Tuesday, March 2, 2010

SIAPA PULA SELEPAS SYAFIAH?
(Telah disiarkan dalam ruangan Forum akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2/3/2010)

1. Tidak berperikemanusiaan dan lebih teruk daripada haiwan. Itulah ungkapan yang keluar daripada mulut majoriti rakyat Malaysia yang terbaca tentang nasib malang yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari berusia 3 tahun. Seluruh rakyat Malaysia mengutuk keras kejadian tersebut yang meruntun hati, jiwa dan perasaan setiap seorang daripada kita.

2. Syafiah disahkan meninggal dunia akibat penderaan yang teruk oleh teman lelaki ibunya sendiri. Hasil bedah siasat pula menunjukkan Syafiah meninggal dunia kerana pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek. Kulit kepalanya juga dikatakan terkoyak kerana dipijak dan terdapat kesan punting rokok pada bahagian kaki dan dagunya.

3. Apalah dosa insan kecil ini sehingga diperlakukan sebegini rupa? Kanak-kanak kecil yang belum mengenal erti dosa didera dengan begitu dasyat sekali hanya kerana kesilapan yang sangat kecil.

4. Walaupun suspek bukan bapa kandungnya, namun kita hairan ke mana hilangnya sifat timbang rasa, kasih sayang mahupun nilai-nilai kemanusiaan hingga Syafiah diperlakukan umpama binatang. Orang begini jelas langsung tidak layak untuk digelar manusia.

5. Binatang bertopengkan manusia ini perlu dihukum dengan setimpal. Orang seperti ini tidak boleh dibiarkan terus hidup di atas muka bumi ini kerana khuatir akan mengulangi perbuatan kejinya ini ke atas kanak-kanak lain.

6. Maka hukuman yang sewajarnya adalah hukuman gantung sampai mati dan seelok-eloknya disebat terlebih dahulu di khalayak ramai supaya ianya menjadi iktibar dan pengajaran kepada orang lain.

7. Kejadian yang menimpa Syafiah ini menyusul selang beberapa hari selepas kejadian pembunuhan bayi lelaki yang baru dilahirkan oleh Ibunya sendiri dengan melemaskan anaknya dalam pam tandas di sebuah sekolah memandu di Segamat.

8. Siri keganasan terhadap bayi ataupun kanak-kanak di negara kita dewasa ini seolah-olah tiada penyudahnya. Hampir setiap hari ada saja berita ataupun laporan berkaitan isu ini baik di media cetak mahupun di media elektronik.

9. Buang bayi, membunuh bayi yang baru dilahirkan dan kes penderaan sudah mula menjadi trend dalam kehidupan masyarakat kita yang dikatakan semakin maju dan mara ke hadapan. Akibatnya statistik kejadian seumpama itu semakin hari semakin meningkat dan yang pasti ianya cukup merisaukan kita semua.

10. Apa yang lebih menyedihkan ialah hampir kesemua perbuatan keji ini dilakukan oleh ibu bapa ataupun keluarga terdekat mangsa berkenaan. Bukankah mereka ini yang sepatutnya melindungi anak-anak kecil ini? Di mana rasa kasih sayang dan tanggungjawab mereka terhadap darah daging mereka sendiri?

11. Anak-anak kecil ini yang sepatutnya menjadi bakal pewaris generasi sekarang dan merupakan khazanah masa hadapan negara kita terpaksa dikuburkan dengan begitu tragis dan sadis. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan tidak hairan suatu hari nanti bilangan kanak-kanak akan semakin pupus di negara kita ini.

12. Masalah sosial ini jelas mencerminkan tahap dan kedudukan sebenar institusi kekeluargaan di negara kita yang begitu rapuh dan pincang. Kejadian-kejadian ini membawa kita kepada beberapa persoalan penting yang perlu dirungkai dan ditangani dengan segera.

13. Antaranya, apakah punca yang menyumbang kepada masalah sosial sebegini dalam masyarakat kita dan ke mana hilangnya nilai-nilai kasih sayang dalam masyarakat kita?

14. Jika kita mengkaji secara mendalam, kejadian sebegini berpunca daripada kepincangan dan kehancuran institusi kekeluargaan itu sendiri. Tiada gunanya kita menuding jari menyalahkan orang lain mahupun pihak berkuasa di atas apa yang sedang berlaku sekarang.

15. Sistem kekeluargaan dalam masyarakat kita nampaknya semakin goyah dan sedang menuju ke suatu keadaan yang cukup merbahaya. Buktinya, masyarakat kita kini kembali mengamalkan budaya zaman jahiliyah iaitu membunuh ataupun menanam bayi. Jika kita terus leka maka dikhuatiri budaya ini akan menghancurkan terus nilai kemanusiaan dalam masyarakat kita suatu hari kelak.

16. Pada masa yang sama, masyarakat kita juga dilihat dewasa ini lebih mementingkan harta dan kebendaan yang menyebabkan kita semakin lalai dan melupakan nilai-nilai kasih sayang yang selama ini menjadi tunjang dan tulang belakang sesebuah keluarga.

17. Kita semakin jauh dari nilai-nilai asas peradaban manusia sejagat. Kita juga semakin jauh dari nilai-niali ketimuran yang menjadi pegangan dan amalan kita sejak turun temurun.

18. Akibatnya juga kita sedikitpun tidak rasa kesian mahupun sayang hingga tergamak mendera atau membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa. Ternyata, semakin kita maju ke hadapan, semakin kita mundur ke belakang dari aspek nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

19. Perasaan sayang, cinta, ambil berat dan saling hormat menghormati semakin terhakis daripada masyarakat kita. Itulah harga yang terpaksa kita bayar selama ini untuk menikmati kemajuan dan pembangunan yang kita miliki sekarang. Apakah kita boleh bangga dengan kemajuan sebegini dan apakah arus pemodenan ini yang kita idamkan selama ini?

20. Jika inilah keadaannya, maka pembangunan yang kita kecapi selama ini tiada maknanaya kerana ia lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan dalam masyarakat kita.

21. Tiada gunanya kita maju menjelang tahun 2020 jika manusia yang akan menguruskan kemajuan itu hanyalah binatang yang bertopengkan manusia. Jelas masyarakat kita gagal untuk menyeimbangkan antara keperluan dan kemajuan fizikal dan kekayaan dengan keperluan rohani dan sosial. Sifat kerakusan dan ketamakan sudah mula menguasai masyarakat kita.

22. Justeru kita perlu bertindak dengan segera untuk memperbetulkan keadaan ini sebelum nasi menjadi bubur. Semua pihak perlu berganding bahu menyelamatkan institusi kekeluargaan di negara kita.

23. Kita harap baik pihak kerajaan, jabatan agama mahupun NGO dapat memainkan peranan yang lebih agresif dalam mendidik kembali masyarakat kita tentang nilai-nilai kekeluargaan yang sejati seperti kasih sayang dan cinta agar kita dapat melahirkan masyarakat madani yang progresif seperti yang kita idamkan di samping menongkah arus pemodenan yang penuh dengan pelbagai dugaan dan rintangan ke atas sistem nilai dan sosial penduduk negara ini.

24. Jika tidak, kita sudah boleh menghitung hari dan perlu bersiap sedia dari sekarang dengan jawapan siapa pula mangsa seterusnya selepas Syafiah.

No comments: