Wednesday, January 13, 2010

PERLUAS SISTEM QMARS KE SEMUA HOSPITAL UNTUK ATASI KESESAKAN

1. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang secara berterusan memperkenalkan dan melaksanakan pelbagai kaedah baharu demi untuk menyediakan sistem perkhidmatan yang lebih efisyen kepada pesakit.

2. Terbaru KKM tampil dengan pelaksanaan Sistem Pengurusan Giliran dan Peringatan Temujanji (Qmars) iaitu menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan kerjasama Celcom Axiata Bhd.

3. Qmars membolehkan pesakit yang mendaftar dan mendapat nombor giliran di klinik, dimaklumkan giliran bertemu doktor menerusi SMS supaya mereka lebih peka walaupun berada dalam klinik atau di kawasan lain. Pesakit juga akan menerima peringatan SMS mengenai rawatan susulan iaitu tiga hari sebelum tarikh temu janji.

4. Walaupun sistem ini masih diperingkat percubaan namun usaha baik ini wajar dipuji dan disokong oleh semua pihak. Sistem ini sedikit sebanyak mampu mengatasi masalah kesesakan di hospital-hospital kerajaan.

5. Pada hari ini menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan di hospital masih kedengaran. Menunggu tiga hingga lima jam seolah-olah sudah menjadi kebiasaan di mana-mana hospital kerajaan terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang padat dengan penduduk.

6. Kita sering kali masih disajikan dengan berita dan aduan tentang kualti perkhidmatan di hospital kerajaan baik dalam media cetak mahupun dalam media elektronik.

7. Bak kata pepatah masa adalah emas. Setiap seorang daripada kita senantiasa mengejar masa untuk melakukan tuagsan harian kita. Justeru kehilangan masa yang cukup lama di hospital wajar diambil tindakan segera.

8. Kehilangan masa ini cukup merugikan semua pihak. Bayangkan seorang penjawat awam di sebuah jabatan yang penting dan yang sering berurusan dengan orang ramai terpaksa menghabiskan masa yang agak lama di hospital untuk mendapatkan rawatan sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk ahli keluarga yang lain.

9. Akibatnya penjawat awam itu sendiri kadang kala terpaksa mengambil cuti mahupun keluar pejabat untuk urusan tersebut. Ini sudah pastinya akan mengundang pelbagai masalah baik kepada jabatan beliau mahupun kepada orang awam yang ingin berurusan dengan beliau.

10. Ini baru satu contoh yang paling mudah dan yang sering kita dengar dan lalui. Situasi ini boleh berlaku kepada setiap seorang daripada kita tanpa mengira masa dan waktu yang akan terus menghilangkan suatu tempoh masa yang cukup berharga di hospital.

11. Itu belum lagi melibatkan soal aduan perkhidmatan kaunter di hospital kerajaan, masalah komunikasi antara Doktor dan pesakit dan sebagainya yang sering dipaparkan dalam dada-dada akhbar di negara kita.

12. Maka langkah KKM ini adalah satu tindakan yang cukup baik dan dilihat sebagai sangat produktif dan menguntungkan semua pihak terutamanya pesakit. Tambahan pula Klinik 1Malaysia yang baru dilancarkan diharap juga dapat membantu mengurangkan kesesakan dan tempoh masa menunggu pesakit di hospital mahupun di klinik kesihatan kerajaan.

13. Pada masa yang sama sistem ini boleh juga dicontohi oleh jabatan-jabatan kerajaan yang lain terutamanya yang melibatkan sistem pengurusan giliran menunggu pelanggan.

14. Rata-rata semua agensi kerajaan menggunapakai sistem pengurusan giliran pelanggan dan jabatan-jabatan yang sering menjadi perhatian orang ramai seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara boleh mempertimbangkan penggunaan sistem baru ini bagi memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan mereka kepada orang ramai.

15. Kemajuan dan kecanggihan dunia komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) yang pesat membangun wajar digunakan dengan sebaik mungkin dengan memperkenalkan sistem-sistem baru sebegini yang boleh memberi manfaat kepada kita semua.

16. Justeru diharapkan pihk KKM akan memperluaskan Sistem Qmars ini ke semua hospital kerajaan di seluruh negara secepat yang mungkin agar masyarakat akan memperoleh manfaat daripadanya. Jabatan kerajaan yang lain juga wajar mencontohi langkah KKM ini.















No comments: