Tuesday, September 1, 2009

KENAPA SUKAR BERTERIMA KASIH
1. Dalam kita begitu asyik dan sibuk mengejar kedudukan dan kemewahan, masyarakat kita semakin hari semakin jauh dari beberapa nilai-nilai murni seperti rasa kasih sayang, hormat menghormati, menghargai jasa dan sumbagan orang lain serta ucapan terima kasih.

2.Sedar atau tidak sekarang kita lebih banyak menerima dari memberi. Kita sering dibantu dalam pelbagai cara dan bentuk oleh orang lain yang berada di sekeliling kita.

3.Walaupun kita sering dibantu namun amat jarang sekali kita dengar ungkapan terima kasih keluar dari mulut orang yang menerima bantuan tersebut. Masyarakat kita semakin ego dan sombong walaupun untuk sekadar mengukir sekuntum senyuman ikhlas dari hati.

4.Satu senario terkini yang agak menarik untuk dikupas adalah peranan pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sumbangan para petugas pasukan perubatan ataupun kesihatan dalam hal membendung dan mencegah penularan wabak selesema babi influenza A (H1N1).

5.Saban hari kita dapat lihat baik di media cetak mahupun di media elektronik pelbagai hebahan dilaksanakan oleh pihak KKM dan agensi yang berkaitan tentang bahaya wabak ini serta langkah-langkah yang perlu dipatuhi dan diamalkan oleh orang ramai.

6.Di samping itu para petugas pasukan perubatan juga bertungkus lumus tanpa mengenal erti penat dan jemu menghulurkan bantuan dan perkhidmatan mereka kepada pesakit dan masyarakat yang memerlukan bantuan tanpa mengira waktu dan masa.

7.Namun hakikatnya bilamana wabak ini semakin menular dan angka kematian pula dilaporkan semakin meningkat maka ramai di kalangan kita begitu mudah menuding jari menyalahkan pihak KKM, hospital dan petugas perubatan. Pelbagai tohmahan dilemparkan antaranya KKM dikatakan tidak memainkan peranan secara efektif, hospital lambat bertindak dan cuai, para petugas perubatan pula dikatakan tidak menjalankan tugas dengan baik dan sebagainya. Kita lupa bahawa empat lagi jari terarah kepada siapa.

8.Pada masa yang sama, berapa ramai dari kita yang sedar dan tahu akan keperitan dan kepayahan yang dilalui oleh mereka terutamanya para petugas perubatan dan pihak hospital. Para petugas perubatan misalnya adalah pasukan hadapan (frontliner) yang paling awal akan menemui para pesakit dan menghulurkan bantuan yang diperlukan walaupun dalam dalam keadaan mendedahkan diri mereka kepada bahaya jangkitan wabak ini.

9.Mereka menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi dalam usaha untuk membendung penularan wabak ini dengan menghulurkan bantuan kepada para pesakit di samping berusaha untuk mendidik masyarakat melalui pendidikan kesihatan.

10.Berapa ramai dari kita selain marah dan melemparkan pelbagai tohmahan kepada mereka, pernah berterima kasih kepada mereka di atas jasa, sumbangan dan pengorbanan mereka selama ini.

11.Mungkin masih ramai yang tidak tahu dan sedar pengorbanan mereka di mana pihak hospital dan klinik kesihatan terpaksa melanjutkan waktu operasi, para petugas pula terpaksa bekerja sampai lewat malam, giliran syif bertugas bertambah, cuti dibekukan dan sebagainya.

12.Mengambil kira situasai ini, apakah mereka tidak layak untuk menerima ucapan terima kasih di atas sumbangan mereka itu. Sukar sangatkah untuk kita menghargai jasa dan sumbangan mereka selama ini. Adakah wajar untuk kita menyalahkan mereka semata-mata di kala masyarakat itu sendiri masih leka dan tidak mahu mengikut nasihat yang disarankan oleh pihak KKM untuk membendung penularan wabak ini.

13.Kita sebenarnya banyak terhutang budi kepada orang lain dari pelbagai aspek. Misalnya pernahkah kita berterima kasih kepada nenek moyang kita yang memberi peluang kepada kita untuk menikmati kemerdekaan yang ada pada hari ini.

14.Ataupun pernahkah kita berterima kasih kepada pasukan keselamatan Negara seperti tentera dan polis yang terus menjaga keselamatan dan keamanan Negara tanpa mengenal erti penat dan lelah malah jauh sekali untuk kita berterima kasih kepada pihak kerajaan yang terus memelihara keamanan dan kesejahteraan rakyat di Negara ini.

15.Budaya kacang melupakan kulit semakin menular dan mula meragut budaya bersyukur dan berterima kasih dari hati dan sanubari rakyat Malaysia. Kita semakin bongkak untuk bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang kita nikmati selama ini. Masyarakat kita juga semakin mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan hati dan perasaan orang lain.

16.Semakin kita maju ke hadapan semakin kita hilang dan lupa akan nilai dan identiti masyarakat timur yang penuh dengan adat kesopanan dan kesusilaan. Bak kata pepatah manusia sememangnya mudah lupa. Kita lupa kepada pertolongan orang lain, kita lupa kepada pengorbanan orang lain, kita lupa kepada jasa dan sumbangan orang lain dan yang pastinya kita semakin lupa untuk berterima kasih
.

No comments: