Friday, January 8, 2010

KLINIK 1MALAYSIA MEMENUHI ASPIRASI RAKYAT
(Telah disiarkan dalam Majalah Dewan Masyarakat keluaran Mac 2010)

1. Tahniah dan syabas kita ucapkan kepada YAB Perdana Menteri kerana mencetuskan idea penubuhan klinik komuniti 1Malaysia yang telah diumumkan dalam pembentangan bajet 2010 yang lepas. Akhirnya kelmarin Perdana Menteri telahpun menunaikan janjinya kepada rakyat dengan merasmikan klinik yang ke-44 di Kampung Kerinchi. Setakat ini sebanyak 44 buah klinik telahpun mula beroperasi sejak 1 Januari 2010 yang lalu di seluruh negara.

2. Antara objektif utama penubuhan klinik 1Malaysia adalah untuk menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan ringan kepada penduduk di kawasan bandar sesuai dengan pendekatan kerajaan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Bagi tujuan penubuhan klinik ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk menampung kos operasi 50 buah klinik di seluruh negara setahun.

3. Dengan adanya klinik ini ianya dijangka mampu mengurangkan beban pesakit di klinik kesihatan di kawasan bandar yang sedia ada dan ini juga dapat memudahkan serta mempertingkatkan akses rakyat untuk mendapatkan rawatan ringan terutamanya di kawasan bandar.

4. Klinik ini akan dikendalikan oleh Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat Terlatih dan antara skop perkhidmatannya adalah meliputi perkhidmatan rawatan ringan, susulan kes penyakit kronik dan melakukan prosedur rawatan ringan. Manakala dari segi masa perkhidmatan pula klinik ini akan beroperasi setiap hari bekerja mulai jam 10.00 pagi hingga 10.00 jam yang meliputi operasi selama 12 jam dengan melibatkan penggiliran syif bekerja staf yang bertugas.

5. Idea penubuhan klinik ini telah mendapat pelbagai reaksi positif dari rakyat berbilang kaum terutamanya penduduk miskin ataupun kurang mampu di kawasan bandar. Lokasi dan kemudahan klinik ini yang tidak eksklusif seperti klinik dan hospital swasta di mana ianya hanya ditempatkan sama ada di bangunan rumah kedai ataupun mana-mana premis yang disewa yang berhampiran dengan masyarakat cukup menyenangkan semua pihak.

6. Idealnya kesemua lokasi klinik ini adalah di kawasan-kawasan setempat dengan penduduk lebih daripada 10,000 orang yang mana ianya boleh dihubungi dengan cepat dan mudah oleh penduduk kawasan terbabit.

7. Kita perlu sedar bahawa masih ramai penduduk bandar yang berpendapatan rendah dan sederhana. Golongan ini sering menghadapi masalah kekangan kewangan untuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik mahupun hospital swasta. Tambahan pula hospital ataupun klinik kesihatan kerajaan yang sedia ada agak jauh dari lokasi penempatan mereka dan jumlah pesakit pula ramai yang jelas akan melambatkan proses mendapatkan rawatan yang dikehendaki dengan segera.

8. Walaupun klinik ini hanya menyediakan sistem penjagaan kesihatan yang asas sahaja namun ianya cukup signifikan dan besar manfaatnya kepada golongan yang kurang mampu dan sangat memerlukan perkhidmatan perubatan.

9. Perkhidmatan perubatan adalah salah satu keperluan asas umat manusia dan adalah menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk menyediakan perkhidmatan perubatan yang diperlukan oleh rakyatnya. Dalam hal ini ternyata pihak kerajaan kita begitu komited dan mengambil berat masalah kesihatan rakyat dan berjaya memenuhi kehendak majoriti penduduk bandar yang berpendapatan sederhana dan rendah.

10. Keprihatinan pihak kerajaan dalam aspek kesihatan rakyat memang tidak perlu diragui ataupun dinafikan kerana buktinya bagi tahun 2010 Kementerian Kesihatan (KKM) telahpun diperuntukkan bajet berjumlah RM14.8 bilion yang merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM11.2 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM3.6 bilion.

11. Peruntukan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 7.6% berbanding tahun sebelumnya iaitu RM13.2 bilion. Malah peruntukan yang diterima oleh KKM ini juga adalah merupakan antara yang tertinggi berbanding kementerian-kementerian yang lain. Data ini sudah cukup untuk menjelaskan rasa tanggungjawab kerajaan terhadap aspek kesihatan rakyat negara ini terutamanya bagi membantu golongaan yang tidak berkemampuan.

12. Keadaan ekonomi global yang tidak menentu terus menghantui rakyat kita di mana nilai matawang yang dimiliki semakin terhakis angkara kenaikan harga barangan pengguna dan lebih merumitkan keadaan apabila masih terdapat majikan yang terpaksa memberhentikan pekerja akibat kemelesan ekonomi tersebut. Akibatnya jumlah pengganggur semakin bertambah dan bilangan siswazah yang sukar mendapat peluang pekerjaan juga dikhuatiri semakin meningkat.

13. Senario ini menyebabkan golongan penduduk bandar yang selama ini berada dalam kategori berpendapatan sederhana sudah mula jatuh ke status berpendapatan rendah yang sekaligus menjadi penghalang kepada mereka untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan yang lebih berkualiti seperti di klinik dan hospital swasta kerana melibatkan kos yang tinggi yang sukar untuk ditampung oleh mereka.

14. Walaupun Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melahirkan rasa kebimbangan bahawa klinik 1Malaysia ini akan menjejaskan taraf perkhidmatan kesihatan di negara ini namun kewujudan klinik ini perlu dilihat dari sudut yang lebih positif dan juga perlu mengambilkira soal kebajikan rakyat tanpa sebarang prejudis.

15. Pihak MMA boleh berbincang dengan KKM agar disamping menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang bermanfaat sebegini kepada rakyat, kita juga dapat menjaga dan memelihara kualiti dan taraf perkhidmatan yang diberikan. Dalam hal ini strategi menang-menang (win-win situation) cukup penting kerana sememangnya kualiti perkhidmatan perubatan adalah suatu perkara yang tidak boleh dikompromi sama sekali kerana ianya melibatkan soal nyawa manusia.

16. Soal keuntungan juga tidak wajar dijadikan sebagai perkara pokok di mana pihak klinik mahupun hospital swasta adalah tidak wajar menganggap klinik ini sebagai saingan kepada mereka yang boleh mengancam perolehan pendapatan mereka. Ini kerana untuk penyakit kronik mahupun rawatan susulan yang lain pesakit tetap akan dirujuk ke hospital yang lebih besar dan pesakit yang berkemampuan juga boleh ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan yang selanjutnya.

17. Pada masa yang sama ada juga pihak yang mempersoalkan nama klinik ini serta cuba membandingkan peranannya dengan klinik kesihatan dan klinik desa yang sedia ada. Pokok pangkalnya kita perlu memahami dan jelas dengan konsep dan idea asal penubuhan klinik ini iaitu klinik ini hanya untuk mengendalikan kes-kes kecil sahaja sementara kes kritikal yang memerlukan perhatian doktor dan rawatan lanjut, pesakit boleh segera ke klinik berhampiran.

18. Tambahan pula klinik 1Malaysia juga hanya dibenarkan untuk memberi ubat bagi sakit ringan sahaja seperti demam, batuk atau pun luka ringan manakala kes kronik akan dirujuk ke klinik yang lebih besar ataupun hospital berdekatan. Justeru tidak timbul sebarang kekeliruan dan konflik pertembungan fungsi dan peranan antara klinik ini dengan klinik yang sedia ada.

19. Ingatlah bahawa sekurang-kurangnya kerajaan dapat menyediakan perkhidmatan ini daripada ianya langsung tidak ada sebelum ini. Ada apa pada nama yang diberi lagipun kewujudan klinik ini sebenarnya membawa lebih banyak manfaat daripada keburukan kepada rakyat. Usahlah mempertikaikan perkara-perkara yang boleh menguntungkan dan memberi manfaat kepada orang ramai. Tiada gunanya kita bertelagah dan mencari kesalahan dalam isu sebegini yang melibatkan kepentingan rakyat.

20. Kemunculan klinik komuniti 1Malaysia ini perlu dilihat sebagai tepat pada masanya bagi memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat yang kurang berkemampuan dan semakin terhimpit dengan pelbagai masalah sosioekonomi. Ianya cukup melegakan penduduk setempat yang boleh menikmati kemudahan tersebut dengan hanya berbekalkan bayaran serendah RM1. Kita berharap agar projek yang murni ini tidak terhenti setakat 50 buah klinik sahaja di mana ianya wajar ditambah dan diperluaskan lagi dari semasa ke semasa mengikut kemampuan kerajaan agar lebih ramai lagi rakyat dapat manfaat tersebut.

No comments: