Tuesday, January 26, 2010

GUNA PSIKOLOGI AJAR PEMANDU ‘PELESIT’
(TELAH DISIAR DLAM RUANGAN FORUM UTUSAN MALAYSIA BERTARIKH 2 FEBRUARI 2010)

1. Agak menarik kupasan yang telah dibuat selama dua hari berturut-turut oleh Unit Khas Utusan Malaysia mengenai sikap pemandu ekpres malam yang boleh dikategorikan sebgai pemandu ‘pelesit’.

2. Walaupun pendedahan ini sebenarnya tidaklah mengejutkan namun syabas dan tahniah diucapkan kepada pasukan penyiasat ini yang mengambil inisiatif untuk merakam adengan-adengan berbahaya di samping mereka sendiri menaiki bas terbabti demi untuk membuktikan karenah para pemandu ekpres di negara kita.

3. Pendedahan ini berserta dengan bukti-bukti yang kukuh sekaligus mengiyakan tanggapan masyarakat selama ini bahawa sikap pemandulah antara punca utama kemalangan maut yang berlaku di negara ini.

4. Gelagat 15 daripada 20 buah bas yang diekori dipandu purata 120 kilometer sejam dengan pelbagai kesalahan lain bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang mudah. Setiap satu nyawa yang ada dalam bas tersebut berada dalam keadaan bahaya.

5. Tidak perlulah rasanya kita menyenaraikan semula statistik dan bilangan kemalangan maut yang melibatkan bas ekpres di negara kita setakat ini namun sekurang-kurangnya pendedahan ini membuka kembali minda dan pemikiran kita tentang bahaya yang menanti para penumpang bas ekspres.

6. Adalah telah menjadi satu fenomena yang biasa dalam masyarakat kita di mana sesuatu peristiwa ataupun tahap kesedaran hanya mampu bertahan tiga hingga empat hari sahaja selepas sesuatu kejadian ataupun musibah itu berlaku.

7. Dalam kes ini misalnya, rata-rata kita sudahpun lupa akan kejadian kemalangan maut yang melibatkan bas ekpres dua tingkat tempoh hari. Pada masa itu, pelbagai pihak tampil dengan berbagai cadangan dan tindakan yang wajar diambil antaranya haramkan terus perjalanan bas waktu malam namun kesemua laungan tersebut hanya mampu bertahan selama seminggu sahaja.

8. Apa yang pasti hanya keluarga mangsa yang terbabit sahaja akan terus mengenang dan meratapi kehilangan ahli keluarga mereka. Gelagat para pemandu ini seolah-olah menunjukkan bahawa mereka sudah tidak takut lagi kepada tindakan hukuman dan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesanan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM).

9. Memang tidak dapat dinafikan peranan JPJ, LPKP dan PDRM dalam membanteras pemandu ‘pelesit’ tetap ada kesannya namun majoriti daripada pemandu ini masih degil dan tidak pedulikan undang-undang yang ada.

10. Kita juga wajar puji tindakan LPKP yang akan menguatkusakan Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar yang akan meliputi jadual waktu tetap bertolak dan ketibaan ke destinasi yang berkenaan. Kod ini dilaporkan akan menetapkan had masa perjalanan setiap destinasi bas ekspres.

11. Persoalannya adakah ia mampu mengubah sikap para pemandu kita? Perubahan sikap adalah suatu perkara yang subjektif dan ianya amat sukar untuk dilaksanakan secara paksa. Akibatnya semakin kita melarang semakin mereka memandu dengan laju untuk membuktikan kehebatan dan keegoaan mereka.

12. Justeru penulis berpendapat kita mungkin perlu memikirkan kaedah lain iaitu menggunakan kaedah psikologi bagi mengubah tabiat dan sikap pemandu sebegini.

13. Salah satu cara yang mungkin boleh digunapakai ialah mewajibkan salah seorang daripada ahli keluarga pemandu turut sama berada dalam bas yang dipandu terutamanya bagi perjalanan waktu malam. Ahli keluarga ini boleh terdiri daripada isteri, anak ataupun adik beradik yang lain.

14. Naluri manusia adalah kita akan sayang dan utamakan keselamatan ahli keluarga kita dalam apa keadaan sekalipun. Kita akan berusaha keras untuk melindungi mereka sepanjang masa. Di samping mereka bertindak sebagai teman, kehadiran ahli keluarga ini juga mampu mengubah sikap pemandu dari tabiat membawa kenderaan dengan laju kepada sikap yang lebih berhati-hati dan berhemah apabila berada di atas jalan raya.

15. Mereka akan risaukan keselamatan ahli keluarga yang ada dalam bas terbabit dan sekaligus berusaha untuk sampai ke destinasi dengan lebih selamat. Cadangan ini mungkin tidak begitu praktikal namun apa lagi pilihan yang kita ada untuk menyedarkan dan menginsafkan pemandu ‘pelesit’ sebegini?

16. Justeru pendekatan psikologi ini wajar dipertimbangkan sebagai sala satu pilihan alternatif yang utama yang boleh dicuba demi kebaikan dan keselamatan semua pihak.

No comments: