Tuesday, June 9, 2009

'Saya sujud kepada Ilahi semoga UMNO-Pas bersatu'

SUMBER: UTUSAN ONLINE BERTARIKH 9HB JUN 2009:
BARU-BARU ini saya ke klinik gigi. Sambil menunggu saya ternampak seorang insan berkopiah yang berwajah bersih dan berseri sedang membuat temu janji dengan doktor gigi yang sama. Sambil saya menunggu giliran, saya hendak menegur insan itu.

Tetapi saya lihat raut wajahnya tidak berseri lagi, malah dia kelihatan marah dan wajahnya berkerut-kerut. Rupa-rupanya dia sedang membaca akhbar Harakah.

Saya pernah lalui apa yang dia lalui. Tiap kali saya membaca Harakah, saya terasa marah yang amat. Kerana banyak beritanya melaknat dan memunafik mereka yang sebangsa dan seagama.
Tidak ada yang baik diberitakan tentang kerajaan malah mengeji dan mencaci, hingga saya terasa mual. Ustaz, bukankah perbuatan ini menyalahi agama kita yang suci?

Kini, Harakah sudah pun menular di masjid saya. Alangkah terperanjat saya, tempat suci yang saya berjemaah kepada Allah Yang Esa, telah digunakan untuk perbalahan politik. Saya berasa amat kecewa sekali.

Sebagai seorang ibu, saya inginkan anak saya mempunyai masa depan yang sihat dan tidak dilaknat Allah.

Ustaz Nik Aziz, saya puji parti pimpinan ustaz kerana begitu inovatif menggunakan masjid untuk menyebarkan maklumat.

Ini belum pernah dilakukan oleh kerajaan BN yang semakin terencat idea. Malah kerajaan baru Selangor pun menyebarkan maklumat di masjid-masjid di seluruh Selangor. Mungkin parti pimpinan ustaz boleh mengajar parti UMNO dalam segi sebaran maklumat terkini.

Namun, pada masa yang sama, saya sudah hilang hormat kepada ustaz. Mengapa ustaz biarkan akhbar Harakah menyebarkan umpatan dan keji-kejian terhadap ramai insan sebangsa dan seagama?

Ustaz, saya mengaku bahawa ilmu saya tentang agama masih cetek, tetapi sebelum tidur, saya akan membaca al-Quran. Bermula dengan Surah Al-Baqarah lagi Allah telah berfirman, bahawa kita orang Islam jangan mengikut telunjuk orang-orang kafir, kerana mereka tidak akan reda kepada Islam selagi kita tidak mengikut telunjuk mereka.

Saya lihat bukan saja parti UMNO membuat begitu malah parti pimpinan ustaz pun tiada bezanya.

Ustaz Nik Aziz, saya harap parti pimpinan ustaz dapat ketepikan perasaan marah seperti Saidina Ali ketepikan marahnya apabila ia ditempelak di zaman Rasullullah dahulu.
Saya amat berharap Pas dan UMNO bersatu menjadi golongan parti yang kuat, berwibawa dan tidak gentar pada ugutan orang-orang kafir. Seperti yang ustaz sedia tahu (bukankah ustaz selalu membaca al-Quran) di dalam hati mereka ada penyakit, dan mereka tidak akan reda kepada Islam hingga kiamat.

Setiap hari saya sujud kepada Ilahi semoga UMNO dan Pas bersatu, jangan seperti 'Hamas dan Fatah' yang selalu berbalah, yang menang ialah 'Yahudi'.
Ustaz Nik Aziz, besar kemungkinan selepas ini ustaz akan turunkan 'fatwa' mengkafirkan saya, mungkin juga ustaz akan melaknatkan saya.

Namun saya sedar, saya tiada hak untuk melaknat atau mengkafir sesiapa kerana saya ini hanya insan kerdil yang perlu merintih simpati daripada Allah yang Esa. Alhamdulillah di sanubari saya, Allah dan Nabi amat kasihkan saya.
Amin
KOMEN BLOGER: USTAZ NIK AZIZ, SEMOGA TUAN GURU MENGHAYATI TULISAN INI. SECARA PERIBADI SAYA KAGUMI PERWATAKAN TUAN GURU NAMUN HAKIKATNYA PERJUANGAN PARTI TUAN GURU SUDAH BANYAK MELENCONG DAN TERSASAR DARI MATLAMAT ASAL. HARAPAN SAYA JUGA ADALAH UMNO DAN PAS AKAN BERSATU SATU HARI NANTI. AMIN

No comments: