Wednesday, April 14, 2010

KEPIMPINAN NAJIB MULA MEYAKINKAN RAKYAT
(Telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 2/4/2010)

1. Hari Sabtu ini genaplah satu tahun YAB Datuk Sri Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 dan tempoh 12 bulan yang lepas dilihat sebagai suatu tempoh masa yang cukup getir dan mencabar kepada beliau dalam usaha untuk mengeratkan perpaduan nasional dan seterusnya meraih kembali sokongan rakyat.

2. Tampil dengan slogan keramat ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’, Najib terus melangkah ke hadapan dengan penuh bergaya melalui pelbagai pendekatan baharu mengikut gaya beliau sendiri dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

3. Ternyata beliau tidak mengambil mudah amanah yang diberikan oleh rakyat dan tidak sama sekali berbulan madu dengan jawatan yang disandang. Buktinya Najib terus memperkenalkan dan melaksanakan pelbagai transformasi dalam semua aspek pentadbirannya demi mewujudkan kerajaan yang berfokus rakyat.

4. Terkenal dengan konsep tinjauan mesra, Najib dilihat sering turun padang mendekatkan diri dan mendampingi rakyat melihat sendiri segala permasalahan rakyat. Ianya membolehkan beliau mendengar sendiri segala keluh kesah dan denyut nadi rakyat bawahan. Ini banyak membantu beliau merangka dan melaksanakan pebagai aktiviti dan program untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan yang berada dalam kesusahan.

5. Beliau juga berusaha keras untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di bawah konsep 1Malaysia dengan menyediakan ruang dan peluang yang adil dan saksama kepada semua kaum. Pandangan dan permintaan setiap kaum diperhalusi dan ditanganinya dengan penuh bijak dan berhemah.

6. Pada masa yang sama, menyedari hakikat bahawa imej dan reputasi kerajaan banyak dipengaruhi oleh imej perkhidmatan awam dan peranan penjawat awam dalam melaksanakan tugas masing-masing, maka beliau dilihat cukup serius dalam memartabatkan perkhidmatan awam sebaik yang mungkin. Beliau juga cukup sedar bahawa kerajaan dan perkhidmatan awam adalah saling bergantung dan memerlukan di antara satu sama lain untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

7. Bagi merealisasikan hasrat beliau terhadap perkhidmatan awam, Najib telahpun memperkenalkan lapan tonggak perdana semasa Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA Ke-11) pada 9 Mac yang lalu yang merangkumi empat tiang utama dan empat nilai asas pelengkap.

8. Empat tiang utama yang telah digariskan ialah Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

9. Manakala empat nilai asas pelengkap yang telah digariskan ialah membudayakan kreativiti dan inovasi, mementingkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan, nilai untuk wang dan nilai integriti.

10. Terkini Najib tampil dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang bakal mencorakkan hala tuju negara ini dan melonjak taraf hidup rakyat pelbagai kaum. Pengumuman lapan initiatif pembaharuan strategik bagi merealisasikan program transformasi ekonomi Malaysia diyakini mampu mempertingkatkan kualiti hidup rakyat semua kaum.

11. Janji beliau bahawa tiada rakyat Malaysia yang akan hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat peluang yang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran memperlihatkan sifat dan ciri-ciri seorang pemimpin yang adil, saksama dan berwawasan.

12. Kesemua usaha beliau dalam tempoh satu tahun ini boleh diterjemahkan melalui idea-idea dalam beberapa aspek seperti pemeliharaan peningkatan perpaduan dalam kepelbagaian melalui konsep 1Malaysia, peningkatan penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang menggariskan enam Bidang Kerberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Program Transformasi Ekonomi (PTE) melalui MEB. Segala idea dan usaha ini dirangka dengan penuh teliti ke arah melahirkan sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

13. Hakikatnya, Najib berjaya membuktikan kemampuan beliau dalam memimpin negara ini melalui cara beliau sendiri. Beliau juga berjaya membuktikan keikhlasan beliau dalam membantu segenap lapisan rakyat tanpa mengira agama, kaum dan bangsa. Segala usaha dan inisiatif beliau sudahpun mula menampakkan hasil yang positif serta meyakinkan rakyat. Populariti beliau dalam kalangan rakyat juga semakin hari semakin bertambah.

14. Justeru kita harap semua pihak yang berkenaan terutamanya sektor awam, sektor swasta, ahli politik dan juga rakyat akan berdiri teguh di belakang Najib menyokong penuh segala pembaharuan yang sedang dan akan beliau laksanakan demi mewujudkan sebuah negara bangsa yang aman, bersatu, maju dan progresif. Selamat ulang tahun yang pertama Datuk Sri.

No comments: