Monday, November 2, 2009

GELAGAT PENONTON CEMARI BOLA SEPAK
(TELAH DISIARKAN DALAM UTUSAN MALAYSIA RUANGAN FORUM BERTARIKH 3/11/2009)
1.Tahniah kepada pasukan Kelantan yang layak ke final Piala Malaysia selepas hampir 40 tahun tidak menjejak kaki ke perlawanan akhir. Kali terakhir ialah pada tahun 1970 tetapi tewas kepada Perak.

2.Bila kita menonton kedua-dua perlawanan separuh akhir antara Kelantan dengan Perlis ternyata Kelantan cukup hebat dan sememangnya layak untuk masuk final malah jika mereka terus kekal konsisten dengan mutu permainan sedemikian rupa tidak mustahil untuk mereka mencipta sejarah menjulang Piala Malaysia pada 7 November nanti.

3.Kita wajar puji semangat perjuangan yang kental yang dipertontonkan oleh pemain-pemain Kelantan dalam mengharungi kedua-dua perlawanan tersebut. Mereka berusaha dengan penuh gigih dan bersemangat untuk mencapai kejayaan. Semoga semangat ini berterusan hingga ke final kelak.

4.Namun apa yang amat mendukacitakan dan menyedihkan adalah gelagat segelintir penonton yang mencemarkan kejayaan tersebut. Ianya terus menenggelamkan kejayaan yang sungguh manis tersebut yang patut diraikan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

5.Insiden membakar mercun dan membaling ke arah penyokong lawan, membaling botol ke arah penyokong dan juga ke dalam padang, membaling objek-objek lain termasuk kerusi amat dikesali oleh semua pihak. Malah ianya dilaporkan berlarutan hingga ke luar stadium hingga mencetuskan pergaduhan di antara penyokong kedua-dua pihak.

6.Untuk rekod ini bukanlah kali pertama perkara sebegini yang melibatkan penyokong Kelantan dilaporkan, kerana sebelum inipun kita sering kali disajikan dengan gelagat mereka yang cukup terkenal dengan budaya samseng bola sepak. Perbuatan ini adalah sama seperti apa yang berlaku di beberapa buah negara barat seperti penyokong England yang cukup terkenal dengan budaya pergaduhan mereka di luar stadium. Apakah kita juga perlu mengikut budaya mereka yang jelas menyusahkan semua pihak.

7.Pihak stadium terpaksa memperbaiki segala kemudahan yang dirosakkan, pihak berkuasa pula terpaksa melipatgandakan kawalan keselamatan malah terpaksa membuat beberapa penangkapan dan pihak persatuan bola sepak negeri juga terpaksa menerima tempias gelagat penyokong ini apabila didenda oleh FAM.

8.Wajarkah perkara sebegini dibiarkan berlarutan? Sebagai masyarakat yang semakin maju ke hadapan kita perlu berfikir dengan lebih waras dan rasional dan tidak bertindak mengikut emosi semata-semata. Semangat memang penting dan perlu dipertontonkan tetapi bukan dengan cara sebegini.

9.Pada masa yang sama adalah tidak adil juga kita terus menuduh bahawa semua penyokong Kelantan mengamalkan budaya tidak sihat tersebut. Masih ramai ataupun majoriti daripada mereka merupakan penyokong setia yang masih boleh mengawal perasaan dan emosi dan wajar mendapat kepujian. Tetapi apakan daya kerana kita sudah terbiasa dengan pepatah ‘kerana nila settik, rosak susu sebelanga’. Justeru dek gelagat tidak senonoh segelintir penyokong yang tidak dapat mengawal perasaan, hampir kesemua penyokong Kelantan dicop sebagai bermasalah dan suka menimbulkan kekecohan.

10.Keadaan mula merisaukan semua pihak apabila Kelantan akan turun beraksi di final Sabtu ini. Masing-masing mula membuat pelbagai andaian tentang apa akan bakal berlaku Sabtu nanti. Menang atau kalah bukan lagi menjadi topik perbualan tetapi rata-rata semua pihak lebih merisaukan gelagat penyokong kedua-dua pasukan.

11.Kita harap semua pihak baik pihak stadium mahupun pihak berkuasa bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku kelak. Kita juga berharap agar penyokong kedua-dua pasukan dapat mengawal emosi masing-masing dan menceriakan suasana perlawanan akhir tersebut.

12.Walau apapaun kita mendoakan agar perlawanan akhir nanti akan berlangsung dalam suasana yang ceria, harmoni dan tenang serta penuh dengan semangat kesukanan. Kalah dan menang adalah adat pertandingan. Belajarlah untuk menerima hakikat tersebut.

13.Bola sepak adalah sukan nombor satu bukan sahaja di Malaysia malah di seantero dunia. Dari kampung hinggalah ke bandar tiada siapa yang tidak kenal dan tidak minat dengan sukan yang hebat ini. Justeru rayuan kita pada mereka yang suka menimbulkan kekecohan, tolonglah jangan mencemari sukan ini.

4 comments:

MK Amin said...

Gomo Kelate Gomo..... terima kasih atas pandangan ini, kami selaku penyokong Kelantan telah sedaya upaya untuk mendidik penyokong kami agar berhemah. Usaha mendidik telah dilakukan melalui kelab penyokong, Kelate.net. Kami juga tidak mahu terus dilabel sbg penyokong tidak bertamadun. Jumpa di Bukit Jalil, nilaikan sama ada kami semakin baik atau semakin buruk.

NOOR MOHAMAD said...

Alhamdulillah bagus lah kalau macam itu....bukan niat dihati untuk menuduh semua penyokong kelantan ganas, cuma menegur segelintir yang merosakkan imej seluruh pasukan kelantan (kerana nila setitik rosak susu sebelanga). Saya juga menyokong pasukan kelantan kerana permainan yang baik dan cantik, justeru didoakan kelantan akan menang tahun ini. Insya Allah.

ABU FAIQ said...

Di dalam banyak hal & amalan, termasuk tentang bola sepak, baik-buruknya - sama ada di pihak pengelola, pemain & penontonnya - soal betul-salahnya, menang-kalahnya dan lain-lain yang berkaitan dengannya, sering kita menyertai atau menganalisinya dari sudut pandang seolah-olah kita (orang Islam) tak ada hukum yang mengatur perbuatan. Bagaimana boleh jadi begitu, sedangkan yang
sewajibnya dijadikan tolok ukur (piawai) setiap perbuatan (niat, lisan, perilaku) seseorang Islam ialah; wajib, haram, mandub (sunat), mubah (harus), dan makruh? Hubungkaitkahlah tolok ukur tersebut dengan apa juga yang ada hubungan dengan bola sepak yang dipertandingan mengikut prosedur, konvensyen dan hukum-hakam antarabangsanya yang tidak ada ikatan secara langsung atau tidak dengan mana-mana agama, jauh sekali Islam. Sebab itu, tidak hairan apabila hadiah kemenangan perlawanan bola sepak berupa umrah (ibadah), sekalipun pertandingan bola sepak dengan kepatuhan kepada peraturan/konvensyen antarabangsa itu belum tentu tergolong ke dalam takrif ibadah. Demikian juga, apabila jalan berfikir dituntun oleh akidah yang benar, orang pasti
menyedari akan adanya penyusupan racun assobiyyah oleh puak kufar ke dalam benak dan jiwa umat Islam melalui pertandaingan-pertandaingan yang dapat menggelorakan semangat kebangsaan, kenegerian dan kedaerahan, sehingga orang beremosi: acu-mengacu, cabar-mencabar, cerca-mencerca yang akhirnya mencetuskan pergaduhan, kengerian dan menyemai dendam. Kalau sahaja kita mahu menjadi sedikit lebih bijak di dalam mengatur kehidupan umat dengan syari'at, golongan kufar itu pasti lelah dan kalah dalam usaha mahu meracuni pemikiran umat Islam dengan benda-benda lagha.

12 Nov 2009

NOOR MOHAMAD said...

Setuju dengan pandangan tuan Abu Faiq. Namun inilah yang dikatakan urusan duniawi. Mahu tidak mahu manusia sudah menjadikan urusan duniawi melebihi urusan akhirat. Justeru semua orang terkena tempiasnya. Semuga kita semua mendapat hidayah dari-NYA. Amin.