Tuesday, September 8, 2009

PULIHKAN SEGERA REPUTASI BARISAN NASIONAL
1.Sejarah politik Negara ini menunjukkan kita hanya diperintah oleh satu parti ataupun pakatan politik iaitu bermula dengan Parti Perikatan hinggalah ke sekarang ini dikenali sebagai Barisan Nasional (BN).

2.Generasi pasca Merdeka hanya mengenali Barisan Nasional sahaja sebagai pemerintah tunggal tanpa tolok bandingan selama ini. Perpaduan dan kesefahaman serta tolak ansur dan kerjasama yang telah wujud dalam Barisan Nasional memang dikagumi dan boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum. Malah masyarakat antarabangsa juga mengiktiraf pakatan unik ini.

3.Buktinya selama ini pengundi lebih mementingkan parti berbanding calon yang bertanding di satu-satu kawasan tersebut. Hasilnya calon bukan Melayu boleh menang dengan selesa di kawasan majoriti penduduk Melayu dan juga sebaliknya asalkan mereka bertanding atas tiket BN.

4.Kehebatan pemimpin-pemimpin BN selama ini cukup diakui dan diiktiraf oleh semua pihak terutamanya sepanjang 22 tahun pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memberi impak yang sangat positif kepada parti ini di atas kebolehan dan karisma kepimpinan beliau yang melakukan satu anjakan paradigma yang cukup besar dan luar biasa terhadap kemajuan dan kemakmuran Malaysia sehinggakan kita dikenali di seantero dunia sebagai Negara kecil yang sangat pesat membangun.

5.Bak kata pepatah, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari, semuanya berubah dalam sekelip mata dalam Pilihanraya Umum ke-12 (PRU 12) pada Mac 2008. Kerajaan BN menerima satu tamparan yang sangat besar dan memalukan. Tsunami politik yang berlaku telah menghanyutkan lima (5) buah negeri dari kuasa BN terutamanya negeri-negeri tradisi BN seperti Selangor, Perak dan Kedah.

6.Analisa oleh pelbagai pihak terutamanya pemerhati politik memberikan satu senarai yang panjang yang menyenaraikan punca penyebab prestasi buruk BN namun antara sebab utama ialah di samping peranan agresif pihak pembangkang yang sebenarnya telah dihadiahkan sendiri oleh pihak BN dengan pelbagai isu yang menarik, ianya juga berpunca dari sikap dan tindak tanduk calon serta ahli-ahli parti komponen BN itu sendiri.

7.Keadaan ini membuktikan bahawa para pengundi sudah mula lebih peka, cerdik dan tidak lagi memangkah berdasarkan parti malah lebih kepada calon yang bertanding di sesuatu kawasan tersebut.

8.Kita menjangkakan BN akan melakukan satu transformasi secara besar-besaran supaya dapat mengatasi segala punca kekalahan tersebut seterusnya menawan kembali negeri-negeri yang terlepas pada Pilihanyara Umum ke-13 kelak. Memang kita nampak usaha ke arah penjenamaan semula BN sudahpun dimulakan terutamanya oleh UMNO yang menjadi tunjang utama BN selama ini.

9.Di kala UMNO dilihat berusaha gigih untuk memulihkan seterusnya meremajakan kembali partinya agar kekal relevan di persada politik Negara ini, parti-parti komponen utama yang lain seperti MCA, MIC dan juga PPP seolah-olah dilanda ribut taufan yang belum tentu apa kesudahannya.

10.Hasilnya saban hari kita disajikan dengan pelbagai masalah dalaman parti-parti komponen ini yang secara langsung menjejaskan imej BN. MIC misalnya sekali lagi bergelut dengan pemilihan jawatan Timbalan Presiden yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru dalam keadaan di mana Presiden MIC secara terbuka memberikan sokongan dan restu kepada calon pilihannya. Keadaan ini pasti akan merungsingkan para perwakilan yang akan terlibat dalam proses pemilihan pada hujung minggu ini.

11.Kemelut MCA pula semakin meruncing dengan pemecatan Timbalan Presiden akibat skandal seks yang dikatakan mencemarkan imej parti. Akibatnya MCA terpaksa mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dijangka diadakan sebelum 30 September 2009 bagi merungkai segala kekalutan yang sedang menimpa mereka. Senario semasa menunjukkan ahli MCA seolah-olah berpecah kepada dua iaitu satu pihak yang menyokong Presiden dan satu lagi pihak menyokong Timbalan Presiden yang telah dipecat.

12.Ini ditambah lagi dengan masalah Presiden MCA itu sendiri yang sedang bergelut dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang sudahpun melibatkan campurtangan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

13.Kedua-dua parti ini merupakan tonggak utama BN selain UMNO kerana ianya mewakili dua kaum yang menjadi majoriti besar penduduk Malaysia. Kemelut ini jelas mula mencemarkan nama baik parti masing-masing dan rakyat terutamanya orang India dan Cina mula berasa bosan, jemu dan hilang kepercayaan terhadap parti yang mereka sokong selama ini.

14.Ini ditambah lagi dengan masalah dua nakhoda ataupun dua Presiden untuk Parti Progresif Penduduk (PPP), walaupun pendaftar pertubuhan telah mengesahkan siapa Presiden yang sah namun PPP dilihat sudahpun berpecah kepada dua puak iaitu yang menyokong Presiden mereka masing-masing.

15.Adakah semua kemelut ini dapat membantu memulihkan reputasi BN yang tercalar dalam PRU 12, sudah semestinya tidak malah masalah ini lebih merumitkan usaha pemulihan tersebut dan makin menjauhkan BN dari para pengundi yang ingin melihat perubahan yang besar dalam BN. Ia juga banyak menyumbang kepada kemenangan pihak pembangkang dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang telah diadakan. Malah pembangkang kini dihulurkan dengan begitu banyak modal yang menarik untuk dijadikan isu dalam menghentam dan memperlekehkan kerajaan BN.

16.Kekuatan BN selama ini banyak bergantung kepada resipi hebat mereka yang mengadunkan unsur-unsur kerjasama, tolak ansur, perpaduan dan persefahaman di kalangan parti-parti komponen, justeru ianya wajar dipelihara dan dipertahankan malah perlu dimantapkan lagi.

17.Kita harap semua parti komponen BN sedar akan tanggungjawab dan peranan masing-masing kerana tindak tanduk mereka akan secara langsung memberi kesan yang tidak baik kepada BN secara keseluruhannya. Mereka seharusnya elak perpecahan dalam parti dan perlu memulihkan segera segala masalah dan kemelut dalaman yang sedang melanda parti masing-masing jika mahu melihat BN kembali berdiri teguh dan kuat sebagai satu parti untuk menjayakan gagasan 1Malaysia. Jika tidak gagasan yang dicitakan ini hanya akan menjadi angan-angan mat jenin.

18.Sesungguhnya Malaysia memerlukan sebuah parti BN yang kuat, kukuh dan meyakinkan bagi terus memacu kegemilangan dan mencapai wawasan yang telah direncanakan.

19.Apa yang lebih dikhuatiri adalah jika proses pemulihan ini tidak disegerakan dan tidak meyakinkan para pengundi maka tidak mustahil dan juga tidak keterlaluan untuk dirumuskan bahawa BN mungkin akan menjadi pembangkang dalam PRU 13 kelak. Justeru pulihkanlah segera reputasi dan nama baik BN supaya terus kekal relevan dalam kancah politik tanahair.

No comments: