Wednesday, September 9, 2009

HENTIKAN SEGERA MONOPOLI DRAMA INDONESIA
1.Rata-rata hampir semua stesen televisyen utama di Negara kita terutamanya stesen swasta dan berbayar seakan-akan begitu ghairah dalam menyiarkan drama dan sinetron dari Indonesia.

2.Setiap hari dari pagi hingga ke tengah malam kita disajikan dengan program dari Negara jiran terutamanya drama dan sinetron bersiri yang kebanyakkannya berunsurkan tahyul yang melampau dan mencerminkan budaya kehidupan barat dan tidak menonjolkan adat dan nilai masyarakat timur.

3.Paling menyedihkan ialah apabila saban hari kita terpaksa berbuka puasa sambil menonton drama bersiri dari Indonesia yang ditayangkan setiap petang dan melarut hingga ke waktu berbuka. Mana hilangnya drama-drama kita yang pernah dihasilkan khas untuk bulan Ramadan?

4.Kenapa kita begitu mengagungkan program mereka berbanding drama dan rancangan terbitan orang kita sendiri. Apakah aspek kos yang murah melebihi tanggungjawab sosial stesen-stesen televisyen ini.

5.Kita sedia maklum bahawa Malaysia tidak pernah ketandusan dalam melahirkan pengarah-pengarah drama dan filem yang berbakat di samping mengeluarkan drama dan filem yang memenuhi citarasa kita semua.

6.Di mana silapnya sehingga program luar mendominasi stesen televisyen Negara kita. Bila kita melihat intisari rancangan setiap hari, ianya cukup merisaukan dan membimbangkan kerana jelas drama luar begitu banyak ditayangkan dalam Negara kita.

7. Kita jangan lupa bahawa pengaruh televisyen cukup kuat terutamanya di kalangan golongan muda dan belia. Malah drama-drama ini yang dikatakan begitu mengasyikkan dan melalaikan sudahpun mempunyai peminat setianya sendiri di kalangan warga tempatan.

8.Apakah kita mahu generasi muda kita mewarisi budaya Negara luar? Ini kerana setiap rancangan luar ini datangnya bersama-sama dengan budaya mereka masing-masing, ianya menonjolkan cara hidup, adat dan budaya hidup mereka yang pastinya akan mempengaruhi minda dan gaya hidup para penontonnya.

9. Kegagalan kita membendung budaya tidak sihat ini di kalangan stesen televisyen negara ini dikhuatiri akan menenggelamkan adat dan budaya masyarakat majmuk Negara kita sendiri.

10.Tidak cukupkah dengan kebanjiran penduduk negara itu di negara kita yang semakin merisaukan dan menimbulkan pelbagai masalah sosial, perlukah kita menambah pula dengan kebanjiran program televisyen mereka?

11.Kita sebenarnya kaya dengan adat dan budaya yang pelbagai yang menjadi kebangaan kita semua. Kita ada Melayu, Cina, India dan pribumi lain dari Sabah dan Sarawak yang begitu kaya dengan adat dan budaya masing-masing. Kenapa tidak ada pihak yang berusaha untuk menonjolkan budaya dan ciri-ciri hidup masyarakat kita tersebut dalam bentuk drama dan filem bagi menggantikan drama luar ini.

12.Daripada kita menayangkan drama luar apa salahnya kalau kita memperbanyakkan drama-drama tempatan yang menyelitkan unsur-unsur perpaduan kaum, misalnya drama yang menggabungkan pelakon-pelakon dari pelbagai kaum yang ada di Malaysia supaya lebih memenuhi citarasa kita. Ianya juga pasti akan menyumbang ke arah pemantapan perpaduan kaum di negara ini.

13.Harapan ini kita sandarkan kepada para pengarah dan penerbit tempatan agar dapat menghasilkan lebih banyak drama-drama sedemikain rupa dan sudah pastinya pihak kerajaan perlu membantu terutamanya dari segi dana untuk membiayai penghasilan drama-drama tersebut. Jangalah kita asyik memikirkan soal keuntungan semata-semata.

14.Pihak yang berkenaan terutamanya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan perlu memainkan peranan yang agresif malah jika perlu gunalah kuasa veto yang ada untuk membendung budaya kurang sihat ini dari terus menular di kalangan stesen-stesen televisyen tanahair. Sedarkan mereka tentang keperluan dalam menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing.

15.Kita ada budaya kita sendiri, kita berjaya selama ini dengan acuan kita sendiri, justeru kita perlu bangga dengan apa yang kita miliki dan bukannya bangga dengan budaya luar yang boleh merosakkan norma-norma kehidupan masyarakat majmuk Negara ini.

16.Antara unsur penting dalam gagasan 1Malaysia ialah membina sebuah bangsa Malaysia yang kaya dengan nilai-nilai murni dan menyanjung tinggi budaya dan adat setiap kaum yang terdapat di Malaysia, namun jika kita biarkan budaya luar ini menular dalam masyarakat, maka pasti sukar untuk kita mencapai gagasan tersebut seperti yang diidamkan.

No comments: