Thursday, September 3, 2009

DISEBALIK LIRIK LAGU “MALAYSIA SATU”
1.Akhirnya lagu Malaysia Kita yang digubah oleh Audi Mok diumumkan sebagai juara pencarian lagu 1Malaysia Kita. Menariknya pihak yang terlibat dalam penghasilan lagu ini sendiri telah melambangkan konsep 1Malaysia di mana ianya digubah oleh seorang yang berbangsa Cina dan penulisan lirik serta nyanyian melibatkan orang Melayu.

2.Hasil gabungan Melayu-Cina ini akhirnya dinobatkan sebagai juara yang melakar satu lagi sejarah baru dalam usaha untuk menyuntik semangat patriotik di kalangan rakyat Malaysia serta sekaligus menyemarakkan lagi gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kita.

3.Sekilas pandang ianya tidak lebih dari sebuah lagu patriotik yang tersedia ada di negara kita. Itulah persepsi dan pandangan mata kasar kita jika tidak menghayati lirik lagu tersebut.

4.Antara senikata yang begitu dalam maksudnya ialah ‘satu impian nyawaku pertaruhkan’ yang mencerminkan kesanggupan kita untuk menggadai nyawa bagi memacu impian dan wawasan yang telah dibina.

5.Setiap rangkap dalam lagu ini seolah-olah memberi satu harapan baru kepada kita untuk terus berjuang dengan penuh semangat sebagai satu bangsa bagi mencapai cita-cita yang diidamkan.

6.Lagu ini wajar dihayati dan dijadikan lagu wajib dalam majlis-majlis rasmi baik di peringkat kerajaan mahupun korporat agar semangatnya terus dijiwai dan dipupuk dari semasa ke semasa.

7.Memandangkan golongan belia adalah tonggak masa depan negara ini maka wajarlah mereka didedahkan dengan semangat yang dituntut oleh lagu ini. Pihak sekolah juga boleh memainakn peranan dengan memainkan lagu ini setiap pagi atau petang sebelum bermulanya hari persekolahan bagi menyemai budaya dan semangat 1Malaysia di kalangan pelajar sekolah.

8.Konsep lagu ini yang rancak dan bersemangat amat sesuai dan memenuhi citarasa golongan muda, justeru perlu diberi penekanan kepada aspek bagaimana untuk memastikan golongan ini akan menghayati dan menjiwai lagu tersebut.

9.Ini kerana, generasi inilah kelak akan meneruskan agenda dan harapan untuk membina sebuah negara dan bangsa yang bersatu hati dan bersatu jiwa dalam konteks 1Malaysia.

10.Pada masa yang sama, seperti kata Perdana Menteri, memandangkan nada lagu ini agak tinggi maka wajarlah juga dipertimbangkan untuk diubah suai sedikit jika hendak dinyanyikan oleh kumpulan koir atau dalam irama yang berlainan mengikut kesesuaian. Mungkin ini satu lagi kaedah untuk mempelbagaikan rentak dan ‘kesedapan’ lagu ini di samping membolehkan semua golongan dapat mendengar dan menghayatinya.

11.Walaupun lagunya dalam bahasa kebangsaan, kita harap pihak media elektronik terutamanya radio yang berlandaskan bahasa ibunda masing-masing seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil wajar memainkan lagu ini sekerap yang mungkin agar ianya sampai ke telinga segenap masyarakat Malaysia.

12.Ini penting jika kita benar-benar mahu mencapai agenda gagasan 1Malaysia yang mahu wujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatu tanpa mengira agama dan kaum. Lagu ini juga boleh dijadikan salah satu senjata untuk meruntuhkan tembok perkauman yang wujud di negara ini.

13.Semoga lagu ini akan membuka satu lagi lembaran baru dalam kita menyemai, menyubur dan memantapkan perpaduan kaum di negara ini dan seterusnya menyusun langkah bagi menjayakan gagasan 1Malaysia.

14.Tahniah Audi Mok, Nur Fatima dan Faizal Tahir – anda adalah generasi baru 1Malaysia.

No comments: