Friday, June 12, 2009

Penggunaan BI perlu dalam dunia akademik

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA ONLINE RUANGAN RENCANA BERTARIKH 12HB JUN 2009:
MEMILIKI semangat patriotik dalam mempertahankan isu bahasa itu adalah sesuatu yang terpuji. Ia sama tarafnya dengan pahlawan yang berjuang di perbatasan. Sehingga ke titisan darah yang terakhir demi ibu pertiwi tercinta. Begitu juga memperjuangkan bahasa ibunda sangat wajar. Sebab bahasa itu menunjukkan bangsa.

Namun setelah bangsa itu merdeka, baik dari segi akademik, sosio-ekonomi, budaya mahupun minda, mereka seharusnya dapat melihat alam ini dengan lebih matang. Belajar keluar dari kepompong yang selama ini memberikan jaringan perlindungan yang selesa.

Apabila manusia dianugerahkan akal fikiran, mereka perlu insaf bahawa ada sesuatu yang lebih penting daripada sekadar sentimen dan kelantangan bersuara semata-mata.

Sekiranya kita memiliki keyakinan mutlak terhadap penjiwaan bahasa ibunda di dalam roh kita, yang semestinya kekal dalam setiap jiwa orang Melayu, mengapa kita perlu gusar terhadap kehadiran bahasa Inggeris (BI)? Bukankah BI sangat wajar dimartabatkan sebagai bahasa global yang diperlukan oleh Malaysia seperti mana seluruh warga dunia?Jika kita punya kematangan yang teguh, kita seharusnya dapat melihat kepentingan kedua-dua bahasa ini umpama 'aur dengan tebing.' Hanya kerana ingin memartabatkan bahasa Malaysia, adalah rugi bagi kita untuk menganaktirikan BI. Mengapa kita tidak pernah berikhtiar untuk 'menarik benang dari dalam tepung, benang tak putus, tepung tak tumpah.'

Penguasaan bahasa asing dalam merintis dunia kehidupan untuk kekal relevan, berdaya saing dan produktif amatlah kritikal. Maka adalah sangat wajar bagi kita merebut peluang untuk berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.

Di Eropah dan Amerika Syarikat, menguasai lima atau enam bahasa asing adalah sesuatu yang lumrah dan dianggap biasa. Sudah amat lazim dan sepatutnya demikian. Malang sekali bagi kita di Malaysia, isu yang menjadi kebanggaan manusia sejagat ini telah menjadi sesuatu yang negatif. Realiti ini amat memalukan.

Apabila pakar-pakar akademik, budayawan, ahli bahasa dan orang terhormat ikut serta mempertahankan isu ini, kita sebenarnya memperlihatkan betapa mentah dan ceteknya pemikiran.

Kecelaruan tentang isu penggunaan bahasa Inggeris di dalam konteks akademik di negara kita hari ini adalah melucukan. Umpama sebuah keluarga yang kaya raya, memiliki bukan sahaja kenderaan mewah bahkan pesawat peribadi. Tiba-tiba bertengkar lalu menginginkan kembali menaiki belakang kerbau untuk bergerak ke sana sini.

Alangkah lucunya apabila mereka tidak lagi dapat melihat betapa pentingnya kenderaan yang telah mereka miliki itu. Bukan sahaja dapat menjimatkan masa, bahkan sudah jelas menaikkan harga diri, kedudukan apa lagi keselesaan mereka. Dengan kembali mengidamkan kerbau sebagai kenderaan, dunia akan mentertawakan mereka. Manusia perlu berjalan ke hadapan. Bukan bergerak mundur ke belakang.

Mari kita lihat analogi ini pula. Para pekerja asing yang membanjiri negara kita berlumba-lumba mempelajari bahasa Malaysia supaya mereka diterima sebagai sebahagian daripada kita. Baik dari Nepal, Myanmar, Bangladesh, Filipina, Vietnam mahupun Pakistan dan sebagainya.
Apabila kita mendengar mereka berbahasa Malaysia dengan baik, secara spontan kita dapat merasakan betapa dekat dan akrabnya rasa kemanusiaan itu. Biarpun mereka hanya sekadar pekerja bawahan, namun dengan 'bahasa' ia dapat menciptakan satu rasa kekitaan yang baik. Tidakkah kita ingin belajar dari mereka ini?

Begitu jugalah dunia melihat kepada kita. Seandainya kita dapat berkomunikasi dengan mereka dalam satu bahasa 'universal' yang boleh difahami oleh semua, maka kita juga dilihat oleh mereka sebagai sebahagian daripada mereka. Apa lagi jika kita dapat menguasai bahasa ibunda mereka.

Apabila bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar untuk subjek Sains dan Matematik di alam persekolahan, generasi Malaysia akan terpaksa kembali belajar untuk menguasai bahasa Inggeris dari Alif Ba Ta di peringkat universiti kelak.

Ini adalah kerana buku-buku rujukan yang bermutu kebanyakannya ditulis dalam bahasa Inggeris. Bayangkan pula jika mereka ingin menamatkan Ph.D? Cukupkah rujukan-rujukan yang siap ditulis dalam bahasa Malaysia?

Mungkin kita cenderung untuk berkiblatkan kepada bahasa Perancis, bahasa Cina atau bahasa Jepun yang sudah diiktiraf sebagai bahasa dunia. Jadi mengapa tidak bahasa Malaysia? Namun apa yang gagal kita akui bahawa kuasa-kuasa besar ini bukan sahaja memiliki tamadun yang jauh lebih awal dari kita, bahkan mereka juga mempunyai semangat kerja, ketekunan, kegigihan, kerajinan, pencapaian dan kejayaan yang amat berbeza.

Dalam mereka memartabatkan bahasa ibunda, namun kedudukan BI tetap mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.

Daripada kita bergaduh tentang isu remeh ini, mengapa tidak kita tanamkan semangat ingin mengasah ilmu bahasa supaya kita juga boleh fasih berbahasa Inggeris, berbahasa Tamil atau Mandarin?

Bukankah ia akan mengangkat kita sebagai penggerak 1Malaysia itu?
Lihatlah apa saja yang dapat kita sentuh di sekeliling kita. Daripada makanan, hiburan, fesyen, infrastruktur, dunia elektronik, budaya, perdagangan, politik, kesihatan, keagamaan, akademik bahkan komunikasi sehari-hari. Ia tidak akan lari jauh daripada realiti bahawa penggunaan BI itu merupakan nadi dan nyawa yang menghidupkan semua ini.

Tetapi bagi kita, nadi dan nyawa ini jugalah yang harus kita anaktirikan!
Seandainya BI tidak diberikan kedudukan yang baik, kita akan ditinggalkan oleh pergerakan waktu yang begitu cepat. Kejayaan manusiawi dan persaingan untuk kekal hidup dalam dunia yang semakin mencabar sudah tentu akan menghimpit Malaysia yang perlahan-lahan ditinggalkan oleh hilangnya daya saing dalam penguasaan BI.

Pada saat itu nanti, kebanyakan kita yang begitu lantang mempersoalkan isu ini sudah tidak ada lagi untuk menyaksikan tragedi yang menimpa anak cucu serta generasi kita.

Saya amat bersyukur kerana berada dalam kelompok terakhir penggunaan BI sebagai bahasa pengantaraan di sekolah rendah dan menengah. Dengan Lower School Certificate, (LCE) pada tahun 1977, Malaysia School Certificate (MCE) pada tahun 1979 dan Higher School Certificate (HSC) pada tahun 1981, saya tampil sebagai seorang dewasa yang mempunyai keyakinan diri dalam komunikasi, interaksi penguasaan bahasa Inggeris dengan siapa sahaja.

Namun ia tidak sekali-kali melemahkan atau membantut penguasaan bahasa Malaysia saya. Bahkan saya yakin bahasa ibunda ini sudah sebati dengan darah dan degupan jantung saya yang kencang.

Bangunlah saudaraku! Lihatlah alam di sekelilingmu. Biarpun dunia belum kiamat, namun sudah jelas survival of the fittest itu wujud.
Cuma hari ini, siapa yang dapat menguasai BI dengan baik, dia akan lebih maju ke hadapan.
KOMEN BLOGGER: SATU ARTIKEL YANG MENARIK. WAJAR DIRENUNGI SEMUA PIHAK. TERINGAT HUJAH-HUJAN YAB TUN DR. MAHATHIR MENGENAI PERI PENTINGNYA BAHASA INGGERIS UNTUK KEMAJUAN RAKYAT MALAYSIA.

2 comments:

grow2g3th3r said...

Memang artikel yang menarik..

NOOR MOHAMAD said...

terima kasih atas komen yang diberikan. so apa pendapat u ttg penggunaan bi? sokong ppsmi?