Thursday, September 10, 2009

EMAS OLIMPIK 2012 – REALISTIK ATAU RETORIK?
1.Sebagai rakyat Malaysia yang rindukan detik bersejarah berkumandangnya lagu Negaraku di pentas antarabangsa apatah lagi di peringkat Olimpik kita wajar mengalu-alukan impian Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan yang telah mensasarkan pingat emas Sukan Olimpik pertama pada temasya yang bakal berlangsung di London pada tahun 2012.

2. Empat jenis sukan yang menjadi sandaran utama ialah badminton, memanah, berbasikal dan terjun akuatik. Kita percaya jawatankuasa ini mempunyai alasan yang kukuh dalam menetapkan sasaran tersebut terutamanya berdasarkan rekod prestasi semasa atlet berkenaan, prospek masa depan mereka serta aspek persaingan dari atlet Negara lain.

3.Memang sudah tiba masanya untuk kita melihat rakyat Negara ini membawa pulang sekurang-kurangnya sebutir pingat emas sukan olimpik. Impian ini nyaris menjadi kenyataan pada tahun 2008 namun Datuk Lee Chong Wei gagal untuk merealisasikan harapan jutaan rakyat Malaysia itu.

4.Tempoh masa tiga tahun bukanlah satu tempoh yang lama. Jika diambil kira aspek persiapan yang perlu dilakukan untuk bergelar juara dunia ianya dilihat sebagai satu tempoh yang sangat pendek, malah masih ramai daripada kita berasa ragu-ragu dengan sasaran tersebut apabila dibandingkan dengan prestasi semasa sukan dan atlet Negara di persada antarabangsa.

5.Sukan badminton misalnya, kita tidak menafikan sumbangan atlet sukan ini dalam mengharumkan nama Negara di mata dunia selama ini, namun sebagai sebuah Negara tradisi sukan badminton kita masih gagal untuk memenangi emas dalam acara ini di peringkat sukan olimpik. Malah Piala Thomas juga seolah-olah sudah menjadi umpama jauh panggang dari api.

6.Prestasi turun naik pemain badminton cukup mengecewakan peminat sukan tanahair. Kekalahan demi kekalahan terutamanya di kejohanan utama semakin merisaukan kita dan ini ditambah lagi dengan kekalahan di tangan pemain yang tidak ternama ataupun pendatang baru. Kita juga belum nampak lagi barisan pelapis yang meyakinkan.

7. Sukan lainpun tidak kurang hebatnya dari segi masalah dan konflik terutamanya penglibatan atlet berbasikal dan memanah dengan najis dadah. Selain mengaibkan nama Negara ia juga boleh meragut peluang dan harapan kita untuk memperolehi pingat bagi acara-acara tersebut.

8. Di mana silapnya sehingga atlet kita dilihat begitu sukar untuk bersaing di peringkat antarabangsa, sukar untuk mengekalkan prestasi bagi suatu tempoh masa yang lama dan juga sukar untuk membawa pulang sesuatu kejuaraan yang kita impikan.

9.Apa kurangnya kita dari segi kemudahan dan infrastruktur sukan jika dibandingkan dengan Negara lain. Malah kita boleh dikatakan antara Negara membangun yang mempunyai kemudahan dan peralatan sukan yang lengkap, canggih dan bertaraf antarabangsa.

10.Buktinya kita sering kali terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi pelbagi jenis sukan bertaraf dunia, malah boleh dikatakan selama ini kita lebih banyak menerima pujian dari aspek menjadi penganjur terbaik berbanding pencapaian cemerlang atlet kita.

11.Justeru sudah tidak ada ruang lagi untuk para atlet kita memberi alasan bahawa tiada kemudahan yang cukup untuk meningkatkan prestasi mereka, dan ia sekaligus membawa kepada satu lagi persoalan yang perlu dirungkai iaitu apakah faktor yang menjadi penyumbang utama kepada kegagalan para atlet kita selama ini.

12.Inilah aspek terpenting yang perlu dikaji dan diatasi segera oleh semua pihak yang terlibat jika impian emas olimpik itu hendak dijadikan realiti. Cukuplah dengan segala janji-janji palsu yang ditaburkan selama ini yang memberikan seribu satu harapan kepada peminat sukan tanahair. Ini bukan lagi zaman angan-angan mat jenin. Hanya yang konsisten dan terbaik sahaja akan bergelar juara.

13.Semua pihak perlu memainkan peranan yang agresif secara serius jika kita benar-benar mahu lagu Negaraku berkumandang di kota London pada tahun 2012. Kita menyandarkan harapan yang sangat besar kepada 19 orang atlet yang akan membelanjakan RM10 juta di bawah program ‘Road To London’ untuk menukar impian kita menjadi kenyataan.

14.Sasarannya sudah ditetapkan, medannya juga telah ditentukan, ayuh atlet Malaysia bangkitlah dengan semangat 1Malaysia, pastikan Jalur Gemilang berkibar megah di bumi London. Jika tidak impian emas olimpik tidak dapat direalisasikan dan hanya akan menjadi retorik semata-mata
.

No comments: