Thursday, September 17, 2009

SEMARAKKAN BUDAYA KUNJUNG MENGUNJUNG
1. Musim perayaan kembali lagi di mana dalam beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut 1 Syawal dengan penuh kesyukuran dan dalam keadaan yang sederhana tetapi meriah.

2.Suatu keunikan dalam masyarakat majmuk Negara kita ialah amalan rumah terbuka dan budaya kunjung mengunjung ke rumah rakan taulan yang berlainan agama dan keturunan. Ianya telah menjadi satu tradisi dan agenda tetap setiap perayaan yang kita raikan selama ini.

3. Budaya ini sebenarnya adalah warisan turun temurun yang menjadi kebangaan kita sekian lama. Ianya juga telah menjadi satu platform dan jambatan yang merapatkan dan menghubungkan tali persaudaraan dan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum Negara kita.

4.Sejak dahulu lagi jambatan ini telah digunakan sepenuhnya dengan penuh berhemah untuk mengukuhkan kontrak sosial yang telah terbentuk yang sekaligus mengharmonikan perpaduan kaum di Malaysia.

5.Namun keadaan semasa menunjukkan bahawa seolah-olah jambatan ini mula mengalami sedikit keretakan angkara golongan tertentu yang cuba mengambil kesempatan dengan mengapi-apikan soal agama dan hak sesuatu kaum melampaui kontrak sosial yang telah dimeterai.

6.Golongan ini jelas mempunyai agenda mereka tersendiri dan sanggup membuat apa sahaja demi mencapai cita-cita dan hasrat mereka. Perasaan tamak dan ingin berkuasa mula mengaburi mata dan minda golongan ini.

7.Perpaduan kaum yang kita banggakan selama ini sudah mula menghadapi saat genting dengan pelbagai ujian getir. Akibatnya pelbagai peristiwa yang boleh menggoncang jambatan perpaduan ini mula mewarnai dada-dada akhbar baik dalam mahupun luar Negara.

8.Dalam keadaan kita baru sahaja selesai menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-52 serta hari penubuhan Malaysia yang ke-46, kita sewajarnya semakin kuat dan teguh dari segi perpaduan dan keharmonian antara kaum sebagai aset untuk mempersiapkan diri bagi menyahut misi 1Malaysia dan Wawasan 2020.

9.Malangnya sehingga sekarang kita masih tidak nampak jalan penyelesaian untuk menutup segala retakan di jambatan perpaduan tersebut. Ini kerana masih terdapat individu atau golongan yang bergiat aktif dan bersungguh-sungguh untuk merobek perpaduan yang sedia terbentuk ini.

10.Justeru kehadiran 1 Syawal dilihat sebagai detik dan waktu yang sangat sesuai dan bertepatan untuk kita jernihkan semula keadaan yang dilihat semakin keruh di samping memperkukuhkan semula jambatan perpaduan tersebut.

11.Budaya kunjung mengunjung yang biasa kita amalkan dalam musim perayaan perlu disemarakkan lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri ini dalam keadaan yang harmoni agar hubungan antara kaum dapat dipereratkan semula. Inilah antara peluang yang ada yang perlu kita manfaatkan sepenuhnya agar kita dapat lupakan segala sengketa dan perselisihan paham di samping menyuburkan kembali budaya saling bermaaf– maafan sesama kita.

12.Mungkin juga ini merupakan benteng terakhir kita untuk menangkis segala usaha pihak yang tidak bertanggungjawab ini agar kita kekal aman dan damai sepanjang masa.

13.Ayuh warga Malaysia marilah kita buktikan bahawa kita masih kuat, perpaduan di kalangan kita masih kukuh, teguh dan harmoni. Sama-samalah kita menjaga dan mempertahankan jambatan perpaduan yang telah dibina oleh nenek moyang kita sekian lama.

No comments: