Thursday, March 11, 2010

PERKHIDMATAN AWAM PERLUKAN ANJAKAN PARADIGMA
(Telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 11/3/2010)

1. Antara intipati utama ucapan YAB Perdana Menteri dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA XI) ke-11 ialah beliau menekankan dua prinsip yang perlu diberi perhatian dan penekanan oleh penjawat awam.

2. Prinsip pertama ialah memastikan kehidupan rakyat pada hari ini lebih baik daripada hari semalam dan yang kedua ialah memastikan kehidupan rakyat pada masa hadapan akan lebih baik lagi berbanding pada hari ini.

3. Kedua-dua prinsip ini boleh diterjemahkan sebagai kesinambungan daripada slogan keramat ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Ianya sekali lagi mencerminkan keikhlasan pihak kerajaan untuk menjaga kebajikan serta memenuhi segala kehendak dan aspirasi rakyat di mana ianya bukan sahaja terhad kepada generasi sekarang tetapi juga untuk generasi akan datang.

4. Ia juga membuktikan bahawa pihak kerajaan tidak pernah lupa mahupun leka dalam menunaikan janji mereka kepada rakyat iaitu menjaga, memelihara serta memartabatkan kehendak dan kebajikan rakyat.

5. Kedua-dua prinsip yang ditekankan oleh Perdana Menteri ini boleh dianggap sebagai amanat dan arahan beliau kepada seluruh penjawat awam di negara ini. Amanatnya cukup ringkas dan mudah iaitu terus berkhidmat dengan cemerlang untuk memakmurkan kehidupan serta memelihara kebajikan rakyat.

6. Walaupun ringkas dan mudah namun maksud yang tersirat disebalik ungkapan tersebut adalah cukup meluas dan memberikan makna yang cukup mendalam. Ianya perlu diperhalusi dan diberi perhatian yang serius oleh penjawat awam.

7. Setiap penjawat awam perlu menyahut amanat dan arahan ini dengan minda dan sikap yang lebih terbuka. Ianya harus diterima sebagai satu permintaan dan rayuan secara terbuka oleh Perdana Menteri agar penjawat awam dapat bersama-sama dengan beliau dalam berkhidmat dan berbakti kepada rakyat.

8. Mengambil kira amanat tersebut, sudah tiba masanya untuk perkhidmatan awam melakukan suatu anjakan paradigma secara holistik dan menyeluruh yang merangkumi sikap, budaya dan cara kerja penjawat awam serta perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

9. Isu perkhidmatan awam yang melibatkan penjawat awam seperti kurang cekap, lambat, cuai dan tidak mesra pelanggan, rasuah dan salah guna kuasa sewajarnya tidak lagi timbul. Perkara-perkara sebegini perlu dibendung dari peringkat akar umbi lagi agar ianya tidak terus menular dalam perkhidmatan awam.

10. Tidak dinafikan perkhidmatan awam pada hari ini jauh lebih efektif dan berkesan berbanding pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an namun insiden-insiden yang berlaku seperti di atas serba sedikit terus menjejaskan imej dan reputasi perkhidmatam awam secara keseluruhannya bak kata pepatah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

11. Ketika ini kita boleh lihat di mana pihak kerajaan secara terus menerus mengiktiraf sumbangan yang diberikan oleh penjawat awam. Penambahbaikan ke atas beberapa skim perkhidmatan seperti yang terkini skim perkhidmatan pensyarah serta peluang kenaikan pangkat yang lebih cepat kepada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi serta peluang kenaikan pangkat kepada anggota perkhidmatan awam kumpulan sokongan yang telah berkhidmat selama 15 tahun di samping pelbagai insentif lain dari semasa ke semasa membuktikan bahawa pihak kerajaan terus prihatin nasib dan masalah penjawat awam. Bak kata Perdana Menteri beliau mendengar segala rintihan penjawat awam selama ini.

12. Justeru penjawat awam tiada lagi alasan untuk berkhidmat sambil lewa mahupun tidak efisyen. Insentif-insentif tersebut sepatutnya menjadi suntikan motivasi kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan cemerlang kepada rakyat.

13. Kita berharap perkhidmatan awam akan menjadi suatu perkhidmatan yang lebih eksklusif dan hebat dengan menyediakan peluang-peluang yang lebih terbuka dan menarik supaya dapat menarik minat lebih ramai golongan muda dan profesional untuk menyertai perkhidmatan awam.

14. Perkhidmatan awam perlu keluar dengan segera dari stigma bahawa ianya menjadi pilihan pencari kerja hanya semata-mata kerana menawarkan kemudahan-kemudahan seperti skim pencen serta rawatan perubatan secara percuma di samping kedudukan kerjaya yang terjamin berbanding sektor swasta.

15. Untuk itu, peluang bagi menyertai perkhidmatan awam perlu lebih kempetitif serta terbuka dan pada masa yang sama bilangan siswazah yang begitu ramai dewasa ini sepatutnya membuka peluang dan ruang kepada JPA untuk memilih dan mendapatkan pekerja yang lebih cemerlang, kreatif, inovasi dan mempunyai tahap disiplin diri yang tinggi. Ini kerana bilangan mereka yang begitu ramai memberikan kita peluang yang lebih baik untuk membuat pilihan yang tepat.

16. Pada hari ini, perkhidmatan awam sering kali menjadi bahan perbualan dalam kalangan rakyat apabila sesuatu jabatan tidak dapat memberikan perkhidmatan yang dikehendaki oleh rakyat. Ini menunjukkan walaupun kita semakin efisyen dan cekap dengan pelbagai penambahbaikan namun ekspektasi para pelanggan juga semakin meningkat dari semasa ke semasa.

17. Ekspektasi pelanggan dewasa ini dilihat cukup dinamik dan berubah-ubah mengikut keadaan dan perubahan zaman. Maka perkhidmatan awam perlu bersedia untuk meneriama situasi ini sebagai satu cabaran dan seterusnya melakukan perubahan dengan segera bagi memenuhi kehendak pelanggan.

18. Ketika ini, boleh dikatakan hampir semua jabatan kerajaan mempunyai piagam pelanggan masing-masing yang dipaparkan di ruang pejabat untuk tatapan para pelanggan.

19. Piagam Pelanggan yang disenaraikan adalah janji jabatan tersebut kepada pelanggan mereka yang selalunya melibatkan tempoh masa sesuatu urusan dapat diselesaikan mahupun cara sesuatu tugas akan dilaksanakan.

20. Namun apa yang berlaku ialah penghayatan dan pembudayaan penjawat awam terhadap piagam yang telah dibangunkan itu masih dilihat rendah dan belum mantap. Akibatnya pelanggan menghadapi masalah apabila berurusan dengan jabatan tersebut. Justeru piagam yang telah dibangunkan perlulah disemak semula supaya ianya memberik impak yang lebih besar serta terus kekal relevan mengikut kehendak pelanggan.

21. Begitu juga dengan nilai-nilai murni serta etika perkhidmatan awam yang telah dibangunkan. Masih ramai penjawat awam yang tidak menghayati erti sebenar nilai-nilai murni tersebut. Jika tidak masakan masih berlaku pelbagai masalah disiplin seperti rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Isu ini juga perlu diberi penekanan dan ditangani dengan segera kerana ianya melibatkan tingkahlaku dan moral penjawat awam.

22. Semoga amanat Perdana Menteri dalam MAPPA ke-11 ini menjadi titik permulaan ke arah perkhidmatan awam yang lebih dinamik, progresif, profesional serta berinovasi. Penjawat awam pula perlu ingat bahawa apa yang mereka laksanakan itu adalah suatu amanah yang perlu ditunaikan kepada rakyat dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab.

No comments: