Saturday, January 23, 2010

KESELAMATAN GURU KIAN TERANCAM
(TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR BERITA HARIAN BERTARIKH 23 JANUARI 2010 DAN HARIAN METRO BERTARIKH 1 FEBRUARI 2010)

1. Cukup menyedihkan apabila dalam tempoh masa dua minggu kita disajikan dengan dua berita yang memalukan institusi perguruan di mana guru ditampar oleh pelajar dan juga ibu pelajar. Kejadian pertama berlaku di sebuah sekolah menengah di Nibong Tebal apabila seorang pelajar berusia 16 tahun menampar pipi gurunya yang berusia 28 tahun.

2. Insiden ini dilaporkan berpunca daripada tindakan pelajar terbabit bersama dua rakannya memasuki sebuah kelas yang sedang diajar oleh guru wanita berkenaan di mana didapati ketiga-tiga orang pelajar ini tanpa menghormati guru berkenan dan mempedulikan pelajar lain, membuat bising sebelum guru terbabit mengarahakan mereka keluar dari kelasnya.

3. Guru berkenaan menampar pipi salah seorang pelajar yang berkenaan apabila mereka tidak mengendahkan arahan tersebut dan akibatnya salah seorang daripada pelajar terbabit membalas balik tamparan kepada guru berkenaan. Malah lebih menakutkan lagi apabila dilaporkan salah seorang daripada pelajar berkenaan cuba bertindak lebih ganas dengan membaling kerusi plastik ke arah guru berkenaan.

4. Dalam insiden terbaharu pula, dilaporkan seorang guru lelaki yang juga berusia 28 tahun ditampar oleh ibu seorang pelajar yang dikatakan marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan guru berkenaan menampar anak wanita berkenaan di salah sebuah sekolah menengah di Perlis.

5. Kejadian ini juga dilaporkan berpunca daripada masalah disiplin yang melibatkan pelajar lelaki Tingkatan Satu dari sekolah berkenaan. Walaupun pihak sekolah cuba menjernihkan semula keadaan dengan mendamaikan kedua-dua pihak namun wanita berkenaan yang masih tidak puas hati bertindak menampar guru berkenaan di hadapan Pengetua dan juga guru lain.

6. Ini adalah antara dua kes yang menjadi pembuka bicara isu dipilin pelajar sekolah bagi tahun 2010. Di kala kita masih sedih dengan nasib malang yang menimpa enam pelajar dalam tragedi perahu naga karam dipukul ombak tempih hari, kita terus dikejutkan dengan pelbagai lagi masalah yang melibatkan para pelajar, guru dan juga sekolah.

7. Kita juga masih segar dengan nasib malang yang menimpa seorang lagi guru wanita pada bulan Oktober 2008 di salah sebuah sekolah menengah di Perlis di mana gara-gara tidak berpuas hati dengan tugasan kerja yang diberikan, dua pelajar perempuan bertindak di luar batasan apabila membelasah seorang guru wanita. Pelajar Tingkatan Dua terbabit dilaporkan telah menendang dan memukul guru mereka.

8. Kejadian-kejadian sebegini menimbulkan beberapa persoalan yang cukup merisaukan kita semua. Apakah pelajar-pelajar sebegini yang kita harapkan akan menjadi penyambung warisan negara kita? Kenapa insan mulia bernama guru dijadikan mangsa keadaan? Selama ini mungkin kita terlalu leka dengan isu-isu yang melibatkan kebajikan para pelajar dan ibu bapa mereka semata-mata di mana kita seolah-olah terlepas pandang masalah dan nasib yang dialami dan dilalui oleh para guru dalam mendidik anak bangsa menjadi manusia yang berguna.

9. Tidak dapat dinafikan bahawa perubahan dan peredaran zaman membawa kepada perubahan minda dan akhlak anak-anak zaman sekarang.Ternyata pelajar sekarang semakin sukar untuk dilentur dan dibentuk macam generasi dahulu.

10. Pelajar sekarang juga didapati lebih tahu serba serbi dan cepat memberontak dan bertindak balas mengikut emosi masing-masing. Akibatnya guru terpaksa melalui pelbagai dugaan baik di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah menengah dalam memenuhi kehendak dan tuntutan para pelajar dan juga ibu bapa mereka.

11. Ibu bapa zaman sekarang juga nampaknya lebih banyak mempercayai anak-anak mereka berbanding dengan guru di sekolah. Ini menyebabkan sering kali mereka hilang pertimbangan apabila anak-anak mereka diambil tindakan disiplin oleh pihak sekolah mahupun guru yang berkenaan.

12. Inilah antara cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapi oleh insan yang bergelar guru dalam mendisiplinkan anak didik mereka. Namun apa yang mengecewakan ialah kadang-kadang segala usaha ini tidak dinilai dengan sewajarnya apatah lagi ianya dihargai.

13. Guru adalah insan yang bertanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat. Guru banyak menyumbangkan khidmat membangunkan bangsa dan negara, lebih-lebih lagi membentuk sahsiah pelajar.

14. Di sekolah, guru adalah pendidik, penjaga dan juga selalunya bertindak sebagai ibu dan bapa kepada para pelajar yang dihantar oleh ibu bapa mererka setiap hari. Tanggugjawab guru sebenarnya cukup besar dan sangat mulia.

15. Apa yang kita perhatikan ialah selama ini guru lebih banyak berdiam diri apabila diri mereka dikritik ataupun dimarahi oleh para ibu bapa dan mungkin sudah tiba masanya untuk para guru bangun mempertahankan hak mereka dan juga memelihara dan mempertahankan kemuliaan profesion mereka.

16. Pada masa yang sama, para ibu bapa juga perlulah lebih rasional, waras dan jangan terlalu ikutkan perasaan dan emosi ataupun hanya mendengar cerita di sebelah pihak anak mereka sahaja.

17. Ibu bapa perlu melihat dari sudut positif akibat dan kesan daripada tindakan-tindkan yang dimabil oleh para guru mahupun pihak sekolah dan ianya tidak lain dan tidak bukan hanyalah semata-mata untuk mendidik dan membentuk anak-anak mereka menjadi insan yang berguna di kemudiaan hari.

18. Dapat dikatakan, guru bertanggungjawab membentuk tamadun manusia melalui penyebaran ilmu. Jasa guru amat besar, begitu juga pengaruh mereka. Usahlah asyik mencari kesalah mereka semata-mata. Sekarang amat jarang kita dengar para pelajar mahupun ibu bapa mengucapkan ‘terima kasih’ kepada guru. Ini adalah satu fenomena yang cukup menyedihkan dan sepatutnya tidak berlaku dalam masyarakat kita yang begitu mementingkan gaya hidup yang sopan santun dan nilai-nilai murni sejagat.

19. Kita risau jika keadaan sebegini berterusan maka dikhuatiri ianya akan sedikit sebanyak menjejaskan semangat dan motivasi para guru untuk terus mendidik anak-anak kita. Sekolah mestilah menjadi tempat yang selamat bukan sahaja untuk pelajar tetapi juga untuk para guru yang mendidik mereka.

20. Biarkanlah para guru menjalankan tanggungjawab mereka dengan selesa dan selamat. Berikanlah kebebasan kepada mereka untuk membimbing, mendidik dan membentuk anak-anak kita seperti yang kita harapkan mengikut acuan dan ramuan yang betul. Tidak perlulah kita terlau mencampuri urusan para guru dan pelajar di sekolah.

 

21. Kepada para guru, anda adalah insan yang sangat mulia. Ingatlah, gelaran guru akan kekal hingga ke akhir hayat dan usahlah berputus asa mahupun kecewa dengan nasib malang yang dihadapi, teruskanlah perjuangan suci demi membentuk sebuah generasi anak bangsa yang boleh menjadi pewaris kepada generasi sekarang.



No comments: