harga ini malah ramai yang menyokong dan setuju dengan kenaikan harga tersebut. Ini kerana mereka percaya bahawa situasi ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kadar pengambilan gula oleh rakyat Malaysia.



6. Namun peniaga dan pengguna yang terlibat secara langsung dengan kenaikan ini tetap terasa bahangnya walaupun cuma 20 sen. Peniaga terpaksa menaikkan harga jualan mereka atas alasan harga kos pembelian gula telah naik manakala pengguna pula terpaksa membayar lebih untuk menikmati juadah yang diidamkan. Teh tarik dan kuih muih pastinya akan dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding sebelum ini. Dan seperti yang dijangkakan juga kita sudah mula kedengaran isu bekalan gula kehabisan stok disebabkan pengguna yang panik dan peniaga sudahpun mula menjual dengan harga yang lebih tinggi dari yang telah ditetapkan.



7. Gula dan rokok sememangnya adalah dua barangan yang sangat berbeza baik dari segi fizikal mahupun dari segi fungsinya kepada kita. Satu perspektif yang menarik untuk dikupas adalah dari aspek kesihatan akibat daripada ketagihan rokok dan penggunaan gula yang berlebihan di mana kedua-duanya memberi kesan yang negatif kepada pengguna.



8. Bilangan rakyat Malaysia yang mengalami pelbagai komplikasi penyakit kronik dan masalah kesihatan akibat merokok dan penggunaan gula yang berlebihan semakin meningkat.



9. Kadar pesakit diabetis di Malaysia akibat dari pengambilan gula dijangka akan meningkat kepada 1.3 juta orang pada tahun 2010. Merokok pula dikatakan menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun di negara kita dengan 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing.


10. Jelas kedua-dua barangan ini lebih banyak mendatangkan kemudaratan kepada pengguna berbanding kebaikan mahupun kesan positif. Kedua-duanya bertindak sebagai ‘pembunuh senyap’ rakyat negara ini. Tahap kesedaran pengguna akibat daripada kesan pengambilan gula yang berlebihan dan merokok masih dikatakan cetek dan merisaukan.



11. Buktinya bilangan perokok semakin meningkat walaupun hampir setiap tahun harga rokok mengalami kenaikan. Gula pula tetap menjadi keperluan utama malah kita seolah-olah tidak boleh hidup tanpa gula.



12. Kempen ‘Tak Nak Merokok’ dan ‘Hari Tanpa Gula’ dilihat masih belum cukup untuk menyedarkan pengguna. Walaupun pihak kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan menggunakan pelbagai media dan saluran untuk menghebahkan kesan buruk merokok dan pengambilan gula berlebihan namun ianya juga masih belum mampu menyedarkan rakyat kita.



13. Tambahan pula kenaikan harga gula dan rokok bukanlah sesuatu yang baru untuk kita. Kita sudah terbiasa dengan fenomena kenaikan harga kedua-dua barangan ini malah harga rokok misalnya dinaikkan hampir setiap tahun sebagai usaha untuk mengurangkan jumlah perokok di negara kita.



14. Walaupun kesan kenaikan ini pelbagai mengikut kumpulan pengguna masing-masing namun kita masih boleh membicarakan kesamaan yang wujud di antara kedua-dua barangan tersebut.



15. Apakah kesamaan yang wujud antara kedua-duanya yang boleh kita jadikan ikhtibar? Ternyata kali ini kita dapat melihat dua persamaan yang ketara. Pertama, kedua-duanya mengalami kenaikan harga pada tarikh yang sama iaitu 1 Januari 2010. Satu mesej yang cukup mendalam menjelang tahun baru.



16. Kedua dan yang paling penting adalah rokok dan gula membawa kemudaratan yang besar kepada kesihatan pengguna. Maka apakah pilihan pengguna antara gula dan rokok?

17. Sebenarnya pilihan adalah ditangan pengguna itu sendiri. Pengguna boleh memilih untuk mengurangkan kadar penggunaan harian gula dalam makanan dan minuman mereka dan pengguna juga boleh memilih untuk berhenti merokok atau sekurang-kurangnya mengurangkan bilangan batang rokok yang dihisap setiap hari berbanding sebelum ini.


18. Jelas kedua-dua pilihan ini amat menguntungkan pengguna baik dari segi kos mahupun dari aspek kehidupan yang lebih sihat. Pengguna yang bijak dan rasional pasti akan mengatakan ‘tidak’ kepada kedua-duanya. Kita wajar jauhi dan hindari kedua-keduanya seoptimum yang boleh demi kehidupan yang lebih sihat dan sempurna.



19. Oleh yang demikian kenaikan harga ini perlulah dilihat dalam perspektif dan sudut yang lebih positif dan meluas tanpa sebarang prejudis dan prasangka yang negatif. Justeru buanglah rasa marah dan tidak puas hati kerana harga barangan ini dinaikkan, sebaliknya pengguna wajar buka minda dan melihat kesan baik jika dapat mengurangkan penggunaan kedua-dua barangan terbabit. Bersempena dengan fajar tahun baru 2010 ini marilah kita sama-sama menanam azam untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat dan produktif. Lupakan sejenak hal kenaikan harga, fikirkan kesan baik jika tidak merokok dan jika dapat mengurangkan kadar pengambilan gula. Berkorbanlah sedikit hari ini untuk masa depan yang lebih sihat dan sempurna.


20. Sesungguhnya negara kita memerlukan modal insan yang sihat dan cergas untuk terus memacu kegemilangan negara ini bagi mencapai wawasan 2020 yang cuma berbaki 10 tahun sahaja lagi.





















No comments: