Friday, March 26, 2010

APA ISTIMEWANYA JEJAKA LOMBOK?
(TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR HARIAN METRO BERTARIKH 29 MAC 2010)

1. Belumpun reda cabaran yang dilemparkan kepada kaum lelaki negara ini ekoran daripada isu dominasi kaum wanita dalam sektor pekerjaan, timbul pula satu lagi cabaran yang perlu diharungi oleh lelaki Malaysia. Kali ini mereka perlu pula menghadapi persaingan yang hebat dalam merebut cinta dan hati kaum wanita di negara kita dengan jejaka dari wilayah Lombok.

2. Nampak gayanya lelaki negara kita semakin kurang laku berbanding lelaki dari Lombok. Trend terkini menunjukkan ramai wanita kita suka mengahwini jejaka dari Lombokk hingga sanggup lari bersama mereka meninggalkan kaum keluarga.

3. Mereka dilihat sanggup membuat apa sahaja demi untuk bersama lelaki idaman mereka dari Lombok. Maklumat yang didedahkan oleh Pergerakan Puteri UMNO bahawa kira-kira 500 gadis kita berada di Lombok sekarang akibat terjerat dengan ikatan perkahwinan dengan lelaki dari wilayah tersebut semasa mereka bekerja di sini cukup merisaukan dan membimbangkan kita dan ternyata statistik ini mengejutkan semua pihak.

4. Kerisauan ini terbukti dengan permintaan dan gesaan pelbagai pihak termasuk Pergerakan Puteri UMNO yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) membekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok dengan serta merta. Gesaan ini dilihat ternyata ada asasnya berdasarkan beberapa kes yang dilaporkan dewasa ini yang mendedahkan nasib malang yang dilalui dan dialami oleh gadis kita yang kahwin lari dengan jejaka Lombok.

5. Gejala tidak sihat ini menular ke dalam masyarakat kita dengan begitu pantas dan kita percaya selain daripada statistik yang didedahkan di atas masih ramai lagi gadis kita berada di Lombok yang hanya menunggu masa untuk didedahkan. Mengambil kira nasib malang yang menimpa beberapa orang yang berjaya diselamatkan sehingga kini, kita tidak dapat membayangkan jenis penderitaan dan kesusahan yang sedang dilalui oleh wanita kita di Lombok.

6. Masa depan mereka dan juga anak-anak mereka cukup sukar untuk diramalkan. Mereka sanggup meninggalkan keluarga tercinta dan memperjudikan masa depan hanya kerana termakan pujuk rayu lelaki asing yang baru beberapa bulan mereka kenali.

7. Berada di negara orang dengan hanya mengharapkan kepada cinta dari jejaka mereka tidak mampu mengubah nasib wanita kita yang berada di sana. Kes demi kes yang didedahkan sejak kebelakangan ini menunjukkan bahawa gadis kita belum serik dengan apa yang dilalui dan dialami oleh rakan-rakan mereka sebelum ini.

8. Mereka langsung tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari kisah-kisah penderitaan gadis kita yang disiarkan oleh media selepas mereka lari mengikut kekasih mereka ke Lombok.

9. Ianya juga sekaligus menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dirungkai dengan segera iaitu apakah keistimewaan yang dimiliki oleh jejaka dari Lombok sehingga anak-anak gadis kita jatuh hati dan terpikat hingga sanggup kahwin lari dengan mereka serta mengapa wanita negara ini begitu mudah terpedaya dan mempercayai orang luar?

10. Adakah ini menunjukkan bahawa lelaki kita tidak memenuhi kriteria calon suami yang diidamkan oleh wanita tempatan ataupun lelaki negara ini sudah tidak boleh dipercayai ataupun diharapkan lagi?

11. Mungkin agak keterlaluan juga untuk kita membuat kesimpulan tersebut hanya berdasarkan statistik di atas di samping beberapa insiden kahwin lari yang dilaporkan namun fenomena ini perlu dikupas dari pelbagi perspektif dengan lebih menyeluruh dan berhati-hati.

12. Antara punca kenapa gadis kita mudah terpikat dengan jejaka Lombok ialah kerana mereka dikatakan rajin bekerja, penyayang, memiliki budi bahasa yang baik dan berhemah tinggi, tutur kata yang digunakan cukup teratur dan suka menggunakan bahasa-bahasa yang indah dan romantik. Sikap dan sifat sedemikian dikatakan semakin terhakis daripada lelaki negara kita malah kita masih segar dengan satu laporan yang dididedahkan baru-baru ini bahawa lelaki Malaysia kurang romantik.

13. Akibatnya, bahasa-bahasa puitis yang digunakan disamping jiwa halus yang mereka miliki dengan mudahnya memikat hati anak gadis kita yang akhirnya sanggup kahwin lari mengikut mereka ke Lombok dengan meninggalkan ibu bapa, saudara mara dan segala kesenangan yang dimiliki di negara sendiri.

14. Situasi ini sebenarnya meletakkan kaum lelaki di negara kita dalam suatu keadaan yang serba salah. Bayangkan jika lelaki kita asyik bermadah, berpuitis dan romantik apakah gelaran dan tanggapan yang diberikan oleh masyarakat? Jawapannya ialah ‘mat jiwang’ dan akan dilabel sebagai menggatal dan menggada.

15. Inilah antara cabaran-cabaran yang perlu dilalui oleh kaum lelaki negara kita dalam usaha untuk kekal relevan sebagai seorang lelaki mahupun sebagai seorang ketua keluarga. Mereka bukan sahaja perlu bersaing dengan warga asing dari segi memperoleh peluang pekerjaan malah sekarang perlu juga bersaing untuk bertahta di hati wanita tempatan.

16. Kebanjiran warga asing dilihat sekali lagi menyumbang kepada masalah sosial ini namun kita juga perlu mengakui hakikat bahawa negara kita masih bergantung harap kepada tenaga kerja dari luar. Maka apakah tindakan kita membekukan mahupun mengharamkan pengambilan tenaga kerja dari Lombok ataupun dari negara lain yang ternyata memang rajin bekerja boleh menyelesaikan mahupun mengatasi masalah ini?

17. Ini kerana pengharaman kemasukan warganegara tertentu ke dalam negara kita dilihat tidak dapat menyelesaiakan masalah sosial di kalangan rakyat negara ini sebaliknya kita perlu meneliti dan menilai pelbagai faktor lain yang turut menyumbang kepada penularan gejala sebegini berbanding mengambil jalan mudah dengan mengharamkan kemasukan mereka yang boleh menjejaskan perkembangan ekonomi negara kita.

18. Semua pihak terutamanya Ibu bapa perlu memainkan peranan jika kita mahu menangani isu sosial ini dengan segera. Ibu bapa dan keluarga sebagai pihak yang paling rapat dengan golongan wanita muda ini perlu membimbing dan menasihati anak-anak mereka. Kita tidak mahu anak gadis kita menjadi modal untuk membantu jejaka dari Lombok membuktikan kehebatan mereka dengan mengahwini wanita dari wilayah lain.

19. Pada masa yang sama adalah tidak wajar untuk kita menuding jari menyalahkan hanya sebelah pihak semata-mata iaitu jejaka Lombok sahaja. Ini kerana seperti kata peribahasa, tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Kesediaan dan kesanggupan anak-anak gadis kita melayan dan menerima kehadiran jejaka luar dalam kehidupan mereka juga dilihat menjadi pendorong utama kepada penularan gejala ini.

20. Justeru, anak-anak ini perlu disedarkan supaya tidak mudah terpedaya hanya kerana cinta buta tanpa memikirkan kesan yang akan timbul jika mengikut jejaka Lombok mahupun negara lain. Paling utama tanpa dokumen perjalanan yang sah mereka akan menjadi pendatang tanpa izin di negara orang. Ini ditambah pula dengan keadaan sosio ekonomi tempat mereka yang serba serbinya kurang berbanding negara kita. Peluang pekerjaan yang kurang, kadar kemiskinan yang tinggi serta kemudahan infrastruktur yang tidak lengkap dan mencukupi mana mungkin menjanjikan kehidupan yang bahagia kepada wanita kita.

21. Perkara-perkara sebegini perlu dipupuk dan disematkan ke dalam sanubari setiap seorang daripada wanita negara kita supaya mereka tidak menyesal di kemudian hari setelah nasi menjadi bubur.

22. Perlu diingat, kita mahukan wanita tempatan berkahwin dengan jejaka tempatan dan melahirkan waris dan generasi masa depan negara kita. Untuk membina sebuah negara bangsa yang kita cita-citakan, kita perlukan sebuah masyarakat yang mempunyai jatidiri yang tulen yang mampu mendukung impian dan harapan tersebut. Perkara ini sukar untuk direalisasikan jika wanita kita asyik mengejar cinta palsu dan berkahwin dengan jejaka luar yang kemudiannya menimbulkan pelbagai masalah keluarga.

23. Kepada kaum wanita, percayalah bahawa berkahwin dengan jejaka tempatan lebih selamat, mudah dan menjamin masa depan yang lebih gemilang berbanding jejaka luar yang kebanyakkannya indah khabar dari rupa dan bagi kaum lelaki negara ini, anggaplah ini sebagai suatu lagi cabaran yang positif dan wajar bangkit dan membuktikan bahawa kita juga mampu memiliki cirri-ciri lelaki mahupun suami yang diidamkan oleh wanita tempatan. Buktikan bahawa tiada istimewanya jejaka Lombok berbanding jejaka tempatan.

No comments: