Tuesday, September 15, 2009

ROMBAK PROGRAM RAYA
1.Ramadan adalah bulan mulia yang menjanjikan seribu satu rahmat kepada umat Islam manakala Hari Raya pula adalah hari kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada umatnya yang berjaya melalui ujian dan perjuangan disepanjang bulan Ramadan.

2.Seeloknya Ramadan dan Hari Raya disambut dan diraikan dengan penuh ketakwaan, kesyukuran dan kegembiraan namun apa yang sering ditonjolkan dalam televisyen terutamanya untuk menyambut Hari Raya didapati agak jauh menyimpang dari konsep asal perayaan tersebut.

3.Kita sering kali disajikan dua bentuk program yang seolah-seolah sudah sinonim dan tidak boleh dipisahkan dengan Hari Raya iaitu hiburan yang melampau dan juga drama-drama yang sungguh menyayat hati, pilu dan sedih.

4.Islam tidak pernah menghalang hiburan asalkan ianya mengikut syarak, berpada dan bertempat. Namun dalam suasana baru sahaja selesai menjalani ibadat puasa, seawal 1 Syawal lagi kita telah dijamu dengan pelbagai konsert dan nyanyian yang tidak langsung menggambarkan kesyukuran kita pada Ilahi.

5.Memang program sebegini dapat menarik minat golongan belia namun adakah ini pengajaran dan moral yang hendak kita tonjolkan kepada anak muda kita? Jika begini bagaimana mereka hendak memahami konsep sebenar sambutan Hari Raya terutamanya tujuan kita meraikan 1 Syawal dan apa signifikannya tarikh ini kepada umat Islam.

6.Akibat daripada pengaruh budaya yang melalaikan seperti ini menyebabkan remaja kita semakin jauh dari ajaran Islam yang sebenarnya. Semakin sukar untuk kita membentuk, mendidik malah mengembalikan mereka ke jalan yang benar.

7.Ini ditambah pula dengan adengan drama-drama sempena Aidilfitri yang sungguh pilu, sedih dan boleh menitiskan air mata para penonton. Seolah-olah sudah menjadi satu kemestian untuk semua stesen televisyen berlumba-lumba menayangkan drama sebegini atas alasan untuk menyedarkan para penonton atau untuk mewujudkan keinsafan di kalangan umat Islam.

8.Memang kita tidak menafikan hasrat murni mereka itu iaitu untuk mewujudkan kesedaran di kalangan penonton namun adakah ini sahaja cara yang ada untuk kita memupuk kesedaran dan seterusnya meraikan hari kemenangan kita?

9.Kenapa di hari yang sepatutnya kita bergembira dan bersyukur tiba-tiba kita perlu menangis dan sedih. Drama-dramanya memang cukup hebat malah tajuknya pun sudah cukup untuk menusuk kalbu para penonton. Dari aspek itu memang wajar kita puji dan ucapkan tahniah kepada para pengarah dan penerbit tempatan di atas mutu kerja yang sangat membanggakan.

10.Saban tahun inilah senario di kaca televisyen kita menjelang 1 Syawal seperti kata Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, mantan Mufti Perlis dalam tulisan beliau di akhbar Mingguan Malaysia yang lepas, Hari Raya dalam Islam adalah hari gembira, bukan hari sedih dan duka seperti yang selalu ditonjolkan oleh drama dan lagu Melayu menjelang Hari Raya.

11.Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama memperbetulkan keadaan ini sebelum budaya ini berjangkit dan menular ke generasi akan datang. Kita tidak mahu mewariskan cara sambutan Hari Raya yang terlampau melalaikan mahupun suasana yang sedih dan memilukan seperti ini kepada anak cucu kita kelak.

12.Stesen televisyen, pengarah daan penerbit program Hari Raya perlu bermuhasabah diri dan memikirkan secara mendalam situasi yang kita lalui sekarang. Hanya mereka yang boleh memperbetulkan budaya yang tidak sihat ini.

13.Banyak lagi rancangan yang boleh kita hasilkan dan terbitkan untuk tatapan para penonton misalnya yang menonjolkan cara hiburan yang betul dalam Islam di samping menayangkan drama-drama yang mewujudkan suasana kegembiraan bersama keluarga.

14.Cukuplah sudah kesedihan dan kepiluan yang dilalui oleh mangsa-mangsa kecederaan mercun, kemalangan dan sebagainya menjelang musim perayaan, usahlah kita menambah lagi keperitan mereka dengan menayangkan drama-drama yang lebih merobek hati dan perasaan mereka. Berilah secebis harapan dan kegembiraan kepada mereka pada hari yang bahagia ini.

15.Justeru besaralah harapan kita agar pihak yang berkenaan segera bertindak dan membuat rombakan yang sewajarnya ke atas semua program Hari Raya yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

No comments: